Saturday, November 28, 2009

PEJUANG BAHASA YANG BERMUSIM

1. Bulan Bahasa Kebangsaan sudah hampir sebulan berlalu tanpa ada suatu pun program yang boleh dibanggakan untuk dikenang sebagai usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Kalau pada hari pelancarannya kita lihat begitu berkobar-kobar dan bersemangat hendak memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan bahasa dunia.
2. Dan para pejuang bahasa yang teramat lantang dahulu entah ke mana menghilang. Tidak ada seorang pun yang bersuara tentang kecelaruan penggunaan bahasa sekarang ini seolah-olah menjadi pejuang bermusim yang hanya bersuara pada waktu-waktu tertentu. Seperti ayam yang hanya berkokok pada waktu dinihari.
3. Sedikit waktu dahulu para pejuang bahasa begitu ghairah mengkritik kerajaan tentang PPSMI hingga membawa kepada penghantaran memorandum kepada DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agung. Tokoh-tokoh seperti A. Samad Said dan Hassan Ahmad yang berkeras meminta kerajaan menarik balik PPSMI atas alasan mahu memartabatkan bahasa Melayu terus menyepi selepas peristriwa demonstrasi jalanan yang bersejarah itu.
4. Selepas itu tidak kedengaran apa-apa lagi. Barangkali mereka sudah puas setelah berjaya memaksa kerajaan menghabiskan entah berapa juta ringgit untuk menghasilkan buku-buku teks yang baru menggantikan buku teks PPSMI dahulu. Kemudian berapa juta ringgit pula untuk menjalankan kursus-kursus bagi guru-guru yang terlibat dengan PPSMBM pula.
5. Ketika TPM Tan Sri Muhyiddin yasin melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Serawak pada 1 Oktober lalu sehinggan sekarang tokoh-tokoh tersebut menyepi sahaja. Yang ada hanyalah beberapa orang pecinta bahasa memberi beberapa pandangan yang akhirnya dipandang sepi semua pihak termasuk kerajaan sendiri dan semuanya berlalu begitu sahaja. Mungkin menanti bulan bahasa tahun hadapan pula untuk berkokok semula.
6. Sekarang semuanya kembali kepada asal malah semakin jauh dari matlamat hendak meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dan bahasa ilmu. Para pemimpin masih juga cenderung berbahasa Inggeris walaupun berucap kepada khalayak dari Malaysia sendiri. Tokoh-tokoh korporat tetap dengan penuh ego menyampaikan maklumat dan mempromosikan produk mereka kepada rakyat Malaysia sendiri dalam bahasa Inggeris seolah-olah bahasa itu menjadi satu kemestian dalam bidang mereka.
7. Tidak ada siapa peduli dengan lambakan drama Melayu yang menggunakan dialog bahasa rojak. Tidak siapa peduli iklan-iklan yang terang-terang mencabar usaha memartabatkan bahasa Melayu. Malah Petronas sendiri yang dianggap sebagai sebuah syarikat nasional dengan angkuh membuat iklan dengan empat bahasa sekaligus seolah-olah bukan hanya Melayu sahaja bahasa rasmi negara ini.
8. Dan para pejuang bahasa seperti bisu dan hilang taring. Kalau dulu begitu lantang dengan berbagai kritikan, sekarang oleh kerana bukan musimnya, semua berdiam diri begitu sahaja. Seolah-olah kemunculan mereka bemusim. Atau menanti tibanya musim pilihanraya atau sewaktu adanya demonstrasi jalanan untuk mereka menjaja isu bahasa ini semula kerana kemunculan mereka pada waktu sensasi itu mejadikan mereka sedikit ‘glamour’.
9. Kita tunggulah apabila tiba musimnya nanti.

Friday, November 20, 2009

MUNGKIN INILAH IKLAN SATU(1) MALAYSIA

Setiap kali mengikuti siaran buletin Utama atau Berita Nasional, iklan Petronas tidak pernah lupa disiarkan. Setidak-tidaknya 2 kali semasa siaran berita di TV. Dalam sehari entah berapa kali iklan tentang penggunaan dan kelebihan bahanapi jenama nasional itu dihidangkan kepada para penonton.

Mahu tidak mahu, lihat jugalah. Dalam hati sebenarnya ‘meluat’ tak terkira. Tapi oleh kerana hendak menonton berita, terpaksa jugalah melihat iklan yang menyakitkan hati itu. Iklan itu bukan tidak bagus tetapi cara dipersembahkan amat menyakitkan hati.

Dimulai dengan bahasa Cina sebagai pembuka tirai, diikuti bahasa Tamil, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Nampaknya bahasa Melayu lepas ke belakang. Walaupun susunan bahasa itu bukanlah bermaksud begitu, orang akan menilai begitu. Tetapi bagi saya bukan perkara tersebut menjadi fokus sebenar saya dalam soal ini.

Yang menghairankan saya kenapa ia perlu dibuat dalam empat bahasa? Tidak memadai dengan bahasa Melayu sahaja? Susah sangatkah rakyat Malaysia hendak memahami bahasa Melayu yang termaktub sekian lama sebagai bahasa rasmi dalam perlembagaan? Itulah yang menghairankan dan mengejutkan saya. Mungkin inilah iklan yang mencerminkan gagasan 1 Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri.

