Tuesday, August 24, 2021

TRAGEDI YANG MENGINSAFKAN

 Tragedi sering menginsafkan kerana dari suatu tragedi itu membuatkan kita insaf tentang kekurangan diri dan kelebihan orang lain. Tragedi juga mendedahkan kita pada hakikat bahawa tidak semua orang pentingkan diri, tidak peduli dan tidak bersimpati dengan nasib orang lain. Mereka yang tidak peduli itu mungkin ada alasan tertentu tetapi masyarakat kita sangat perihatin dan mengambil berat pada nasib malang orangg lain. Itulah uniknya rakyat Malaysia dari berbagai bangsa.

Musibah yang melanda kami di Yan baru-baru ini membuka mata tentang sikap ambil beratnya masyarakat terhadap nasib orang lain. Tidak kira apa bangsa, semuanya saling membantu dari hari mula banjir melanda hinggalah ke hari ini,sudah hampir seminggu pekan Yan dipenuhi dengan skuad dan unit bantuan yang datang dari berbagai pihak. Bukan sedikit pertolongan yang diberikan malah kerja-kerja pembersihan sehingga ke hari ini masih lagi berjalan. Secara tiba-tiba pekan kecil yang dulunya sunyi sepi bertukar meriah seperti suatu pesta.Di tempat-tempat tertentu, ketika orang sibuk dengan operasi pembersihan, ada pula orang yang mengadakan pusat memasak makanan untuk diberikan kepada petugas-petugas.

Ada juga kenderaana yang lalu lalang menghulurkan makanan dan minuman serta keperluan yang lain yang tidak disangka-sangka. Jalan raya menjadi sesak dengan kenderaan terdsiri dari kereta dan jentera-jentera jengkaut yang membantu membuang selut dan tanah yang memasuki rumah dan halaman.Semua ini adalah secara percuma, tanpa apa-apa syarat.

Tiba-tiba semuanya menjadi seperti sebuah pesta. Meriah dalam berduka. Apa tidaknya, dalam waktu kami dirundung malang, segala sumbangan yang datang sangatlah mengujakan. Dalam sekelip mata sahaja pengunjung yang memasuki daerah Yan khasnya kawasan yang dilanda petaka ini bukan main ramai. Ada yang datang memberi bantuan dan ada juga yang datang menziarah sambil menghulurkan bantuan. Di mana-mana sahaja boleh dilihat kenderaan dari luar memasuki pekan dan kampung-kampung melihat sendiri kesan daripada banjir kepalaair dari Gunung Jerai ini.

Mereka dapat menuyaksikan sendiri betapa petaka ini memberi kesan yang sangat mendalam kepada penduduk Yan dan sekitarnya. Selama 40 tahun menetap di sini, inilah kali pertama dilanda banjir yang agak erat dan berlainan. Jika paras air menenggelamkan kawasan rumah dan memasuki rumah, kitga faham ia satu perkara biasa apabila terkena banjir. Tapi kali ini amat berlainan bila yang melimpah memasuki halaman dan juga ruang rumah adalah tana selut yang tebal. Proses membuang selut inilah yang sangat berat dan memakan masa. Ditambah lagi dengan kerosakan tempat tidur,perabot, almari dan kain baju yang sudah tidak boleh dipakai. Bantal dan selimut sudah entah ke mana. Ada yang di malam pertama banjir melimpah, sudah tidak ada tempat tidur lagi.

Barang-barang tidak sempat diselamatkan atau dipindahkan semuanya kerana paras  air naik begitu cepat. Dalam masa 20 minit sahaja ia sudah melimpah ke dalam rumah dengan membawa sampah-sarap dan batang-batang kayu dari gunung. Begitu cepat dan pantas, tidak sempat bertindak memindahkan barang-barang dan juga tiada tempat yang selamat lagi bagi rumah-rumah yang setingkat di atas tanah.

Sesungguhnya musibah ini sangatlah menginsafkan khasnya kami yang terlibat secara langsung menjadi mangsanya. Dalam keperitan menghadapi petaka ini, ramai orang yang baik hati dan pemurah. Sambil lalu, asalkan nampak orang bertungkus-lumus menguruskan kerja bersihkan kawasan dan rumah, bantuan segera diberikan. Kalau tidak dengan tenaga, wang ringgit dan makanan disumbangkan. Terasa ringan beban.

