Menyaksikan perlawanan sukuakhir kedua antara PKNS menentang
Kedah di stadium Selayang malam tadi umpama menyaksikan satu persembahan teater
yang ramai pelakonnya. Atau umpama pertunjukan sarkas yang memaparkan betapa
jinaknya pemain-pemain sarkas tersebut. Itulah bolasepak di Malaysia dan sesuai
bila dikatakan ‘bola itu bulat’. Dan dengan keadaan bulat itu, sukar hendak
dijangkakan yang mana depan dan yang mana belakang serta yang mana pula
sisinya.
Perlawanan tersebut juga menyaksikan betapa matangnya para
pemain dan tenangnya seorang pengadil. Dalam
situasi seperti malam itu, andainya pengadil itu bukan manusia istimewa,
sudah pasti stadium tersebut berubah menjadi gelanggang silat dan sudah pasti
beliau dibawa keluar melalui pintu belakang atau pintu rahsia.
Begitulah sifat yang sepatutnya ada pada diri kita iaitu
tidak mudah dipengaruhi perasaan. Memang semua orang hendakkan kemenangan,
tetapi perasaan marah dan segala jenis tekanan diletak di tepi agar manusia
berbaju hitam itu dapat menjalankan peranannya dengan baik untuk tempoh yang
masih panjang. Syabas diberikan kepada para penonton dan penyokong. Dan syabas
juga harus diberikan kepada sang pengadil serta para pemain yang ternyata amat
penyabar dan tenang walaupun membuat keputusan yangh boleh dipertikaikan.
Peristiwa itu juga boleh dijadikan pengajaran kepada
organisasi bolasepak, pasukan-pasukan, para pemain dan tidak ketinggalan juga
para pegawai khasnya para pengadil bolasepak tak kira di mana sahaja.
Meraikan jaringan biarlah berpada. Usah sampai leka dan
membiarkan pasukan lawan harus menanti anda. Tidak payah berlari dan berpelukan
sehingga lupa bahawa permainan masih panjang dan berapa lama pasukan lawan
harus menanti anda.
Dan pengadil haruslah bertindak bukan sahaja mengikut
undang-undang permainan malah mesti ada satu lagi faktor dalaman iaitu
dinamakan ‘budi bicara’. Walaupun tindakan anda belum dipastikan betul dan mengikut peraturan,
tetapi hakikat kegembiraan membuat jaringan yang penting harus diambilkira. Sudah
tentu anda sudah dapat menjangkakan pihak penjaring gol akan meraikan jaringan
dan anda boleh mengarahkan mereka bersedia memulakan semula permainan. Peranan
pegawai keempat dan Penolong Pengadil 1 boleh membantu.
Apa yang dilakukan pengadil mungkin selaras dengan
Undang-undang 8 iaitu Permulaan dan Memulakan Semula Permainan. Perkara ini
dinamakan Sepak Mula yang boleh didifinisikan seperti berikut: Sepakmula adalah
suatu cara untuk permulaan atau memulakan semula permainan. Permulaan permainan
dan permulaan separuh masa kedua adalah terletak di bawah maksud memulakan
permainan manakalah memulakan selepas jaringan gol dipanggil memulakan semula
permaian. Selepas sesuatu pemberhentian tanpa kesalahan, permaian dimulakan
semula juga tetapi dengan jatuhan bola.
Setiap kali memulakan semula permainan, pemain mesti berada
dalam kawasan sendiri dan bola diletakkan di tengah-tengah tidak bergerak.
Pengadil mestilah member isyarat dan bola dikira dalam permaian sebaik sahaja
bergerak ke hadapan. Dan dalam Undang-undang 3 (Bilangan Pemain) ada
dinyatakan permainan tidak boleh
dimulakan sekiranya satu pasukan mempunyai kurang dari 7 pemain.
Apa yang berlaku malam itu, pemain pasukan Kedah mungkin cukup 7
orang di bahagian padangnya pada pandangan pengadil dan beberapa orang berada di luar padang sedang
asyik meraikan jaringan. Yang menjadi kontroversi adalah sebab pengadil tanpa
budi bicara memulakan semula permaianan tanpa menanti mereka masuk semula ke
padang seperti dalam perlawanan-perlawanan yang lain.
Walaupun pengadil bertindak betul dari segi itu, ia kelihatan pelik
sedikit. Tambahan pula inilah kali pertama kejadian seperti ini terjadi. Namun
pujian harus diberikan kepada pengadil malam itu kerana keberaniannya
meneruskan permainan dan kelihatan sentiasa tenang semasa membuat keputusan dan
hukuman selepas itu. Syabas!
Dan pasukan-pasukan lain ambillah ingatan bahawa segala
kemungkinan boleh berlaku. Hendak meraikan jaringan pun biarlah berpada.
Selebihnya ingatlah bahawa ‘bola itu bulat’.