Dalam kita bersungguh-sungguh hendak memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, adalah tidak munasabah iklan begini dihasilkan dan disiarkan. Walau apa pun rasionalnya, iklan ini benar-benar mencabar usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu. Untuk siapa sebenarnya iklan itu dihasilkan?

Saya rasa tidak perlu menggunakan empat bahasa sekali dalam iklan tersebut. Memadai hanya bahasa Melayu kerana setiap rakyat Malaysia sudah pasti memahami setiap ayat yang digunakan. Bukan payah sangsat, “Kereta saya pergi lebih jauh hanya dengan satu pengisian sahaja”.

Iklan ini patut dikaji semula penyiarannya. Lebih-lebih lagi yang terlibnat aalah sebuah syarikat bertaraf nasional, sepatutnya hendaklah lebih patriotik. Sepatutnya Petronas hendaklah lebih peka kepada usaha kerajaan meletakkan bahasa Melayu di tempat sepatutnya.

Monday, November 16, 2009

TIGA BADUT DALAM MCA

1. MCA parti yang digembar-gemburkan sebagai parti terbesar kaum Cina semakin bercelaru dan haru-biru. Tak habis-habis dengan kemelut dan krisis umpama satu jenaka jadinya. Saban hari ada sahaja bahan yang datang dari MCA yang membuat kita boleh tertawa. Kita tergelak melihat lakonan persis badut dari para pemimpin mereka yang hari ini cakap lain, esok cakap lain pula.

2. Ada tiga BADUT yang memainkan peranan penting dalam pergolakan parti itu. Dan ada penganalisa menganggap segala krisis bakal selesai atau tamat terus andainya ketiga-tiga badut ini secara sukarela mengundur diri. Watak TIGA BADUT atau ‘Three Stooges’ ini perlu ditamatkan terlebih dahulu, barulah memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan MCA.

3. Itulah yang perlu dilakukan Perdana Menteri jika beliau masih memikirkan MCA masih relevan kepadas BN. Itupun jika beliau diminta campurtangan menangani kemelut tersebut. Jika badut-badut ini masih ada menjadi tonggak MCA, selagi itulah MCA semakin jauh dari hati seluruh masyarakat Cina.

3.1. ONG TEE KIAT

Semenjak memenangi jawatan presiden MCA mengalahkan Ong Ka Chuan dahulu lagi si badut ini mula beraksi dengan tidak melantik lawannyaa ayang tewas untuk apa-apa jawatan dalam MCA. Sepatutnya beliau harus sedar bahawa Ong Ka Chuan ada penyokongnya dan beliau harus melantik individu ini dalam senarai pengurusan parti itu bagi mengambnil hati para penyokong Ka Chuan. Tetapi itu tidak dilakukan.

Imejnya telah tercalar sama sekali apabila timbul isu PKFZ. Tidak ada apa lagi yang hendak diperbetulkan dan tidak perlu menggunakan parti bagi membersihkan namanya yang tercemar itu. Ini membuat ramai ahli tidak suka dan marah.

Apabila undi tidak percaya terhadap beliau sudah diluluskan dalam EGM yang lalu, sepatutnya beliau faham bahawa dirinya tidak diperlukan lagi. Apa hendak diperbetulkan lagi jika majoriti ahli sudah tidak percaya? Langkah paling baik untuk beliau adalah melepaskan jawatan presiden itu dan undur diri secara berhemah. Tidak perlu lagi beliau memikirkan perkara-perkjara yang belum selesai dan tidak perlu lagi pelan perdamaian yang diwar-warkan.

3.2. CHUA SOI LEK

Peribadi Chua Soi Lek mula tercalar apabila tersebar video sexnya yang sangat populer sedikit masa lalu sehingga terpaksa melepaskan jawatan dalam parti dan juga kerajaan. Kemudian sedikit demi sedikit beliau membina semula diri dan memenangi kerusi Timbalan Presiden tetapi akhirnya bertelagah dengan presiden Ong Tee Kiat hinggalah membawa kepada perpecahan dalam MCA samapai ke hari ini.

Tidak salah sama sekali bahawa yang menyebabkan MCA jadi haru-biru ini banyak disebabkan badut yang seorang ini. Bermula dengan moralnya yang runtuh membawa kepada pertelingkahan serta peribadi umpama lalang. Kerana sikap tidak berprinsip itulah juga MCA sukar membaca tindak-tanduknya.

Umpama seorang badut, mula-mula seiring dengan Liew Tiong Lai menjadi pendesak hingga membawa kepada EGM dan Tee Kiat hilang kepercayaan ahli, akahirtnya menyokong kembali Tee Kiat melalui pelan perdamaian anjuran presiden dan bersama-sama pula menentang Liew Tiong Lai.

Boleh percayakaha kepada manusia yang umpama lalang ini yang sering berubah arah mengikut angin? Hingga sekarang manusia ini menjadi bahan tertawa rakyat Malaysia. Umpama badut tua yang kekeringan idea.

3.3. LIEW TIONG LAI

Pada mulanya watak ini muncul, dilihat seolah-olah seorang penyelamat telah tiba. Moga-moga MCA terselamat dari badai dengan nada penuh yakin bahawa “Saya bukan gila kuasa,” katanya, tetapi ternyata andaian itu meleset. Rupanya seorang lagi badut muncul dalam MCA.