Insaflah kita bahawa rakyat Malaysia sangat pemurah tidak kira apa bnangsanya, semua menyumbang meringankan beban kami yang ditimpa petaka ini.

Sekian dahulu, terimakasih.

HIDUP YANG KIAN SURAM


Ketika mentari mahu pergi
tidak sempat melabuhkan tirai
biar kelihatan suramnya cahaya 
ketika melintas batas usia
sama-sama menuju senja.

Sesungguhnya hidup ini kian suram
seperti siang menuju malam
cuma menanti tibanya malam
hidup umpama di dua alam
antara cerah dan kelam.

pada usia senja begini
niat bersuka tiada terdetik di hati
kumpul harta tidak berguna lagi
cuma ingat di hati 
persiapkan diri
menunggu mati.

24 Ogos 2021

Saturday, August 14, 2021

MENITIP RINDU


Pada waktu sepi begini
minda menjelajah ruang ilusi
menyelak daun-daun rindu
yang belum tersimnpan rapi
bertaburan di kamar hati.
 
Aku kutip satu demi satu
kelopak bunga kenangan
yang tersemat dalam ingatan
penuh warna bak pelangi
harumnya umpama setanggi.
 
Aku teringat kekasihku
yang aku tinggalkan sendirian
di hujung lorong mimpi
ketika terbangun dari lena
dia sudah tiada di sisi.
 
Lalu rindu itu
aku titipkan satu persatu
menjadi sebuah jalinan kenangan
kemas tersimpan buat tatapan
suatu ketika nanti tanpa halangan.

 
22.07.2021
Ilham Syakim,
Titi Bakong.

Thursday, August 12, 2021

KISAH TIGA ORANG BUDAK

 Konon ceritanya
ada tiga orang budak
sudah berlaga kjadi bapa
sembang lagak orang bijak-bijak
ketiga-tiga nampak hebat tidak terkira
cita-cita serupa sahaja tiada beza
mahu bela Melayu sebuah bangsa
mendokong tinggi Islam sebagai agama
janji pertahan pemerinttahan sultan dan raja
tapi tiga budak ini pelik juga
tidak boleh bersama di bawah satu panji
tidak boleh berpakat satu agenda
masing-masing ada alasan tersendiri
pasti ada rahsia yang disembunyi
lalu tiga  budak ini
buat onar dan buang segala logika
negara  jadi cacamerba akhirnya.

- 100821
- Titi Bakong,Yan.

Saturday, June 5, 2021

BIARKAN SAJA AKU BERCERITA


 Dalam usia yang sudah senja begini

apa yang orang lain peduli tentang aku
biarkan aku kerap melangir rasa
bercerita apa saja yang aku suka
sentiasa bercerita tentang perasaan
dengarkan saja atau tutup telinga
bukan senang hendak puaskan hati semua
kita bukan serupa.

Aku kerap bercerita tentang hati 
kerana di hati terletak nilai tinggi budi
sering aku lukiskan kata-kata imiginasi
nanti aku boleh tidur lena dan bermimpi
dalam mimpi bertemu sang puteri
betapa nanti hatiku terisi.

Aku bercerita juga tentang indahnya malam
biarpun ia gelap gulita dan kelam sahaja
ia sebenarnya memancarkan kenangan
datang berpusu dalam fikiran
ia waktu sunyi melakarkan impian.

Aku bercerita juga tentang bunga-bunga
yang setiap kelopaknya adalah satu harapan
dan setiap kali ia gugur aku akan tersedar
bahawa diri ini sangat mengharap
pada wangi dan harum rindu ada padanya.

Ada waktu aku bercerita tentang beburung
hati melonjak gembira melihatnya
ketika terbang bebas di awan tinggi
dan bermimpi pada satu masa nanti
aku juga akan bebas bersama
terbang beerdua di angkasa juga.

Pernah aku bercerita tentang ikan-ikan
yang berenang di kolam
mencari makan di air tenang
kekadang dalam rintik hujan
ikan-ikan melompat keriangan
akupun melonjak riang bersama.

Lalu biarkanlah aku bercerita
aku tidakpun mengganggu sesiapa
biar aku kekal menjadi seorang aku
aku terus bercerita tentang semua itu
aku tidak akan menjadi orang lain
biarpun senja ini tidak lama
sementara menanti masa ke dunia lain.

