Friday, December 25, 2015

SENANGNYA MENCARI WANG DI MALAYSIA

1. Mencari rezeki halal bukan perkara yang mudah bagi orang Malaysia tidak kira apa bangsa dan etniknya. Rezeki yang halal dan penuh barkah bukanlah senang digenggam. Kita harus mencari pekerjaan dan pekerjaan itu pula tentulah dari saluran yang betul dan halal. Barulah rezeki itu mendapat berkat dalam hidup kita. Dan rezeki itu pula kita kongsikan bersama anak isteri dan kaum keluarga. Kadang-kadang sahabat handai juga boleh tumpang gembira dengan rezeki kita itu.

2. Lain halnya dengan orang luar. Mudahnya mereka mendapat wang dari simpati orang ramai khasnya rakyat Malaysia sendiri. Berpakaian dan menampilkan diri dan wajah yang alim dan warak, tunggulah di simpang-simpang jalan dan di tempat tumpuan orang ramai, dalam sekejap waktu sahaja tabung mereka pasti terisi dengan jumpah yang memberangsangkan.

3. Tengahari tadi Jumaat 251215, saya melihat sendiri betapa warga asing ini bergegas turun masjid sebaik sahaja selesai salam solat Jumaat dan berdiri di pintu pagar masjid dengan memegang sekeping gambar dan sedikit risalah. Di sampingnya juga ada sebuah beg derma yang akan digunakan untuk mengisi wang derma.


4. Apabila orang ramai mula turun dari masjid selepas selesai doa oleh tuan imam, pemungut derma ini menadah begnya kepada orang yang lalu lalang. Dan ada antara orang ramai yang lalu itu amat pemurah menghulur derma dengan senyum di bibir tanda keikhlasan masing-masing.


5. Mudahnya mereka mendapat wang. Entah berapa jumlahnya tidak dapat dipastikan. Dan rakyat Malaysia yang datang bersolat pula begitu pemurah serta banyak wang. Sebelum itu sudah menderma dalam tabung masjid, sekarang menderma pula untuk orang ini. Entah datang dari mana dan kebenaran siapa, tak ada siapapun peduli.

6. Itulah! Mudahnya mencari wang di Malaysia. Dan pemurahnya rakyat Malaysia!

Saturday, December 19, 2015

LIGA BOLASEPAK RAKYAT: UNTUK SIAPA?


Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) adalah sesuatu yang amat terpuji dengan hasrat membantu membangunkan sukan bolasepak negara. Melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan selanjutnya disalurkan kepada persatuan-persatuan bolasepak negeri merupakan prosedur biasa dalam pengendalian sukan tersebut. Liga diwujudkan untuk rakyat dengan hasrat mencungkil bakat dan member sebanyak mungkin peluang bermain di samping mencungkil dan memupuk bakat yang ada di kalangan belia.

Namun begitu, seperti penganjuran sukan-sukan yang lain, di samping perkara-perkara yang baik, ada juga kelemahan-kelemahan di sana-sini yang boleh dijadikan panduan untuk penambah-baikan di penganjuran yang lain dan akan datang. Semoga LBR dapat dimurnikan lagi pada masa yang lain. Saya berpendapat demikian setelah melihat apa yang terjadi dalam penganjuran LBR di negeri Kedah dan diharapkan ia tidak terjadi di negeri-negeri yang lain.

Pihak penganjur LBR diharap dapat mengubah sedikit format pertandingan supaya perlawanan-perlawanan terutama di penghujung liga tidak menjadi hambar dan lesu. Format pertandingnan yang baik akan lebih merancakkan setiap perlawanan dan keadaan akan lebih mencabar kepada setiap pasukan yang mengambil bahagian.

Dengan hanya mengambil satu pasukan dari setiap kumpulan yang bertanding untuk ke peringkat selanjutnya, menyebabkan ada pasukan yang tidak lagi mahu meneruskan perlawanan terutama pasukan yang harus bertandang ke tempat lawan kerana ia merugikan perbelanjaan yang bukan sedikit sedangkan perlawanan sekadar memenuhkan jadual sahaja. Menang atau kalah sudah tidak member kesan apa-apa kerana pasukan teratas di setiap kumpulan sudah diketahui. Kalaupun ada yang meneruskan perlawanan, hanyalah sekadar ‘berpesta’  di tempat lawan atau sekadar makan angin sahaja.

Sekiranya pihak penganjur (KFA) lebih peka, senaraikan empat pasukan dari setiap kumpulan untuk meneruskan pertandingan ‘kalah-keluar’ secara timbal balik. Ini akan merancakkan lagi pertandingan dan pasukan lain selain johan kumpulan masih boleh mengharapkan keajaiban untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bagi LBR di negeri Kedah, dalam setiap kumpulan dimasukkan pasukan-pasukan dari negeri Perlis yang wakilnya  berdasarkan kawasan parlimen masing-masing iaitu 3 pasukan.Dan secara total pasukan-pasukan dari negeri Indera Kayangan ini mendominasi setiap kumpulan dan akan mewakili kawasan utara ini ke peringkat kebangsaan nanti.


Kabarnya ada antara pasukan yang menjadi johan kumpulan tersebut terdiri daripada para pemain Piala Emas Raja-raja yang mewakili Perlis. Dan pasukan dari negeri Kedah terkubur begitu sahaja tanpa ada lagi wakil ke peringkat kebangsaan. Negeri Kedah tidak lagi terlibat dengan LBR kerana sudah tidak ada wakilnya.

Friday, December 18, 2015

UMPAMA ANJING MENYALAK BUKIT

1. Tahun 2015 hampir melabuhkan tirainya tidak berapa hari lagi dan tahun baru 2016 bakal tiba tidak lama lagi. Tahun yang penuh dengan cabaran demi cabaran akan berlalu dan digantikan dengan tahun yangbaru yang keadaannya belum menentu. Harap-harap ia akan lebih baik dari tahun sebelumnya sebagaimana kita berharap semasa akhir tahun 2014 dahulu.

2. Dahulupun kita berharap perkarta yang sama, semoga ia lebih baik dari tahun sebelumnya. Rupaanya harapan tinggal harapan dan keadaan masih juga berlaku benda yang serupa. segala aspek hidup menekan kita dari segenap sisi dan segala rintihan dan keluhan serta harapan kita hanyalah seumpama anjing menyalak bukit. Anjing jadi letih dan bukit tetap tidak peduli, masih tegak berdiri.

3. Kita digembar-gemburkan dengan GST yang kononnya melegakan sewdikit ekonomi kita dengan kadar cukai yang lebih baik tetapi akhirnya disajikan dengan harga barang yang semakin melonjak dengan sistem cukai baru itu. Dan pihak berwajib lepas tangan dengan memberi alasan peniaga sengaja tidak buang kadar cukai lama tetapi sebaliknya menambah pula kadar cukai 6% yang baru. kita yang menjadi rakyat ini juga yang salah dan menjadi mangsa. Segala protes tidak dipedulikan dan akhirnya perkara itu dibuat tidak tahu sahaja. 

4. Sekarang tambang pengangkutan semakin bertamabah tinggi. Alasan amat mudah diberikan iaitu untuk tambahan menampung kos operasi. kita pula yang diberi tanggungjawab menyelesaikan masalah kos operasi syarikat yang buat bisnes. Tambang tinggi dan kadar tol dinaikkan dan terpaksa dibayar pengguna untuk menyelesaikan masalah syarikat konsesi. Pelik bunyinya tetapi umpama anjing menyalak bukit juga. keadaan tidak juga berubah. Sebagai hendak ambil hati, diisytiharkan bahawa setiap pengguna berbagai peringkat diberi diskaun, bermacam-macam bentuk diskaun sehingga mengelirukan kita. Daripada diberi diskaun lebih baik kadar tambang itu tidak dinaikkan. Sama sahaja.

5. Nanti tahun 2016, kadar tol lebuhraya akan dinaikkan lagi. Kadar taarif TNB juga naik. alasan yang diberikan adalah serupa, untuk menampung kos operasi yang semakin meningkat. Entahlah operasi apa tetapi harga petrol semakin turun. Dan sedar-sedar di awal tahun nanti kita mendengar para pegawai dan kakitangan TNB menerima bonus yang bukan sedikit. Rupanya itulah operasinya.

6. Mereka buat perniagaan, kos operasinya kita yang bayar. Mereka rugi, kita juga yang disuruh bayar. Bila untung, mereka terima bonus dan berbagai insentif kononnya kerana komited dengan syarikat dan berbagai alasan lagi. Setiap yang ditegur dan dirintih, hanya umpama ANJING MENYALAK BUKIT. 

Sunday, November 29, 2015

BOLA ITU BULAT......


Menyaksikan perlawanan sukuakhir kedua antara PKNS menentang Kedah di stadium Selayang malam tadi umpama menyaksikan satu persembahan teater yang ramai pelakonnya. Atau umpama pertunjukan sarkas yang memaparkan betapa jinaknya pemain-pemain sarkas tersebut. Itulah bolasepak di Malaysia dan sesuai bila dikatakan ‘bola itu bulat’. Dan dengan keadaan bulat itu, sukar hendak dijangkakan yang mana depan dan yang mana belakang serta yang mana pula sisinya.
Perlawanan tersebut juga menyaksikan betapa matangnya para pemain dan tenangnya seorang pengadil. Dalam  situasi seperti malam itu, andainya pengadil itu bukan manusia istimewa, sudah pasti stadium tersebut berubah menjadi gelanggang silat dan sudah pasti beliau dibawa keluar melalui pintu belakang atau pintu rahsia.

Begitulah sifat yang sepatutnya ada pada diri kita iaitu tidak mudah dipengaruhi perasaan. Memang semua orang hendakkan kemenangan, tetapi perasaan marah dan segala jenis tekanan diletak di tepi agar manusia berbaju hitam itu dapat menjalankan peranannya dengan baik untuk tempoh yang masih panjang. Syabas diberikan kepada para penonton dan penyokong. Dan syabas juga harus diberikan kepada sang pengadil serta para pemain yang ternyata amat penyabar dan tenang walaupun membuat keputusan yangh boleh dipertikaikan.

Peristiwa itu juga boleh dijadikan pengajaran kepada organisasi bolasepak, pasukan-pasukan, para pemain dan tidak ketinggalan juga para pegawai khasnya para pengadil bolasepak tak kira di mana sahaja.

Meraikan jaringan biarlah berpada. Usah sampai leka dan membiarkan pasukan lawan harus menanti anda. Tidak payah berlari dan berpelukan sehingga lupa bahawa permainan masih panjang dan berapa lama pasukan lawan harus menanti anda.

Dan pengadil haruslah bertindak bukan sahaja mengikut undang-undang permainan malah mesti ada satu lagi faktor dalaman iaitu dinamakan ‘budi bicara’. Walaupun tindakan anda belum dipastikan betul dan mengikut peraturan, tetapi hakikat kegembiraan membuat jaringan yang penting harus diambilkira. Sudah tentu anda sudah dapat menjangkakan pihak penjaring gol akan meraikan jaringan dan anda boleh mengarahkan mereka bersedia memulakan semula permainan. Peranan pegawai keempat dan Penolong Pengadil 1 boleh membantu.

