Thursday, September 24, 2015

RAJA DAN ORANG POLITIK: BUANG MASA MEMIMPIN PERSATUAN SUKAN

Selepas Malaysia ataupun Harimau Malaya mengakhiri kempen kelayakan Piala Dunia dan juga Piala Asia dengan keadaan yang amat memalukan, berbagai kritikan dan pandangan diutarakan orang ramai dan juga tidak ketinggalan para pakar bolasepak yang muncul tiba-tiba bagai cendawan.  Kebanyakan pendapat dan kritik itu menjurus kepada kelemahan FAM. Kononnya FAM tidak melakukan apa-apa pembaharuan dan pembangunan sehingga tahap bolasepak di Malaysia semakin menjunam dari  setahun ke setahun.

Jika dahulu Malaysia setaraf dengan Jepun dan Korea, malah gergasi Asia itu sendiri bermain dalam keadaan sukar bila berhadapan dengan Malaysia ketika itu, sekarang tidak lagi. Malah Malaysia bakal menjadi pasukan belasahan jika berjumpa di padang dan negara itu tidak lagi berminat menjadikan Malaysia sebagai pasukan memanaskan badan apatah lagi untuk perlawanan persahabatan. Mereka  telah jauh meninggalkan Malaysia.

Hal ini berlaku bukan kepada bolasepak sahaja malah sukan-sukan yang lain pun menghadapi masalah yang sama. Lee Chong Wei belum ada pengganti. Rabuan Pit belum ada pengganti. Rekod Nashatar Singh belum dapat dipecahkan.  Lihat juga apa yang terjadi kepada sukan hoki. Tetapi tulisan ini tidak mahu menyentuh perkara-perkara itu malah tumpuan hanyalah difokuskan kepada bolasepak kerana inilah sukan nombor satu di Malaysia.

Semua yang berlaku ini gara-gara persatuan Sukan dikendalikan oleh Raja dan juga ahli-ahli politik. Raja-raja, termasuk putera-putera raja dan juga ahli-ahli politik amat tidak sesuai menggalas tugas tersebut kerana masa mereka terhad dan banyak perkara lain yang perlu ditumpukan.  Raja-raja harus sedar bahawa bukan sukan sahaja ‘rakyat’ mereka. Tumpuan harus diberi kepada perkara-perkara lain juga, bukan sukan sahaja.

Selama 31 tahun Sultan Ahmad Shah menerajui FAM, apa perubahan positif yang ditonjolkan selain dari prestasi pasukan menurun tahun demi tahun. Dahulu baginda dilantik menggantikan Tan Sri Hamzah Abu Samah kerana minat yang ditunjukkan baginda, dalam keadaan Malaysia di ranking yang sama dengan Korea dan Jepun. Sejak itu ianya turun sedikit demi sedikit sehingga terjadi seperti sekarang.

 Kita tidak payah menyesal kerana kita yang membiarkan keadaan ini berlaku. Semua pegawai tidak berani menegur ataupun pegawai-pegawai di FAM juga seperti baginda, hanya berada di situ kerana minat ataupun kepentingan yang lain. Kalaupun ada yang berani menegur, teguran tidaklah selantang mana kerana teringatkan nasib yang menimpa Datuk Ahmad Basri Akil yang kuat mengkritik FAM. Begitu juga dengan Datuk Seri Annuar Musa.

Ahli-ahli politik juga serupa. Baik jangan melibatkan diri dengan pengurusan persatuan. Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan juga para menteri cubalah jangan mencampuri pimpinan persatuan bolasepak mana-mana negeri. Tanggungjawab anda semua terlalu banyak, bukan bolasepak sahaja. Anda semua kenalah menguruskan seluruh rakyat. Itulah yang lebih utama. Jika terlalu berminat, jadilah seperti Sultan Kedah yang sanggup berjalan kaki ke Stadium Batu Kawan kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Ataupun berilah sumbangan dana untuk persatuan yang diminati. Itu adalah lebih baik dari menjadi bahan cemuhan di padang dan juga stadium.