Ilham Syakima
Yan,
Kedah Darulaman.
(040621)

Sunday, May 16, 2021

KASIH BAK CAHAYA BULAN



Kadang-kadang azam pada hati
biarlah kasih sepanjang usia
jangan bersinggah di mana-mana
terus saja destinasi pada hujungnya
tiada duka dan secebispun prasangka.

Umpama bulan di langit
sentiasa dengan sinar cahaya
biar gembira tanpa tentu masa
kasih kembang bak bunga
harumnya tidak terkata.

Rupanya semuaya seperti bulan
ada ketika mendung melindung
cahaya jadi suram dan murung
kasihpun kian pudar dan kelam
sayang kian pergi bersama bayang.

#0150521


 

Saturday, May 15, 2021

APAKAH STATUS JALAN DARI PANTAI MURNI KE KUALA BAKONG?


Sebut sahaja Pantai Murni, orang-orang yang tinggal di daerah Yan pasti tahu apa yang ada dan bagaimana keindahan tempat tersebut. Ia telah terkenal dan menjadi tempat tumpuan orang ramai terutama pada waktu cuti hujung minggu. Walaupun tidak ada pantai untuk bermain pasir, pemandangannya unik dan sangat menarik terutama pada waktu petang. Di sebelah pagi pula kawasan rekreasi di situ dijadikan tempat beriadah mengeluarkan peluh dengan adanya peralatan bersenam dan laluan berjoging atau berjalan kaki.

 

Eloklah juga diperkenalkan kawasan sekitar Pantai Murni yang kebanyakannya boleh menjadi tarikan pelancongan. Salah satunya adalah jalan tepi laut menuju Kuala Bakong yang berdekatan dan boleh juga terus ke Kuala Sungai Udang hingga ke Kuala Sungai Yan. Jalan tepi laut ini memaparkan pemandangan yang sangat menarik serta tiupan angin laut yang nyaman. Boleh juga siapa yang melaluinya melihat keindahan kolam-kolam udang dan ikan di sepanjang tepi laut di laluan tersebut.

Melalui jalan tepi laut ini terutama dari Pantai Murni ke Kuala Bakong boleh dilihat dengan jelas alunan ombak laut serta keindahan pulau-pulau di laut yang terbentang seperti Pulau Bunting, Pulau Songsong,Pulau Telur dan Pulau Bidan yang mempunyai cerita tersendiri. Di samping itu terdapat juga beberapa kolam udang dan kolam ikan yang beroperasi. Pemandangan ini boleh menjadikan kawasan ini sebagai destinasi kunjungan pelancong yang menarik. Begitu jugalah laluan dari Kuala Sungai Udang ke Kuala Sungai Yan. Kolam ikan dan udang dengan laut di hadapannya memberikan pemandangan yang menarik.

Malangnya semua ini dinafikan apabila ada seseorang atau beberapa orang telah menutup terus jalan tersebut dengan membina pagar besi yang berkunci. Perbuatan mereka ini menye4babkan orang ramai tidak lagi boleh melintasi dan melalui jalan tersebut seperti asal dahulu seolah-olah jalan tersebut adalah milik mereka dan menjadi ‘jalan persendirian’.

Penempatan dan rumah untuk para pekerja dan pengusaha kolam ternakan udang dan ikan dibina sewenang-wenangnya. Laluan itu kelihatan tidak terurus dan penuh dengan bahan-bahan terbuang yang tidak diuruskan dengan baik,mencacatkan pemandangan di kawasan tersebut. Para pekerja kolam ternakan tersebut pula mengambil kesempatan memelihara ayam dan kambing yang dibiarkan berkeliaran,kebetulan pula mereka tidak memerlukan reban atau kandang untuk ternakan mereka kerana telah berpagar menutup laluan tersebut.




Hal ini menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan yang dahulunya sering menggunakan laluan tersebut untuk bergerak di tepi laut. Begitu jugalah dengan orang ramai yang pernah mengunjungi tempat-tempat menarik di sekitar laluan tersebut. Buat masa ini orang ramai terpaksa menggunakan jalan di sepanjang sungai berhampiran yang sering menjadi laluan traktor dan juga mesin-mesin padi.

