Sunday, December 31, 2017

KFA: BELAJARLAH DARI KESILAPAN


Sebut sahaja nama pasukan Helang Merah, semua peminat teruja dengan pencapaiannya yang dilihat sukar digugat kecuali terlepas Piala Malaysia. Walaupun terlepas piala berprestij itu, pasuka Helang Merah tetap tidak tergugat kedudukannya sebagai sebuah pasukan yang mantap dan padu. Dan kebanggaan peminat ini dikongsi pula para pegawai dan pihak pengurusan persatuan bolasepak negeri jelapang padi itu.

Namun di sebalik kejayaan demi kejayaan, KFA masih juga tidak mahu belajar dari kesilapan-kesilapan lalu dalam usaha meningkatkan pentadbiran persatuan dan juga pengurusan pasukan. Selagi tidaka dirombak dana disusun semula organisasi mereka, selagi itulah KFA dan pasukan tidak ke mana biarpun gah di persada liga.

Kegagalan menyertai kejohanan AFC bukti jelas betapa tidak peka para pegawai dari pengurusan hingga kepada pentadbiran persatuan. Hanya kerana kelalaian yang sedikit mengakibatkan kerosakan yang sangat ketara. Helang Merah gagal menyertai kejohanan peringkat tinggi yang menjadi idaman setiap pasukan. Masakan dalam banyak-banyak bijak pandai dan penuh pengalaman boleh terleka dan tidak menyediakan penyata kewangan yang sepatutnya.

Biasalah bila semua jawatan dijawat oleh para politikus dan orang yang hanya 'syok sendiri' dalam pengurusan bolasepak. Orang politik manalah ada masa hendak mengambil tahu perkara-perkara sebegitu. Mereka hanya berharap dan mempercayai para pegawai atau wakil mereka sahaja dan kebetulan pula wakil mereka adalah orang yang hanya suka-suka dengan bolasepak tetapi tidak tahu peranan mereka.

Kabarnya kali ini, untuk musim 2018, KFA melantik pengurusan baru untuk pasuka Helang Merah dan orangnya pula adalah yang cukup mahir dengan bolasepak. Kebetulan pula adalah bekas pemain ternama yang pernah beraksi dengan pasukan Helang Merah yang dulunya dikenali sebagai pasukan Hijau Kuning. Malangnya orang tidak tahu lagi bagaimana latarbelakang dan kebolehan beliau dalam pentadbiran. Orang hanya tahu dia adalah bekas pemain yang handal dan disegani tetapi orang tidak tahu keupayaan mentadbir yang ada padanya.

Kita lihatlah nanti apa yang boleh dilakukannya.

Adios!

Saturday, December 30, 2017

INDAH KABAR DARI RUPA

Sebut sahaja Jambatan Pulau Bunting, semua orang di negeri Kedah khasnya di daerah Yan sudah mengetahui betapa indah dan gahnya jambatan tersebut. Ia di bina lebih dari 10 tahun yang lalu oleh sebuah syarikat yang asalnya konon untuk membawa minyak mentah darti Pulau Bidan untuk penapisan di suatu tempat yang tidak dinyatakan. Atau mungkin sebaliknya iaitu untuk membawa minyak yang sudah ditapis di Pulau Bunting itu ke destinasi-destinasi yang lain. Semuanya misteri hingga ke hari ini dan jambatan itu yang dulunya sering dikunjungi orang telah dilupakan dari peta pelancongan yang unik. 


Jambatan itu terus dilupakan dan kata orang ia menjadi tempat orang datang memancing dan juga menjadi pusat penagih dadah melepas gian. Akhir-akhir ini pula kononnya laluan di jambatan tersebut terus menjadi laluan lumba motosikal. Benar atau tidak tidaklah dapat dipastikan tetapi dari bukti-bukti yang ada dan dari percakapan para pemancing yang saering pergi ke situ, semua itu boleh dipercayai.



Baru-baru ini sekumpulan teman-teman dari KL datang dan mengajak kami melawat jambatan tersebut kononnya nampak sangat cantik di dalam foto yang mereka terima. Kami pergi ke situ dan sesudah puyas mencari dan bertanya, terasa sangat terperanjat melihat keadaan kawasan tersebut. Ianya jauh berubah dari ketika mula-mula dahulu. Tidak ada lagi jalan masuk yang cantik tambahan lagi pembinaan jalanraya sedang dilakukan dari kawasan Dulang Kecil ke tepi laut berhampiran jambatan tersebut.


Kiri dan kanan jalan memasuki jambatan tersebut penuh dengan semak-samun dana jalannya tidak terurus dengan tanah dan batu yang hanya boleh dilalui motosikala dan pejalan kaki. Hanyalah pokok petai belalang memenuhi pemandangan kami di dalam perjalanan memasuki kawasan jambatan. Kawan-kawan yang bersama kami geleng kepala tidak percaya dengan apa yang dilihat. Sungguh indah kabar dari rupa.


Alangkah ruginya. Kalaulah kawasan ini dijaga dengan baik, tentunya ia bakal menjadi satu kawasan pelancongan yang indah. Habis berjuta membina jambatan tetapi tidak ada pengawasan. Akhirnya tempat pelancongan secantik ini menjadi sarang penagih dan kawasan memancing sahaja.

Saturday, November 25, 2017

NASI SUDAH MENJADI BUBUR

Akhirnya dengan rasmi Kedah terkeluar dari peluang bermain dalam Liga AFC, satu liga yang menjadi idaman setiap pasukan Liga Malaysia. Apa boleh buat, inilah yang dikatakan nasib dan bukan rezeki. Walaupun sudah layak, tetapi akibat beberapa kecuaian dan sikap tidak apa saja, pasukan Helang Merah menerima nasib malang ini. Pemain sudah bersusah payah dan bergelut di dalam padang mencipta kejayaan, para pegawai yang di luar padang buat kerja sambil lewa sehingga member impak yang sungguh malang. Akhirnya nasi Sudah Menjadi Bubur.