Saya ambil contoh Persatuan Bolasepak Negeri Kedah. Bermula dari presiden hinggalah kepada beberapa Ahli Majlis, terdiri dari ahli-ahli politik. Presiden adalah Menteri Besar sendiri. Setiausaha Kehormat juga ahli politik iaitu Exco negeri. Pengerus-pengerusi jawatankuasa juga terdiri dari ahli politik. Contohnya Pengerusi Jawatankuasa Pengadil adalah Anggota Parlimen. Mereka ini semua tiada masa untuk  bertugas dalam pengurusan malah untuk menguruskan mesyuarat jawatankuasa mereka sekalipun.

Kalau sentiasa tiada masa, bagaimana tumpuan hendak diberikan kepada bolasepak dan persatuan amnya. Selama lebih seminggu saya berusaha untuk menemui Setiausaha Kehormat KFA. Saya terpaksa meminta bantuan Exco yang lain tetapi gagal juga. Akhirnya saya hubungi wakil beliau dan wakil tersebut berjanji akan menentukan satu tarikh dan masa untuk pertemuan tersebut tetapi malangnya sehingga hari ini sudah lebih seminggu tergantung begitu sahaja. Mesej sms dan whatsapp saya kepada wakil dan kepada YB  sendiri tidak berjawab.


Lalu saya membuat kesimpulan bahawa orang-orang politik dan berkepentingan usahlah memimpin persatuan sukan. Perkara penting yang boleh diselesaikan dalam beberapa jam boleh berpanjangan hingga beberapa hari. Dan apabila nasi sudah menjadi bubur, barulah kita menyesal tak sudah.

Monday, September 14, 2015

PAKAR BOLASEPAK NEGARA DAN APA KATA MEREKA

Berikut adalah beberapa pakar bolasepak negara yang meluahkan pandangan mereka selepas kekalahan Harimau Malaya 0-12 kepada UAE. Anda nilaikan sendiri di mana kaki mereka berpijak.

1. Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ):
   
     1.1. Malaysia perlukan kepakaran luar.
     1.2. FAM ditadbir oleh golongan yang tidak memiliki pengetahuan mengenai sukan bolasepak.

2. Wan Jamak Wan Hassan:
 
     2.1. Bolasepak Malaysia punyai banyak kepincangan.
     2.2. Kita memerlukan pakar yang mampu memberi bimbingan dan boleh menegur mengenai            teknikal dan taktikal.

3. Dali Omar:

    3.1. FAM ditadbir oleh orang tidak faham bolasepak sebaliknya mempunyai kepentingan peribadi.
    3.2. Orang dalam FAM gila kuasa, pegang berbagai jawatan.

4.  Datuk Namat Abdullah:

    4.1. Pemain negara terlalu jaga kaki, takut cedera lalu bermain tidak sepenuh hati.

5. Lim Chan Yew:

   5.1. Pemain negar tidak patriotik, tiada hati bermain untuk negara.
   5.2. Pemain kita hanya tahu mengejar populeriti.

6. Hassan Sani:

    6.1. Pemain hendaklah meletak maruah negara sebagai keutamaan.

7. YB Khairi Jamaluddin:

    7.1. Semua salah FAM.
    7.2 . Kita akan gantung FAM.

Anda nilakanlah sendiri yang mana boleh pakai.

Sunday, September 13, 2015

SUARA SUMBANG PAKAR BOLASEPAK


“Saya akan bersihkan FAM jika jadi Presiden.”

Sedap bunyi pengucapannya. Tinggi benar harapan yang dijanjikan. Itulah kata-kata yang terhambur keluar dari mulut seorang yang boleh dikatakan ‘pakar bolasepak negara’ iaitu TMJ sebaik sahaja Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan akan melepaskan jawatan secara berperingkat. Dan kebetulan ada pula beberapa pendapat supaya jawatan Presiden FAM diberikan kepada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Banyak lagi kata-kata yang dihamburkan oleh Tunku Ismail seolah-olah orang lain semuanya ‘bodoh’ dalam bolasepak. Sudah berpuluh tahun FAM berdiri, kerana kekalahan memalukan 10-0 kepada UAE, badan bolasepak itu seolah-olah menjadi pentas para pelawak. Ini ditambah pula dengan insiden rusuhan yang memalukan negara kononnya kerana kegagalan FAM juga.

Seolah-olah Tuanku Sultan Ahmad Shah tidak berbuat apa-apa selama 31 tahun menjadi presiden FAM. Baginda dan FAM diserang begitu hebat oleh TMJ yang baru berapa hari dikenali dalam bidang bolasepak. Benarkah Sultan Ahmad Shah dan FAM mencemarkan bolasepak negara selama 31 tahun?