Yang menjadi persoalan adakah pihak Pejabat Daerah ataupun Majlis Daerah Yan yang telah menukarkan status jalan tersebut dari jalan awam menjadi jalan persendirian hinggakan orang lain tidak boleh menggunakannya untuk bergerak antara Pantai Murni dengan Kuala Bakong. Jalan tersebut tidak diselenggarakan dengan baik sehingga bahan-bahan terbuang  jelas di penglihatan orang.

Pihak Majlis Daerah Yan dan juga Pejabat Daerah Yan haruslah bersikap positif dalam masalah ini dan membuat pemantauan. Jika ianya jalan awam, MDY mestilah berbuat sesuatu agar jalan tersebut dapat orang ramai gunakan. Ambillah inisiatif sebaik mungkin dalam masalah ini. Isytihar dengan nyata apakah status jalan tersebut. Jangan biarkan orang ramai tertanya-tanya.

Adios!



 

Saturday, April 24, 2021

FAM MEMULAKAN LANGKAH MEMANJAKAN PEMAIN


 Akhirnya terbukti dengan nyata bahawa FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) memanjakan pemain daripada menjaga kredibiliti dan juga keselamatan pengadilnya sendiri. Hukuman sekadar melepaskan batuk di tangga terhadap pemain yang menyentuh pangadil dalam perlawanan mendedahkan bahawa keselamatan dan maruah seorang pengadil tidak mendapat tempat dalam kalangan pegawai FAM.

Alasan bahawa memadai dengan hukuman yang telah dikenakan seolah-olah lebih melindungi pemain dartipada melindungi pengadil dan seterusnya membuka ruang kepada pemain melakukan lagi hal-hal yang boleh mengancam keselamatan para pengadil di dalam padang. Dan FAM pula selepas ini terpaksa mengkategorikan jenis-jenis sentuhan yang bakal diterima pengadil pada masa akan datang bagi memudahkan pengadil menjalankan tugas dan bertindak.

Keputusan yang dibuat mempunyai implikasi yang berbagai-bagai tetapi semuanya berfokus kepada proses memanjakan pemain dan pengadil pula menghadapi keadaan di mana mereka terpaksa mengkategorikan pula jenis sentuhan yang dibuat pemain dan mengambil kira pula jenis pemain samada pemain tempatan atau pemain import serta terpaksa pula mengetahui pasukan mana pemain yang bersalah itu wakili. Lain pasukan, lain pula warna kad yang akan dikeluarkan. Tidak ada jaminan pada masa akan datang pemain berhati-hati atau tidak menyentuh pangadil.

Semua pihak terutama panel yang menjatuhkan hukuman perlu menghayati Undang-undang 12 iaitu Kesalahan-kesalahan Dan Kelakuan Tidak Bersopan. Di dalamnya dengan jelas dihuraikan dan disarankan bentuk hukuman yang sesuai dengan hukuman yang dilakukan termasuk sentuhan kepada pengadil. Di situ tidak ada dinyatakan gred sentuhan dan peringkat hukuman. Waima kesalahan kepada rakan sepasukan, pegawai pasukan,pemain lawan serta pegawai perlawanan dinyatakan dengan jelas sebagai satu kesalahan berat iaitu berkelakuan ganas kerana pada ketika itu pesalah tidak lagi berpegang kepada fikiran waras. Niatnya tetap merujuk kepada kemarahan dan mengikut perasaan.

Sentuhan adalah dikira sebagai ganas, tidak ada kategori khusus tentang jenis sentuhan sebab setiap sentuhan yang dibuat adalah dengan niat provokasi dan melepaskan geram. Kesalahan pemain biar dilihat seperti tidak sengaja atau tanpa niat, ia tetap serupa iaitu berfokus kepada keganasan. Satu ketika dahulu ada pemain negeri dan kebangsaan yang menerima hukuman digantung khidmat mereka berbulan malah bertahun.

FAM khasnya Jawatankuasa Disiplinnya harus  mengambil iktibar dan panduan daripada insiden-insiden terdahulu bahawa tidak ada pemain yang mnyentuh pengadil terlepas begitu sahaja seolah-olah pemainmerupakan anak manja FAM.

ADIOS!!!