Apapun, kita harus terima kenyataan dan hakikat bahawa kali ini bukan rezeki. Biar macam manapun protes diajukan, semuanya tidak akan mengubah keputusan yang tempat Helang Merah digantikan dengan pasukan Pahang. Kita harus terima dengan hati terbuka di samping mengakui kesilapan dan berharap ia tidak berulang lagi di masa akan datang.

Penulis tidak merasa heran dengan nasib yang menimpa pasukan ini kerana sudah lama tahu dan sudah beberapa kali menyuarakan bahawa apabila pasukan dan persatuan diteraajui oleh orang politik, inilahj jadinya. Orang politik manalah ada masa hendak melihat soal pentadbiran persatuan dan pasukan kerana sibuk memanjang. Hendak berpolitik satu hal, hendak menjaga kawasan yang dimenangi juga satru hal yang lain. Lagi pula banyak masa dihabiskan untuk membina keyakinan pucuk pimpinan agar dipilih lagi sekali menjadi calon dalam PRU akan datang.

Oleh kerana itu, pentadbiran persatuan dan pengurusan pasukan banyak dilepaskan kepada orang lain dan harap-harap orang yang diberi tugas itu tidak leka dan cuai. Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri mana ada masa untuk melihat semua ini yang bagi mereka terlalu remeh. Politik lebih penting kerana ada masa depan yang bagus.

Tanyalah Dato’ Aminuddin berapa kali dalam sebulan beliau melihat pejabat KFA? Tanyalah Datuk Othman Aziz berapa kali dia datang ke KFA dan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengadil yang dikepalainya? Seingat saya selama dua tahun (2015 dan 2016) saya berada di dalam Jawatankuasa itu, sekalipun Datuk Othman tidak hadir dan semuanya dikendalikan oleh timbalannya iaitu Encik Khamal Idris Ali. Malah rupa dan nama AJK pun tidak diketahuinya.

Dan Dato’ Setiausaha Kehormat pula sekalipun tidak hadir dan tidak pernah menghantar wakil untuk memantau setiap mesyuarat Jawatankuasa sehinggakan beliau tidak tahu langsung apa yang berlaku dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut. Yang beliau tahu hanyalah menurunkan tandatangan bagi ‘memecat’ beberapa AJK yang disingkirkan tanpa sebab yang kukuh. Beliau tidak pernah bertanya tentang butir-butir mesyuarat serta mengambil tahu tetang minit-minit mesyuarat yang secara jelas tidak pernah ada.

Datuk Seri Presiden pula lebih lagilah tidak tahu apa-apa. Beliau hanyalah mendapat kabar dari para pembantu yang hanya pandai mengambil kesempatan. Segala laporan yang disampaikan mestilah menampakkan “A’ sahaja dalam semua hal. Tapi yang sebenarnya pembantu-pembantu ini hanyalah membawa rebah.

Jadi ubahlah sikap. Laksanakanlah tanggungjawab atau lakukan seperti MB Selangor lakukan, lepaskan jawatan untuk orang lain yang ada masa dan wibawa. Dengan itu nanti barulah kesedaran timbul untuk diambil iktibar dan pasukan boleh dilayan sebagai sepatutnya.


Hingga itu, adios, Helang Merah!

Wednesday, October 18, 2017

NASIB PENGADIL BOLASEPAK NEGERI KEDAH


Jika diteliti dan diamati, nasib para pengadil bolasepak negeri Kedah sangat berbeza jika dibandingkan dengan para pengadil bolasepak negeri lain terutama Perak, Kelantan, Terangganu dan Johor. Kedah mungkin antara negeri tercorot dalam bidang berkenaan akibat tiada perancangan yang munasabah dan dapat diterima semua pihak.

Segala-galanya terletak di bahu KFA, persatuan yang bertanggungjawab tentang bolasepak di Kedah. Dan KFA haruslah tidak tertumpu hanya kepada pembanguan bolasepak semata-mata tetapi harus juga melihat bersama pembangunan bidang pengadilan. Jika boleh biar membangun seiring dan segagah mungkin. Jangan biarkan kita gah dalam permainan tetapi tercorot dalam bidang pengadilan.

KFA jangan tersilap percaturan dan hendaklah peka terhadap beberapa implikasi yang mungkin terpaksa dihadapi andainya tersilap menyerahkan tugas kepada orang-orang yang hanya bijak mengambil kesempatan. Pihak pengurusan mestilah bijak menilai dan tidak hanya beranggapan orang yang hampir dengan kita adalah orang yang boleh menyumbang.

Silapnya KFA adalah keputusan melantik PPP yang ada sekarang yang dipilih berdasarkan individu tersebut adalah kenalan rapat Datuk Seri Presiden dan Dato' Setiausdaha Kehormat KFA. Status begitu belum boleh menjamin bahawa akan wujud persekitaran yang baik. status sebagai kawan baik tidak boleh dipakai dalam zaman seperti sekarang. Nanti segala kesan buruk akan berbalik kepada Datuk Seri dan Dato' berdua.

PPP yang pihak pengurusan KFA lantik dilihat hanya mempunyai MISI tetapi tiada VISI. Individu tersebut sentiasa mencari jalan melaksanakan visinya iaitu menyingkirkan siapa sahaja yang beliau rasa boleh mencabar kebolehan beliau dan orang yang berpengetahuan lebih daripada beliau. Orang ini sanggup lakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita agar dia seorang sahaja yang 'pandai' di KFA sementara orang lain harus mendengar cakap beliau sahaja. Siapa sahaja yang bersuara lebih dari beliau, harus disingkirkan.

