Saturday, May 29, 2010

SENDUDUK UNGU

Spesis senduduk yang dipanggil Melastoma Malabathricum ini banyak dijumpai di kawasan-kawasan semak serta di tepi-tepi hutan. Kita boleh jumpai ia tumbuh liar di tepi-tepi pagar dan parit. Selalunya dibuang begitu sahaja kerana orang lebih tertumpu kepada Senduduk Putih yang dikatakan lebih berkhasiat.


(Senduduk tumbuh liar di tepi pagar)

Batang dan buahnya yang berwarna kemerahan dilitupi bulu-bulu kecil. Bunganya berwarna ungu kemerah-merahan mempunyai 5 kelopak seperti bunga senduduk putih juga. Dan Ia didapati sentiasa berbunga dan berbuah. Senduduk membiak secara semain biji benih.

Buah senduduk boleh dimakan tetapi agak masam sedikit. Warna kebiruan yang terhasil daripada buahnya selalunya dijadikan pewarna pada kain. Pucuknya pula boleh dijadikan ulam.


Kebiasaannya senduduk digunakan wanita lepas bersalin bagi mengembalikan kecergasan badan. Daunnya dicampur dengan daun mengkudu, daun serai wangi, pandan dan daun limau purut dimasukkan dalam air panas untuk dibuat air mandian bagi tujuan tersebut tadi.


Daun yang tua ditumbuk dan air tapisannya boleh diminum bagi menyembuhkan luka dalaman selepas bersalin. Selain dari itu daunya boleh juga diguna bagi merawat luka, terkena bisa serta boleh melegakan buasir dan cirit-birit.



Namun berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah terbaik.

Tuesday, May 25, 2010

POKOK DUKUNG ANAK

(Dukung Anak tumbuh di tepi dinding rumah)

Pokok Dukung Anak atau ‘Phillantus Niruri’ ini biasanya tumbuh di tepi-tepi longkang atau menumpang tumbuh di sisi pokok-pokok hiasan yang lain. Ia dianggap sebagai rumpai dan biasanya dibuang begitu sahaja kerana didapati mengganggu pertumbuhan pokok lain yang dikehendaki.



Pokok dukung anak berdaun kecil dan daunnya berselang-seli pada tangkai yang panjang kira-kira 15 sm. Ia mempunyai buah yang kecil berwarna merah dan hijau. Kerana itu kadang-kadang dipanggil pokok amin buah. Cara pembiakannya adalah melalui biji benih.



Keseluruhan pokok dukung anak mempunyai kegunaan dalam perubatan tradisional. Berbagai penyakit boleh dirawat dengannya seperti bronkaitis, kusta, anemia dan juga asma. Ada orang menggunakannya bagi merawat kelenjar kencing dan berak berdarah.


(Tumbuh di celah pokok hiasan yang lain)

Buahnya digunakan untuk merawat luka, kudis buta, kurap dan panau. Aakarnya yang masih segar berguna untuk raatan penyakit kuning pada bayi dan kanak-kanak.Bisa gigitan ular juga boleh dirawat dengan daunnya yang dilumatkan dan disapu pada tempat gigitan. Rawatan yang didapati sangat berjaya adalah rawatan hepatitis B.

Walau apapun, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah terbaik.



Thursday, May 20, 2010

TERUNG BELANDA



Terung yang berasal dari Afrika ini telah diberi berbagai-bagai nama, tetapi nama Terung Belanda sangat populer di negara ini. Setengah orang memanggilnya dengan panggilan Terung Asam. Di sesetengah tempat, ia disebut sebagai Terung Iban, Terung Pungar dan beberapa nama lain yang tidak begitu jelas.

(Bunga terung belanda)

Nama saintifiknya ialah Solanum Macrocarepon. Di Afrika terung ini dipanggil gboma, anthora dan antrua. Pokok ini boleh dibiakkan melalui bijinya dan ia mudah tumbuh di kawasan-kawasan yang lembab dan berair.


Pokok terung ini tumbuh liar. Kadang-kadang sengaja dibiarkan hidup di tepi-tepi longkang, dalam semak-semak atau di halaman rumah. Ia dibiarkan berbuah kerana buahnya sedap di makan sebagai ulam dan juga digunakan sebagai perencah dalam masakan. Biasanya dimasukkan ke dalam masakan gulai dan juga dalam air asam.

(Buah terung belanda yang masih muda)
Terung Belanda berbuah kecil sebesar ibu jari dan lebat di tangkainya. Ia hijau semasa muda dan apabila masak warnanya berubah menjadi kuning. Buah terung ini dibuat ulam semasa masih muda dengan direbus terlebih dahulu.


Buah terung asam ini dikatakan boleh digunakan untuk rawatan cacing kerawit. Namun begitu, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah yang terbaik.

Wednesday, May 19, 2010

POKOK NILAM



Pokok nilam adalah sejenis tumbuhan yang mempunyai aroma yang harum. Ia dikatakan berasal dari Filipina dan sejak turun temurun masyarakat di sana menggunakan daunnya yang hijau dan bunganya yang cantik sebagai bahan pembuatan kosmetik terutama minyak wangi.