Betulkah badan induk itu ditadbir golongan yang tidak memiliki pengetahuan bolasepak? Pandai sangatkah TMJ sehingga sanggup membuat andaian sedemikian? Jika setakat mengendali JDT, tidak usah cakap besar kerana JDT juga tidak ke mana. Tetapi bagaimana pula dengan pengakuan baginda  sebaik sahaja Harimau Malaya tewas 0-10 kepada UAE tempoh hari? Berikut adalah kenyataan baginda:

“Oh ya, saya akan teruskan misai saya untuk membunuh bolasepak tanahair. Bagi mereka yang mengatakan saya telah mencapai misi saya apabila tewas 10-0, masih jauh lagi kerana saya akan berhenti apabila kita tewas 50-0.”

Apakah jenis kenyataan itu? Sesungguhnya ia amat tidak bertanggungjawab. Seolah-olah seorang yang amat ‘kurang ajar’ mengucapkannya. Hakikatnya ia tidak sepatutnya terpacul keluar dari mulut seorang yang bercita-cita menjadi pemimpin dan presiden persatuan bolasepak tanahair. Dan sanggupkan dia nanti berhadapan dengan tohmahan dan kritikan yang serupa apabila menjadi pemimpin nanti?

Dan kita tentu masih ingat insiden menendang bendera penjuru  sesudah satu perlawanan yang melibatkan JDT. Semua orang tahu dan ramai yang menyaksikan siapa individu yang berkelakuan demikian. Adakah itu lagak seorang pemimpin persatuan bolasepak? Begitupun ada hati hendak menjadi Presiden FAM?

Hakikatnya, raja dan putera raja usahlah ghairah untuk memimpin persatuan bolasepak. Duduk sahaja di istana dan jadi peminat nombor wahid. Jangan pula nanti hilang rasa hormat dalam kalangan rakyat jika rajanya nanti adalah seorang yang celupar dan gemar melabel orang lain dengan label kurang enak. Biarlah rakyat biasa sahaja yang berkerja agar lebih senang keputusan dibuat. Satu hari anda akan jadi Sultan dan bukan bolasepak saja rakyat anda.


Thursday, September 10, 2015

HARIMAU MALAYA: TONIK KHAS DIPERLUKAN

Harimau Malaya tewas lagi. Walaupun perlawanan tergantung hakikatnya memang Malaysia tewas. Itu tidak kirta lagi hukuman dari FIFA sesudah kita ‘tebal muka’ di mata dunia. Rusuhan di minit 88 itu meragut semuanya biarpun dikatakan ketika itu Harimau Malaya giat melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan. Cuma kali ini pasukan dan juga FAM ada alasan terhadap kekalahan itu.

Dan selepas kekalahan memalukan itu muncul pula ramai pakar bolasepak yang selama ini senyap sahaja. Sebaik sahaja insiden buruk itu pakar-pakar ini begitu sibuk memberi pandapat dan kritikan-kritikan yang membina dan juga yang membelasah secara buta tuli.

Ada juga cadangan supaya FAM dibersihkan dengan menyingkirkan semua pegawai yang ada dan biar badan induk bolasepak itu dikendalikan oleh orang lain yang betul-betul faham apa itu bolasepak. Selama ini rupanya terdapat dalam kalangan pegawai FAM yang tidak faham bolasepak. Bernas juga cadangan itu.

Tetapi hakikatnya kemerosotan prestasi Harimau Malaya tidaklah seratus peratus kesalahan FAM. Tidak semua kesalahan harus diletak di bahu para pegawai itu. Para pemain juga seharusnya berasa bertangungjawab. Merekalah sebenarnya yang mencorak permainan di padang. Hendak salahkan jurulatih?
Jurulatih duduk di luar padang, apa ayang boleh dia buat? Setakat mundar-mandir di tepi garisan dan terjerit-jerit memberi arahan, apakah boleh merubah corak permainan? Jurulatih tidak salah malah tidak tergamak pula hendak menyatakan bahawa sebenarnya bolasepak di Malaysia ini tidak perlu ada jurulatih. Buang duit sahaja.