Apa yang dilakukan pengadil mungkin selaras dengan Undang-undang 8 iaitu Permulaan dan Memulakan Semula Permainan. Perkara ini dinamakan Sepak Mula yang boleh didifinisikan seperti berikut: Sepakmula adalah suatu cara untuk permulaan atau memulakan semula permainan. Permulaan permainan dan permulaan separuh masa kedua adalah terletak di bawah maksud memulakan permainan manakalah memulakan selepas jaringan gol dipanggil memulakan semula permaian. Selepas sesuatu pemberhentian tanpa kesalahan, permaian dimulakan semula juga tetapi dengan jatuhan bola.

Setiap kali memulakan semula permainan, pemain mesti berada dalam kawasan sendiri dan bola diletakkan di tengah-tengah tidak bergerak. Pengadil mestilah member isyarat dan bola dikira dalam permaian sebaik sahaja bergerak ke hadapan. Dan dalam Undang-undang 3 (Bilangan Pemain) ada dinyatakan  permainan tidak boleh dimulakan sekiranya satu pasukan mempunyai kurang dari 7 pemain.

Apa yang berlaku malam itu, pemain pasukan Kedah mungkin cukup 7 orang di bahagian padangnya pada pandangan pengadil dan beberapa orang berada di luar padang sedang asyik meraikan jaringan. Yang menjadi kontroversi adalah sebab pengadil tanpa budi bicara memulakan semula permaianan tanpa menanti mereka masuk semula ke padang seperti dalam perlawanan-perlawanan yang lain.

Walaupun pengadil bertindak betul dari segi itu, ia kelihatan pelik sedikit. Tambahan pula inilah kali pertama kejadian seperti ini terjadi. Namun pujian harus diberikan kepada pengadil malam itu kerana keberaniannya meneruskan permainan dan kelihatan sentiasa tenang semasa membuat keputusan dan hukuman selepas itu. Syabas!


Dan pasukan-pasukan lain ambillah ingatan bahawa segala kemungkinan boleh berlaku. Hendak meraikan jaringan pun biarlah berpada. Selebihnya ingatlah bahawa ‘bola itu bulat’.

Tuesday, November 24, 2015

APA SUDAH JADI DENGAN MAJLIS DAERAH YAN?

Di daerah Yan dalam Kedah ini ada beberapa pekan kecil yang mewarnai kegiatan  penduduknya yang berbagai kaum dengan majoritinya adalah Melayu, diikuti dengan Cina dan satu keluarga India. Keluarga India ini, oleh kerana saru-satunya famili di sini, dapat hidup dengan harmini bersama masyarakat Melayu dan amat fasih berbahasa Melayu. 

Berbanding dengan kaum Cina pula, oleh kerana mereka terdiri dari komuniti yang ramai juga dan tinggal di pekan-pekan utama sebagai peniaga dan pekerja swasta. Oleh kerana komuniti ini ramai, hidup mereka benar-benar terasing dan pertuturan melayu mereka bercelaru sedikit malah ada ayang memang tidak boleh bertutur dengan baik. Kebanyakan mereka membuka kedai berbagai jenis dari barang runcit, bengkel dan juga kedai-kedai hardware. Dan mereka hidup begitu sejak berpuluh tahun.


 Walaupun bilangan mereka tidak ramai manapun, kegiatan perniagaan mereka amat berjaya dan berkembang dengan bagusnya. Dan sedikit sebanyak peranan Majlis Daerah Yan 'membantu' mereka menjayakan lagi perniagaan walaupun majoriti pembeli adalah kaum Melayu yang ada kedaipun 'hidup segan mati tak mahu'.

Ada gerai Melayu di pekan Yan Kechil diarahkan berpindah atas alasan mengganggu laluan dan disediakan gerai baru yang tempatnya menyulitkan orang hendak membeli. Beberapa kali para peniaga Melayu ini terutama yang menjual buah-buahan mengeluh atas tindakan Majlis Daerah Yan itu tetapi apa boleh buat, terpaksa juga berpindah. Dan dari tinjauan yang dibuat, perniagaan mereka terjejas juga kerana prasarana dan kedudukan gerai itu menyulitkan.


Hal ini berbeza dengan para peniaga Cina. Mereka meletak barang niaga mereka sesuka hati. Mereka menggantung barang memenuhi ruang pejalan kaki dan kaki lima kedai memang telah menjadi hak mereka, siap berpagar. Barang digantung sehingga orang berjalan kaki terpaksa turun ke jalanraya. Dan Majlis Daerah Yan tetap juga 'lena' kerana mereka ini adalah peniaga Cina, bukannya peniaga Melayu.


Begitu jugalah di pekan-pekan lain di daerah ini. Di Guar Chempedak, ada peniaga memagar terus kaki lima dan ruang orang berjalan kaki menjadi sebahagian kedaianya. Siapapun tidak bertindak termasuklah pihak berwajib.

Sampai bilalah perkara ini akan berlanjutan? Hanya mereka iaitu Majlis Daerah Yan sahaja yang boleh menjawabnya.

Wednesday, October 28, 2015

KERENAH BAS EKSPRES



Sekali pandang dan sepintas lalu, Nampak mudah. Sekilas fikir memang senang. Jika tidak berlaku apa-apa di jalanan, semua orang gembira. Jika perjalanan lancar dan semua tiba ke destinasi masing-masing, semua pihak merasa senang. Apa tidaknya, perjalanan menjadi singkat dan menjimatkan.
Itulah rumusan yang dapat disimpulkan. Begitulah pendapat orang yang mengambil mudah dan tidak berfikir panjang tentang masalah yang mungkin timbul dan juga mengambil mudah tentang keselamatan mereka.

Sebenarnya kegiatan para pemandu bas ekspres menukar penumpang sesama mereka di pertengahan perjalanan sudah lama berlaku. Perbuatan mereka memang diketahui ramai tetapi tiada siapa yang ambil kisah. Tidak ada yang peduli kerana kejadian-kejadian buruk belum terjadi. Pihak SPAD memang sudah lama maklum perkara ini tetapi biasalah, masih menunggu kalau-kalau ada laporan. Bila ada laporan barulah hendak bertindak.

Sebenarnya kegiatan menukar penumpang antara bas-bas ekspres di peretengahan jalan ini sangat berbahaya dan bakal mengundang berbagai masalah. Walaupun sudah lama berlaku, tiada siapa yang ambil tahu. Pertukaran ini dibuat di tempat-tempat yang terpencil dan tidak ramai orang. Selalunya di mana-mana Hentian Sebelah yang jarang orang singgah. Biasanya di Hentian Sebelah Gua Tempurung kerana tempat tersebut tersembunyi sedikit.


Saya sendiri pernah alaminya sewaktu dalam perjalanan ke Kelang beberapa minggu lalu. Di Hentian Sebelah Gua Tempurung saya dan beberapa orang lagi yang hendak ke Shah Alam dan Kelang diarahkan berpindah ke sebuah bas yang lain. Pemandu itu member alasan basnya tidak ke tempat-tempat itu sebaliknya hanya terus ke Puduraya. Dan bas yang mengambil saya dan yang lain itu pula tidak ke Puduraya. Jadi mana-mana penbumpangnya yang hendak ke Puduraya diarahkan menaiki bas yang menurunkan kami.

Mulanya saya tidak mahu berpindah bas tetapi bila pemandu tersebut berulangkali menyebut tidak pergi ke Kelang, bimbang pula saya nanti bila sampai di Puduraya bagaimana pula saya hendak ke Kelang. Hal ini pernah terjadi kepada menantu saya beberapa bulan yang lalu. Dia diberikan RM10 untuk mencari kenderaan lain dari Puduraya ke Kelang.

Bayangkanlah kalau berlaku kemalangan atau petaka di pertengahan jalan, bagaimana orang akan tahu tentang kita? Masa menghantar naik bas, saudara mara melihat kita naik bas lain tetapi masa kemalangan kita dalam bas yang lain. Tentu menimbulkan kekeliruan. Kemudian bagaiamana pula dari aspek perundangan ntuk tuntutan insurans dan sebagainya? Syarikat insurans tentulah mengambil kesempatan dalam soal ini. Kemalangan dengan bas lain sedang tiket yang dipegang dari bas yang lain.

Itupun jika masih boleh dikenali. Apa akan terjadi pula jika kita tidak dapat dikenali langsung. Terbakar bersama kenderaan misalnya? Minta dijauhkan!


Sunday, October 18, 2015

BOLASEPAK MALAYSIA: SIAPA PALING 'ONG'


Soalan yang bermain selalu di fikiran. Siapa paling bertuah dalam kancah bolasepak Malaysia? Dan cuba fikirkan bersama dengan melihat kembali sejarah beberapa peristiwa sebelum ini. Kita lihat dalam setiap kali krisis melanda arena bolasepak kita siapa yang paling beruntung.

Jawapannya tentulah ONG KIM SWEE atau lebih terkenal dengan panggilan Datuk Ong Kim Swee. gelaran 'Datuk' yang dianugerahkan setelah beliau sebagai jurulatih bolasepak negara mengembalikan kejayaan sesudah sering dilanda krisis demi krisis.

Kali pertama beliau menggantikan Azrai khor Abdullah setelah jurulatih tersebut dilanda krisis dengan FAM. Sebaik Datuk Ong mengambil alih pasukan Harimau Muda dari Azrai kejayaan demi kejayaan dicapai. kejayaan ini sebenarnya sudah dijangkakan sebab Azrai Khor telah menggilap pasukan dengan bagitu baik tetapi terpaksa meninggalkan pasukan kerana bermasalah dengan badan induk bolasepak itu. Nasib Datuk Ong sungguh baik.

Sesudah itu apabila datuk Rajagobal menghadapi krisis dengan FAM, Ong kim Swee juga yang menjadi penyelamat dengan diberi tugas mengendalikan harimau Malaya yang memang sedang meningkat kembali selepas itu. Nasib Datuk Ong memang baik.

Dan sekarang apabila Dollah salleh pula dilanda krisis, sekali lagi beliau dipertanggungjawabkan sebagai pengendali Harimau Malaya. Sebagai pasukan yang sudah tercalar, ibarat harimau luka,pasukan Harimau Malaya sekali lagi bangkit semula sesudah kekalahan memalukan 10-0 di tangan UAE. Dan sekarang Harimau Malaya sudah melangsaikan misi untuk menang dengan mengalahkan Timor Lesete walaupun kalah semasa insiden memalukan ketika perlawanan menentang Arab Saudi.

jadi Datuk Ong Kim Swee sememangnya manusia paling beruntung dan bertuah dalam kancah bolasepak Malaysia. Mungkin kerana dia ada ONG pada namanya. Orang lain tak ada 'Ong' itu. Mungkinlah!