Langkah pertama beliau adalah harus menyingkirkan Ahmad Khalidi Suphian, bekas pengadil FIFA dasri negeri Kedah Beliau tahu jika Ahmad Khalidi masih di KFA, langkah beliau akan sumbang kerana Ahmad Khalidi tahu lebih dari beliau dan sudah pasti tidak dapat dicucuk hidungnya. Lalu berliau menggunakan kesilapan teknik tentang tugasan yang dijalankan Khalidi dan orang-orang di bawahnya sebagai senjata. Dan dalam masa beberapa bulan sahaja selepas menjawat PPP, beliau berjaya menyingkirkan 'Ahmad Khalidi and the gang'.

Selepas Khalidi tersingkir dan mencari haluan yang lain, ada lagi dua orang yang boleh mencabar kedudukan beliau kerana dua orang ini lebih senior dan lebih dahulu mewarnai kegemilangan pengadilan di Kedah dan kebangsaan. Dua orang itu adalah saya sendiri serta Mohd Dahri Rejab yang beliau nampak kurang menuruti cakap dan arahan beliau. Dan bagi PPP ini, saya dan Dahri mesti disingkirkan dengan apa cara sekalipun.

Tetapi hendak buang begitu sahaja tentulah pelik. Lalu beliau gunakan pengaruh pihak pengurusan yang tentu tidak syak apa-apa kerana sudah sekian lama dikenali dan menjadi kenalan rapat. PPP yang pendendam ini menggunakan pengaruh Dato' Setiausaha Kehormat, Dato Aminuddin Omar dan Datuk Seri Ahmad Bashah, Presiden KFA  sendiri untuk melaksanakan misi beliau ini.

Lalu dicadangkan kepada Dato' Aminuddin untuk menyenaraikan semula AJK Pengadil yang baru dengan membuang dua nama iaitu nama saya sendiri dan Dahri. Dan Setiausaha Kehormat KFA yang sudah seperti dicucuk hidung itu terus bersetuju dan menandatangani surat perlantikan baru tersebut. Lalu selepas itu saya dan Mohd Dahri dengan sendirinya terkeluar dari senarai AJK sedangkan jika menurut perlantikan kami pada 2015 itu sepatutnya tamat pada 2018.

Dan selepas itu dilihat beberapa tindakan bodoh dilakukan PPP dan tiada siapa menghalang beliau kerana yang tinggal hanya yang menurut semua cakap beliau. Jadi bila bekas pengadil Kelas 3 dilantik menjadi RA tiada orang yang peduli.

Akhirnya KFA ketandusan pengadil kebangsaan kerana tiada perancangan dan kursus serta taklimat yang munasabah diberikan. Bayangkan selama setahun pada 2016 tiada sekalipun bermesyuarat ditambah pula dengan Pengerusi Datuk Othman Aziz dan Timbalan Pengerusi En Khamal Idris Ali yang memang tidak tahu langsung kerenah pengadilan ini. Main percaya sahaja.

Saturday, August 26, 2017

HADIAH 60 TAHUN MERDEKA



Pantai Murni adalah sebuah tempat terpencil di negeri Kedah yang menjadi kawasan laluan dari Alor Setar ke Sungai Petani andainya kita memilih jalan tepi laut dari Kuala Kedah. Biasanya ia menjadi tempat tumpuan muda mudi Melayu yang dahagakan suasana santai dan berhibur terutama di hari-hari cuti. Lantaran itu kawasan Pantai Murni ini penuh sesak dengan anak-anak muda terutama pada waktu petang membawa ke malam.

Pada asalnya pantai ini bukanlah sebuah pantai yang menarik dan cantik. Ianya berlumpur dan tiada kawasan berair yang boleh orang mandi-manda atau berekreasi. Ianya hanyalah satu tempat tumpuan akibat tiada tempat lain yang lebih menarik di daerah Yan, Kedah ini.


Jadi langkah kerajaan negeri menambahbaik kawasan perkelahan ini (kalaulah hendak dipanggil begitu), adalah satu langkah yang baik. Dan kesediaan kerajaan negeri menghabiskan 2.63 juta ringgit adalah jauh lebih dari memadai dan kita sangat berterimakasih. Malah rata-rata dalam kalangan masyarakat tempatan sangat menyanjung tinggi usaha tersebut.

Persoalannya sekarang penambahbaikan itu untuk siapa sehingga mengadaikan terus bahasa kebangsaan? Tidak ada langsung penggunaan bahasa Melayu di kawasan tersebut. Berapa orangkah orang luar yang datang menjengah tempat itu dalam setahun? Rata-rata pengunjungnya adalah 99% orang Melayu dan penduduknya juga 99.5% adalah Melayu. Jadi penggunaan bahasa Inggeris itu untuk siapa sebenarnya? WATERFRONT ini untuk siapa sebenarnya?


Dalam usaha kita mahu memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa dunia dan bahasa ilmu di negara tercinta ini sesudah 60 tahun merdeka, kerajaan negeri Kedah mengambil langkah berundur ke belakang. Apa masalahnya jika digunakan bahasa kita sendiri? Sehinggakan tempat kanak-kanak bermain pun kita namakan "PLAYGROUND". Untuk kanak-kanak manakah kawasan permainan ini?


Hendak makan kita ada 'FOOD COURT'. Untuk siapa? Inilah hadiah kerajaan untuk kita sempena 60 tahun merdeka. Apa lagi yang dapat dikatakan selain bersyukur kerana mujurlah hanya bahasa sahaja yang tergadai bukannya bangsa.


Saturday, August 12, 2017

PEMIMPIN BAK KETAM, MANALAH BETUL JALANNYA


Foto di atas adalah pemandangan dalam pejabat KFA ketika pasukan Hijau-Kuning menjadi juara 3 dalam Liga Malaysia suatu ketika dahulu. Pada waktu itu saya kerap berada di pehabat KFA atas beberapa sebab yang tidak perlu saya terangkan lagi kerana pada waktu tersebut saya merupakan salah seorang Ahli Majlis KFA dan juga salah seorang AJK Pengadil. Walaupun pada ketika itu bolasepak negara khasnya di Kedah belum profesional sepenuhnya, kita dapat menjalankan tugas dengan baik dan memberi impak yang memuaskan kepada bolasepak Kedah.