Ada cadangan untuk menggaji jurulatih dari luar negara, khasnya dari Eropah. Lihat kembali sejarah, sudah berapa banyak jurulatih luar yang FAM gunakan? Bukanya seorang dua tetapi semuanya gagal malah ada yang lari begitu sahaja. Masa mula-mula datang bukan main bersemangat hendak adakan program itu ini, akhirnya senyap dan sedar-sedar sudah ditamatkan kontrak.

Sejarah juga membuktikan bahawa jika pemain tidak serasi ataupun tidak gemar dengan seseorang jurulatih, berbagai cara mereka lakukan supaya Nampak pasukan merosot. Pemain menunjukkan protes secara senyap. Mereka lakukan kesilapan-kesilapan yang tidak ketara sehingga jurulatih itu berundur atau ditamatkan kontrak. Tanyalah kepada beberapa jurulatih Liga Malaysia samada benar atau tidak.

Satu ketika dahulu saya berkesempatan berbal kosong dengan beberapa pemain kebangsaan ketika waktu rehat sessi latihan. Mereka mengaku bahawa permainan mereka bergantung kepada berapa jumlah elaun permainan yang dijanjikan kepada mereka. Waktu itu masih lagi status amatur, jadi tidak ada gaji, hanya elaun permaian. Ada ayang mengaku bahawa jika diberi RM300 mereka akan bermain cara 300. Kalau diberi 500, mereka akan bermain secara 500. Dan pemain-pemain berkenaan sudahpun bersara lama dahulu.

Namun demikian, penyakit ini mungkin masih ada dalam kalangan pemain, kita bukannya tahu. Apa yang berlaku dalam padang adalah di luar kehendak jurulatih. Pemain sendiri haruslah bertanggungjawab.

Dahulu ketika negara rancak dengan Pestabola Merdeka, pasukan negara kita sering mara ke separuh akhir malah ke final bertemu dengan pasukan-pasukan gergasi Asia yang lain seperti Korea Selatan, Jepun, Iraq dan beberapa negara lagi. Sekarang mereka sudah jauh meninggalkankita. Mereka semakin naik dan kita semakin turun.

Bukan kerana jurulatih. Para pemain mereka sendiri yang mahu maju dan tidak pentingkan diri dan wang.  Kini kerana kesetiaan dan usaha mereka, wang datang mengejar mereka. Pemain kita? Pemain kita jelas dikatakan lebih gemar mengejar ‘glamour’. Sentiasa mencari nama dan buat diri jadi masyhur. Kita sendiri turut terlibat dalam mengejar glamour ini. Nama-nama pasukan dari berunsur tempatan diubah agar lebih glamour. Kelantan menjadi The Red Warrior, ATM dusebut sebagai Gladiator, JDT terus menjadi Southern Tiger. Ada pula pasukan menggelarkan diri sebagai Titan dan lain-lain lagi.


Nama sahaja gah bukan main tetapi tahap permaian mengalahkan pelajar sekolah menengah dalam pertandingan MSSM sahaja.

ALANG-ALANG ORANG SUDAH TAHU

Sesudah lebih 8 tahun tersingkir dari Jawatankuasa Pengadil KFA, kemasukan semula kali ini adalah dengan misi satu perubahan, semoga Jawatankuasa ini tidak menjadi seperti dahulu lagi. Cerita lama telah berlalu. Saya duduk dalam KFA sebagai Ahli Majlis selama beberapa penggal bermula tahun 1988 lagi. Begitu juga dengan Jawatankuasa Pengadil. Bermula dari tahun tersebut bersama-sama dengan beberapa tokoh seperti arwah Khalid Ariffin, Hamzah Mohamad, S. Balasundram, Syed Osman Syed Mansor dan beberapa orang lagi hinggalah saya disingkirkan.

Cerita saya disingkirkan memberi kesan yang amat mendalam. Pada waktu itu saya menulis surat kepada Setiausaha Kehormat KFA, Puan Salomi untuk membuat tuntutan perbelanjaan saya menghadiri satu taklimat mengenai 'vanue' di Wisma FAM, Kelana Jaya. Saya meminta bayaran perjalanan saya dari Kedah ke Kelana Jaya berserta perbelanjaan makan dan minum kerana saya pergi itu atas arahan KFA. Mulanya saya minta secara berjumpa beliau dan saya diminta membuat tuntutan secara rasmi untuk rekod.