Apa tidaknya, apabila Soi Lek dilucutkan jawatan Timbalan Presiden, beliau dipilih oleh EGM menggantikan Soi Lek. Tetapi apabila ROS mendapati jawatan Timbalan Presiden tidak kosong, si badut ini mulalah tunjuk belangnya yang sebenar. Cakap sudah tak serupa bikin. Rupanya ia ‘gila kuasa’ seperti badut-badut yang lain juga. Rupanya kerusi presiden parti menjadi matlamatnya.

Lidahnya berkata tidak gila kuasa, tetapi tindak-tanduknya seperti hendak merampas kuasa. Tidak sabar-sabar hendak menduduki kerusi nombor satu MCA itu. Langsung tidak akur lagi dengan pelan perdamaian malah tetap mahu EGM sekali lagi yang diharap bakal menentukan kedudukannya.

4. Kita? Apa kita tunggu lagi? Semuanya di tangan kita. Hendak tunggu melihat aksi badut-badut ini atau apa? Yang paling baik, ketiga-tiga mereka harus berundur secara sukarela. Ataupun membuat pemilihan semula untuk jawatan-jawatan tersebut dengan tidak mencalonkan badut-badut ini demi menyelamatkan MCA. Atau lupakan parti itu dan tubuhkan pareti baru yang aspirasinya serupa seperti kewujudan Makkal Sakti bagi kaum India.

5. Kenapa harus dibiarkan lagi “Three Stooges” ini beraksi di depan mata? Jelek rasanya!



ANWAR IBRAHIM: 'PEGILA' POLITIK HARI INI

1. Cukup menarik bila dia menerima perlantikan Penasihat Ekonomi negeri terkaya di Malaysia, Selangor yang rasanya tidak perlukan seorang penasihat pun. Tanpa penasihat pun Selangor berdaya bangun dan bangun kerana kedudukan dan keampuhannya yang terbina sekian lama.

2. Tegasnya, Selangor tidak perlukan seorang penasihat apatah lagi penasihat seperti Anwar yang tidak ada latar belakang pendidikan ekonomi yang formal. Cuma kebolehannya sebagai bekas Menteri Kewangan semasa era Mahathir yang menjadi kekuatan, itupun ketika itu ekonomi Malaysia tengah kukuh. Dan akhirnya Anwar jugalah yang meruntuhkan ekonomi negara (jika kita masih ingat) yang sekaligus membawa kepada krisis politik dan ekonomi sekitar tahun 80an.

3. Jadi perlantikan ini tidak membawa apa-apa makna selain dari gimik politik sahaja sempena Konvensyen PKR yang baru diadakan. Agaknya kerajaan Selangor hendak meniru apa yang dilakukan Kemboja yang telah melantik Thaksin sebagai penasihat ekonominya. Tambahan lagi bila Khalid Ibrahim hanya perlu membayar gaji RM1.00 sahaja, tentulah lebih ‘gimik’ lagi. Adakah orang yang kerja dengan gaji seringgit? Yang kita tahu sekarang ini hendak kencing pun kena bayar 20 sen.

3. Itulah kegilaan politik sekarang, mencipta seberapa banyak gimik yang boleh supaya akan dikenang orang setiap masa. Itulah yang dinamakan ‘PEGILA’ politik. Jika betul-betul Anwar seorang yang ikhlas hendak membangunkan ekonomi mana-mana negeri kenapa di Selangor? Kenapa tidak jadi penasihat ekonomi di Kelantan atau di Kedah yang rata-rata mengetahui negeri-negeri ini 'miskin'. Atau kenapa tidak di negeri kelahirannya sendiri Pulau Pinang?.

4. Satu lagi alasan yang melucukan seperti yang dikatakan beliau UMNO telah melancarkan perang terhadap kerajaan Selangor, maka penerimaan tugas tersebut sebagai cabaran melawan perang tersebut. Yang semua orang tahu, Anwar yang lemancarkan perang terhadap Najib, bukan Najib yang memulakan. Anwar yang mencanangkan kepada ahli PKR untuk mencari bahan menyerang watak Perdana Menteri itu.

5. Anwar hanya mahu menarik perhatian sahaja, bukan tugas yang penting. Kalau betul-betul pentingkan kerja, lebih baik beliau tumpukan masa membangunkan Pernatang Pauh daripada hendak membangunkan Selangor yang telah gah membangun. Apa gunanya menjadi penasihat ekonomi Selangor yang telah kukuh ekonominya?

6. Balik ke Permatang Pauh dan lihatlah apa yang ada di Permatang Pauh sejak Anwar tiada dalam kerajaan. Rasanya itu yang lebih mustahak dibuat Anwar. Bangunkan dan janakan ekonomi di kawasan itu adalah kerja yang lebih afdal dari menjadi ‘pegila’ politik yang asyik mencipta gimik dan sensasi.

7. Yang lucunya, semua orang percaya kepadanya. Semua orang menurut apa yang diperkatakannya. Yang mengikut dan percaya bukan pula orang-orang yang tidak berpengetahuan malah para cerdik pandai dan para cendekiawan ulung pula.

8. Itulah PEGILA POLITIK Malaysia abad ini.

Thursday, November 12, 2009

MCA YANG CELARU DAN HARU-BIRU

1. Dalam minggu ini tidak ada berita yang lebih melucukan dari cerita kemelut dalaman MCA. Itulah parti terbesar kaum Cina di Malaysia. Itulah parti kaaum Cina yang terulung di negara ini. Lepas satu masalah, timbul pula masalah yang lain. Selesai satu kemelut, muncul pula kemelut yang lain. Tak habnis-habis kita dihidangkan dengan gelagat para pemimpin yang sebetulnya ‘gila kuasa’ walaupun mereka menafikan perkara itu.

