Salah seorang Cina yang saya masih ingat ialah Ng Hock Jin yang memiliki sebuah kilang beras di situ. Pejabat dan ruang tamunya memang benar-benar hampir dengan masjid kami dan tentunya beliau dapat mengikuti dengan jelas setiap bualan dan juga apa-apa bacaan Al-Quran yang sentiasa berkumandang saban waktu solat. Malah bacaan surah-surah dari imam masjid juga tidak terlepas dari pendengarannya.
Satu pagi ketika melakukan solat Subuh, Pak Imam tersangkut-sangkut membaca Surah ‘Qulya’. Beberapa kali diulang-ulang ayat yang sama (ayat kelima) tanpa dapat menyambungnya dengan ayat seterusnya sehinggalah seorang makmum membantu. Dan akhirnya solat Subuh pagi itu berjalan hingga selesai.
Cerita ini tidak berakhir di situ. Dan pagi tersebut semasa beberapa orang tua-tua bersarapan di kedai kopi berhampiran, Ng Hock Jin juga turut sama bersarapan di situ. Ketika bersalam dengan Pak Imam beliau sempat berseloroh bertanya Imam tentang bacaan yang tersangkut-sangkut ketika solat Subuh tadi.
“ Apa pasai tadi, Pak Imam? Haiya! ‘Lakum Di Nukum’ takdak mari ka? Itu ‘ Wala Antum ‘A Bidu Nama Akbud’ kasi ulang-ulang banyak kali apa pasai?”
Semua orang terkejut dengan pertanyaan itu. Rupanya selama tempoh itu Hock Jin ini mengikuti setiap bacaan Imam di masjid. Malah mengikuti juga setiap bacaan yang disiarkan dari penmbesar suara masjid itu. Rupanya bukanlah sesuatu yang pelik tentang bacaan Quran yang amat digeruni orang-orang Pulau Pinang sehingga ianya hendak diharamkan.
Selain bacaan tersebut dapat membangunkan orang-orang sekeliling yang seharusnya bangun awal bagi menghadapi penghidupan di hari seterusnya, ia bukanlah sesuatu yang pelik dan patut digeruni. Kalau tidak ada bacaan tersebut pun, semua orang tetap hendak bangun juga untuk menjalankan aktiviti harian mereka. Tidak adapun satu kemudaratan yang timbul dari bacaan-bacaan yang berkumandang dari pembesar suara masjid.
Apa yang peliknya? Kalau Ng Hock Jin dan kawan-kawan sebangsa dengannya di kampung saya dapat menerima bacaan tersebut sebagai piawai untuk bangun awal, mengapa kita tidak boleh? Kenapa ia harus diharamkan kerana beberapa orang yang tidak mahu bangun awal membantah?