Bayangkan bagaimana perasaan kita bila disingkirkan begitu sahaja sesudah surat rasmi mengenai tuntutan itu disampaikan. Tentulah timbul perasaan marah dan terkilan. Jadi kali ini kalau sayaa dipecat seperti dahulu, berbaloilah kerana apa ayang saya tulis ini adalah untuk kebaikan organisasi dan juga kebaiakan pihak-pihak yang bertanfggungjawab. Berbaloilah kerana niat saya ingin memperbetulkan supaya kita dilihat lebih profesional mengendalikan sesuatu. Kita berusaha memperbetulkan beberapa kepincangan dalam Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri.

Itulah harapan saya biarpun risikonya terpaksa saya tanggung selepas ini.

Ketika mesyuarat pertama pada Ahad 28 Mei 2015 di Stadium Darulaman, telah ditetapkan setiap Ahli Jawatankuasa mengendalikan unit-unit tertentu. Antara unit-unit tersebut adalah Unit Pembangunan, Unit Lantikan Tugas, Unit Penilaian, Unit Latihan dan Kecergasan, Unit Pembelajaran, Unit Kebajikan.

Sudah semestinya kita bertanggungjawab kepada unit yang diamanahkan dan telah ditetapkan. Tidak seharusnya pula kita mengganggu atau mengambil alih tugas yang dikendalikan oleh unit yang lain. Jika boleh begitu, saya juga rela dan mahu orang lain menjalankan kerja unit saya dalam tugasan itu.

Setiap unit itu pula telah digariskan tugas-tugas dan tugas ini tidak betindih antara satu dengan yang lain. Begitu baik susunannya sehingga tiada ruang untuk perkara lain mengganggu tugas masing-masing. Dan di akhir senarai unit-unit itu delengkapkan pula dengan En. ahmad Khalidi Supian sebagai Pegawai Perantaraan dan Perhubungan KFA dengan FAM.

Berikut adalah jumlah tugasan unit-unit yang disebutkan:
1. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi:
    4 tugasan

2. Setiausaha Kehormat (Wakil KFA):
    5 tugasan

3. Pegawai Pembangunan Pengadil:
    9 tugasan

4. Unit Lantikan Tugas:
    5 tugasan

5. Unit Latihan dan Kecergasan:
    5 tugasan

6. Unit Penilaian:
    4 tugasan

7. Unit Kebajikan:
    3 tugasan

8. unit Pembelajaran:
    4 tugasan

Ketika senarai tugas itu dikeluarkan PPP negeri Kedah adalah digalas oleh En Joseph Anthonisamy. Apabila tempat A. Joseph diambil alih oleh En. Rosmahadi Hashim, saudara Joseph menyerahkan tugasnya kepada En. Rosmahadi dan dia sendiri memangku tugas Rosmahadi sebelum itu di Unit Kebajikan.

Itu sudah jelas.

Kita semua sudah dewasa malah ada yang terlebih dewasa. Perlukah kita mengabaikan janji kita? Tentu sekali tidak. Buatlah kerja masing-masing mengikut tugas unit masing-masing tanpa menindih tugas orang lain kerana orang lain juga hendak menjalankan amanah yang diberi kepadanya.

Jika ini terjadi (pertindihan tugas) bukan sahaja kita yang membuat dasar dan keputusan ini keliru, malah para pengadil di luar sana yang tidak tahu apa-apa akan jadi lebih keliru. Kasihan kepada mereka yang berbakat andainya Unit Pembangunan tidak berbuat sesuatu. Susunlah aktiviti pembangunan, unit pembelajaran serta unit-unit yang lain tidak akan tengok sahaja. bantuan dan nasihat pasti mencurah datang.

Insyaallah!

Tuesday, September 8, 2015

JAWATANKUASA PENGADIL KFA: BERBALOIKAH MASUK SEMULA?

Sesudah lebih 8 tahun menyepi dan tidak ambil peduli, akhirnya sesudah dipujuk dan diminta bertubi-tubi, saya masuk semula mengganggotai AJK Pengadil KFA dengan satu tekad mahu membawa  struktur pengadil bolasepak Kedah ini kepada satu bentuk pengurusan yang lebih baik dari sebelumnya. Walaupun saya pernah berada dalam pengurusan KFA sebagai Ahli Majlis dan juga Ahli Jawatankuasa Pengadil semasa era Semi-pro dahulu di bawah pengurusan Allahyarham Dato' Ahmad Basri Akil, kemasukan kali ini mungkin dari persepsi yang berbeza.