Friday, October 9, 2015

SEKOLAH SATU ALIRAN: CAKAP ORANG TERNAMA SAJA YANG DIBERI PERHATIAN

Akhir-akhir ini lagu dan irama sekolah satu aliran diputarkan kembali untuk halwa telinga khalayak pembaca. Seperti barang kitar semula, ia tidak tidaklah semeriah mana berbanding kalau perkara itu menjadi barang antik.

Ternyata isu ini adalah isu kitar semula. Lama dahulu telah ada beberapa gesaan dan kritikan tentang perkara yang serupa. Saya sendiri telah menulis tentang perkara ini pada tahun 2009. Tulisan pertama saya buat pada 31 Oktober 2009 dengan tajauk SEKOLAH SATU ALIRAN: BUAT DULU BARU TAHU dan tulisan kedua pula pada 2 Disember 2009 dengan tajuk SEKOLAH SATU ALIRAN: TIBA-TIBA SEPI BEGITU SAJA..

Isu ini sebenarnya dimulakan oleh Dr. Ridzuan Tee Abdullah, seorang ilmuwan yang terkenal dan terbuka fikirannya. Tetapi selepas itu ilham sekolah satu aliran ini senyap begitu sahaja. dan saya sendiri sudah jemu untuk menyentuhnya dalam sebarang tulisan. Malas!

Saya bukannya sesiapa untuk diberi perhatian biarpun apaa yang telah dituliskan itu samalah juga ideanya dengan beberapa pendapat para cendekiawan beberapa hari lalu. Oleh kerana mereka orang terkenal, apa saja yang disentuh mereka adalah 'intan' sedangkan intan itu sama dengan apa ayang saya sentuh. Oleh kerana saya hanyalah orang biasa yang tiada ilmu dan bukan yang cendekia, tulisan saya itu tidak di perhatikan langsung.

jadi saya sudah malas untuk menyentuh perkara ini. Biarlah mereka yang bijaksana berbincang dan memberi pendapat.

Thursday, September 24, 2015

RAJA DAN ORANG POLITIK: BUANG MASA MEMIMPIN PERSATUAN SUKAN

Selepas Malaysia ataupun Harimau Malaya mengakhiri kempen kelayakan Piala Dunia dan juga Piala Asia dengan keadaan yang amat memalukan, berbagai kritikan dan pandangan diutarakan orang ramai dan juga tidak ketinggalan para pakar bolasepak yang muncul tiba-tiba bagai cendawan.  Kebanyakan pendapat dan kritik itu menjurus kepada kelemahan FAM. Kononnya FAM tidak melakukan apa-apa pembaharuan dan pembangunan sehingga tahap bolasepak di Malaysia semakin menjunam dari  setahun ke setahun.

Jika dahulu Malaysia setaraf dengan Jepun dan Korea, malah gergasi Asia itu sendiri bermain dalam keadaan sukar bila berhadapan dengan Malaysia ketika itu, sekarang tidak lagi. Malah Malaysia bakal menjadi pasukan belasahan jika berjumpa di padang dan negara itu tidak lagi berminat menjadikan Malaysia sebagai pasukan memanaskan badan apatah lagi untuk perlawanan persahabatan. Mereka  telah jauh meninggalkan Malaysia.

Hal ini berlaku bukan kepada bolasepak sahaja malah sukan-sukan yang lain pun menghadapi masalah yang sama. Lee Chong Wei belum ada pengganti. Rabuan Pit belum ada pengganti. Rekod Nashatar Singh belum dapat dipecahkan.  Lihat juga apa yang terjadi kepada sukan hoki. Tetapi tulisan ini tidak mahu menyentuh perkara-perkara itu malah tumpuan hanyalah difokuskan kepada bolasepak kerana inilah sukan nombor satu di Malaysia.

Semua yang berlaku ini gara-gara persatuan Sukan dikendalikan oleh Raja dan juga ahli-ahli politik. Raja-raja, termasuk putera-putera raja dan juga ahli-ahli politik amat tidak sesuai menggalas tugas tersebut kerana masa mereka terhad dan banyak perkara lain yang perlu ditumpukan.  Raja-raja harus sedar bahawa bukan sukan sahaja ‘rakyat’ mereka. Tumpuan harus diberi kepada perkara-perkara lain juga, bukan sukan sahaja.

Selama 31 tahun Sultan Ahmad Shah menerajui FAM, apa perubahan positif yang ditonjolkan selain dari prestasi pasukan menurun tahun demi tahun. Dahulu baginda dilantik menggantikan Tan Sri Hamzah Abu Samah kerana minat yang ditunjukkan baginda, dalam keadaan Malaysia di ranking yang sama dengan Korea dan Jepun. Sejak itu ianya turun sedikit demi sedikit sehingga terjadi seperti sekarang.

 Kita tidak payah menyesal kerana kita yang membiarkan keadaan ini berlaku. Semua pegawai tidak berani menegur ataupun pegawai-pegawai di FAM juga seperti baginda, hanya berada di situ kerana minat ataupun kepentingan yang lain. Kalaupun ada yang berani menegur, teguran tidaklah selantang mana kerana teringatkan nasib yang menimpa Datuk Ahmad Basri Akil yang kuat mengkritik FAM. Begitu juga dengan Datuk Seri Annuar Musa.

Ahli-ahli politik juga serupa. Baik jangan melibatkan diri dengan pengurusan persatuan. Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan juga para menteri cubalah jangan mencampuri pimpinan persatuan bolasepak mana-mana negeri. Tanggungjawab anda semua terlalu banyak, bukan bolasepak sahaja. Anda semua kenalah menguruskan seluruh rakyat. Itulah yang lebih utama. Jika terlalu berminat, jadilah seperti Sultan Kedah yang sanggup berjalan kaki ke Stadium Batu Kawan kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Ataupun berilah sumbangan dana untuk persatuan yang diminati. Itu adalah lebih baik dari menjadi bahan cemuhan di padang dan juga stadium.

Saya ambil contoh Persatuan Bolasepak Negeri Kedah. Bermula dari presiden hinggalah kepada beberapa Ahli Majlis, terdiri dari ahli-ahli politik. Presiden adalah Menteri Besar sendiri. Setiausaha Kehormat juga ahli politik iaitu Exco negeri. Pengerus-pengerusi jawatankuasa juga terdiri dari ahli politik. Contohnya Pengerusi Jawatankuasa Pengadil adalah Anggota Parlimen. Mereka ini semua tiada masa untuk  bertugas dalam pengurusan malah untuk menguruskan mesyuarat jawatankuasa mereka sekalipun.

Kalau sentiasa tiada masa, bagaimana tumpuan hendak diberikan kepada bolasepak dan persatuan amnya. Selama lebih seminggu saya berusaha untuk menemui Setiausaha Kehormat KFA. Saya terpaksa meminta bantuan Exco yang lain tetapi gagal juga. Akhirnya saya hubungi wakil beliau dan wakil tersebut berjanji akan menentukan satu tarikh dan masa untuk pertemuan tersebut tetapi malangnya sehingga hari ini sudah lebih seminggu tergantung begitu sahaja. Mesej sms dan whatsapp saya kepada wakil dan kepada YB  sendiri tidak berjawab.


Lalu saya membuat kesimpulan bahawa orang-orang politik dan berkepentingan usahlah memimpin persatuan sukan. Perkara penting yang boleh diselesaikan dalam beberapa jam boleh berpanjangan hingga beberapa hari. Dan apabila nasi sudah menjadi bubur, barulah kita menyesal tak sudah.

Monday, September 14, 2015

PAKAR BOLASEPAK NEGARA DAN APA KATA MEREKA

Berikut adalah beberapa pakar bolasepak negara yang meluahkan pandangan mereka selepas kekalahan Harimau Malaya 0-12 kepada UAE. Anda nilaikan sendiri di mana kaki mereka berpijak.

1. Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ):
   
     1.1. Malaysia perlukan kepakaran luar.
     1.2. FAM ditadbir oleh golongan yang tidak memiliki pengetahuan mengenai sukan bolasepak.

2. Wan Jamak Wan Hassan:
 
     2.1. Bolasepak Malaysia punyai banyak kepincangan.
     2.2. Kita memerlukan pakar yang mampu memberi bimbingan dan boleh menegur mengenai            teknikal dan taktikal.

3. Dali Omar:

    3.1. FAM ditadbir oleh orang tidak faham bolasepak sebaliknya mempunyai kepentingan peribadi.
    3.2. Orang dalam FAM gila kuasa, pegang berbagai jawatan.

4.  Datuk Namat Abdullah:

    4.1. Pemain negara terlalu jaga kaki, takut cedera lalu bermain tidak sepenuh hati.

5. Lim Chan Yew:

   5.1. Pemain negar tidak patriotik, tiada hati bermain untuk negara.
   5.2. Pemain kita hanya tahu mengejar populeriti.

6. Hassan Sani:

    6.1. Pemain hendaklah meletak maruah negara sebagai keutamaan.

7. YB Khairi Jamaluddin:

    7.1. Semua salah FAM.
    7.2 . Kita akan gantung FAM.

Anda nilakanlah sendiri yang mana boleh pakai.

Sunday, September 13, 2015

SUARA SUMBANG PAKAR BOLASEPAK


“Saya akan bersihkan FAM jika jadi Presiden.”

Sedap bunyi pengucapannya. Tinggi benar harapan yang dijanjikan. Itulah kata-kata yang terhambur keluar dari mulut seorang yang boleh dikatakan ‘pakar bolasepak negara’ iaitu TMJ sebaik sahaja Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan akan melepaskan jawatan secara berperingkat. Dan kebetulan ada pula beberapa pendapat supaya jawatan Presiden FAM diberikan kepada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Banyak lagi kata-kata yang dihamburkan oleh Tunku Ismail seolah-olah orang lain semuanya ‘bodoh’ dalam bolasepak. Sudah berpuluh tahun FAM berdiri, kerana kekalahan memalukan 10-0 kepada UAE, badan bolasepak itu seolah-olah menjadi pentas para pelawak. Ini ditambah pula dengan insiden rusuhan yang memalukan negara kononnya kerana kegagalan FAM juga.

Seolah-olah Tuanku Sultan Ahmad Shah tidak berbuat apa-apa selama 31 tahun menjadi presiden FAM. Baginda dan FAM diserang begitu hebat oleh TMJ yang baru berapa hari dikenali dalam bidang bolasepak. Benarkah Sultan Ahmad Shah dan FAM mencemarkan bolasepak negara selama 31 tahun?

Betulkah badan induk itu ditadbir golongan yang tidak memiliki pengetahuan bolasepak? Pandai sangatkah TMJ sehingga sanggup membuat andaian sedemikian? Jika setakat mengendali JDT, tidak usah cakap besar kerana JDT juga tidak ke mana. Tetapi bagaimana pula dengan pengakuan baginda  sebaik sahaja Harimau Malaya tewas 0-10 kepada UAE tempoh hari? Berikut adalah kenyataan baginda:

“Oh ya, saya akan teruskan misai saya untuk membunuh bolasepak tanahair. Bagi mereka yang mengatakan saya telah mencapai misi saya apabila tewas 10-0, masih jauh lagi kerana saya akan berhenti apabila kita tewas 50-0.”