2. Apapun semuanya bermula bila BN menerima kekalahan yangn memang telah dijangkakan dalam PRU12 yang lalu. MCA kalah teruk. MIC juga kalah teruk. Tidak ketinggalan juga UMNO sendiri kehilangan beberapa tokoh dari kerusi DUN dan Parlimen.

3. Bertolak dari tsunami politik itulah ketiga-tiga parti ini menghadapi berbagai masalah kerana masing-masing menyalahkan satu sama lain menjadi penyumbang kepada kehilangan majoriti di Paarlimen dan juga kehilangan 5 negeri kepada pembangkang.

4. Nasib baik UMNO cepat pulih dan kembali segar apabila Abdullah melepaskan terajunya kepada Najib. MIC masih setakat nyawa-nyawa ikan buat masa ini walaupun satu ketika dilihat hampir musnah.

5. Yang jadi persoalan sekarang hanya MCA yang tidak habis-habis dilanda badai. Bermula dari isu PKFZ membawa kepada pemecatan Chua Soi Lek hinggalah sekarang MCA tidak sunyi dari masalah kepimpinan yang hanya ada satu jalan penyelesaian sahaja. Jika Ong Tee Kiat masih dengan sikap degilnya tidak mahu melepskan jawatan sesudah menerima undi tidak percaya, selagi itulah MCA akan dilanda ribut.

6. Dr. Chua Soi Lek pula umpama lalang. Lalang bukan boleh dipercayai kerana ia mengikut arah angin, sekejap kea rah sana, sekejap lagi beralih arah. Mula-mula dulu Dr. Chua menghentam Tee Keat bertalu-talu dengan pelbagai tuduhan. Sekarang beralih pula menyokong Tee Keat sesudah bersetuju dengan pelan perdamaian yang diutarakan Presiden MCA itu.

7. Tiba-tiba hari ini bekas Menteri Kesihatan itu menghentam Liew Tiong Lai pula sesudah Tiong Lai mengambil keputusan mencabar kedudukannya sebagai Timbalan Presiden. Sebelum ini beliau bersama-sama Tiong Lai beria-ia menyokong antara satu sama lain.

8. Tiong Lai pula sering berkata beliau tidak gila kuasa tetapi sanggup hendak mencabar keputusan ROS yang mengembalikan jawatan Timbalan Presiden kepada Dr Chua. Itulah politik. Hari ini kita kawan, esok belum tentu. Hari ini kita dipuji, esok belum pasti.

9. Bukankah celaru dan haru-biru apabila terjadi begitu?

10. Jalan terbaik adalah tiga watak ini harus ditamatkan. Tiga orang ini patut insaf dan faham bahawa mereka banyak menimbulkan masalah dan harus undur diri dengan sukarela. Berhentilah ketiga-tiga orang ini dari arena yang haru-biru itu., yang membuat orang keliru.

Sunday, November 8, 2009

MENGURUS NEGARA MACAM BERMAIN MASAK-MASAK

Sejak memenangi PRU12 Mac 2008 lalu, walaupun majoritinya agak tipis, Datuk Seri Najib dilihat setapak demi setapak melangkah ke puncak. Akhirnya secara rasmi menerajui negara pada Mac 2009 dengan ‘tradisi tukar pemimpin’ yang diamal UMNO sekian lama. Walaupun dilihat seperti ada sedikit perpecahan, namun akhirnya parti dan kerajaan semakin mantap mencorak masa depan rakyat dan negara.

Namun begitu, sejak menerajui kerajaan Datuk Seri Najib seperti masih mahu mencuba sesuatu. Akhirnya selepas pembentangan ‘belanjawan’ 2010 baru-baru ini terserlah semua jangkaan bahawa Perdana Menteri tidak konsisten dalam membuat keputusan.

Kerajaan mengurus negara seperti kanak-kanak bermain masak-masak. Kerajaan seperti baru belajar dan tidak pernah serius dalam membuat apa-apa keputusan untuk kepentingan rakyat.

Bukan lagi sesuatu yang pelik jika dalam masa bermain masak-masak, kanak-kanak sering merencanakan berbagai perkara tetapi melaksanakan perkara yang lain. Kerajaan hari ini sudah jadi macam itu. Hari ini buat keputusan, esoknya keputusan itu dibatalkan. Tidak hairanlah selepas ini ada lagi apa-apa keputusan akan dibatalkan pula dan diganti dengan yang baru.

Hari tu dalam belanjawan beriya-iya mahu melaksanakan DAN (Dasar Automobil Nasional) yang mewajibkan kereta melebihi 15 tahun usia menjalani pemeriksaan PUSPAKOM untuk membaharui cukai jalan. Berdegar-degar ucapan bagai nak rak.

Alih-alih DAN sudah ditarik balik. Sekarang tidak payah buat pemeriksaan lagi seperti yang dicadangkan selepas kerajaan dihujani dengan berbagai kritik dan protes mengenainya. Alasannya mudah sahaja, 1 Malaysia: Rakyat didahulukan…….

Yang peliknya semasa hendak memperkenalkan dasar ini sudahkah dibuat kajian terlebih dahulu tentang kesannya kepada rakyat jelata? Masakan para pegawai yang ada di Jabatan Perdana Menteri tidak terfikir tentang kesusahan rakyat berpendapatan rendah yang memiliki kenderaan jenis tersebut. Inilah yang pelik.