Hari ini bolasepak telah memasuki era pro sepenuhnya dan mereka yang terlibat dibayar gaji oleh persatuan-persatuan bolasepak negeri atau kelab. Begitu juga para pegawainya juga adalah dipercayai menjalankan tugas secara pro juga. Walau bagaimanapun masih terdapat para pegawai yang tidak bertugas sepenuh masa di KFA, lebih-lebih lagi yang menduduki kerusi Exco dan yang lebih atas. Mereka ini terdiri dari individu dalam kalangan ahli politik dan ahli perniagaan sudah tentu mereka tidak makan gaji dengan KFA.

KFA sekarang bukan seperti dahulu lagi. Selain dibanjiri dengan pegawai-pegawai dalam kalangan orang politik, ada juga antara mereka dalam kalangan yang berkepentingan dan mahu mengambil kesempatan tetapi tidak tahu bertindak. Ini menjadikan persatuan bolasepak menjadi satu gelanggang orang-orang yang mahu tunjuk hebat.

Beberapa contoh boleh dijadikan alasan mengapa dikatakan begitu. Lihat sahaja Jawatankuasa Pengadil KFA. Pengerusinya Datuk Othman Aziz. Sepanjang saya berada dalam jawatankuasa tersebut sejak 2015 beliau tidak pernah hadir bermesyuarat. Nama saja pengerusi, semua dikendalikan Timbalannya Khamal Idris Ali. Dan khamal pula hanyalah mengendalikan mesyuarat tetapi tiada kata pemutus yang boleh dibuat.

Individu yang paling berkuasa dalam Jawatankuasa Pengadil KFA adalah Pegawai Pembangunan Pengadil dan beliau yang boleh memberi kata putus dalam serba serbi mengenai pengadilan di Kedah. Hitam katanya, hitamlah. Putih katanya, putihlah. Khamal yang jadi Timbalan Pengerusi juga berada di bawah dan mengikut telunjuknya. Biasanya Jawatankuasa Pengadil dan PPP adalah dua entiti yang berlainan.

JK merancang dan menyusun program pangadilan manakala PPP adalah entiti yang berada di samping JK yang menerima arahan dan memberi perancangan pembangunan untuk diluluskan JK. Tetapai apa yangberlaku di KFA adalah sebaliknya. Jika PPP keluar kawasan atau sibuk dan sebagainya, Timbalan Pengerusi tidak beranai mengadakan perjumpaan ataupun mesyuarat. Itulah yang menyebabakan sepanjang tahun 2016 langsung tidak ada mesyuarat jawatankuasa. Pengerusi memang seperti biasa, tidak pernah hadir.

Setiausaha Kehormat pula, oleh kerana dia juga orang politik dan menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri, sibuknya tentulah lebih. Dan dalam bidang pentadbiran dan pengadilan ini diserqh bulat-bulat kepada orang kepercayaannya. Itulah yang terjadi dalam Jawatankuasa Pengadil KFA ini. Oleh kerana PPP adalah kawan baiknya dan menjadi orang harapannya, semua yang PPP ini laporkan terus dipercayai dan tak perlu disiasat lagi. Padahal dia tidak sedar dia dipergunakan.

Itulah padahnya jika kita terlalu mempercayai orang. Ibarat ketam, dia ajalan tidak betul, kemudian mahu orang lain berjalan betul.

Tuesday, July 25, 2017

INDAH KABAR DARI RUPA


Membaca akhbar semalam, suatu bentuk keyakinan terhadap FAM mungkin boleh menjadi kenyataan andainya bukan INDAH KABAR DARI RUPA. Apa tidaknya, andainya benar seperti dikata, sudah tentu surat saya kepada Presiden FAM sudah diambil tindakan. Walaupun saya bukan seorang ahli politik, juga bukan dalam kalangan putera raja atau orang ternama, tetapi saya pasti adalah dalam kalangan rakyat yang cintakan sukan bolasepak dan juga insan yang mengambil berat terhadap perkembangan bolasepak tanah air khasnya dalam bidang pengadilan yang sekarang ini banyak dipertikaikan.

Ternyata selepas berbulan surat tersebut dikirimkan, rasanya ia belum dibuka ataupun jika dibuka ia tidak dibaca ataupun jika dibaca, ia tidak penting kerana datangnya dari rakyat biasa dan hanyalah 'ikan bilis' dalam bidang pengadilan bolasepak di Malaysia. Orang tidak tahu, malah kalau tahupun, orang sudah lupa semua jasa dan bakti yang telah insan kerdil ini sumbangkan dalam bidang pengadilan dan bolasepak di negeri Kedah ini. Malah jika diimbas, tokoh-tokoh pengadil dan juga 'guru-guru' pengadil yang masih aktif di Kedah dan sebahagiannya di FAM adalah 'hasiltangan' manusia kerdil inilah.

Tanyalah Tuan Haji Subkhiddin Salleh, tanyalah Tuan Ahmad Khalidi Suphian, tanyalah Tuan Rosmahadi Hashim di Kedah dan kebanyakan Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA siapa yang memberi ilmu dan juga semangat ketika mereka baru mengenali 'PENGADIL' ketika mula berjinak-jinak dengan baju hitam mereka. Tanyalah orang-orang lama di KFA, siapa yang mencalonkan Tuan Zaber untuk dibawa menduduki peperiksaan Pengadil Kebangsaan di Kelana Jaya suatu ketika dahulu.