Dahulu ketika menjadi Ahli Majlis dan AJK pengadil, saya masih aktif di padang dan juga di luar padang. Kali ini seperti yang dijanjikan kepada saya, tugas tidaklah terlalu rumit, hanya sekadar menguruskan pendaftaran dan pengurusan pembelajaran para pengadil di Kedah khasnya yang bernaung di bawah KFA.

Sebelum bersetuju, saya diberi maklumat bahawa kedudukan para pengadil di Kedah amat tidak teratur dan berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil yang dikepalai oleh beberapa bekas pengadil yang ternama pada masa-masa lalu. Malangnya kumpulan-kumpulan ini tidak pernah boleh duduk bersama untuk menyelaras atau berbincang demi kebaikan mereka. Itulah yang sampai ke telinga saya pada mulanya. Dan bila saya hadir bermesyuarat, perkara tersebut didapati benar.

Ada daerah yang langsung tidak mempunyai seorang pengadilpun. Daerah Baling hanya ada seorang pengadil yang berdaftar dengan KFA. Daerah Yan hanya ada dua orang. Selebihnya adalah pengadil dari daerah Padang Terap, Kulim, Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar dan Kuala Muda. Tetapi di semua daerah ini terdapat beberapa kumpulan kecil seperti yang disebutkan tadi.

Bila ada apa-apa perlawanan, ketua-ketua kumpulan inilah berebut-rebut melantik orang mereka sendiri tanpa mengira kebolehan dan prestasi lagi. Hinggakan mutu pengadilan sering dipertikaikan dan keputusan perlawanan diragui.

Ahli-ahli Majlis dan juga Setiausaha Kehormat digunakan semaksimanya oleh beberapa ketua kumpulan pengadil ini untuk mendapat kebenaran membuat lantikan. Bila diberi lampu hijau untuk melantik, mereka akan memilih orang mereka sahaja tanpa menghiraukan prestasi dan kebolehan. Biar pengadil kebangsaan sekalipun, kalau bukan dari kumpulan mereka, diketepikan begitu saja.

Jadi kemasukan saya dan beberapa orang 'baru' kali ini adalah dengan misi untuk melenyapkan kumpulan-kumpulan ini agar para pengadil boleh berada dalam satu payung dan semuanya berada dalam senarai Pengadil KFA. Untuk itu pendaftaran semula dan satu ujian kecergasan diadakan di Stadium Darulaman pada 15 Ogos yang lalu. siapa yang hadir untuk ujian itu didaftarkan dalam senarai yang dimaksudkan. hanya orang-orang ini sahaja yang sah dilantik untuk mengadili apa-apa perlawanan naungan KFA. Diharap tidak ada lagi kumpulan-kumpulan seperti sebelum ini dan perlantikan hanya dibuat oleh Unit Lantikan JK Pengadil KFA.

Hasrat bukan main murni. Malangnya perkara ini tidak dihayati dengan baik oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA dan juga Setiausaha Kehormat KFA. Hal ini terjadi mungkin kerana mereka tidak hadir ketika mesyuarat diadakan dan juga kerana ketiadaan Minit Mesyuarat. Setiap kali mesyuarat tiada pencatat minit yang akan dikemukakan kepada pihak pengurusan.

Keadaan ini telah dieksploit dengan baik pula oleh Pegawai Pembangunan Pengadil KFA dengan meminta keizinan SU Kehormat untuk membuat lantikan pengadil bagi beberapa perlawanan akhir-akhir ini sehingga mengenepikan unit Lantikan yang diputuskan dalam mesyuarat AJK Pengadil KFA sendiri. Hasil dari itu terdapat beberapa kejohanan yang diberi kepada beberapa pengadil yang asalnya dari kumpulan tertentu. Tidak diambil kira lagi samada ada dalam senarai pendaftaran ataupun yang datang ujian kecergasan yang lalu. Kerana itu timbul beberapa keputusan dan juga datang beberapa bantahan dari beberapa pihak dengan menyalahkan Jawatankuasa Pengadil yang tidak tahu apa-apa.