Hal ini samalah juga dengan pembinaan jalanraya yang bengkang bengkok. Sesudah siap jalan diletakkan papan-tanda ‘Selekoh Merbahaya’. Bukankah lebih baik semasa membina jalan tersebut luruskan terlebih dahulu, tak payah lagi letak papan-tanda bahaya.

Dalam soal lain pun begitu. Bercakap dengan rakyat Malaysia sendiri menggunakan bahasa Inggeris, lepas itu semasa siaran Berita, diletakkan terjemahan dalam bahasa Melayu. Bukankah lebih senang bercakap Melayu semasa diwawancara?

Lepas ini ada lagi dasar yang diputuskan akan diubah. Soal pemberian beras percuma contohnya. Begitu juga dengan subsidi petrol yang dicadangkan akan diberi kepada mereka yangnlayak sahaja. Apa pula piawai kelayakan yang digunakan? Nanti akan berbalikkepada system yang ada sekarang juga. Percayalah.

Itulah saya katakan, mengurus negara seolah-olah bermain masak-masak!

MACAM BUDAK-BUDAK SEKOLAH

1. Di dalam padang dan di luar padang sama sahaja.
Macam budak-budak sekolah.

2. Itulah yang dapat dirumuskan dari perlawanan akhir bolasepak Liala Malaysia malam tadi. Sesudah menyaksikan perlawanan yang sepatutnya mendebarkan selama 90 minit itu, hasilnya habuk pun tak ada. Inilah bolasepak Malaysia yang digembar-gemburkan semakin meningkat mutunya.

3. Aksi di dalam padang terlalu hambar seolah-olah kita dihidangkan satu perlawanan antara dua buah sekolah menengah sahaja. Tidak lebih dari perlawanan anjuran MSSM yang dikategorikan perlawanan peringkat umur. Itulah layaknya perlawanan akhir Piala Malaysia dikategorikan.

4. Hantaran bola entah ke mana-mana, perlakuan melanggar undang-undang permainan tidak langsung berselindung, terang-terang menghalang dan membentes pemain lawan. Sepakan bola ikut sedap sahaja atau kata orang ‘ikut perut’. Ke mana perut menghala, ke situlah sepakan dituju.

5. Mana jurulatih yang dikatakan ‘bagus’ dan telah berjaya menyiapkan pasukan untuk perlawanan-perlawanan yang lebih besar? Kalau begini mutunya, usah mimpi mahu memenangi perlawanan antarabangsa yang lain. Piala Dunia lagilah jangan harap.

6. Tidak hairanlah kalau 65 ribu penyokong Kelantan keluar awal dari stadium malam tadi membiarkan 30 ribu penyokong Negeri Sembilan meraikan kejayaan mengatasi Kelantan lebih awal, sebelum selesai 90 minit permainan.

7. Baru-baru ini para penyokong Kelantan marah-marah bila dikaitkan dengan label ‘penonton ganas’. Tapi apabila menyaksikan api membakar kerusi stadium dan balingan botol-botol minuman (antaranya ada yang berisi air kencing) ke arah padang, rasanya label yang diberikan itu ada juga kebenarannya.

8. Macam budak-budak sekolah sahaja aksi-aksi yang ditunjukkan. Inilah aksi yang hendak ditunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai penonton yang berdisiplin dan mempunyai progam pembangunan bolasepaknya yang boleh dipercayai?

9. Aksi di dalam dan di luar padang sama sahaja.

Thursday, November 5, 2009

GAGASAN DAN SLOGAN: RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

1. Setiap kali bertukar Perdana Menteri, setiap kali itu slogan dan gagasan berganti. Bermula dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang sentiasa meneriakkan slogan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” ke mana sahaja beliau pergi, dikuti Allahyarham Tun Abdul Razak dengan gagasan Pembangunan Luar Bandarnya.

2. Selepas itu digantikan pula slogan “perpaduan” oleh Allahyarham Tun Hussein diikuti dengan slogan “Malaysia Boleh” ciptaan Tun Mahathir. Kemudian muncul pula Tun Abdullah dengan slogan “Jangan Berkerja Untuk Saya tetapi Berkerja Bersama Saya”. Akhirnya slogan tinggal slogan dan rakyat Malaysia tetap juga kucar-kacir sama ada dari aspek sosial, budaya, politik dan ekonomi.

3. Yang terbaru, muncul Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan gagasan Satu Malaysia dengan slogan yang cukup retorik; “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bunyinya indah dan meyakinkan. Nadanya tegas dan memberi harapan yang amat jitu kepada semua lapisan rakyat.

4. Kebetulan pula negara baru sahaja dilanda tsunami politik yang menafikan majoriti dua pertiga pemerintah, slogan ini benar-benar dianggap dapat mengembalikan maruah kerajaan yang tercalar dan meletakkan semula keyakinan rakyat kepadanya. Saban hari slogan ini dilaung-laungkan sehingga telah sebati dengan jiwa rakyat dan pemimpin walaupun ada segelintir yang masih tidak mahu merealisasikan dan memperlekeh slogan tersebut.

5. Rasanya ada kebenaran juga mengapa akhir-akhir ini sebahagian rakyat seolah-olah tidak percaya bahawa semua gagasan dan slogan yang dilaungkan itu sudah jadi ‘tidak serupa bikin’. Perlaksanaannya tidak seperti yang digembar-gemburkan. Ramai yang tertanya-tanya rakyat mana yang didahulukan kerajaan sebenarnya.