Tuan Subkhiddin pernah 'lempar baju' tanda kecewa beliau kerana gagal mengadili perlawanan dengan baik di padang UUM suatu ketika dahulu. Dia mungkin lupa siapa yang MEMUJUK dan memberi semangat kepada beliau untuk terus mengambil semula baju hitamnya pada petang tersebut. Manusia yang dianggap kerdil inilah yang terus tidak jemu memberi semangat untuk terus bergiat sehingga beliau boleh mencapat tahap yang ada sekarang. Manusia kerdil inilha juga yang berkelana ke setiap daerah di Kedah ini merencana dan memberi kursus bagi mencungkil bakat-bakal baru dalam bidang pengadilan.

Jadi adakah saya 'manusia kerdil' dalam kalangan para pengadil yang ada sekarang? Layakkah manusia kerdil ini dibuang dan dilemparkan begitu saja tanpa mengira maruah dan harga dirinya?

Berbalik kepada surat saya kepada TMJ atau Presiden FAM, saya tulis atas kesedaran bahawa baginda sahaja yang dapat memberi keadilan kepada situasi yang melanda Jawatankuasa Pengadil KFA ketika saya amasih lagi berada dalam senarai AJKnya. baginda sahaja yang boleh bertindak dengan adil melalui kata-kata yang sangat bersemangat. Dan sebagai insan yang teraniaya dengan kemelut yang melanda Jawatankuasa Pengadil KFA, saya memberanikan diri menulis kerana tiada apa-apa tindakan dari pihak lain yang telah saya adukan.

Rupa-rupanya semua itu Indah Kabar Dari Rupa belaka. baginda juga sama seperti orang lain, bercakap berdegar-degar tetapi tiada apa yang memberi makna. Umpama meriam buluh, bunyi sahaja kuat tetapi angin sahaja yang keluar. Surat saya itu belum juga berjawab. Siasatan mungkin tidak perlu lagi kerana yang penting biar rakyat melihat yang baik-baik sahaja. Yang buruk usah didedahkan kerana akibatnya merana badan.

Dan kami yang teraniaya biar terus dianaiaya. Orang yang membuat aduan dikenakan tindakan tewtapi orang yang kena adu terus-terusan dengan sikap sombong dan angkuhnya. jadi tidak hairanlah orang seperti Dollah salleh pun di kenakan tindakan. Jadi kami yang teraaniaya biar terusa teraniaya.

Akhirnya mutu pengadilan terus menjadi polemik dalam sukan tanahair kerana masing-masing pegawai adalah orang politik dan sentiasa bermain politik!

Saturday, June 24, 2017

RAMADAN 2015: KENANGAN TERINDAH



Hari ini, Sabtu 24 Jun 2017 adalah hari terakhir Ramadan untuk tahun ini. Esok umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan menyambut Idilfitri, hari raya yang tentunya meriah dan bakal memberi kenangan indah dan meriah. Sudah tentu bulan Ramadan, bulan puasa ini bakal meninggalkan banyak kenangan.

Dan saya teringat Ramadan 2015 yang meninggalkan kenangan indah dan mendalam dalam hidup ini. Pada Ramadan itulah kami mengunjungi kota suci Mekah dan Madinah ketika menunaikan ibadat Umrah. Rupanya Umrah dalam bulan puasa memberi impak yang amat mendalam dan meniggalkan kenangan yang amat indah.

Teringat suasana meriah bertarawih di Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid Al-Haram di kota Mekah. Betapa kami bersama ribuan umat Islam serata dunia berada dalam saf berhadapan Kaabah yang indah. Setiap kali mengimbau kenangan itu juga teringat saya pada teman-teman yang bersama-sama berulang-alik mengerjakan Sai antara bukit Safa dan bukit Marwah.

Dan dalam mengimbau kenangan itu tentu sekali tidak lupa pada dua orang anak muda yang menjadi teman sekamar ketika di Tanah Suci. Sudah tentu wajah Uzir dan Zaki sentiasa bermain di fikiran. Dua anak muda yang masih solo ini berupaya berada di Tanah Suci di awal usia sedangkan kita hanya sesudah lanjut usia baru dapat menjejeakkan kaki ti tempat suci itu.

Krtika anak muda lain begitu sibuk mencari kepausan diri, mereka berdua terbuka hati untuk berada di Tanah Haram untuk beribadat ketika masih banyak kudrat. Kita sendiri hanya ketika sudah lanjut usia barulah dapat ke sana. Selepas menunaikan Haji pada tahun 2008, barulah dapat berada semula di Madinah dan Mekah pada tahun 2016. Bila teringatkan mereka dan pertolongan-pertolongan mereka berdua, terasa amat besar dan tidak terbalas.

Masih terbayang ketika berpuasa di Tanah Suci sama ada di Madinah atau Di Mekah, orang di sana berebut-rebut berbelanja memberi makanan kepada para jemaah. Sampai sahaja di masjid, duduklah di manapun, makanan pasti ada untuk berbuka puasa. Malah ketika di Masjid Nabawi, mereka sanggup mengiringi kita persis VIP untuk ke tempat hidangan berbuka yang mereka sediakan. Ini tidak termasuk lagi bahan makanan dan wang yang kita terima di sepanjang jalan ke masjid untuk berbuka.

Pendek kata, menjalankan ibadat umrah ketika bulan Ramadan amat menjimatkan. Kita kurang berbelanja kerana makanan disediakan secukupnya. Masa tidak terbuang untuk mencari makanan. Duit tidak terbuang untuk membeli makanan. Pergi saja ke masjid, makanan tersedia untuk kita berbuka.

Dan kini amalan memberi makan untuk berbuka sedang diamalkan di negara kita. Pergilah ke mana-mana masjid di bulan Ramadan ini, juadah berbuka pasti ada.

Alhamdulillah! Esok raya!