Apakah jenis kenyataan itu? Sesungguhnya ia amat tidak bertanggungjawab. Seolah-olah seorang yang amat ‘kurang ajar’ mengucapkannya. Hakikatnya ia tidak sepatutnya terpacul keluar dari mulut seorang yang bercita-cita menjadi pemimpin dan presiden persatuan bolasepak tanahair. Dan sanggupkan dia nanti berhadapan dengan tohmahan dan kritikan yang serupa apabila menjadi pemimpin nanti?

Dan kita tentu masih ingat insiden menendang bendera penjuru  sesudah satu perlawanan yang melibatkan JDT. Semua orang tahu dan ramai yang menyaksikan siapa individu yang berkelakuan demikian. Adakah itu lagak seorang pemimpin persatuan bolasepak? Begitupun ada hati hendak menjadi Presiden FAM?

Hakikatnya, raja dan putera raja usahlah ghairah untuk memimpin persatuan bolasepak. Duduk sahaja di istana dan jadi peminat nombor wahid. Jangan pula nanti hilang rasa hormat dalam kalangan rakyat jika rajanya nanti adalah seorang yang celupar dan gemar melabel orang lain dengan label kurang enak. Biarlah rakyat biasa sahaja yang berkerja agar lebih senang keputusan dibuat. Satu hari anda akan jadi Sultan dan bukan bolasepak saja rakyat anda.


Thursday, September 10, 2015

HARIMAU MALAYA: TONIK KHAS DIPERLUKAN

Harimau Malaya tewas lagi. Walaupun perlawanan tergantung hakikatnya memang Malaysia tewas. Itu tidak kirta lagi hukuman dari FIFA sesudah kita ‘tebal muka’ di mata dunia. Rusuhan di minit 88 itu meragut semuanya biarpun dikatakan ketika itu Harimau Malaya giat melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan. Cuma kali ini pasukan dan juga FAM ada alasan terhadap kekalahan itu.

Dan selepas kekalahan memalukan itu muncul pula ramai pakar bolasepak yang selama ini senyap sahaja. Sebaik sahaja insiden buruk itu pakar-pakar ini begitu sibuk memberi pandapat dan kritikan-kritikan yang membina dan juga yang membelasah secara buta tuli.

Ada juga cadangan supaya FAM dibersihkan dengan menyingkirkan semua pegawai yang ada dan biar badan induk bolasepak itu dikendalikan oleh orang lain yang betul-betul faham apa itu bolasepak. Selama ini rupanya terdapat dalam kalangan pegawai FAM yang tidak faham bolasepak. Bernas juga cadangan itu.

Tetapi hakikatnya kemerosotan prestasi Harimau Malaya tidaklah seratus peratus kesalahan FAM. Tidak semua kesalahan harus diletak di bahu para pegawai itu. Para pemain juga seharusnya berasa bertangungjawab. Merekalah sebenarnya yang mencorak permainan di padang. Hendak salahkan jurulatih?
Jurulatih duduk di luar padang, apa ayang boleh dia buat? Setakat mundar-mandir di tepi garisan dan terjerit-jerit memberi arahan, apakah boleh merubah corak permainan? Jurulatih tidak salah malah tidak tergamak pula hendak menyatakan bahawa sebenarnya bolasepak di Malaysia ini tidak perlu ada jurulatih. Buang duit sahaja.

Ada cadangan untuk menggaji jurulatih dari luar negara, khasnya dari Eropah. Lihat kembali sejarah, sudah berapa banyak jurulatih luar yang FAM gunakan? Bukanya seorang dua tetapi semuanya gagal malah ada yang lari begitu sahaja. Masa mula-mula datang bukan main bersemangat hendak adakan program itu ini, akhirnya senyap dan sedar-sedar sudah ditamatkan kontrak.

Sejarah juga membuktikan bahawa jika pemain tidak serasi ataupun tidak gemar dengan seseorang jurulatih, berbagai cara mereka lakukan supaya Nampak pasukan merosot. Pemain menunjukkan protes secara senyap. Mereka lakukan kesilapan-kesilapan yang tidak ketara sehingga jurulatih itu berundur atau ditamatkan kontrak. Tanyalah kepada beberapa jurulatih Liga Malaysia samada benar atau tidak.

Satu ketika dahulu saya berkesempatan berbal kosong dengan beberapa pemain kebangsaan ketika waktu rehat sessi latihan. Mereka mengaku bahawa permainan mereka bergantung kepada berapa jumlah elaun permainan yang dijanjikan kepada mereka. Waktu itu masih lagi status amatur, jadi tidak ada gaji, hanya elaun permaian. Ada ayang mengaku bahawa jika diberi RM300 mereka akan bermain cara 300. Kalau diberi 500, mereka akan bermain secara 500. Dan pemain-pemain berkenaan sudahpun bersara lama dahulu.

Namun demikian, penyakit ini mungkin masih ada dalam kalangan pemain, kita bukannya tahu. Apa yang berlaku dalam padang adalah di luar kehendak jurulatih. Pemain sendiri haruslah bertanggungjawab.

Dahulu ketika negara rancak dengan Pestabola Merdeka, pasukan negara kita sering mara ke separuh akhir malah ke final bertemu dengan pasukan-pasukan gergasi Asia yang lain seperti Korea Selatan, Jepun, Iraq dan beberapa negara lagi. Sekarang mereka sudah jauh meninggalkankita. Mereka semakin naik dan kita semakin turun.

Bukan kerana jurulatih. Para pemain mereka sendiri yang mahu maju dan tidak pentingkan diri dan wang.  Kini kerana kesetiaan dan usaha mereka, wang datang mengejar mereka. Pemain kita? Pemain kita jelas dikatakan lebih gemar mengejar ‘glamour’. Sentiasa mencari nama dan buat diri jadi masyhur. Kita sendiri turut terlibat dalam mengejar glamour ini. Nama-nama pasukan dari berunsur tempatan diubah agar lebih glamour. Kelantan menjadi The Red Warrior, ATM dusebut sebagai Gladiator, JDT terus menjadi Southern Tiger. Ada pula pasukan menggelarkan diri sebagai Titan dan lain-lain lagi.


Nama sahaja gah bukan main tetapi tahap permaian mengalahkan pelajar sekolah menengah dalam pertandingan MSSM sahaja.

ALANG-ALANG ORANG SUDAH TAHU

Sesudah lebih 8 tahun tersingkir dari Jawatankuasa Pengadil KFA, kemasukan semula kali ini adalah dengan misi satu perubahan, semoga Jawatankuasa ini tidak menjadi seperti dahulu lagi. Cerita lama telah berlalu. Saya duduk dalam KFA sebagai Ahli Majlis selama beberapa penggal bermula tahun 1988 lagi. Begitu juga dengan Jawatankuasa Pengadil. Bermula dari tahun tersebut bersama-sama dengan beberapa tokoh seperti arwah Khalid Ariffin, Hamzah Mohamad, S. Balasundram, Syed Osman Syed Mansor dan beberapa orang lagi hinggalah saya disingkirkan.

Cerita saya disingkirkan memberi kesan yang amat mendalam. Pada waktu itu saya menulis surat kepada Setiausaha Kehormat KFA, Puan Salomi untuk membuat tuntutan perbelanjaan saya menghadiri satu taklimat mengenai 'vanue' di Wisma FAM, Kelana Jaya. Saya meminta bayaran perjalanan saya dari Kedah ke Kelana Jaya berserta perbelanjaan makan dan minum kerana saya pergi itu atas arahan KFA. Mulanya saya minta secara berjumpa beliau dan saya diminta membuat tuntutan secara rasmi untuk rekod.

Bayangkan bagaimana perasaan kita bila disingkirkan begitu sahaja sesudah surat rasmi mengenai tuntutan itu disampaikan. Tentulah timbul perasaan marah dan terkilan. Jadi kali ini kalau sayaa dipecat seperti dahulu, berbaloilah kerana apa ayang saya tulis ini adalah untuk kebaikan organisasi dan juga kebaiakan pihak-pihak yang bertanfggungjawab. Berbaloilah kerana niat saya ingin memperbetulkan supaya kita dilihat lebih profesional mengendalikan sesuatu. Kita berusaha memperbetulkan beberapa kepincangan dalam Jawatankuasa Pengadil KFA sendiri.

Itulah harapan saya biarpun risikonya terpaksa saya tanggung selepas ini.

Ketika mesyuarat pertama pada Ahad 28 Mei 2015 di Stadium Darulaman, telah ditetapkan setiap Ahli Jawatankuasa mengendalikan unit-unit tertentu. Antara unit-unit tersebut adalah Unit Pembangunan, Unit Lantikan Tugas, Unit Penilaian, Unit Latihan dan Kecergasan, Unit Pembelajaran, Unit Kebajikan.

Sudah semestinya kita bertanggungjawab kepada unit yang diamanahkan dan telah ditetapkan. Tidak seharusnya pula kita mengganggu atau mengambil alih tugas yang dikendalikan oleh unit yang lain. Jika boleh begitu, saya juga rela dan mahu orang lain menjalankan kerja unit saya dalam tugasan itu.

Setiap unit itu pula telah digariskan tugas-tugas dan tugas ini tidak betindih antara satu dengan yang lain. Begitu baik susunannya sehingga tiada ruang untuk perkara lain mengganggu tugas masing-masing. Dan di akhir senarai unit-unit itu delengkapkan pula dengan En. ahmad Khalidi Supian sebagai Pegawai Perantaraan dan Perhubungan KFA dengan FAM.

Berikut adalah jumlah tugasan unit-unit yang disebutkan:
1. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi:
    4 tugasan

2. Setiausaha Kehormat (Wakil KFA):
    5 tugasan

3. Pegawai Pembangunan Pengadil:
    9 tugasan

4. Unit Lantikan Tugas:
    5 tugasan

5. Unit Latihan dan Kecergasan:
    5 tugasan

6. Unit Penilaian:
    4 tugasan

7. Unit Kebajikan:
    3 tugasan

8. unit Pembelajaran:
    4 tugasan

Ketika senarai tugas itu dikeluarkan PPP negeri Kedah adalah digalas oleh En Joseph Anthonisamy. Apabila tempat A. Joseph diambil alih oleh En. Rosmahadi Hashim, saudara Joseph menyerahkan tugasnya kepada En. Rosmahadi dan dia sendiri memangku tugas Rosmahadi sebelum itu di Unit Kebajikan.

Itu sudah jelas.

Kita semua sudah dewasa malah ada yang terlebih dewasa. Perlukah kita mengabaikan janji kita? Tentu sekali tidak. Buatlah kerja masing-masing mengikut tugas unit masing-masing tanpa menindih tugas orang lain kerana orang lain juga hendak menjalankan amanah yang diberi kepadanya.