6. Apa yang jelas, belanjawan yang baru selesai dibentangkan tidak memihak kepada rakyat yang paling berhak iaitu yang berpendapatan rendah. DAN atau Dasar Automobil Nasional adalah contoh yang paling nyata. Dasar tersebut yang akan diaplikasikan pada Januari 2010 nanti mewajibkan kenderaan penumpang yang melebihi 15 tahun usianya dibuat pemeriksaan oleh PUSPAKOM terlebih dahulu sebelum meperbaharui cukai jalan.

7. Bayangkan siapa yang memiliki kereta yang berusia demikian? Jelas mereka adalah rakyat berpendapatan rendah yang tinggal di desa-desa yang memang tidak mampu membeli kereta baru. Dasar yang diperkenalkan ini hanya akan menguntungkan pengusaha-pengusaha bengkel servis kenderaan, bengkel-bengkel tayar dan kedai-kedai alat-ganti yang semestinya dimiliki rakyat bukan Melayu yang sememangnya kaya-raya.

8. Mengenai subsidi yang hendak dihapuskan dan hanya akan dinikmati rakyat kumpulan sasaran sahaja dilihat terlalu sukar hendak dipercayai. Kumpulan rakyat manakah yang menjadi sasaran kerajaan? Apakah piawai yang akan digunakan? Sudah tentulah pendapatan isi rumah yang diguna-pakai. Tetapi adakah sama kos sara hidup di kota dan di desa jika faktor pendapatan diambil kira? Kos sara hidup rakyat yang tinggal di Gunung Jerai tentulah tidak sama jika dibanding dengan rakyat yang tinggal di Kuala Lumpur walaupun pendapatan isi-rumahnya sama.

9. Pemberian bonus kepada peneroka FELDA menyimpulkan satu kedudukan yang dilihat tidak adil. Besar manakah sumbangan para peneroka kepada negara? Kenapa peneroka felda sahaja, tidak kumpulan rakyat lain seperti pesawah, nelayan, penanam sayur dan kakitangan kerajaan sendiri? Mereka juga turut menyumbang ke arah pembangunan negara seperti peneroka tersebut. Tak tahulah kerana FELDA adalah hasil kerja ayahanda Perdana Menteri, maka DS Najib harus menjaga Felda sehingga begitu rupa. Bertuahlah peneroka felda yang sentiasa menjadi anak manja Perdana Menteri.

10. Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Ismail Sabri Yaakob untuk membenarkan pasaraya besar dari luar negara beroperasi di luar bandar secara tidak langsung membunuh perniagaan kecil-kecilan yang sedang diamalkan di kampung-kampung. Peniaga-peniaga runcit ini bakal ‘gulung tikar’ bila cadangan ini dilaksanakan kelak. Terfikir kita bahawa inikah cara kerajaan mendahulukan rakyat dan inikah pencapaian yang dimaksudkan Perdana Menteri melalui slogannya?

11. Jika perkara ini direalisasikan, samalah seperti peribahasa Melayu, “kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan”.

12. Jadi fikir-fikirkanlah siapa yang dimaksudkan dalam slogan yang dilaung-laungkan itu. Rakyat mana yang sebenarnya didahulukan? Diharap pihak kerajaan berbuatlah yang sewajarnya. Jangan jadi ayam jantan, “kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”. Atau kata orang, "cakap tak serupa bikin”.

Wednesday, November 4, 2009

DS. NAJIB YANG 'BERKUASA'

1. Walaupun pujian demi pujian dihamburkan untuk Datuk Seri Najib, namun ia dilihat sebagai retorik dan mencari jalan selamat sahaja. Hakikatnya pujian-pujian tersebut tidak boleh dipercayai sama sekali. Semua orang yang memberi pujian selpas pembentangan belanjawan dikatakan hanya sebagai perkara biasa dalam politik.

2. Wakil rakyat pihak kerajaan akan memberi pujian manakala wakil rakyat pembangkang akan menunjukkan cacat-cela isi belanjawan tersebut. Perkara ini adalah scenario biasa dalam kancah politik tanahair.

3. Apa yang saya nampak pula adalah tentang keghairahan Datuk Seri Perdana Menteri mengaplikasikan ‘kuasa’ beliau seperti yang dikatakan dalam isu perlantikan Tan Sri Koh Tsu Koon dalam kabinet beliau. Itu ‘kuasa’ Perdana Menteri, ujar beliau apabila timbul gesaan Muhamad Aziz dari Ledang supaya Dr. Koh meletak jawatan.

4. Dalam soal Dasar Automotif Nasional ini juga saya melihat DS Najib ghairah menunjukkan kuasa beliau dengan secara jelas tersasar dari slogan yang diciptakannya sendiri iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Tidak tahulah pula rakyat mana yang didahulukan dengan pelaksanaan DAN itu kerana yang jelas ia amat menindas rakyat terutama yang berpendapatan rendah yang tinggal di desa-desa dan kampung-kampung.

5. Dengan peraturan mewajibkan kenderaan berusia lebih 15 tahun dihantar untuk peperiksaan PUSPAKOM sebelum mebaharui cukai jalan, ia bukanlah satu penghormatan kepada rakyat tetapi satu tekanan kepada rakyat. Rata-rata pemilik kenderaan tersebut adalah rakyat biasa yang rendah pendapatannya dan itulah sahaja kenderaan yang dimilikinya.

