PENGADIL HARAM DI NEGERI KEDAH DARULAMAN
Masalah
pengadil haram atau yang tidak berdaftar dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)
bukanlah satu perkara yang baru. Isu ini berlarutan hampir 30 tahun tanpa ada
tangan yang merungkaikannya. Akibat dibiarkan terlalu lama akhirnya sudah tidak
terkawal lagi. Bermula hanya sebagai kudis di badan, lama kelamaan ia semakin
menjadi barah dalam organisasi pengadil bolasepak di negeri ini. Buat masa ini
untuk tahun 2022, hal ini sudah gah di beberapa negeri di utara ini dan secara
tidak langsung Jawatankuasa Pengadil KFA seolah-olah sekumpulan ‘badut’ di
pentas bolasepak Kedah. Rasa hormat pemain dan pengadil sudah lekang terhadap
jawatankuasa ini.
Kumpulan
pengadil haram ini yang tidak mahu berdaftar dengan KFA begitu giat mendominasi
berbagai perlawanan dan pertandingan liga bermula secara sulit hinggalah
sekarang secara terbuka malah mendapat publisiti meluas dalam kalangan
badan-badan yang menganjurkan perlawanan. Pengadil-pengadil haram ini juga
mendapat banyak keistimewaan menggunakan padang Stadium Darulaman, Stadium Suka
Menanti, padang Peremba dan beberapa mini stadium di seluruh Kedah sedangkan
para pengadil halal yang berdaftar dengan KFA menggigit jari kerana tidak
dipedulikan. Baru-baru ini Majlis Sukan Negeri Kedah (MSN) menganjurkaan liga
merebut piala Setiausaha Kerajaan Negeri, pengadil-pengadil yang tidak
berdaftar ini juga yang dilantik bertugas dan salah seorang daripadanya
didatangkan dari Kuala Lumpur untuk pertandingan akhir yang diadakan di Stadium
Darulaman. Begitu hebat peranan mereka dan dengar kabar kumpulan tidak berdaftar
ini menembusi pasaran hingga ke Perlis dan Pulau Pinang.
Jika hal ini
dibiarkan tanpa apa-apa tindakan daripada KFA, tidak mustahil satu hari nanti
kumpulan ini melumpuhkan terus pengadil-pengadil halal dalam perlawanan
bolasepak di negeri Kedah khasnya dan di kawasan utara juga amnya. Apa tidaknya,
sekarang ini ada berita yang diterima kejohanan MILO akan diadakan dan kumpulan
ini juga akan diberi kepercayaan mengendalikannya. Pasti kumpulah haram ini
akan lebih ‘naik tocang’.
Semua ini
berlaku atas dasar semua pihak yang terlibat dengan bolasepak di Kedah iaitu Ahli-ahli Majlis, Pegawai-pegawai dan badan-badabn
gabungan serta Majlis Sukan Negeri sudah tidak menghormati KFA dan juga
Jawatankuasa Pengadilnya yang sentiasa berusaha memberi khidmat meningkatkan
lagi ilmu dan latihan. Malah diberi pula latihan dan ujian kecergasan bagi
mengekalkan kebolehan dan keupayaan para pengadil yang berdaftar. Ahli-ahli
Majlis dan badan-badan gabungan KFA sering mengambil tindakan mudah dengan
menghubungi ‘taikun’ iaitu bekas-bekas pengadil FIFA dan Kebangsaan yang
bermasalah dengan KFA daripada berhubung dengan Jawatankuasa Pengadil KFA yang
merupakan badan badan yang sah menguruskan hal perlantikan pengadil bolasepak
di negeri ini,
Mereka diberi keistimewaan bertugas di Stadium
Darulaman di bawah sinar lampu limpah yang mana para pengadil yang berdaftar
tidak mendapat keistimewaan tersebut. Itu adalah satu contoh membuktikan bahawa
hilangnya rasa hormat badan-badan gabungan KFA serta para pegawai di KFA
sendiri kepada sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam bidang
pengadilan.
Banyak lagi contoh-contoh
yang lain untuk didedahkan tetapi tentulah tidak sesuai dalam ruangan yang terhad
ini. Tapi sebagai kesimpulan, jika perkara ini dibiarkan dan diteruskan, tidak
dapat dinafikan bahawa Jawatankuasa Pengadil yang dilantik KFA hanyalah untuk
‘syok sendiri’ sahaja, tidak ada siapa yang menghormati ahli-ahli serta program
yang dirancangkan. Lama kelamaan bilangan pengadil yang berdaftar semakin
berkurang. Buat masa ini sahaja jumlah yang ada dalam senarai pendaftaran yang
akan mengambil ujian kecergasan tahunan hanyalah 115 orang. Sebaliknya nanti
jumlah Pengadil Haram yang akan bertambah.
(Bahan daripada fail peribadi)