Saturday, October 25, 2008

POLITIK DAN WANG

Politik dan wang memang tidak dapat dipisahkan. Bagai irama dan lagu, bagai laut dan pantai, bagai matahari dan bulan. Wang adalah hasil berpolitik dan politik pasti memerlukan wang.

Dari politik, kita beroleh kuasa dan kuasa boleh memberi wang. Itulah hakikatnya dan hakikat ini tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Percayalah, selagi bernama manusia, sedikit sebanyak tetap berfokus kepada wang apabila memegang kuasa.

Saya telah ‘melihat’ UMNO menggunakan wang dalam politik sejak usia saya awal duapuluhan dahulu ketika Datuk Senu Abdul Rahman bertanding dalam Pilihanraya Kecil kerusi Parlimen Kuala Kedah menggantikan Tunku Abdul Rahman yang bersara. Ketika itu wang telahpun digunakan untuk berkempen. Saya tidak pasti jumlahnya tetapi saya pernah lihat sendiri wang tersusun dalam ‘briefcase’ di bawa oleh seorang pemimpin dari Sabah pada waktu itu. Kata beliau, untuk kempen!

Tetapi wang itu tidak habis dibelanjakan dan Bendahari Bilik Gerakan tersebut telah memulangkannya semula kepada pihak yang menghantar wang tersebut. Ketika itu baru saya tahu rupanya wang amat penting semasa berkempen. Sampai ke hari ini saya tertanya-tanya kenapa wang tersebut tidak dihabiskan saja. Bendahari tersebut memang sangat amanah.

Rupanya riwayat ‘wang kempen’ ini masih hidup hingga ke hari ini tetapi lebih parah lagi. Kalau dulu wang digunakan untuk kempen pilihanraya, sekarang digunakan untuk memilih pemimpin parti sahaja. Malah di peringkat Bahagian juga wang digunakan. Begitu gairah hendak menjadi pemimpin.

Sudah tentu tanpa wang, seorang pemimpin tidak akan dikenali. Untuk dikenali atau untuk ‘glamour’, wang mesti digunakan. Dalam apa jua bidang, sogokan telah menjadi lumrah. Perkara yang semua orang tahu. Cuma antara banyak atau sedikit, antara secara kecil-kecilan atau berleluasa. Itu saja bezanya.

Semua orang berlumba-lumba mahu menjadi pemimpin. Tidak seperti zaman Tunku menjadi politikus dahulu. Ketika itu ada orang melarikan diri dari mesyuarat jika namanya dicalonkan untuk menjadi pemimpin. Orang tidak mahu dirinya dilantik pada ketika itu kerana apabila menjadi pemimpin, alamat habislah harta mereka. Kuasa tidak sebanyak manapun tapi harta habis dibelanjakan untuk rakyat.

Kuasa tidak boleh menjamin kekayaan ketika itu. Jadi semua orang menolak apabila hendak dicalonkan sebagai ketua atau pemimpin. Setakat jadi pak turut bolehlah.

Ini amat berbeza dengan keadaan sekarang. Semua orang berlumba-lumba untuk menjadi calon. Bermacam-macam cara dilakukan termasuk menggunakan wang dan juga sumber wang yang lain. ‘Kalau anda pilih saya, saya beri sedikit wang’. Begitulah lebih kurang. Ataupun, ‘ Kalau beri sedikit imbuhan, saya pilih kamu nanti’.

Untuk menjadi pemimpin, orang sanggup berhabis banyak manapun sebab pulangannya lebih lumayan. Dapat menjadi Ketua atau Jawatankuasa Bahagian sahaja sudah menjanjikan pulangan. Apatah lagi berjaya menjadi pemimpin di peringkat Pusat, tentu lebih daripada itu. Tidak hairanlah gejala ini tidak dapat dibendung dan dihapuskan. Orang yang mengkritik tentang politik wang belum tentu tidak terlibat dengan gejala ini. Belum tentu.

Susah hendak dipastikan tetapi ia memang ada!

No comments:

Post a Comment