6. Dasar yang diperkenalkan itu hanya akan menguntungkan pemilik-pemilik industri kereta dan yang berkaitan dengan kereta seperti bengkel-bengkel servis, bengkel-bengkel tayar, syarikat-syarikat insurans yang mungkin akan menaikkan kadar premiumnya. Jadi hal ini bukan memudahkan rakyat sebaliknya semakin menghimpit rakyat.

7. Bayangkan setiap kali hendak membaharui chukai jalan, pemilik kenderaan ini terpaksa menghabiskan wang merawat kereta buruk mereka sebelum diluluskan PUSPAKOM. Padahal kereta tersebut hanyalah digunakan untuk membawa hasil pertanian untuk dipasarkan ke Pasar Borong, untuk menghantar anak-anak ke sekolah, untuk membawa kawan-kawan untuk solat jenazah dan sebagainya.

8. Alasan mengatakan kereta lama ini penyumbang kepada kadar kemalangan jalanraya amat dangkal kerana setakat masa ini belum ada sesiapa membuat kajian tentangnya malah didapati setiap kali kemalangan yang meragut nyawa atau mengundang kerosakan, hanya kereta baru yang terlibat. Ia dibantu pula oleh sikap pemandu-pemandu sendiri dan tidak ada kena mengena dengan usia kenderaan.

9. Saya amat menyokong jika pelaksanaan peraturan ini ditangguhkan dahulu buat sementara dan buatlah kajian terlebih dahulu ia menguntungkan siapa dan merugikan siapa. Jangan apabila dilaksanakan nanti, timbul cacat-cela dan terpaksa dirombak semula. Pelaksanaan sekolah satu aliran boleh ditangguhkan untuk mendapat maklum-balas rakyat, kenapa isu ini tidak boleh?

10. Adakah kerana pelaksanaan sekolah satu aliran melibatkan rakyat bukan Melayu manakala pemilik kenderaan lama ini majoritinya adalah rakyat Melayu, maka tidak ada kompromi langsung?

PENAHANAN DR. MAZA: SATU TINDAKAN BETUL?

1. Biar apapun alasan JAIS, penahanan Dr Mohd Asri sangat tidak kena tempat dan masanya. Biarpun alasan memberi ceramah tanpa tauliah adalah satu kesalahan, banyak lagi kes yang lain yang pihak JAIS tidak pernah ambil tindakan. Ada yang terlepas dan dibiarkan begitu sahaja.

2. Mungkin kerana tubuh badan yang bergelar bekas mufti itu terlebih dahulu di gembar-gemburkan sebagai tidak sealiran dengan fahaman Majlis Peguam Syarie, maka beliau harus diambil tindakan dan dibawa kemahkamah. Yang peliknya tidak ada pertuduhan pula. Macam JAIS tidak ada kerja ahendak dibuat.

3. Orang macam Dr. MAZA pun disangsikan ilmunya, apahal pula dengan ‘ceramah’ Ronie Liu yang menggunakan ayat-ayat Quran dan mengeluarkan fatwa arak tidak haram? Tauliah dikeluarkan kepada beliau? Adakah ceramah agama dari orang-orang ini mendapat kebenaran pihak JAIS?

4. Banyak kerja lain yang boleh dilakukan selain menahan Dr. Asri. Nasihatkan tokoh-tokoh bukan Islam DAP dan Pakatan Rakyat yang lain supaya tidak menggunakan ayat-ayat Quran dan agama Islam sebagai bahan kempen bagi meraih undi. Itu lebih penting. Hindarkan kekeliruan itu dasripada membuang masa menahan ‘bekas mufti’ yang semua orang tahu mempunyai ilmu sebagaimana kata Perdana Menteri, suka berterus-terang dalam apa-apa hal.

DASAR AUTOMOBIL NASIONAL YANG MEMBEBANKAN.

1. Secara jujurnya, ini kali kedua saya terjebak dengan dasar yang diperkenalkan kerajaan untuk menyelesaikan masalah melayan permintan pihak-pihak tertentu dalam ‘perniagaan yang berkaitan kenderaan’. Perniagaan yang dimaksudkan termasuklah insurans, syarikat menjual kereta, bengkel-bengkel alatganti dan servis dan macam-macam lagi.

2. Sebelum ini saya terjebak dalam skim pemberian rebat tunai kepada kenderaan 2000 cc ke bawah. Saya tidaka dapat menikmati rebat tunai tersebut kerana kereta lama saya berkapasiti 2200 cc padahal harganya tidak pun mencecah RM12,000.00. Honda Accord keluaran terbaru berkapasiti 2000cc yang bernilai serastus ribu layak pula mendapat rebate tersebut.

3. Berbalik kepada dasar terbaru ini yang mewajibkan kenderaan melebihi 15 tahun usianya mesti mendapat pengesahan PUSPAKOM sebelum membaharui cukai jalan, ada kebaikan dan keburukannya. Hal ini perlukan kajian dan rumusan yang mengambil kira juga pendapat orang ramai selain daripada desakan sector-sektor perniagaan yang disebutkan tadi.

4. Desakan daripada sector perniagaan ini yang semakin lembab akhir-akhir ini, kerajaan tiada pilihan mengenakan berbagai syarat terhadap pemilik kenderaan untuk memaksa mereka berurusan dengan sector tersebut yang tentunya memakan belanja yang tidak sedikit.