Kemuncak dari itu, dalam perlawanan persahabatan antara pasukan Kedah menentang Kelantan baru-baru ini Pengadil 4 diberi kepada seorang pengadil wanita, seolah-olah perlawanan itu tidak penting dan hanya untuk suka-suka. Seolah-olah ianya satu pertunjukan. Saya bukan menafikan kebolehan wanita tersebut tetapi ianya sama sekali tidak sesuai.

Jadi selepas ini diharap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil dan juga Setiausaha Kehormat dapat hadir bermesyuarat agar mereka dapat mengetahui hasrat semua AJK dan boleh bertindak mengikut keputusan mesyuarat. Jawatanakuasa Pengadil hendaklah mengadakan seorang pencatat minit dan menyediakan minit mesyuarat agar boleh menjadi panduan semua pihak

Sekian. Terimakasih.

Sunday, September 6, 2015

HARIMAU MALAYA IBARAT HARIMAU LUKA

Sebaik selesai perlawanan antara Harimau Malaya dengan UAE, datang perasaan yang bercampur-campur. Timbul rasa sedih, rasa terkilan, rasa marah dan rasa malu. Tetapi yang penting ada juga rasa hendak ketawa puas-puas akibat kekalahan itu.

Kita sedih kerana Harimau Malaya tidak dapat ke mana-mana kerana tewas lagi. Kita terkilan kerana harapan ke Piala Dunia jauh dari gapaian dan semakin gelap. Kita marah kerana melihat pemain-pemain seolah-olah budak-budak sekolah bermain bola. Dan kita malu kerana kekalahan itu amat memalukan. Dah selebihnya kita ketawa kerana tewas begitu mudah dengan jaringan yang amat besar setakat ini, 10-0. Belum pernah lagi skuad negara tewas dengan jaringan sebesar itu.

Bukan kita sahaja yang terkejut dengan jaringana itu. UAE sendiri seolah-olah tidak percaya mereka boleh menumpaskan Harimau Malaya dengan begitu mudah dan banyak gol pula dihasilkan.

Kata orang kita tidak boleh salahkan pemain dan jurulatih. Alasan ada berbagai-bagai telah disediakan oleh FAM, jurulatih dan juga pemain. Alasan yang paling awal dikeluarkan adalah pemain-pemain keletihan akibat jadual liga tempatan yang padat. Betulkah? Tak semena-mena dan tak disangka-sangka jadual perlawanan Liga Malaysia menjadi ‘kambing hitam’.

Ada cadangan supaya pasukan dibubarkan dan diambil pemain yang lain bagi menghadapi sisa perlawanan pusingan kelayakan piala dunia ini. Ada pula ‘pakar bolasepak negara’ yang begitu sinis menempelak pasukan, jurulatih dan FAM, menyatakan dengan angkuh bahawa dia masih lagi belum puas dalam misi menjahanamkan bolasepak tanahair. Baginda akan merasa senang bila pasukan kebangsaan dibolosi 50 gol. Begitu angkuh TMJ seolah-olah baginda tahu semua selok-belok perjalanan bolasepak sedangkan baru beberapa tahun ini baginda mencebur diri dalam sukan ini.

Pasukan boleh dibubarkan. Jurulatih boleh meletak jawatan. Tetapi halatuju bolasepak negara tetap perlu diteruskan oleh FAM, badan yang bertanggungjawab biar apa saja ugutan dan seranah siapa saja yang  sampai ke telinga.

Jadi apakah langkah FAM selepas ini akan menjadi perhatian dan sindiran. Tentang siapa pengganti Dollah Salleh tidak penting tetapi yang utama siapa akan menguruskan pasukan Harimau Malaya untuk perlawanan menentang Arab Saudi pada Selasa depan.

Perlantikan Datuk Ong Kim Swee bukannya penyelesaian masalah tetapi mungkin boleh menjadi pengubat luka Harimau Malaya. Biarlah dalam masa yang singkat ini beliau akan berjqya menaikkan semula semangat pemain-pemain dan setidak-tidaknya kalah dengan jaringan yang lebih kecil.


Harap-harap begitulah.

Friday, September 4, 2015

BIASALAH: MEREKA BELUM SERASI

Akhirnya keputusan rasmi diketahui umum juga. Malaysia kena 10-0. UAE menang bergaya dan berjy memalukan Malaysia yang entah berapa tahun kebelakangan ini menari-cari arah dan penawar untuk membentuk satu pasukan yang jitu. Akhirnya Malaysia atau Harimau Malaya tewas dengan keadaan yang amat memalukan. 10 gol bukannya sedikit.

