Thursday, November 22, 2018

CERTA YANG ORANG TIDAK TAHU (1)

Hari ini aku pulang menziarahi emak yang sudah uzur. Di usianya, dia tidak lagi boleh ke mana-mana selain bergerak di sekitar rumah. Kerja yang mampu dibuat adalah yang ringan-ringan malah lebih banyak masa dihabiskan dengan duduk berehat dan melihat orang lalu lalang.

Ketika sampai kira-kira pukul 10.30 pagi, aku lihat emak menghembus-hembus dapur kayu yang dibuatnya dengan batu-bata yang ada di sekitar rumah. Sedih aku melihatnya kerana api tidak hidup, yang ada hanya asap sahaja.

Lebih menyedihkan dan menggenangkan airmata bila dia beritahu dapur itu adalah untuk memanaskan nasi sejuk yang berbaki dari makanan semalam. Rupanya dia belum sarapan kerana tidak ada sesiapa lalu untuk membeli makanan untuknya.

Aku tidak tertahan dan menitiskan airmata ketika itu. Melihat aku menangis dia memberitahu bahawa dia juga menitiskan airmata pagi tadi. Katanya dia amat sedih dan terkilan bila dia melihat anak dan menantunya di rumah sebelah makan dan minum bersama anak-cucu mereka tanpa menoleh langsung kepadanya apatah lagi menghulurkan sedikit makanan.

Lalu aku ajak emak mengikut aku. Niat hari mahu bawa dia balik ke rumahku tapi dia tak mahu kerana takut rumah pusaka itu dibuat orang tidak menentu.

Jadi aku bawa emak ke bandar untuk makan dan membeli sedikit makanan untuk masa yang lain nanti. Aku belikan juga sebuah periuk elektrik untuk kegunaannya bila mahu memanaskan dan memasak nasi.

Pakaian kotornya aku himpun dan bawa balik untuk dicuci. Sehari dua lagi akan aku hantar kembali. Dan nanti dapat aku bertemu emak lagi.

#catatan_161018