Lihatlah bagaimana rakyat Thailand memanfaatkan alam untuk sumber ekonomi mereka. Sungai digunakan sebagai tempat mencari rezeki. Sungai dijadikan medan perniagaan yang ternyata memberi pulangan lumayan. Tidak pernah terlintas di fikiran kita untuk memanfaatkan sungai kita yang sering menjadi tempat longgokan sampah sarap.
Ini adalah pemandangan biasa di pintu gerbang memasuki kawasan Pasar Sungai yang terkenal di Hatyai. Di terbing sungai ini para peniaga menjual barangan mereka, khasnya barang makanan, dari dalam perahu masing-masing.
Sungainya bukan elok sangatpun. Airnya kelihatan hijau berlumut dengan air yang pekat mengalir lesu. Perahu-perahu milik penjual makanan tertambat di tebing sungai ini dan kita boleh membeli makanan tersebut dan memakannya di mana-mana sahaja yang kita suka. Tempat duduk yang disediakan tentulah tidak mencukupi.
Kelihatan para peniaga melayan pelancong yang hendak membeli makanan dan minuman. Tidak ada tawar menawar di sini kerana semuanya dijual dengan harga yang sama iaitu 20 Bath kira-kira RM2.
Apa saja jenis makanan dijual dengan senyuman. Pesan sahaja, semuanya harga sama.
Berbagai jenis makanan dan minuman dijual di sini dan semuanya halal kerana penjualnya terdiri dari rakyat Thai beragama Islam.
Minuman dan makanan diisi dalam bekas-bekas khas yang unik. Buluh ini misalnya adalah untuk mengisi minuman yang dipesan. Apa saja jenis minuman dimasukkan ke dalam bekas buluh ini dan juga beberapa jenis pasu seramik yang cantik. Harga RM2 itu meliputi sekali dengan bekasnya.
Pasu seramik ini digunakan untuk mengisi makanan dari berbagai jenis. Harga 20 Bath rasanya berbaloi untuk mendapatkan bekas yang cantik ini.
Terfikir aku, bila negara kita mahu mencontohi penggunaan sungai oleh masyarakat Thailand ini. Sungai tidak secantik mana tetapi dimanfaatkan semaksima mungkin. Sungai kita telah melalui bermacam-macam kempen ke arah membersihkannya tetapi tidak ada lagi pihak yang mahu memanfaatkannya.