Di negara beriklim panas, pokok ini amat susah mengeluarkan bunga sedangkan bunganya paling sesuai digunakan dalam pembuatan kosmetik.

Selain dari kegunaan yang disebutkan tadi, pokok nilam yang rendah berbatang lembut ini boleh juga digunakan untuk merawat batuk dan asma. Akarnya boleh dibuat losyen bagi penawar rhumatik.



Selain dari itu, daunnya boleh direbus dan air rebusannya diminum bagi melegakan sakit kepala.
Namun begitu, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah yang paling baik.

Wednesday, May 12, 2010

ULAM RAJA




Ulam Raja atau dipanggil ‘King salad’ biasanya ditanam sebagai tumbuhan hiasan dan juga ulaman oleh masyarakat Melayu. Bunganya yang kecil dan berwarena warni kelihatan cantik menjadi hiasan laman. Daun dan pucuknya terasa amat enak bila dimakan bersama sambal belacan.

Ada juga orang memanggil pokok ini sebagai ‘pokok intan berayun’ oleh kerana bunganya kelihatan seperti intan, berkilau bila bergoyang ditiup angina walaupun nama siantifiknya ialah ‘cosmos caudatus’. Pokok ini biasanya dibiarkan tumbuh renek dan sering diambil pucuknya dijadikan ulam, Tetapi ketinggiannya boleh mencecah sehingga 2 meter jika dibiarkan.

(Bunga ulam raja yang cantik)
Bunganya kelihatan amat cantik dan berwarna warni. Bijinya terkandung dalam bunga ini dan akan meletuskan benihnya apabila telah matang. Pembiakannya adalah secara biji benih.
Daun ulam raja kaya dengan kalsium dan vitamin A. Oleh kerana itu ia amat popular digunakan untuk menguatkan tulang selain untuk mencuci darah dari kandungan toksid. Daunnya boleh diekstrakkan sebagai klorofom bagi menmbantutkan sesetengah aktiviti bacteria dan juga pertumbuhan kulat dalam badan.

Walau apapun, ianya lebih mudah dijadikan ulam dan berjumpa serta meminta nasihat doktor adalah langkah yang terbaik.

Monday, May 10, 2010

KADUK



Kaduk adalah tumbuhan berbatang lembut yang tumbuh di atas tanah. Dalam peribahasa Melayu ada disebutkan 'seperti kaduk naik junjung' yang memberi satu situasi kalau kaduk naik junjung tentu sesuatu yang pelik berlaku kerana kaduk tak boleh memanjat untuk naik ke atas junjung. Nama saintifik untuk kaduk ialah 'piper sarmentosum roxb'.



Daun kaduk dipercayai boleh menghilangkan bau yang datang dari dalam badan. Ia dimakan sebagai ulam dan juga sebagai bahan sayuran yang enak. Kadang-kadang ia digunakan sebagai campuran semasa menggoreng nasi. Bau yang dating dari daun kaduk yang digoreng amat enak menusuk hidung. Pucuknya selalu derebus untuk dijadikan ulam.



Kaduk mudah tumbuh liar di merata tempat terutama di kawasan yang lembab dan berair. Pembiakannya boleh dilakukan melalui keratan batang dan amat mudah tumbuhnya. Daunnya seperti daun sirih dan berkilat sedikit. Bentuknya bulat bujur dan berwarna hijau tua.




Air rebusan akar kaduk boleh diminum bagi melawaskan kencing manakala air rebusan daunnya pula digunakan untuk merawat malaria, batuk-batuk, sakit pinggang, sakit gigi dan sengal-sengal tulang.

Daunnya juga boleh digunakan untuk merawat panau dan menghilangkan bau alat kelamin jika ditumbuk halus-halus. Apa-apa pun, berjumpa dan mendapat nasihat doktor adalah langkah terbaik.

Wednesday, May 5, 2010

POKOK KUCING GALAK


(Pokok Kucing Galak yang tumbuh liar)
Pokok Kucing Galak atau nama saintifiknya 'Acalypha Indica' ini berasal dari India dan senang tumbuh meliar di negara-negara sebelah sini. Pokok ini adalah dari jenis berbatang lembut dan berdaun dan berbuah hijau.
Ia menjadi salah satu kegemaran kucing memakannya untuk menambah tenaga terutama kucing jantan yang mampu melayan berapa banyak kucing betina. Kucing betina pula memakan daun dan buahnya tertama selepas melahirkan bagi mengembalikan kekuatan.


(Pucuknya lembut dan boleh di makan)
Keseluruhan pokok kucnig galak bermula dari daun, buah dan akarnya amat berguna dalam perubatan Homeopathy yang boleh digunakan bagi merawat asma, batuk dan bronkaitis. Jika diamalkan memakan pucuknya, ia dikatakan boleh menambah 'tenaga'.


(Buahnya yang hijau dan lembut mengandungi biji yang lembut juga)
Walau apapun, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah yang terbaik.
Pokok kucing galak boleh dibiakkan melalui biji benih. Buahnya akan mencambahkan biji apabila telah matang iaitu apabila matang, buah itu akan meletus dengan sendiri.