Jika ini terjadi (pertindihan tugas) bukan sahaja kita yang membuat dasar dan keputusan ini keliru, malah para pengadil di luar sana yang tidak tahu apa-apa akan jadi lebih keliru. Kasihan kepada mereka yang berbakat andainya Unit Pembangunan tidak berbuat sesuatu. Susunlah aktiviti pembangunan, unit pembelajaran serta unit-unit yang lain tidak akan tengok sahaja. bantuan dan nasihat pasti mencurah datang.

Insyaallah!

Tuesday, September 8, 2015

JAWATANKUASA PENGADIL KFA: BERBALOIKAH MASUK SEMULA?

Sesudah lebih 8 tahun menyepi dan tidak ambil peduli, akhirnya sesudah dipujuk dan diminta bertubi-tubi, saya masuk semula mengganggotai AJK Pengadil KFA dengan satu tekad mahu membawa  struktur pengadil bolasepak Kedah ini kepada satu bentuk pengurusan yang lebih baik dari sebelumnya. Walaupun saya pernah berada dalam pengurusan KFA sebagai Ahli Majlis dan juga Ahli Jawatankuasa Pengadil semasa era Semi-pro dahulu di bawah pengurusan Allahyarham Dato' Ahmad Basri Akil, kemasukan kali ini mungkin dari persepsi yang berbeza.

Dahulu ketika menjadi Ahli Majlis dan AJK pengadil, saya masih aktif di padang dan juga di luar padang. Kali ini seperti yang dijanjikan kepada saya, tugas tidaklah terlalu rumit, hanya sekadar menguruskan pendaftaran dan pengurusan pembelajaran para pengadil di Kedah khasnya yang bernaung di bawah KFA.

Sebelum bersetuju, saya diberi maklumat bahawa kedudukan para pengadil di Kedah amat tidak teratur dan berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil yang dikepalai oleh beberapa bekas pengadil yang ternama pada masa-masa lalu. Malangnya kumpulan-kumpulan ini tidak pernah boleh duduk bersama untuk menyelaras atau berbincang demi kebaikan mereka. Itulah yang sampai ke telinga saya pada mulanya. Dan bila saya hadir bermesyuarat, perkara tersebut didapati benar.

Ada daerah yang langsung tidak mempunyai seorang pengadilpun. Daerah Baling hanya ada seorang pengadil yang berdaftar dengan KFA. Daerah Yan hanya ada dua orang. Selebihnya adalah pengadil dari daerah Padang Terap, Kulim, Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar dan Kuala Muda. Tetapi di semua daerah ini terdapat beberapa kumpulan kecil seperti yang disebutkan tadi.

Bila ada apa-apa perlawanan, ketua-ketua kumpulan inilah berebut-rebut melantik orang mereka sendiri tanpa mengira kebolehan dan prestasi lagi. Hinggakan mutu pengadilan sering dipertikaikan dan keputusan perlawanan diragui.

Ahli-ahli Majlis dan juga Setiausaha Kehormat digunakan semaksimanya oleh beberapa ketua kumpulan pengadil ini untuk mendapat kebenaran membuat lantikan. Bila diberi lampu hijau untuk melantik, mereka akan memilih orang mereka sahaja tanpa menghiraukan prestasi dan kebolehan. Biar pengadil kebangsaan sekalipun, kalau bukan dari kumpulan mereka, diketepikan begitu saja.

Jadi kemasukan saya dan beberapa orang 'baru' kali ini adalah dengan misi untuk melenyapkan kumpulan-kumpulan ini agar para pengadil boleh berada dalam satu payung dan semuanya berada dalam senarai Pengadil KFA. Untuk itu pendaftaran semula dan satu ujian kecergasan diadakan di Stadium Darulaman pada 15 Ogos yang lalu. siapa yang hadir untuk ujian itu didaftarkan dalam senarai yang dimaksudkan. hanya orang-orang ini sahaja yang sah dilantik untuk mengadili apa-apa perlawanan naungan KFA. Diharap tidak ada lagi kumpulan-kumpulan seperti sebelum ini dan perlantikan hanya dibuat oleh Unit Lantikan JK Pengadil KFA.

Hasrat bukan main murni. Malangnya perkara ini tidak dihayati dengan baik oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA dan juga Setiausaha Kehormat KFA. Hal ini terjadi mungkin kerana mereka tidak hadir ketika mesyuarat diadakan dan juga kerana ketiadaan Minit Mesyuarat. Setiap kali mesyuarat tiada pencatat minit yang akan dikemukakan kepada pihak pengurusan.

Keadaan ini telah dieksploit dengan baik pula oleh Pegawai Pembangunan Pengadil KFA dengan meminta keizinan SU Kehormat untuk membuat lantikan pengadil bagi beberapa perlawanan akhir-akhir ini sehingga mengenepikan unit Lantikan yang diputuskan dalam mesyuarat AJK Pengadil KFA sendiri. Hasil dari itu terdapat beberapa kejohanan yang diberi kepada beberapa pengadil yang asalnya dari kumpulan tertentu. Tidak diambil kira lagi samada ada dalam senarai pendaftaran ataupun yang datang ujian kecergasan yang lalu. Kerana itu timbul beberapa keputusan dan juga datang beberapa bantahan dari beberapa pihak dengan menyalahkan Jawatankuasa Pengadil yang tidak tahu apa-apa.

Kemuncak dari itu, dalam perlawanan persahabatan antara pasukan Kedah menentang Kelantan baru-baru ini Pengadil 4 diberi kepada seorang pengadil wanita, seolah-olah perlawanan itu tidak penting dan hanya untuk suka-suka. Seolah-olah ianya satu pertunjukan. Saya bukan menafikan kebolehan wanita tersebut tetapi ianya sama sekali tidak sesuai.

Jadi selepas ini diharap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil dan juga Setiausaha Kehormat dapat hadir bermesyuarat agar mereka dapat mengetahui hasrat semua AJK dan boleh bertindak mengikut keputusan mesyuarat. Jawatanakuasa Pengadil hendaklah mengadakan seorang pencatat minit dan menyediakan minit mesyuarat agar boleh menjadi panduan semua pihak

Sekian. Terimakasih.

Sunday, September 6, 2015

HARIMAU MALAYA IBARAT HARIMAU LUKA

Sebaik selesai perlawanan antara Harimau Malaya dengan UAE, datang perasaan yang bercampur-campur. Timbul rasa sedih, rasa terkilan, rasa marah dan rasa malu. Tetapi yang penting ada juga rasa hendak ketawa puas-puas akibat kekalahan itu.

Kita sedih kerana Harimau Malaya tidak dapat ke mana-mana kerana tewas lagi. Kita terkilan kerana harapan ke Piala Dunia jauh dari gapaian dan semakin gelap. Kita marah kerana melihat pemain-pemain seolah-olah budak-budak sekolah bermain bola. Dan kita malu kerana kekalahan itu amat memalukan. Dah selebihnya kita ketawa kerana tewas begitu mudah dengan jaringan yang amat besar setakat ini, 10-0. Belum pernah lagi skuad negara tewas dengan jaringan sebesar itu.

Bukan kita sahaja yang terkejut dengan jaringana itu. UAE sendiri seolah-olah tidak percaya mereka boleh menumpaskan Harimau Malaya dengan begitu mudah dan banyak gol pula dihasilkan.

Kata orang kita tidak boleh salahkan pemain dan jurulatih. Alasan ada berbagai-bagai telah disediakan oleh FAM, jurulatih dan juga pemain. Alasan yang paling awal dikeluarkan adalah pemain-pemain keletihan akibat jadual liga tempatan yang padat. Betulkah? Tak semena-mena dan tak disangka-sangka jadual perlawanan Liga Malaysia menjadi ‘kambing hitam’.

Ada cadangan supaya pasukan dibubarkan dan diambil pemain yang lain bagi menghadapi sisa perlawanan pusingan kelayakan piala dunia ini. Ada pula ‘pakar bolasepak negara’ yang begitu sinis menempelak pasukan, jurulatih dan FAM, menyatakan dengan angkuh bahawa dia masih lagi belum puas dalam misi menjahanamkan bolasepak tanahair. Baginda akan merasa senang bila pasukan kebangsaan dibolosi 50 gol. Begitu angkuh TMJ seolah-olah baginda tahu semua selok-belok perjalanan bolasepak sedangkan baru beberapa tahun ini baginda mencebur diri dalam sukan ini.

Pasukan boleh dibubarkan. Jurulatih boleh meletak jawatan. Tetapi halatuju bolasepak negara tetap perlu diteruskan oleh FAM, badan yang bertanggungjawab biar apa saja ugutan dan seranah siapa saja yang  sampai ke telinga.

Jadi apakah langkah FAM selepas ini akan menjadi perhatian dan sindiran. Tentang siapa pengganti Dollah Salleh tidak penting tetapi yang utama siapa akan menguruskan pasukan Harimau Malaya untuk perlawanan menentang Arab Saudi pada Selasa depan.

Perlantikan Datuk Ong Kim Swee bukannya penyelesaian masalah tetapi mungkin boleh menjadi pengubat luka Harimau Malaya. Biarlah dalam masa yang singkat ini beliau akan berjqya menaikkan semula semangat pemain-pemain dan setidak-tidaknya kalah dengan jaringan yang lebih kecil.


Harap-harap begitulah.

Friday, September 4, 2015

BIASALAH: MEREKA BELUM SERASI

Akhirnya keputusan rasmi diketahui umum juga. Malaysia kena 10-0. UAE menang bergaya dan berjy memalukan Malaysia yang entah berapa tahun kebelakangan ini menari-cari arah dan penawar untuk membentuk satu pasukan yang jitu. Akhirnya Malaysia atau Harimau Malaya tewas dengan keadaan yang amat memalukan. 10 gol bukannya sedikit.

Pastinya FAM sudah ada jawapan terhadap prestasi buruk ini. Alasan yang cukup biasa. Para pemain belum cukup serasi. Latihan dalam masa yang singkat tentunya tidak dapat menyediakan pasukan yang mantap. Lagi pula ada pemain yang bagus cedera di saat akhir menyebabkan jurulatih tidak sempat menyediakan pemain pengganti.

Teringat kembali zaman persekolahan dahulu. Kami biasa kena belasah hingga 12-0. Bukan main marah guru-guru. Tetapi Pengetua tahu apa sebenarnya berlaku. Dia tahu kami memang tidak berminat untuk bermain. Kami hanya berminat untuk belajar. Main hanya untuk suka-suka dan bertanding hanya untuk melengkapkan jadual. Kalah awal lebih bagus, tak payah pihak sekolah menghabiskan duit untuk perlawanan yang seterusnya. Jimat belanja.

FAM pun mungkin begitu. Cukup setakat pusingan awal sahaja, jimat belanja. Apa susahnya, wang boleh dibelanjakan untuk hal-hal lain. Lagipun Presiden FAM sudah menjadi Exco FIFA sekarang ini.