5. Demi menjaga fizikal dan prestasi kenderaan untuk ‘meluluskan diri’ semasa pemeriksaan PUSPAKOM nanti, tak dapat tidak pemilik kenderaan kenalah berurusan juga dengan bengkel-bengkel servis dan alat ganti ini. Dan tentunya syarikat insurans dengan sewenang-wenangnya akan menaikkan kadar premium mereka bagi kenderaan-kenderaan lama ini.

6. Tak dapat tidak, kita terpaksa melupakan kenderaan berusia ini dan untuk memiliki juga kereta, terpaksalah menanggung perbelanjaan lebih membeli kereta baru dan terus lagi menanggung hutang hingga ke akhir hayat. Yang gelak besar adalah pemilik syarikat menjual kereta baru.

7. Sektor-sektor ini boleh berdaya maju dan yang menjadi mangsa adalah pemilik kenderaan lama yang usianya melebihi 15 tahun yang kebanyakannya adalah rakyat berpendapatan rendah. Akhirnya ia berkubur begitu sahaja di tempat yang dipanggil ‘kubur kereta’ seperti yang diamalkan di Arab Saudi yang menyediakan satu kawasan melupuskan kenderaan lama.

8. Betulkah kenderaan berusia ini menjadi penyebab kemalangan? Ini memerlukan kajian dan rasional kerana kebelakangan ini kemalangan tidak mengira usia kenderaan tetapi berpunca daripada sikap para pemandu sendiri. Dan jika kita perhatikan, kenderaan-kenderaan yang terlibat dengan kemalangan adalah kenderaan-kenderaan baru yang berprestasi tinggi.

9. Dasar yang diperkenalkan ini akan menyebabkan beberapa scenario berikut:

-Kerajaan akan menyediakan satu kawasan yang dipanggil ‘kubur kereta’ yang akan
menempatkan kereta-kereta lama yang tidak berupaya dipulihkan.

-Melumpuhkan terus industri ‘kereta antik’ yang semakin populer sekarang.

-Semua orang memiliki gaya hidup baru dengan rata-rata memiliki kereta baru.

-Industri Insurans akan berkembang dengan lebih pesat berikutan kenaikan kadar
premium insurans yang dikenakan nanti.

10. Jadi adalah diharap peraturan ini dikaji terlebih dahulu tentang kesannya kepada rakyat yang berpendapatan rendah sebelum ia dilaksanakan. Keluhan rakyat perlu juga diberi perhatian.

Monday, November 2, 2009

BILA GOBALAKRISNAN DAN RONIE LIU MEMBACA AYAT QURAN, ......

Ketika tokoh-tokoh seperti Ronie Liu dan N. Gobalakrisnan ghairah membaca ayat-ayat al-Quran semasa kempen Pakatan Rakyat di Bagan Pinang dulu, heboh seketika masyarakat Islam memberi komen dan pendapat. Kesemua pendapat dan komen tersebut menjurus bahawa perbuatan mereka menghina Islam.

Selepas itu perkara tersebut diam begitu sahaja. Selesai pilihanraya Bagan Pinang tiada siapa bercakap lagi tentang bacaan mereka. Siapapun tidak lagi memperkatakan atau memberi pandangan susulan mengenainya, sama ada bacaan mereka ‘masih menghina Islam atau tidak’.

Atau kita hanya memandang serius sesuatu perkara itu secara bermusim? Hanya pada masa kempen, perbuatan tersebut dikira menghina Islam tetapi selepas itu tidak pula kedengaran sesiapa membuat komen susulan mengenainya.

Mungkin kata-kata Datuk Nik Aziz ini dapat menyedarkan kembali ingatan terhadap perkara ini. Bagi Tuan Guru ini, soal tersebut hanya perkara remeh yang tidak patut dipertikaikan atau dianggap menghina Islam.

Lihat kata-katanya yang saya petik dari Sinar Harian keluaran 2 November 2009.

“Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkara itu digunakan Rasulullah SAW ketika mengutus surat kepada semua pemimpin kerajaan bukan Islam suatu ketika dahulu. Katanya, surat yang diutus Rasulullah itu adalah untuk dibaca dan tidak pernah dianggap sebagai menghina Islam apabila ayat al-Quran berkenaan dibaca oleh pemimpin bukan Islam."

Tuan Guru menganggap perkara ini tidak menghina Islam sebab dulu Nabi kirim surat kepada pemimpin bukan Islam dengan ayat Quran. Pemimpin tersebut dianggap tidak menghina Islam bila membaca ayat yang ditulis Nabi. Tapi Tuan Guru lupa bahawa niat Nabi dan niat para pembaca ayat Quran dari DAP dan PKR ini berbeza.

Pemimpin kafir di zaman Nabi membaca ayat yang diberikan Nabi yang bertujuan mengembangkan Islam. Tapi Ronie Liu dan Gobalakrishnan membaca ayat Quran untuk tujuan lain. Bukan untuk pengembangan Islam tetapi untuk memancing undi. Niat mereka tidak lain selain mempersendakan orang-orang Islam Malaysia.

Perbezaan macam itu pun Tuan Guru tak faham. Dan kita orang-orang Islam terus mengiyakan apa saja yang diperkatakan Tuan Guru Nik Aziz tanpa berfikir lagi. Dan perkara itu didiamkan terus.