Sunday, October 5, 2008

MAT: INSAN BERTUAH

Sejak berita mengenai Mat atau Mohd. Norshahrul Amri bin Anuar mula tersiar dalam akhabar Utusan Malaysia pada 6 September 2008, hampir setiap hari ada sahaja cerita mengenai beliau disiarkan oleh akhbar yang sama. Cerita mengenai beliau boleh kita tatap setiap hari. Dan sekarang Mat mengharungi hari-hari yang penuh ‘glamour’.

Begitu jugalah, rumah beliau tidak putus-putus dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat untuk meninjau dan memberi sumbangan kepada keluarga ‘malang’ ini. Mereka merupakan peniaga nasi bungkus sepanjang bulan Ramadan yang baru lepas. Terima kasih rakyat Malaysia yang ternyata amat penyayang, perihatin dan pemurah. Dan yang terbaru semalam ialah sumbangan daripada Dewan Pemuda Masjid Malaysia yang rasanya memnyampaikan sumbangan terbesar setakat ini.

Daripada Dewan Pemuda Masjid Malaysia itu, Mat mendapat biaya sebanyak RM300 sebulan, RM300 lagi untuk kelengkapan pergi ke sekolah dan RM1000 lagi untuk perbelanjaan Mat sekeluarga. Harus diingat bahawa bantuan RM300 itu adalah jauh lebih tinggi daripada pemberian biasiswa kerajaan kepada pelajar miskin lain yang hanya mendapat RM70 sebulan. Rasanya dengan wang sebanyak ini, Mat akan lebih selesa belajar dibanding dengan pelajar lain yang miskin yang hanya bergantung kepada biasiswa.

Dan hari ini Mat akan pergi ke sekolah semula. Kita lihatlah nanti, mungkin SMK. Yan hari ini dipenuhi wartawan yang akan membuat liputan tentang Mat yang mula bersekolah semula. Oleh kerana beliau belajar di sessi petang, tengahari nantilah kita sama-sama tengok.

Mat tentu akan ke sekolah semula hari ini kerana mengikut ceritanya dia berhenti sekolah kerana mencari rezeki untuk menyara 8 orang adiknya seperti petikan berita hari ini “Dia sanggup berhenti sekolah walaupun hatinya mahu meneruskan persekolahan”. Harap-harap kata-kata ini menjadi kenyataan. Mat akan meneruskan persekolahannya hingga tamat. Setidak-tidaknya sehingga Tingkatan Lima.

Saya berkata begitu berdasarkan beberapa faktor. Sebenarnya Mat bukan berhenti sekolah tetapi ponteng sekolah. Bagi penduduk di sekitar pekan Yan dan Kampung Titi Bakong ini, kami sudah memahami situasi ini. Bukan Mat seorang yang dilanda sindrom ponteng ini. Pada awal pagi Mat akan pergi sekolah seperti biasa tetapi sekejap sahaja. Oleh kerana minatnya bukan untuk belajar, beliau lari dari kelas dan balik ke rumah. Kadang-kadang Mat tidak pergi ke sekolah langsung. Tidak ada siapa yang menegur beliau termasuk juga ibunya sendiri.

Kami penduduk Titi Bakong amat terkejut apabila berita tentang Mat ini tersiar kerana apa yang sebenarnya tidak berlaku seperti yang diceritakan. Apatah lagi ada pula tuduhan-tuduhan seolah-olah masyarakat tempatan tidak ambil peduli. Ada juga yang menuduh pihak sekolah telah mengabaikan tanggungjawab. Ada juga yang mengaitkan JKKK dan Imam dalam hal ini. Sebenarnya adik Mat iaitu Mastuti telah diberikan biasiswa kerana Mastuti lebih baik sedikit daripada Mat dari segi kehadiran dan juga akademiknya. Memang benar ayahnya dipenjarakan, tetapi berulang-ulang kerana kesalahan yang sama.

Saya bimbang cerita yang sama mungkin timbul lagi selepas ini dan orang-orang yang budiman akan menyalurkan bantuan kepada orang yang salah. Dan harapan saya agar bantuan yang disumbangkan biar kena pada tempatnya.

Masih ramai lagi kanak-kanak lain yang lebih ‘malang’ yang rajin belajar tetapi terpaksa berhenti kerana kemiskinan. Ada pelajar yang lain terpaksa bergilir dengan adik pergi ke sekolah kerana hanya mempunyai satu basikal dan tinggal di tempat yang jauh. Ada juga pelajar yang tidak dapat pergi ke sekolah setiap hari kerana terpaksa menjaga ayah yang sakit lumpuh. Macam-macam lagi kesusahan orang lain tapi tidak pernah dijengah wartawan.

Walau bagaimanapun, saya mengucapkan selamat sejahtera kepada Mat dan adiknya Mastuti yang sebelum ini kerap ponteng sekolah. Diharap selepas ini Mat tidak ponteng lagi kerana apa yang beliau perolehi adalah lebih baik dari pemegang-pemegang biasiswa dari kerajaan dan mana-mana Badan Berkanun.

Tahniah!

No comments:

Post a Comment