Saturday, August 30, 2014

ALANGKAH BAIKNYA BERPOLITIK SEPERTI TOM & JERRY

Pernah menonton siri kartun Tom And Jerry? Tontonlah untuk membuka minda anda.


Ini memang siri kartun populer. Bukan kanak-kanak sahaja yang meminatinya, malah orang dewasa juga tidak akan melepaskan peluang menyaksikan telatah dua watak unik ini. Kisah memaparkan seekor kucing dan seekor tikus yang setiap kali berkejaran . Kucing mengejar dan tikus lari. Sungguh lucu.

Dalam kelucuan watak itu terselit falsafah yang amat tinggi nilainya jika diteliti dan difikirkan di luar kotak kartun itu sendiri. Dan kalau kita kaitkan dengan kehidupan dan masalah dinegara kita, memang amat berkait rapat dengan watak-watak lucu tersebut.

Soalanya bolehkah politik Malaysia berpaksikan telatah kucing dan tikus dalam siri tersebut? Alangkah baiknya jika orang-orang politik memerhati sejenak kisah-kisah kartun itu dari sudut pengajaran dan etika kehidupan dalam dunia politik itu sendiri.

Kita perhatikan, apabila kucing dan tikus diancam anajing dan lain-lain, yang menggugatkan cara hidup mereka, kedua-dua watak ini bersatu menentang anjing yang mengganggu mereka. Mereka merancang beberapa taktik untuk menghindarkan ancaman anjing dari menggangu mereka. Dan selepas semua gangguan itu berakhir, mereka kembali kepada fitrah kehidupan mereka yang asal.

Dalam politik Malaysia hal ini tidak berlaku. Kes Lahat Datu memperlihatkan keadaan yang amat jengkel antara pihak kerajaan dan pembangkang. Peristiwa MH370 dan MH17 juga memaparkan keadaan yang sama. Pihak pembangkang bukan tolong membantu usaha kerajaan malah telah menjalankan kempen memburuk-burukkan kerajaan, bukansetakat dalam negara malah hingga ke luar negara.

Hendak menyambut Hari Kebangsaan, hari ulangtahun kemerdekaan negara juga pembangkang dan kerajaan tidak boleh duduk semeja mengadakan sambutan yang sama. malah pihak pembangkang sanggup berbuat secara berasingan menggunakan tema yang berlainan, seolah-olah ada kerajaan yang lain, seolah-olah mereka adalah entiti negara yang lain di dalam Malaysia ini.

Ambillah nilai dalam siri kartun Tom And Jerry itu. Bangkang tetap bangkang tetapi bila berhadapan situasi yang mencabar semua rakyat, bersatulah menghadapi ancaman secara bersama. Ini barulah sesuai dengantema Hari Kebangsaan "Di sinilah Lahirnya Sebuah Cinta". 

Selamat menyambut Hari Merdeka ke 57 untuk semua rakyat Malaysia.


Sunday, August 24, 2014

BOLASEPAK DI MALAYSIA: PEMAIN PUN TAK FAHAM UNDANG-UNDANG.

Perlawanan Liga Super antara Pahang dengan Lions XII sangat memalukan. Pertandingan Piala Malaysia yang begitu berprestij tercemar sedikit apabila gol diperolehi selepas bola terkena kaki pembantu pengadil yang bertugas di tepi garisan. Belum pernah terjadi dan kejadian itu menyedarkan kita bahawa pengetahuan tentang undang-undang permainan di kalangan bukan sahaja penonton, malah dalam kalangan pemain sendiripun amat rendah.

Hal yang sebegitu asas dalam peraturan permainan tidak dapat dihayati dengan baik. Nasib baik insiden itu tidak menyebabkan Pahang tewas. Apa kata Pahang tewas dengan jaringan tersebut? Sudah tentu perkara seperti yang menimpa pengadil di Johor tidak dapat dielakkan. Penonton juga sama seperti pemain, kurang menghayati undang-undang permainan walaupun menyokong sesebuah pasukan bagai nak kiamat.

Sepatutnya pihak yang berkenaan, samada FAM atau Persatuan-persatuan Bolasepak Negeri telah lama mengadakan klinik atau sessi pendedahan tentang tafsiran undang-undang permainan bolasepak. Setakat tahu undang-undang saja tidak memadai. Tafsirannya yang lebih penting. Pemain harus didedahkan dengan ilmu tersebut sebelum 'lulus' untuk bermain dalam pasukan.