Dan jurulatih Dolah Salleh tidak payah runsing. Gelaran 'DATUK' tetap ada menanti beliau. Masanya akan tiba kerana jurulatih adalah tiket untuk gelaran itu. Dan jurulatih usah risau, tiada siapa yang nak salahkan beliau kerana awal-awal lagi telah memberitahu bahawa dia sedang mencari kersersian pemain. Pemaian tidak serasi, apa nak buat.


KALAU YANG BARU SERUPA JUGA SEPERTI YANG LAMA?


Kata orang jika ada yang baru, tapi masih juga seperti yang lama, lebih baik tidak diubah kepada yang baru. Lebih baik dikekalkan seperti yang lama. Itu adalah lebih selesa dan tidak mengecilkan hati sesiapa.

Situasi itulah yang melanda KFA sekarang ini tetapi tiada siapa tahu dan menyedarinya. Biarlah sejauh mana persatuan melangkah dan apa saja kejayaan dicapai, asas di akar umbinya hendaklah tegap dan teratur dengan baik. Kalau akarnya tidak menentu cengkamannya di bumi, usah harapkan kejayaan akan kekal lama. Dan KFA harus tidak lena memanjang dibuai kejayaan gemilang.

Lihatlah satu cabang persatuan yang tidak kurang pentingnya, Jawatankuasa Pengadil Bolasepak. Walaupun lekeh namanya dan ia tidak populer seperti Jawatankuasa Kejurulatihan, sumbangan JK Pengadil ini harus tidak diletak di tepi sahaja.

Ahli Majlis KFA yang bermesyuarat tentunya tidak pernah fokuskan kepada Jawatankuasa Pengadil ini. Laporannya sentiasa selesai dan beres. Begitulah agaknya persepsi yang ditonjolkan oleh Pengerusi JK ini kepada Majlis KFA. Hakikatnya tidaklah seperti yang digambarkan. Berbagai duri menikam kaki dan berbagai gambaran tidak enak mewarnai suasana seluruh organisasi pengadil di Kedah.

Dalam mesyuarat JK Pengadil telah disusun dan di agihkan tugas. Kalau dilihat senarai yang terlibat dengan tugas masing-masing, alangkah cantiknya jika betul berlaku seperti yang dirancang. Tetapi tidak. Masing-masing menggunakan kuasa masing-masing dan perlantikan pengadil bertugas dalam liga-liga tempatan menjadi cacamerba. Kuasa itulah puncanya.

Dan pihak KFA (tidak pasti pula siapa) memberi kuasa secara membuta tuli tanpa mengambil kira agihan tugas yang telah diputuskan. Akibatnya terlalu banyak protes dan asakan dari para ahli pengadil terhadap beberapa perlantikan itu.

Yang ini harus diperhatikan, usah terlepas pandang. Dan sesekali Setiausaha Kehormat KFA atau Pengerusi Jawatankuasa Pengadil sendiri harus ada di dalam mesyuarat yang diadakan. Sekurang-kurangnya mereka dapat mengetahui tentang apa yang dibincang dan diputuskan.

Sekian.

Sunday, August 30, 2015

STRESS: APAKAH PUNCA SEBENARNYA?

1. Mungkin tiada siapa sedar, 'stress' merupakan satu penyakit yang bukannya baru dalam penghidupan seorang manusia. Penyakit ini sudah lama berakar umbi di dalam diri setiap orang. Cuma masa dan ketika yang terbaik sahaja ia akan menampakkan diri sebaik sahaja manusia itu melalui beberapa situasi yang siapapun tidak pasti.


2. Foto-foto ini mungkin tidak asa kena mengena dengan penyakit zaman moden ini. Ia hanya hiasan untuk digunakan bagimenghilangkan stress ini. Rajin-rajinlah melihat dan menatap keindahan sesuatu gambar bagi menenangkan jiwa dan melenyapkan stress ini jika penyakit ini berkaitan dengan kecelaruan jiwa seseorang.


3. Seorang sahabat pernah menceritakan bahawa secara tiba-tiba isterinya dilanda penyakit stress. Entah dari mana datang puncanya, dia sendiri tidak sedar kerana terlalu asyik berkerja dan asyik melayan anak-anak dan cucu-cucu. Tiba-tiba isterinya merungut tentang berbagai perkara yang tidak masuk akal. Serba serbi yang dibuat semuanya tidak kena dan tidak betul. Sentiasa ada salah dan silap. Dan akhirnya siisterinya melenting suatu pagi tentang satu bil utiliti yang mempunyai tunggakan satu bulan berjumlah RM30.00. Menurutnya itulah punca dia dilanda stress sehingga tidak boleh berfungsi sebagai seorang manusia apatah lagi sebagai seorang isteri.

4. Terperanjat sahabat saya itu. Itu sahaja puncanya? Sedangkan dia tahu bahawa saban bulan ada saja bil-bil utiliti yang lain dilangsaikan sepenuhnya tanpa merujuk pada sesiapa. Malah kadang-kadang jumlahnya mencecah ribuan ringgit. Sahabat inilah yangh selesaikan semuanya tanpa sepatah perkataan pun yang menyebabkanb orang tahu dan orang menjadi stress.

5. Jadi sekarang dia mengambil sikap tunggu dan lihat. mana-mana ada bil yang tertinggal dia selesaikan sendiri tanpa menanti isterinya stress lagi. Dan kepada isterinya dia berpesan, kalau nak stress pun carilah punca dan penyebab yang kukuh dan masuk akal.

6. Seorang sahabat pula ketika saya melawatnya di katil Hospital Pantai Sungai Petani memberitahu dia tiba-tiba menjadi 'stress' dan tidak dapat berfungsi dengan sempurna beberapa hari. Puncanya sestelah dia menyedari bahawa dalam akaun banknya ada lebihan RM 1 juta yang dia sendiri tidak tahu puncanya. Selepas stress selama dua hari barulah ia sedar bahawa wang itu adalah bayaran untuk kontrak pendawaiannya dengan Angkatan Tentera. Puas hatiloah stressnya itu.

7. Sering-seringlah memerhati bunga dan tumbuhan hiasan untuk menghindarkan stress. ada banyak perkara di sekeliling anda untuk anda gantikan dengan memikirkan perkara-perkara mudah yang boleh diselesaikan tanpa perlu bersusah payah.

Friday, August 28, 2015

BETULKAH KITA MENCINTAI BAHASA KITA?


Betulkah kita sayang bahasa kita?

Pastinya yang berdarah dan berwajah Melayu mengaku 'iya', biarpun tidak sepenuh hati. Siapa tidak sayang bahasa bangsanya, tentulah satu perkara luar biasa. Setiap orang Malaysia semestinya amat menyanjung dan menyayangi bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara tercinta ini. Biarlah rasa cinta itu tidak sehebat orang lain, tetapi tetap kita tunjukkan bahawa kita amat menghargai dan menghormati bahasa kita.

Masyarakat yang berada di sekitar bangsa Melayu juga tidak kurang menunjukkan rasa hormat mereka terhadap bahasa kita. Para peniaga di Padang Besar, salah sebuah pusat perniagaan di sempadan Malaysia-Thailand, turut tidak terlepas menggunakan bahasa Melayu untuk tatapan ramai walaupun kesilapan-kesilapan kecil berlaku. Atas nama menghormati bahasa negara jiran mereka, bahasa Melayu digunakan juga walaupun ada cacatnya.

Yang peliknya kita yang tinggal di Malaysia sendiri ini, bukan sahaja tidak menggunakan bahasa Melayu setiap masa malah lebih galak bertutur dalam bahasa Inggeris ataupun Cina. Orang Melatyu sendiri juga bersikap begitu lebih-lebih lagi yang berjawatan tinggi. Malah lebih tinggi kedudukan seseorang itu, lebih banyak bahasa Inggerisnya. Kalau dia Perdana Menteri, lagi hebat penggunaan bahasa Inggerisnya. Semakin turun ke bawah pangkatnya, semakin kurang bahasa Inggerisnya.

Dan bahasa Melayu akhirnya hanya jadi milik para petani dan penduduk kampung sahaja.


Friday, August 14, 2015

REKOD PRESTASI PENGADIL BOLASEPAK

1. Merenung kembali tentang tugasan sebagai pengadil dan pembantu pengadil dalam perlawanan bolasepak, teringat laporan-laporan yang dibuat Pemeriksa Perlawanan atau sekarang dikenali sebagai RA atau Referee Assessor. Laporan-laporan inilah yang sering membuatkan kami para pengadil tidak tidur nyenyak. Laoran itu menjadi asas dan panduan terhadap baik buruknya prestasi seseorang pengadil bolasepak.

2. Tingginya permarkahan yang diberi bakal menempatkan seseorang pengadil itu di ranking yang baik. Dan kalau dalam beberapa perlawanan, markah semakin meningkat, harapan untuk pergi lebih jauh adalah boleh diharap. Berbanding pula dengan orang yang rendah pemarkahannya dan semakin menjunam prestasinya. Tidak kiralah pemarkahan itu dibuat RA secara jujur atau tidak.

3. Ringkasnya, segala aspek peningkatan mutu pengadilan dan kedudukan dalam ranking banyak bergantung kepada laporan dari RA yang bertugasa.Jadi tidak heranlah pada waktu saya masih aktif, kami sentiasa bermuka manis kepada semua RA yang kami temui, sekurang-kurangnya dengan bemuka manis itu kami berupaya menambat hati mereka dan boleh sedikit mempengaruhi pemarkahan nanti. Markah itu akan diambilkira untuk perlantikan seterusnya.

4. Malangnya hakikat ini tidak disedari KFA khasnya Jawatankuasa Pengadil sendiri. Mereka sibuk dengan segala macam pendekatan termasuk ujian kecergasan dan kursus serta taklimat. Jika AJK dan Ahli Majlis KFA tidak menyedari, apatah lagi para pengadil yang tidak tahu apa-apa. Bila saya masuk semula dalam pengurusan pengadil di KFA, baru saya tahu sebenarnya tidak ada borang laporan yang dibuat oleh RA. Tiada satu catatan yang boleh direkodkan untuk rujukan.

5. Penilaian pengadil tidak dibuat secara rasmi. Tidak ada catatan yang sah untuk dirujuk tentang prestasi mana-mana pengadil. Borang Nilai Prestasi tidak disediakan untuk dilapor oleh RA yang dihantar bertugas. Yang ada hanyalah apa yang tersimpan di dalam kepala RA itu sahaja tanpa dapat dilihat orang lain. ini catatan tidak rasmi dan tidak disimpan di KFA.

6. Esok saya akan ke Langkawi untuk tugasan RA satu pertandingan bolasepak di Stadium LADA. Makan anginlah nampaknya sebab saya tidak perlu mengisi apa-apa borang. Penilaian untuk pengadil yang akan bertugas itu akan tersimpan kemas dalam ingatan saya sahaja. Jika takdirnya saya mati, laporan itu saya bawa bersama tanpa diketahui orang lain.