 

 

Thursday, April 8, 2021

TENTANG "PENGADIL HARAM" DI NEGERI KEDAH

 

 1. Sebelum pergi lebih jauh, biar diterangkan dahulu maksud “pengadil haram” itu agar semua pihak dapat menilai dan tidak pula nanti membuat sebarang anggapan negatif tentang perkara ini. Kalau boleh tidaklah kita mahu kategorikan haram atau halal seseorang pengadil bolasepak kerana masing-masing ada kelebihan dari segi kemampuan mengadili perlawanan bolasepak.

2. Lazimnya seseorang pengadil bolasepak di Kedah akan bernaung di bawah Persatuan Pengadil Bolasepak Negeri dan Daerah dan diletakkaan di bawah pengawasan Persatuan Bolasepak Kedah yang pastinya dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa Pengadil. Jawatankuasa ini meletakkan para pengadil ini seterusnya didaftarkan di bawah persatuan bolasepak daerah dan KFA sendiri. Jawatankuasa Pengadil KFA inilah yang bertanggungjawab membuat perlantikan pengadil untuk bertugas dalam mana-mana perlawanan samada liga atau persahabatan.

3. Keadaan ini berjalan sejak lama dahulu dan tiada sebarang masalah kerana masing-masing bertanggungjawab dan hormat menghormati kepada tugas masing-masing.  Dan sebagaimana kebiasaan dan difahami, selepas melalui Ujian Kecergasan Tahunan, para pengadil yang lulus akan disahkan pendaftarannya daan diberi keistimewaan untuk dilantik bertugas dalam mana-mana perlawanan manakala mereka yang gagal akan diberi peluang kedua dan akan diberi tugasan pada masa yang memerlukan atau akan bergiat di peringkat daerah sahaja bergantung kepada keperluan dan kebijaksanaan Jawatankuasa Pengadil Daerah masing-masing.

4. Apa yang berlaku tidak seperti yang dirancangkan. Para pengadil yang tidak lulus ini bersama dengan beberapa tokoh yang lain sibuk mencari peluang untuk bertugas secara sulit dan bersendirian. Pada peringkat mulanya memang begitulah kerana untuk mendapat tugasan rasmi dari persatuan bolasepak memang bermasalah kerana tidak berdaftar dan tidak lulus ujian kecergasan. Lagipun bilangan yang telah lulus ramai jumlahnya. Akhirnya mereka ini telah bergabung menjadi satu persatuan dan bergerak secara sulit pada mulanya. Lama kelamaan kumpulan ini menjadi kian besar dengan penglibatan beberapa tokoh bekas pengadil FIFA dan Pengadil Kebangsaan yang berpengaruh dan masih cergas. Kumpulan inilah yang dikategorikan sebagai PENGADIL HARAM.

5. Sesudah lebih 20 tahun keadaan ini berterusan dan ianya semakin sukar dibendung. Malah kumpulan ini berjaya mendominasi tugasan di serata tempat dan kawasan tanpa menghormati lagi mana-mana AJK Jawatankuasa Pengadil KFA. Merka lebih menurut kata IDOLA mereka yang mempunyai hubungan dan pengaruh dalam kalangan Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan yang sering menganjurkan perlawanan untuk kakitangan mereka. Kumpulan pengadil-pengadil haram ini dilayan dan diberi tugas mengadili pertandingan liga yang besar dan penting di seluruh Kedah tanpa melalui pengetahuan KFA.

6. Presiden KFA sendiri pada satu ketika turut bermain bersama Ahli-ahli Majlis KFA dalam perlawanan yang mengujakan di Stadium Darulaman dan juga di Stadium Suka Menanti  dengan tugas sebagai pengadil diberi kepada ku,pulan ini. Tidak kira lagi di padang-padang terbuka yang lain tanpa sesiapa pun mengambil kisah kepada para pengadil yang berdaftar dan telah lulus ujian kecergasan. Kadang-kadang ada juga perlawanan yang hanya dihadiri dua sahaja pengadil bertugas. Pada satu ketika pernah juga Datuk Seri Presiden KFA hadir merasmikan perlawanan yang diadili oleh kumpulan Pengadil Haram ini tanpa peduli pada waktu yang sama pengadil yang halal sedang menghadapi ujian kecergasan tahunan. Seolah-olah Presiden tidak tahu wujudnya Jawatankuasa Pengadil di KFA.