Thursday, May 4, 2017

MANUSIA TERHEBAT ABAD INI


1. Siapa menyangka, dalam terang dan panas mentari, tiba-tiba awan hitam gelap menyelubungi hari. Lalu dengan derasnya hujan turun membasahi bumi dan hati. Dan akhirnya kami disisihkan dari perkongsian ilmu meningkatkan martabat kepengadilan bolasepak di negeri Jelapang Padi ini. Sudahlah tiada seorang pun yang berpotensi untuk diketengahkan, tiba-tiba kami yang merangka beberapa siri menyebarkan ilmu dan minat di beberapa daerah disingkirkan begitu sahaja tanpa diketahui sebab dan puncanya.

2. Begitulah lebih kurang situasi yang melanda kami, beberapa orang AJK Pengadil Bolasepak KFA. Tanpa sebab yang jelas kecuali beberapa kabar angin bahawa puncanya kerana kami sering mempertikaikan Peranan Pegawai Pembangunan Pengadil yang KFA lantik untuk merangka program pembangunan dan peningkatan para pengadil yang berdaftar dengan FAM dan KFA. Mungkin kerana itulah kami akhirnya disingkirkan begitu sahaja walaupun dari segi peraturan mereka tidak bolehg berbuat demikian kerana tempoh perlantikan adalah sehingga 2018.

3. Rupanya PPP atau Pegawai Pembangunan Pengadil KFA adalah manusia terhebat abad ini. Tiada siapa boleh mewnggugat beliau dan mempertikaikan apa sahaja yang dilakukannya. Mempersoalkan tugas beliau seolah-olah kita mencari penyakit. Dan tunggulah sampai waktunya kita dibuang dari tugas yang diamanahkan itu.

4. Pada 17 Januari 2017 saya telah menghantar sepucuk surat rasmi kepada YB Dato Aminuddin Omar, Setiausaha Kehormat KFA mempersoalkan kedudukan Jawatankuasa Pengadil KFA yang langsung tidak bermesyuarat sepanjang tahun 2016. Jika setahun jawatankuasa tidak bermesyuarat, bagaimanakah program dijalankan dan yang penting juga bagaimanakah peruntukan dipohon dan dikeluarkan. Itu adalah antara soalan saya kepada Setiausaha Kehormat KFA dalam surat tersebut.

5. Malangnya surat tersebut yang salinannya saya hantar juga kepada Presiden KFA, Jabatan Pengadil FAM serta Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA, Datuk Othman Aziz langsung tidak berjawab. Akhirnya pada hujung Februari 2017 saya mendapat surat ucapan terima kasih dan penghargaan kerana telah memberi sumbangan sebagai Ahli jawatankuasa Pengadil KFA dan tugas tersebut ditamatkan mulai tarikh 22 Fwbruari 2017. Saya faham bahawa dengak kata lain saya digugurkan dari menganngotai jawatankuasa tersebut.

6. Persoalannya, surat saya bertarikh 17 Januari 2017 tidak berjawab tetapi Setiausaha Kehormat boleh pula mengeluarkan surat penamatan tugas itu selepas itu. Jadi saya sebagai insan biasa ingin juga mengetahui sebab-sebab pengguguran saya itu. Lalu selepas itu saya tulis sepucuk surat lagi kepada YB Dato Aminuddin bagi mendapat penjelasan tentang sebab-sebab pengguguran saya dari jawatanakuasa tersebut. Seperti biasa salainan-salinan saya buat juga untuk Presiden KFA, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, jabatan Pengadil FAM. Malangnya tiada suatu pun jawapan yang saya terima.


7. Lalu saya membuat kesimpulan bahawa PPP KFA ini manusia terhebat abad ini kerana siapapun tidak berupaya mempertikaikan apa sahaja yang dibuatnya. Beliau sangat kebal dan berpengaruh sehingga tiada orang yang boleh mengatasi beliau. Akhirnya barulah diketahui bahawa Presiden dan SU Kehormat adalah teman baik beliau sejak dahulu lagi dan beliau pernah menyatakan bahawa buat masa ini siapapun tidak boleh berbuat apa-apa kepadanya.

Itulah manusia terhebat abad ini. Tetapi buku akan tetap bertemu ruas. akan riba masanya nanti. Waktu itu tahulah nanti langit tinggi rendah.

Wednesday, May 3, 2017

PENGAKHIRAN KALIMAH


Segala-galanya sudah berakhir
Si Luncai terus-terusan juga terjun dengan labu-labunya
enggang tetap bersama enggang
pipit tentu terasing juga
tempua tidak pernah bersarang rendah
dan enau dalam belukar tetap berasingan
melepaskan pucuk masing-masing.

Ibarat manusia juga, tidak pernah sehati sejiwa
kekadang tidur sebantal tapi mimpi tetap lain-lain
ibarat kaduk naik junjung,
semakin lama semakin tinggi junjungnya
dan rerumput di bawahnya terus layu dan mati
terlindung cahaya mentari.

Segala-galanya sudah berakhir
nasi sudah menjadi bubur
kemarau tidak datang tetapi perigi bocor entah di mana
Kontang tidak berair juga.  

Kapal sudah hilang nakhoda
kata-kata semangat hanyalah usikan dan bahan ketawa.
tiada lagi membujur lalu melintang patah
mana ada lagi mimpi indah.


030417

Thursday, April 6, 2017

ANTARA FAM DAN KFA: DI MANA BEZANYA?

Minggu lepas kita dikejutkan dengan langkah drastik TMJ selaku Presiden FAM memecat 20 staf persatuan bolasepak itu sebagai langkah berjimat dan mengurangkan kos pentadbiran yang jangkaannya melangkau jutaan ringgit. Ramai orang marah-marah dan merungut dengan alasan tindakan tersebut terlalu cepat dan menganiaya individu-individu terlibat. Namun Tengku Ismail mempunyai alasan konkrit bahawa tindakan baginda adalah atas kapasiti sebagai presiden yang dipilih dan berharap perwakilan memahami situasi kewangnan yang sebelum ini tidak siapa yang terfikirkan

Tahniah diucapkan kepada YM Tengku Mahkota Johor itu yang mengambil satu tindakan dan pendekatan berani demi mengembalikan kegemilangan FAM.