7. Selepas ini adalah menjadi harapan saya dan semua orang lain supaya pihak terlibat dapat menyediakan borang khas untuk menilai para pengadil KFA. Borang penilaian FAM boleh dijadikan rujukan yang baik. Dengan adanya borang sebegitu, laporan dapat disediakan dan direkodkan untuk dirujuk pada bila-bila masa. Selain untuk semakan dan rekod, laporan yang lengkap ditulis ini boleh dijadikan asas untuk peningkatan prestasi para pengadil. Untuk kebaikan KFA juga.

8. Sekioan. wasalam!

Thursday, August 13, 2015

DALAM BIDANG APAPUN, FAVORATISMA TETAP ADA


1. 'Favoratisma' adalah satu penyakit walaupun tidak ada yang menyedarinya. Penyakit ini membuatkan perasaan kita hanya menyukai sesuatu atau seseorang biar secacat manapun rupa dan tindakannya. Apa saja tentang perkara atau seseorang itu dianggap baik walaupun hakikatnya tidak seberapa. Nilaikanlah diri dan hati kita sendiri, ada atau tidak perasaan mahupun penyakit ini pada diri kita. Sudah semestinya kita tidak sedar kewujudannya.

2. Dalam bolasepak juga perkara ini tidak terlepas dari menerima tempiasnya. Biarpun dalam kalangan pemain mahupun dalam kalangan pengadil-pengadil, favoratisma timbul dalam kalangan para pegawai yang mengendalikan bidang-bidang tersebut.

3. Sebagai insan yang terlibat secara langsung di bidang pengadilan bolasepak, sangat saya sedar bahawa dalam kalangan ramai pengadil, ada beberapa orang sangat disukai dan difokuskan. Dan orang inilah yang akan diusahakan untuk ';naik' dan pergi lebih jauh. Orang lain hanyalah pelengkap dan membuang masa.

4. Saya masih ingat situasi pada tahun-tahun 86 - 90, ketika Persatuan Bolasepak Kedah baru hendak melonjak naik sebagai kuasa baru sukan nombor satu pada waktu itu, saya sendiri adalah insan yang menjadi fokus utama untuk naik dan pergi lebih jauh. walaupun ketika itu bersama saya ada beberapa orang lagi yang dipilih menjadi pengadil FAM dari negeri Jelapang Padi ini. Biarpun ketika itu telah ada Khalid Ariffin dan Othman Abdullah, tetapi oleh kerana mereka telah berusia, saya berada di ranking nombor satu pada masa itu meninggalkan Ismail Bakar dan Devudu di belakang.

5. Tetapi, itulah, kita manusia hanya boleh merancang tetapi yang memberi hanyalah Allah Maha Kuasa. mungkin bukannya rezeki saya, biarpun berbagai kesempatan saya perolehi, namun beberapa kesilapan menyebabkan saya menemui kegagalan. Saya gagal mengawal diri sesudah menjadi 'favorate' untuk naik ke tahap yang lebih tinggi.

6. Kesilapan yang paling besar terjadi ketika satu taklimat FAM untuk pengadil KFA mengenai perubahan undang-undang baru pada tahun 1989 berkaitan penjaga gol. Kelalaian saya menyebabkan kaset video taklimat tersebut hilang dari simpanan dan Jawatankuasa Pengadil FAM pada waktu itu, Haji Zainal Abidin dan S. Katravale meletakkan kesalahan ke bahu saya kerana saya sahaja yang bertanggungjawab dalam pengurusan taklimat tersebut. Beberapa minggu selepas itu barulah kaset tersebut dijumpai tetapi sudah terlewat untuk mereka memaafkan saya.

7. Dan selepas kurang diendahkan selepas peristiwa itu, tahap kecergasan saya semakin menurun kerana sudah tawar hati. Lalu selepas itu beberapa kali pula saya gagal memikat hati para pegawai biarpun kecergasan adalah 'atas urat' sahaja. Akhirnya dalam ujian kecergasan yang lain, saya gagal terus. Dan selepas itu teruslah bekubur kerjaya saya itu.

8. Ada beberapa situasi yang lain yang meyakinkan saya bahawa sebenarnya sikap favoratisma inilah yang banyak mempengaruhi peningkatan kita dalam apa hal sekalaaipun tetapi tentulah tidak dapat saya ulaskan dalam ruang yang terhad ini.

Tuesday, August 11, 2015

CATATAN PERJALANAN 1: DALAM DAKAPAN MADINAH AL-MUNAWARAH

Bila memutuskan untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan yang lepas, terkenang kembali waktu-waktu pahit dan manis ketika menjejakkan kaki di Tanah Suci beberapa tahun dahulu. Kalau dahulu musim haji, kali ini bulan puasa, dua situasi yang berbeza. Kemudian ditambah pula kali ini di bulan puasa yang kata orang banyak dugaan ketika di sana nanti.

                                           (Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah)

Namun begitu, sebaik tiba saat hendak berangkat, semua rasa sangsi dan gundah tentang waktu-waktu di sana nanti dilontarkan jauh-jauh. Masakan ibadat akan menyusahkan dan membebankan. Tentu sekali tidak. Dan penerbangan dengan MAS berjalan lancar dari Kuala Lumpur ke Jeddah tanpa apa-apa masalah. Ketika itulah baru berkenalan dengan sahabat-sahabat yang sama-sama ke destinasi yang sama.

                                       (Lapanganterbang King Abdul Aziz nampak lengang)

Lapanganterbang King Abdul Aziz di Jeddah menyambut ketibaan kami dalam suasana lengang dan tenang, satu petanda baik untuk sebuah ibadat. Dan kenderaan tiba mengambil kami untuk di bawa ke Madinah tidak terus ke Mekah. Kami tiba di Madinah dalam suasana malam baru bermula. Perjalanan beberapa jam dengan sebuah bas mini tidak terasa. Mungkin bilangan kami yang sedikit, hanya 12 orang memberi kelebihan untuk merasa selesa. mungkin juga kerana ibadat yang akan dilakukan amat diberkati.

                                             (Perkarangan Masjid Nabawi, Madinah)

Dan malam itu kami menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Nabawi atau Masjid Nabi yang teletak di tengah kota Madinah Al-munawarah. Masjid Nabi memang berbah sama sekali sejak kali terakhir melihatnya pada tahun 2007. Payung-payung di ruang luar masjid telah siap dan digunakan sepenuhnya. Apabila payung itu dibuka pada waktu siang, kelihatan amat cantik sekali. Dan kami bersolat dengan penuh syahdu.

                                      (Jalanraya menyju Masjid Nabi dengan mercutandanya)

                                           (Payung terbuka luas menutup ruang luar masjid)

Lalu malam itu berlalu dengan kenangan amat manis. Letih perjalanan berjam-jam dari Jeddah ke madinah sedikit tidak terasa. Lepas bersolat dan ziarah Makaam Nabi dan para sahabat, kami pulang ke tempat penginapan dengan dada lapang untuk datang semula subuh nanti.


BAHASA MELAYU: KITA HANYA PURA-PURA

Minggu ini adalah minggu yang teramat sibuk dengan adanya Pertandingan Pidato Antarbangsa Bahasa Melayu. Dengar cerita para peserta datang dari seluruh pelosok dunia dari 6 benua dan lebih 75 negara. Begitu gah bahasa Melayu di mata dunia. Dikatakan lebih 300 juta manusia menggunakannya dan merupakan bahasa keempat dari semua bahasa di dunia. Setiap tahun kononnya semakin bertambah penggunanya dengan diajar di beberapa universiti terkenal di dunia.

Dan pertandingan pidato ini merupakan acara tahunan dan kononnya sangat dinanti-nantikan oleh ramai penduduk dunia. Tambahan pula kali ini diperkenalkan pula kategori baru iaitu kategori pelajar asing di Malaysia. Ini dilihat sebagai menambahkan lagi rencah pertandingan selain dari kategori antarabangsa dan kategori nusantara.

Begitulah hebatnya bahasa Melayu di mata orang luar khasnya para peserta pidato tersebut. Dan dalam minggu ini pastinya hal ini menjadi berita penting di media dan pasti juga berlambak pujian dan penghargaan diberikan kepada perserta dari luar negera ini. Para pemimpin juga tidak ketinggalan memuji dan memberi galakan dan penghargaan atas penganjuran dan penyertaan mereka.

Malangnya kita sendiri tidak endah sedikitpun tentang bahasa kebangsaan kita itu. Kita tidak peduli dan tidak ambil kisah samada ia menjadi bahasa harian kita ataupun tidak. Yang kita tahu, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda masing-masing dituturkan seharian. Kalau adapun yang bertutur dengan bahasa Melayu, hanyalah sebahagian orang-orang Melayu. Itupun Melayu yang duduk di desa dan kampung yang kurang pendedahan dengan bahasa Inggeris.

Para pemimpin yang memuja dan memuji tadi juga turut melupakan bahasa Melayu. Bahasa kebangsaan amat jarang digunakan dalam majlis-majlis rasmi apatah lagi ketika menyambut tetamu dari negara asing. Mereka lebih bertenaga menggunakan bahasa Inggeris dari bahasa Melayu.

Media elektronik demikian juga, lebih mengutamakan bahasa lain dari bahasa Melayu biarpun dalam siaran Berita dan Buletin Utama. Setiap kali memasuki slot perniagaan, bahasa Melayu tidak kedengaran lagi. Bahasa Inggeris dan bahasa lain mula mengambil tempat seolah-olah bahasa Melayu bukanlah bahasa perniagaan.


Kita seronok menganjurkan pertandingan begitu rupa, bukan berminat sangat mempromosi dan memperkembangkan bahasa Melayu. Kita berpura-pura cintakannya tetapi tidak pernah berusaha memartabatkannya. PURA-PURALAH ITU NAMANYA.

Monday, August 3, 2015

MUNGKINKAH SEJARAH AKAN BERULANG?


1. Kami bermesyuarat beberapa jam kemarin di Bilik Mesyuarat Astaka Utama Stadium Darulaman. Beberapa keputusan san rumusan dibuat dengan fokus utama menambahkan jumlah dan di samping meningkatkan prestasi pengadilan bolasepak di Kedah khasnya. Semoga dengan perancangan-perancangan dan resolusi yang diputuskan, jumlah pengadil bolasepak akan bertambah dan mutunya meningkat sepanjang masa.

2. Lalu aku tetap tidak dapat lari dari mengenang kembali kepada situasi dan perancangan yang serupa yang kami buat lebih 10 tahu dahulu. Semuanya terlintas kembali dan nostalgia yang suka dan duka muncul semula di minda betapa lebih 10 tahun lalu begini juga aku, berusaha tidak mengenal penat dan jemu menambah bilangan pengadil dan juga berusaha meningkatkan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

3. Memori itu membuat aku terkedu semula. Apakah sejarah lama akan berulang? Apakah kekeciwaan yang sama akan melanda kembali diri ini yang amat mencintai bidang ini? Itulah yang bermain di fikiran sejak mula bertolak pulang dari diskusi hinggalah terlena malam tadi. Perkara ini tidak mustahil kerana hati manusia memang tidak dapat lari dari berperasangka.