Pastinya FAM sudah ada jawapan terhadap prestasi buruk ini. Alasan yang cukup biasa. Para pemain belum cukup serasi. Latihan dalam masa yang singkat tentunya tidak dapat menyediakan pasukan yang mantap. Lagi pula ada pemain yang bagus cedera di saat akhir menyebabkan jurulatih tidak sempat menyediakan pemain pengganti.

Teringat kembali zaman persekolahan dahulu. Kami biasa kena belasah hingga 12-0. Bukan main marah guru-guru. Tetapi Pengetua tahu apa sebenarnya berlaku. Dia tahu kami memang tidak berminat untuk bermain. Kami hanya berminat untuk belajar. Main hanya untuk suka-suka dan bertanding hanya untuk melengkapkan jadual. Kalah awal lebih bagus, tak payah pihak sekolah menghabiskan duit untuk perlawanan yang seterusnya. Jimat belanja.

FAM pun mungkin begitu. Cukup setakat pusingan awal sahaja, jimat belanja. Apa susahnya, wang boleh dibelanjakan untuk hal-hal lain. Lagipun Presiden FAM sudah menjadi Exco FIFA sekarang ini.

Dan jurulatih Dolah Salleh tidak payah runsing. Gelaran 'DATUK' tetap ada menanti beliau. Masanya akan tiba kerana jurulatih adalah tiket untuk gelaran itu. Dan jurulatih usah risau, tiada siapa yang nak salahkan beliau kerana awal-awal lagi telah memberitahu bahawa dia sedang mencari kersersian pemain. Pemaian tidak serasi, apa nak buat.


KALAU YANG BARU SERUPA JUGA SEPERTI YANG LAMA?


Kata orang jika ada yang baru, tapi masih juga seperti yang lama, lebih baik tidak diubah kepada yang baru. Lebih baik dikekalkan seperti yang lama. Itu adalah lebih selesa dan tidak mengecilkan hati sesiapa.

Situasi itulah yang melanda KFA sekarang ini tetapi tiada siapa tahu dan menyedarinya. Biarlah sejauh mana persatuan melangkah dan apa saja kejayaan dicapai, asas di akar umbinya hendaklah tegap dan teratur dengan baik. Kalau akarnya tidak menentu cengkamannya di bumi, usah harapkan kejayaan akan kekal lama. Dan KFA harus tidak lena memanjang dibuai kejayaan gemilang.

Lihatlah satu cabang persatuan yang tidak kurang pentingnya, Jawatankuasa Pengadil Bolasepak. Walaupun lekeh namanya dan ia tidak populer seperti Jawatankuasa Kejurulatihan, sumbangan JK Pengadil ini harus tidak diletak di tepi sahaja.

Ahli Majlis KFA yang bermesyuarat tentunya tidak pernah fokuskan kepada Jawatankuasa Pengadil ini. Laporannya sentiasa selesai dan beres. Begitulah agaknya persepsi yang ditonjolkan oleh Pengerusi JK ini kepada Majlis KFA. Hakikatnya tidaklah seperti yang digambarkan. Berbagai duri menikam kaki dan berbagai gambaran tidak enak mewarnai suasana seluruh organisasi pengadil di Kedah.

Dalam mesyuarat JK Pengadil telah disusun dan di agihkan tugas. Kalau dilihat senarai yang terlibat dengan tugas masing-masing, alangkah cantiknya jika betul berlaku seperti yang dirancang. Tetapi tidak. Masing-masing menggunakan kuasa masing-masing dan perlantikan pengadil bertugas dalam liga-liga tempatan menjadi cacamerba. Kuasa itulah puncanya.

Dan pihak KFA (tidak pasti pula siapa) memberi kuasa secara membuta tuli tanpa mengambil kira agihan tugas yang telah diputuskan. Akibatnya terlalu banyak protes dan asakan dari para ahli pengadil terhadap beberapa perlantikan itu.

Yang ini harus diperhatikan, usah terlepas pandang. Dan sesekali Setiausaha Kehormat KFA atau Pengerusi Jawatankuasa Pengadil sendiri harus ada di dalam mesyuarat yang diadakan. Sekurang-kurangnya mereka dapat mengetahui tentang apa yang dibincang dan diputuskan.

Sekian.