Lantaran itulah macam-macam terjadi dalam kancah bolasepak di negara kita. Semuanya berpunca dari para pemain sendiri dan juga para pegawai yang tidak faham peraturan permainan selain dari peranan pengadil sendiri.

Jadi adalah dicadangkan FAM dan juga persatuan negeri-negeri dan kelab berbuat sesuatu.

Wednesday, August 13, 2014

MENGATUK DULANG PAKU SERPIH

Kerajaan Negeri Selangor sudah tidak menentu jadinya. Bukan salah sesiapa kalau TS Khalid Ibrahim berkeras juga tidak mahu mengosongkan kerusi Menteri Besar. TS Khalid tidak patut dipersalahkan. Lihatlah semula sejarah. Toleh ke belakang sekejap.

Beberapa bulan lepas perkara yang sama berlaku di Terengganu. Menteri Besar DS Ahmad Said hendak digantikan. Lihatlah apa yang jadi. Riuh satu negara kutukan demi kutukan terhadap kerajaan BN. Apa yang pembangkang tak kata. Apa yang pembangkang tidak bertohmah sehingga PM terpaksa mengambil tindakan saman terhadap beberapa pihak.

Ketika itu orang tidak ingat bahawa setahun sebelum itu telah ada perjanjian Ahmad Said dengan DS Najib tentang kedudukannya. Pihak pembangkang langsung tidak peduli, selain melemparkan berbagai tuduhan dan kecaman.

Sekarang perkara yang sama berbalik kepada mereka. Sekejap sahaja Tuhan membayar harga keceluparan mereka dengan isu penggantian Menteri Besar Selangor. TS Khalid mahu digantikan dengan Datin Seri Wan Azizah, isteri Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim.

Apa pembangkang nak kata sekarang? Kesnya sama sahaja malah keadaan di Selangor lebih memalukan. Najib tak buang Ahmad Said untuk digantikan dengan Rosmah tetapi Anwar mahu Khalid berundur untuk isterinya Wan Azizah. Bukankah pelik walaupun Wan Azizah presiden PKR?

Mengatuk dulang paku serpih, itulah bidalan yang paling sesuai untuk golongan ini.

Orang bodoh sahaja yang melihat sebagai perkara biasa tapi orang yang kurang bodoh akan tertawa 'keras perut' memikirkan putar belit ini. 

Sekarang kita dihidangkan cerita amat melucukan. paling lucu di abad ini. sama-samalah kita lihat kesudahannya!

Tuesday, August 5, 2014

JENAKA PERSATUAN HOKI NEGARA

“………Saya tidak harus menjadi mangsa kecaman kerana sasaran skuad Negara bukanlah Sukan Komanwel, tetapi sebaliknya pada pentas Sukan Asia,” – Muhammad Dharmaraj Abdullah, Jurulatih Joki Negara.

Seorang jurulatih yang bertanggungjawab pasti tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu. Seorang jurulatih yang benar-benar bagus tidak akan lari dari tanggungjawabnya dengan komen yang boleh menjadi bahan ketawa atau jenaka hebat seperti ini.

Kalau Sukan Komanwel bukan pentas mencari pingat, kenapa PHM beria-ia menghabiskan puluhan ribu ringgit menghantar para pemain dan pegawai ke Glasgow, Scotland. Kalau Sukan Komanwel hanyalah pentas untuk mengenal pemain ke Sukan Asia, lebih baik buat peniulaian di Negara sendiri, tak payah buang masa dan wang ringgit ke kejohanan tersebut.

Dan sekiranya Sukan Asia lebih penting daripada Sukan Komanwel, lebih baik siapkan diri untuk Sukan Asia sahaja daripada membuang masa dan tenaga ke Sukan Komanwel. Wang ringgit habis, imej hoki Negara turut tercalar.

Bagi kami, Sukan Asia dan Sukan Komanwel sama pentingnya. Pentas Asia dan Komanwel melibatkan Negara yang tidak sama dan kalau kita menilai sesuatu sukan peringkat antarabangsa seperti ‘Sukan Kampung’ sahaja, sampai bilapun kita macam itu juga, pasti tiada kemajuan.

Biarlah medan mencari dan menilai pemain lebih berkisar di perlawanan dalam Negara atau mana-mana perlawanan antarabangsa yang lain, bukan di temasya seperti Sukan Komanwel.


Itulah jenaka hebat dari Persatuan Hoki Malaysia untuk tatapan rakyat Malaysia.