Hal ini berbeza dengan Persatuan Bolasepak Kedah atau KFA. Persatuan bolasepak negeri Jelapang Padi itu takut berbuat demikian kerana beberapa alasan. Alasan yang paling ketara adalah kerana masing-masing yang berjawatan di persatuan itu adalah orang-orang politik. Mereka tidak mempunyai masa untuk menjalankan tugas persatuan kerana sibuk dengan jadual politik masing-masing. Lalu KFA terpaksa menghabiskan puluhan ribu ringgit setiap bulan menggaji staf khas untuk tugas-tugas yang sepatutnya dijalankan oleh mereka.

Malah KFA juga tetap mengekalkkan barisan staf ini biarpun ada bebrapa aduan dan laporan tentang salah tadbir dan salah urus bidang masing-masing. KFA bukannya memecat staf yang ternyata tidak berfungsi dengan betul tetapi sebaliknya memecat Ahli Jawatankuasa yang mendedahkan perkara tersebut seolah-olah pengadu yang bersalah, bukannya staf yang dilantik itu. Baru-baru ini KFA memecat dua orang Ahli Jawatankuasa Pengadilnya kerana melaporkan rasa tidak puas hati terhadap salah urus tugas Pegawai Pembangunan Pengadil mereka tanpa membuat sebarang siasatan.


Itulah perbezaan ketara antara FAM dan KFA.

Monday, February 13, 2017

KFA YANG AKU TINGGALKAN



KFA: Sebuah nama yang begitu gah dan perkasa di utara khasnya di negeri Kedah Darul Aman. Siapa yang tidak kenal dengan KFA atau Persatuan Bolasepak Kedah yang begitu ternama dan mempunyai nama-nama pemain bolasepak yang hebat. Siapa yang lupa kepada nama-nama besdar bolasepak tanahair seperti Ahmad Sobri Ismail, Radzi Mat Din, Norazam Ishak dan juga Azmi Mahmud. Semua orang masih ingat kepada Khamal Idrtis Ali, Mohamad Ramli dan ramai lagi termasuk Lee Kin Hong.

Nama-nama ini mewarnai pasukan Hijau Kuning yang diterajui Allahyarham Dato' Ahmad Basri Akil dan orang masih ingat jurulatih yang menaikkan Kedah di persada bolasepak negara iaitu Dato' Ahmad Shafie. Malah nama-nama besar ini masih bergiat dan memegang beberapa jawatan penting dalam pengurusan KFA sehingga kini kecuali Dato' Ahmad Basri.

Itu adalah sekadar mengembalikan nostalgia dan ingatan kerana secara diam-diam aku juga 'ada' bersama watak-watak ini di KFA ketika era pasukan Hijau Kuning baru hendak membangun. Tetapi penglibatan kami hanyalah di belakang tabir kerana orang tidak memfokus secara total kepada golongan seperti aku dan temana-teman lain kerana kami hanyalah PENGADIL. Siapalah yang mahu ambil berat sangat tentang manusia berbaju hitam ini kecuali jika berlaku insiden buruk di dalam padang, waktu itulah baru nama pengadil disebut-sebut, itupun secara sindiran dan negatif.

Namun begitu sempat juga aku bergelumang di kancah bolasepak KFA bermula tahun 1986 dengan menduduki peperiksaan FAM untuk menjadi pengadil kebangsaan dan lulus serta dilantik dengan rtasmi sebagai Pengadil Kebangsaan pada tahun 1987. setelah itu dilantik menduduki barisan Ahli Majlis KFA dan juga Ahli Jawatankuasa Pengadil bersama lagenda pengadil Kedah iaitu Allahyarham Haji Khalid Ariffin, Allahyarham Hamzah Mohammad dan beberapa orang yang lain yang masih ada sekarang ini seperti Haji Md Isa Abu Seman dan Anowar Morad terapi telah menyepi sekian lama.

Lalu kirta-kira tahun 2005 aku meninggalkan semua jawatan tersebut kerana beberapa sebab termasuk sebab peribadi dan juga atas sebab tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang berlaku di KFA sendiri. semua sebab musabab itu biarlah menjadi kenangan di dalam album hidupku sendiri.

Sekarang sekali lagi aku meninggalkan KFA setelah hanya dua tahun berada dalam senarai Jawatankuasa Pengadil. Tapi kali ini bukan pilihan sendiri tetapi aku diSINGKIRkan. Keras bunyi perkataan itu tetapi itulah hakikatnya. namun aku tetap berterimakasih disingkirkan begitu daripada duduk dalah KFA menganngung malu, malu dengan sistem politik di persatuan tersebut. lantas aku membuat kesimpulan bahawa orang politik memang tidak sesuai menguruskan persatuan tetapi mereka tetap dilantik. Lantikan dibuat bukan kerana mereka pandai tetapi kerana kedudukan mereka  menjadi sumber mendapatkan DANA. itu sahaja.

Orang politik manalah ada masa menguruskan pentadbiran dan pasukan. Mereka sibuk dengan politik menjaga rakyat kawasan masing-masing. Lalu pengurusan persatuan bolasepak disertahkan kepada orang lain yang mereka lantik dan dibayar gaji. Setiap bulan KFA terpaksa berbelanja puluhan ribu untuk membayar gaji kepada pegawai-pegawai yang dilantik ini biarpun mereka yang dilantik ini bukanlah arif sangat tentang bolasepak.