7. Keadaan ini menyebabkan timbul rasa tidak puas hati para pengadil yang berusaha memajukan diri dan berlatih untuk lulus ujian kecergasan tahunan. Ada juga yang kurang senang dengan Jawatankuasa Pengadil KFA yang dilihat gagal membendung hal ini. Walaupun sudah diterangkan bahawa kemelut ini berpunca dari pihak yang lebih atas. Mereka mencadangkan jawatankuasa pengadil adalah lebih baik dibubarkan sahaja. Sekali pandang mereka berkata yang positif kerana nampaknya pengadil yang haram lebih diberi kepercayaan sedang pengadil yang halal dipinggirkan.

8. Saya ulangi iaitu kumpulan pengadil haram ini kebnyakannya terdiri daripada mereka yang telah berusia yang secara logiknya tidak boleh lagi diberi tugasan sebagai pengadil bagi mengelak berlaku sesuatu yang tidak diingini kerana faktor usia.Tetapi kumpulan ini masih tebal minat mereka dalam bidang pengadilan bolasepak di samping boleh dijadikan sebagai sumber kewangan tambahan pula. Ada juga dalam kalangan mereka yang telah bersara dari tugas Pengadil Kebangsaan dan Pengadil FAM kerana melepasi sempadan usia turut memeriahkan kumpulan haram ini. Ditambah pula dengan para pengadil muda yang baru mula memanas badan sebagai pengadil.

9. Para pengadil yang dikategorikan haram ini bijak mencuri peluang. Mereka berpersatuan bertopengkan Persatuan Bolasepak mana-mana daerah agar dapat dihalalkan. Sebilangan pengadil dari daerah-daerah tertentu yang kurang diberi perhatian kerana tidak lulus ujian-ujian samada teori atau ujian kecergasan bercantum menubuhkan persatuan sendiri secara sulit. Dan oleh kerana ada individu berpengaruh mengambil kesempatan untuk menjadi populer, kumpulan ini dapat bergerak cergas bermula secara sulit tetapi akhirnya secara terang-terangan seolah-olah direstui. Secara tidak langsung kumpulan pengadil haram ini lebih mendapat tempat berbanding pengadil halal yang berdaftar dengan KFA.

10. Tidak hairanlah bila kebanyakan perlawanan di mana-mana padang di Sungai Petani, Baling dan Sik tersaji untuk mereka.Malah ada waktunya apa-apa perlawanan samada liga atau persahabatan malah pertandingan Futsal sekalipun, mereka juga mendapat peluang menjadi pengadil. Ada juga perlawanan di Mini Stadium Suka Menanti, Stadium Darulaman dan padang-padang yang lain di Alor Setar seperti padang Peremba, jatuh ke tangan mereka. Saya pernah terserempak hanya dua orang pengadil sahaja yang bertugas dalam satu perlawanan penuh. Begitu sekali mereka bergiat walaupun dikategorikan sebagai ‘haram’. Manakala para pengadil yang telah lulus dan bersusah payah menduduki dan lulus Ujian Kecergasan Tahunan melihat sambil menggigit jari tanpa dapat bertugas.

11. Kewujudan kumpulan atau persatuan pengadil haram ini berkait dengan sikap dan kesilapan pihak KFA khasnya Jawatankuasa Pengadil sendiri. Pihak pengurusan bermula dari Presiden hinggalah kepada Ahli-ahli majlis, terbawa kepada kakitangan di pejabat persatuan tidak langsung peka dan sensitif dengan kewujudan Jawatankuasa Pengadilnya. Biasa terjadi pihak pengurusan sendiri menguruskan perlawanan tanpa peduli dari mana datangnya pengadil. Kadang-kadang perlawanan di dalam Stadium Darulaman pada waktu malam dengan lampu limpah terpasang dan  di Stadium Suka Menanti tidak dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengadil tetapi menghubungi sumber kontaks lain untuk mendapatkan pengadil. Maka terjadilah yang diberi tugas adalah pengadil yang tidak berdaftar sedang yang berdaftar diabaikan.