4. Dahulu, sesudah bertungkus lumus berusaha dan menabur bakti ramai juga yang dapat 'dilahirkan' menjadi pengadil bolasepak di Kedah ini. Sesudah siang dan malam, tidak pernah kenal letih dan jemu, menjelajah ke serata daerah mengasah bakat-bakat baru, akhirnya semuanya hilang dan terus dikecewakan. Bakti ini tidak lagi diingati dan diletakkan di situasi yang sepatutnya. segala keistimewaan selepas itu menjadi milik orang lain, bukannya aku.

5. Segala yang disumbangkan termasuk memberi kursus-kursus, membuat perlantikan untuk tugasan dalam liga-liga utama anjuran KFA, usaha yang tidak kenal siang dana malam akhirnya dilupakan orang dan disisihkan begitu sahaja.

6. Dan hari ini aku berada di misi yang sama, dengan harapan yang serupa iaitu menambahkan bilangan pengadil yang boleh diharap dan meningkatkan mutu khidmat mereka dengan ilmu yang aku dan beberapa orang teman miliki. Itulah aku bawa pulang dua buah buku yang akan dirujuk semula sesudah tidak melihatrnya lebih dari 10 tahun. sekurang-kurangnya buku-buku itu nanti boleh membantu ke arah usaha tersebut.

7. Tetapi mungkinkah perkara yang sama akan berulang? Apakah aku akan disisihkan lagi seperti dahulu sesudah memberi sumbangan bakti yang tentunya bukan sedikit? Kemungkinan itu tidak dapat dielak dan dinafi. Aku dapat merasainya sesudah bermesyuarat kemarin hasil dari cakap-cakap dan ucapan yang diberikan.

8. Barangkali aku yang tersalah tafsir atau tersilap dengar. Hanya Allah yang mengetahui.

ADIOS!

Friday, July 31, 2015

CERITA LAMA TAPI IDEA TETAP SAMA



Esok kami akan bermesyuarat di sini. Sesudah masuk kembali dalm AJK, ini kali kedua datang bermesyuarat. Entah apa yang hendak dibincangkan masih tidak jelas tetapi satu perkara yang pasti adalah tentang senarai muktamad pengadil bolasepak negeri Kedah bagi tahun 2015 ini. Dan pada pertengahan bulan Ogos ini akan dilaksanakan Ujian Kecergasan untuk mereka bagi melayakkan diri mengadili pertandingan-pertandingan KFA.

Dahulu kami juga melalui saat-saat yang begitu. Tetapi aku lebih beruntung kerana ketika yang sama duduk sebagai Ahli Majlis dan AJK Pengadil KFA. Satu kedudukan yang unik sambil pada masa yang sama sering dilantik bertugas samada di KFA atau mana-mana stadium seperti arahan FAM.

Ketika kali pertama mewakili KFA ke Wisma FAM bersama Khalid Ariffin (Allaahyarham), Hamzah Mohamad (Allahyarham), G. Devudu dan Ismail Bakar, kami terkedu dan malu untuk mengeluarkan barang-barang dari dalam beg. Apa tidaknya, melihatkan rakan-rakan dari negeri lain terutama dari Selangor dan negeri-negeri Pantai Timur berdiri segak pada perjumpaan pertama dengan para pegawai FAM. Mereka lengkap dengan pakaian seragam track top dan track bottom bersama kasut berjenama. Rupanya mereka dibekalkan oleh FA negeri mereka sebelum datang. Termasuklah beg dan peralatan yang lain.

Kami berlima hanya berpakaian lama yang kami gunakan di Kedah. Tidak terkata malunya kami yang begitu lusuh dan buruk. Sudahlah tidak seragam seperti mereka, tiada beg khas yang kami bawa. Pakaian seragam pengadil juga masih jenis kain, bukan t-shirt hitam seperti mereka. Ketika itu FAM belum memberi apa-apa. Mereka masih boleh berharap kepada FA negeri masing-masing. Alangkah segan dan malunya kami pada waktu itu.

Jadi ketika mesyuarat nanti diharap ada ahli yang membangkitkan perkara ini. Bukannya berapa orang pun yang akan pergi ke FAM. Biarlah mereka pergi dan boleh berbangga mewakili negeri Kedah bukannya membawa hal masing-masing. Kalau dulu KFA memberi alasan mereka akan diberi pakaian oleh FAM jadi FA negeri bolehlah lepas tangan. Diharap hal ini tidak berulang.

Mereka juga patut dibekalkan dengan sedikit wang tambang seperti pengadil dari negeri lain. Kalau FAM juga membayarnya, biarlah sebagai rezeki tambahan untuk mereka. Kita harus ingat bahawa mereka mewakili FA negeri Kedah. Elok mereka, eloklah negeri Kedah. 

Selamat bermesyuarat.

KEMALANGAN MAUT: SIAPA YANG HENDAK DIPERSALAHKAN?

Soalan yang amat mudah. Siapa yang patut dipersalahkan setiap kali berlaku kemalangan jalanraya. Tidak kira kemalangan biasa atau kemalangan yang membawa maut. Kemalangan jalanraya berlaku di mana-mana. Lebih-lebih lagi di musim perayaan tidak kira Hariraya untuk umat Islam, Tahun Baru Cina ataupun semasa perayaan Deepavali.  Malah ketika menuyambut cuti persekolahan juga kerap berlaku kemalangan jalanraya.


Setiap kali berlaku kemalangan, masing-masing menuding jari. Ada saja kumpulan atau orang yang menjadi kambing hitam dipersalahkan sebagai penyebab berlakunya tragedi. sehinggakan besi pengadang jalan minta digantikan kononnya kalau tidak ada besi itu di sisi jalan, tentu mangsa tidak menemui ajal. Begitu pantas menghukum dan membuat rumusan.

Kemudian ada pula yang memberi cadangan agar besi pengadang jalan itu dibuang dan digantikan dengan pengadang konkrit kononnya boleh mencegah kemalangan maut. Entah di mana diambil rasionalnya kononnya pengadang konkrit tidak menusuk mangsa tetapi hanya memberi hentakan ke badan mangsa. Betulkah boleh menghindarkan kemalangan maut? Betulkah pengadang besi itu memang bersalah.


Tetapi bila kereta terbabas dan melanggar pokok dan menyebabkan kematian, adakah pokok pula hendak dijadikan kambing hitam? Mungkin ada cadangan selepas ini supaya dibuang pokok-pokok di tepi jalan agar perjalanan tidak membimbangkan pengguna jalanraya. Entah ini pula akan dicadangkan; buang pokok di tepi jalan.


Itulah realitinya di Malaysia. Pemandu tetap tidak bersalah biarpun 90 peratus kemalangan adalah akibat kecuaian pemandu sendiri.Faktor lain seperti keadaan jalanraya hanyalah 10 peratus. Pemandu selamat, tidak melakukan kesalahan walaupun secara terang-terang merekalah yang sebenarnya bersalah.

Memandu secara melulu dan laju tanpa memikirkan orang lain menjadi punca utama sebenarnya. Itu tidak difokuskan. Kebanyakan kemalangan berpunca dari sikap pemandu sendiri, tiada kena mengena dengan pengadang jalan atau pokok-pokok di tepi jalan. Bila terlalu laju tentulah tidak dapat mengawal pemanduan dengan pantas. Silap sedikit sahaja akan membawa padah.

Itulah yang sebanrnya. lantas timbullah kata-kata Hati-hati di Jalanraya, Biar lambat Asal Selamat dan berbagai-bagai lagi.

Selamat memandu!

Monday, July 27, 2015

MENCURI TIDAK SALAH, TANGKAP PENCURI YANG SALAH

Pada masa ini pencuri ada di mana-mana , baik di kampong atau di kota. Pantang ada ruang dan tidak kira masa dan di mana, kecurian tetap berlaku. Bukan sajaja kerana kecuaian mangsa tetapi kadang-kadang kecurian berlaku kerana nasib malang mangsa. Kadang-kadang kecurian boleh menyebabkan mangsa mengalami cedera atau pernah juga hilang nyawa. Semua ini nak disalahkan siapa?

Berbagai cara sudah dibuat, berbagai langkah juga sudah diambil, namun petaka itu tetap juga berlaku dan menghantui masyarakat. Di kampung cara di kampung dan di kota cara di kota. Pendek kata langsung tidak boleh alpa.

Di tempat saya sendiri juga kecurian sering berlaku. Hinggakan pisang di pokok tidak sempat betul-betul tua dan masak. Ayam di reban juga pernah jadi mangsa. Motosikal dan basikal usah cerita, setiap hari ada laporan kepada Tok Ketua.

Yang peliknya akhir-akhir ini si pencuri yang sering di bela sedangkan mangsa langsung tidak dapat berbicara. Sudahlah hilang harta benda, mereka tidak dibela. Kadang-kadang mangsa yang barangnya dicuri ditahan dan dibicarakan pula. Ada juga mangsa yang dihadapka ke mahkamah dan tidak kurang pula yang dinista dan didenda.

Kita lihat contoh yang terbaru, kejadian yang menimpa pencuri lembu. Bila mereka ditahan tuanpunya lembu dan penduduk kampung, akhirnya orang yang menangkap mereka yang didakwa. Sedangkan yang mencuri siap cari peguam pula mendakwa pemilik lembu dengan alasan terlalu kejam. Sudah tentulah mereka bertindak begitu akibat dari perasaan geram. Siapqa yang tidak geram kalau lembu asyik hilang?

Penduduk kampung tentu sudah lama memerhati dan gelagat pencuri. Takkanlah saja suka-suka tangkap orang dan pukul puas-puas, kemudian beri makan tahi lembu pula. Yang menjadi perbualan sekarang bukan lagi kes curi lembu tetapi kes beri makan tahi lembu. Akhirnya pencuri lembu terlepas dari hukuman sebab tidak ada lembu pada waktu itu dan pemilik lembu dan rakan-rakannya pula didakwa dan dihukum kerana tahi lembu mereka sendiri.

Bukankah itu sesuatu yang melucukan?

Teringat saya beberapa tahun lalu bila beberapa orang pekerja dari Bangladesh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh seorang pemuda yang masuk ke kediaman mereka melalui siling dengan tujuan mencuri. Mereka didapati bersalah dan dihukum mati.


Kejadian yang berlaku terhadap ‘pencuri lembu’ ini sangat unik. Tiada lembu yang ditemui dan belum pernah ada aduan tentang kehilangan lembu. Maklumlah, lembu bukannya boleh dimasukkan ke dalam poket dan ia benda hidup. 

Sekarang kes curi lembu ditutup, sebaliknya kes memukul pencuri lembu pula diketengahkan. Yang paling sensasi ialah kes pencuri lembu disumbat dengan najis lembu. Hebatnya bumi ini. Pencuri tak salah, tuan lembu pula yang jadi lembu.