Aku sendiri duduk di dalam Jawatankuasa Pengadil hanyalah pada namanya saja. Ramai bukan main, dekat sepuluh orang di dalam senartai Jawatankuasa itu tetapi yang bekerja hanyalah 'seorang' sahaja iaitu Pegawai Pembangunan Pengadil. PPP ini bertindak sendirian dalam semua perkara dam terus membelakangkan Jawatankuasa Pengadil. Ada aktiviti dan tugasan yang langsung tidak dimaklumkan kepada JK Pengadil sehinggakan kepadfa hal-hal yang memerlukan peruntukan wang ringgit. Namun ia direstui oleh Setiausaha Kehormat dan lain-lain. Sudahnya Jawatankuasa Pengadil tidak berfungsi apa-apa sehinggakan hampir dua tahun tidak pernaha bermesyuarat atau berjumpa untuk berbincang. Pengerusi Jawatankuasa Pengadil juga orang politik langsung tidak sekalipun hadir dalam mesyuarat pertingkat awal dahulu.

Jika dilihat dengan teliti, Jawatankuasa Pengadil dan Pegawai Pembangunan Pengadil adalha dua entiti yang berlainan. PPP ini diletakkan sebagai ahli jawatankuasa secara jemputan dan segala dasar dan program akan dicadangkan oleh PPP dan diputuskan oleh AJK. Tetapi hal yang sebaliknya berlaku di KFA. Jawatankuasa Pengadil diketepikan dan SU Kehormat hanya merujuk kepada PPP untuk semua aktiviti dan peruntukan. Bagaimana boleh seorang Setiausaha Kehormat sebuah persatuan sukan terkenal boleh menerimapakai semua 'cakap' PPP dan mengenepikan semua AJK? Itulaha yang berlaku sebenarnya.

Jika Jawatakuasa Pengadil tidak berfungsi, untuk apa ia ditubuhkan? Untuk apa aku dan beberapa orang lagi diletakkan dalam jawatankuasa tersebut? Untuk kepastian mengenai perkara ini aku menyalurkan pertanyaan demi pertanyaan dan kemuncaknya aku tulis surat kepada Setiausaha Kehormat KFA sendiri. Mungkin kerana terasa tercabar dengan surat tersebut yang aku kirim pada 28 Januari 2016, maka pada 17 Januari 2017 SU Kohormat KFA memberi surat penghargaan dan terima kasih kerana sudinya aku berada di dalam JK Pengadil selama ini dan itu adalah surat penyingkiran daripada menganggotai Jawatankuasa Pengadil tersebut. Tapi aku sedar bahawa SU itu tidak tahu apa-apaa sebenarnya dan surat ini telah disediakan oleh orang lain dan Dato" SU itu hanya tandatangan sahaja membuta tuli seperti dicucuk hidung.

Kerana itulah aku meninggalkan KFA buat kali kedua ini!

Jadi untuk berada di dalam struktur KFA, aku nasihatkan kepada semua, jangan bertanya apa-apa. Diam dan ikut sahaja. Jika bertanya akan disingkirkan.

Monday, January 30, 2017

APA SUDAH JADI DENGAN KFA?

Baru beberapa minggu yang lalu pasukan Helang Merah berjaya merampas Piala Sumbangsih dari tangan JDT. Tahniah diucapkan kepada barisan pemain dan pihak pengurusan pasukan yang memberi khidmat cemerlang dan meyakinkan mengekalkan momentum kemenangan dan kejayaan. Bukan mudah untuk sebuah pasukan yang baru setahun diangkat ke Liga Super boleh mengecap kejayaan gemilang begitu.

Namun kejayaan para pemain dan pasukan tidak berseri apabila berlaku kemelut dan kepincangan dalam bidang lain di dalam pentadbiran Persatuan Bolasepak Negeri Kedah (KFA) sehingga timbul tanda Tanya, “Apa Sudah Jadi Dengan KFA?”. Orang tidak tahu rupanya KFA adalah sebuah persatuan sukan yang tidak boleh ditegur dan ditolong-perbetulkan. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli jawatankuasa membuat sedikit teguran, orang tersebut menerima akibat buruk dan dimalukan. Orang itu akan terus disingkirkan daripada senarai mana-mana jawatankuasa.

Baru-baru ini ada seorang dua Ahli Jawatankuasa Pengadil KFA membuat sedikit teguran terhadap salah tadbir Jawatankuasa Pengadil iaitu tentang Pegawai Pembangunan Pengadil yang membelakangkan terus peranan Jawatankuasa Pengadil malah sering membuat keputusan sendiri dalam pengurusan pengadil di negeri Kedah. Pihak pengurusan KFA bukannya menyiasat pendedahan tersebut tetapi terus mengambil tindakan menggugurkan Ahli jawatankuasa yang membuat teguran. Mereka ditamatkan perkhidmatan dari Jawatankuasa Pengadil Negeri Kedah.

Sepatutnya sebagai sebuah badan sukan yang berintegriti, aduan dan laporan ini disiasat dan dikaji. Jika ianya salah dan tidak benar, penjelasan harus diberikan dan baru dikenakan tindakan. Apa akan berlaku jika aduan tersebut adalah benar dan betul?

Apa yang diadukan dan dilaporkan oleh AJK Pengadil ini ada juga benarnya. Bagaimana Pegawai Pembangunan Pengadil beroleh peruntukan dan boleh pula melakukan perkara-perkara di luar bidang tugasnya sedangkan sepanjang tahun 2016 sekalipun tidak diadakan mesyuarat jawatankuasa. Ada rungutan dari beberapa pengadil bahawa pihak Pegawai Pembangunan Pengadil telah melantik pengadil-pengadil yang tidak lulus ujian kecergasan 2015 dahulu. Ujian Kecergasan untuk 2016 langsung tidak diadakan. Jadi apa keriteria lantikan pengadil bertugas apabila ujian kecergasan tidak diadakan.


Hal-hal inilah yang ditegur dan dilaporkan. Jadi apa sudah jadi dengan KFA? Individu yang membuat laporan dan aduan disingkirkan begitu sahaja. Ini menggambarkan bahawa KFA adalah sebuah persatuan sukan yang tidak boleh diperbetulkan.