12. Syarat dan kaedah pendaftaran pengadil yang ditetapkan Jawatankuasa Pengadil KFA ikhlas saya katakana ia menyumbang ke arah wujudnya kumpulan pengadil haram ini. Jawatankuasa Pengadil terlalu mengikut dan patuh pada syarat seperti yang dibuat di FAM iaitu tidak mendaftarkan mereka yang gagal ujian kecergasan dan penggredan serta mereka yang melepasi had umur tertentu. Di FAM memanglah terpaksa mereka berbuat begitu demi menjaga kualiti lagipun apa guna senaraikan mereka yang tersebut itu. FAM bukannya ada perlawanan-perlawanan liga di kampung-kampung dan daerah-daerah  seperti di negeri.

13. Kita di peringkat negeri tidak sepatutnya berbuat seperti di FAM. Matlamat kita di negeri adalah untuk menambahkan bilangan pengadil FAM dan mereka yang berusia dan juga yang bersara dari menjadi Pengadil Kebangsaan boleh dijadikan mentor di padang. Lagipun individu begini tentu tidak boleh melepaskan terus aktiviti seperti itu apabila tidak tersenarai di FAM. Mereka masih berkebolehan dan pasti ada sesuatu yang tidak ada pada orang lain yang boleh diberikan kepada pengadil KFA yang lain. Para pengadil muda dan juga yang gagal dalam ujian kecergasan tidak boleh diabaikan mereka begitu sahaja. Daftarkan sekali dengan pengadil yang lain dan diberi peluang bertugas bersama dengan yang lulus (tapi terhad) sebagai medium menimba pengalaman. Di mana medan untuk mereka bergerak sekiranya kita tidak pedulikan.

14. Mereka inilah,yang Jawatankuasa Pengadil KFA tidak pedulikan ini bergiat secara berkumpulan yang dikategorikan sebagai Pengadil Haram itu. Oleh kerana berpengalaman dan berpengaruh pula, ada juga dalam kalangan pengadil muda samada yang sudah ada kelas, sudah memasuki kategori FAM dan FIFA mudah terpengaruh dan melibatkan diri dalam organisasi ini. Seterusnya tidak lagi menghormati dan mempedulikan Jawatankuasa Pengadil KFA sekarang ini. Mereka bergerak bukan atas arahan KFA tetapi mengikut arahan ‘warlord’ organisasi yang tidak diiktiraf tersebut. Sekarang ini bukan mereka yang terpinggir tetapi para pengadil yang berdaftar dan yang bermuka tidak malu adalah Jawatankuasa Pengadil dan KFA sendiri.

15. Jadi untuk merungkai masalah ini,Jawatankuasa Pengadil KFA mesti berani berubah sikap. Permudahkanlah peraturan mendaftar diri sebagai pengadil yang sah di KFA. Berlapang dada,ubahlah sedikit peraturan yang ditetapkan FAM kerana ini adalah masalah di negeri. Beri golongan pengadil yang telah bersara dari tugasan FAM, pengadil-pengadil berusia dan para pengadil muda yang baru memulakan langkah ke arena ini peluang yang sama. Tidak menjadi masalah andainya mereka juga dilantik bertugas bersama dengan yang lain yang mungkin akan memberi motivasi untuk menuju ke arah yang lebih baik.

16. Selain dari itu, KFA sendiri mestilah bertegas mengingatkan Jawatankuasanya (Ahli-ahli Majlis) mengarah semua jabatan agar menghubungi KFA atau Jawatankuasa yang berkenaan setiap kali mengelola perlawanan, bukan menghubungi individu tertentu yang tidak tersenarai di KFA. Hubungi Jawatankuasa Pengadil sekiranya memerlukan tugas pengadil dalam apa-apa perlawanan samada persahabatan ataupun liga. Untuk mencantikkan lagi organisasi,pilih seorang dua dalam kalangan pengadil haram ini menganggotai Jawatankuasa Pengadil untuk duduk berbincang bersama.

17. Akhir sekali, saya berharap pihak KFA dan juga Jawatnkuasa Pengadilnya serta para pegawainya dapat bermuhasabah, merendah diri dengan menerima kumpulan yang dikategorikan sebagai haram ini sebaik-baiknya. Semoga selepas ini bidang ini tiada lagi masalah besar yang perlu dihadapi. Cukuplah lebih 20 tahun berlalu tanpa sesiapa mahu merendah diri dan berusaha ke arah penyatuan dan kesefahaman antara pengadil bolasepak ini.  Semoga tiada lagi Pengadil Haram dan Pengadil Halal selepas ini.

Insyaallah!

ADIOS.....!