Drama anak dara lari dari rumah telah pun memasuki episod akhir dengan
‘Happy Ending’ di pihak gadis dan teruna tetapi menjadi
‘Sad Story’ atau kisah duka di pihak ibu dan bapa gadis tersebut. Apa tidaknya apabila si ibu terpaksa menggadai maruah merayu anak gadis yang didakwa pintar itu pulang tetapi dibalas dingin dan degil anaknya. Ditambah lagi dengan sikap pihak lelaki seolah-olah tiada apa yang berlaku dan ini adalah sekadar cerita
‘perigi yang mencari timba’ sahaja.
Kalau sebelum ini kita hanaya mendengar kisah cinta dari Pulau Lombok, tapi kali ini hanyalah dari Langkawi, juga sebuah pulau. Adik Halimaton, 15 tahun dengan cinta sucinya, meninggalkan pelajaran dan keluarga mendambakan hati ke Pulau Langkawi mengikut teman lelakinya, Mohamad Nor bin Abdullah yang baru berusia 19 tahun. Walaupun kisah ini berakhir di ambang perkahwinan, tetapi banyak pengajaran yang dapat ditimba dari kisah tersebut.
Kita sedar bahawa cinta tidak mengenal usia dan tempat. Cinta tidak mengenal batas hukum dan adat. Kisah ini juga memaparkan bahawa gadis berusia 15 tahun ini pintar minda, bukan pintar ilmu kerana orang yang pintar ilmu tidak akan bertindak demikian. Bayangkan Halimaton yang didakwa seorang gadis pintar boleh terjebak dalam kancah cinta ini, bayangkan apa akan terjadi kepada gadis-gadis lainnya yang tidak sepintar Halimaton? Sebab itu ada orang mengatakan ‘Cinta Itu Buta’.
Tetapi perbuatan membelakangkan ibu bapa dan keluarga bukan lagi adat. Perbuatan tidak menghormati ibu dan bapa sudah melanggar hukum. Malah perbuatan keluarga lelaki menyimpan anak dara orang tanpa menyerahkannya kembali kepada keluarganya adalah melanggar tata-susila bangsa dan agama.
Sesungguhnya amat memalukan bila kita cuba mempertahankan bahawa kedatangan anak gadis itu atas kerelaannya sendiri sedangkan kita tidak berbuat apa-apa untuk memulangkan kepada yang empunya hak . Apatah lagi gadis itu masih di bawah umur. Mereka juga harus sedar bahawa jika tidak kerana godaan Adam, tentu Halimaton tidak ‘cinta gila’ seperti itu.
Halimaton harus juga percaya dengan nasihat Dato’ Nooh Gadut, bekas mufti Johor bahawa perkahwinan tanpa restu ibu dan bapa membawa malapetaka. Persetujuan ibu dan bapa Halimaton untuk menikahkan pasangan tersebut hanyalah untuk mengelak kemungkinan berlaku kemungkaran, bukan merestuinya. Dan yang penting ambillah iktibar dari kata-kata terakhir ibunya,
‘dia lupa bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu’. Apatah lagi bila dengan bangganya Halimaton mendedahkan laporan polis terhadap ibunya sendiri telah dibuat.
Jalan terbaik yang boleh diambil kini adalah dengan memulangkan Halimaton ke pangkuan keluarganya dan uruskan proses peminangan seperti biasa dan berpegang kepada kepercayaan bahawa ‘kalau sudah jodoh, tidak akan ke mana’.
Ibarat kata Dato’ Nooh bahawa perkahwinan adalah untuk selamanya dan bukan suami sahaja yang perlu difikirkan tetapi keseluruhan anak-anak yang bakal lahir. Rasanya kaum keluarga juga tidak patut dibuang begitu sahaja tambahan lagi Halimaton adalah harapan keluarga kerana kebijaksanaannya dalam pelajaran.
Ibu mana yang tidak bersedih jika anak yang selalu didokongnya dahulu, dibawa ke hulu ke hilir termasuk membawanya ketika menoreh, tiba-tiba termakan godaan dan lari mengikut kata hati ke rumah seorang lelaki. Dan lebih menyedihkan keluarga lelaki itu terus menyimpan tanpa memikirkan untuk memberi nasihat apatah lagi menghantarnya pulang ke pangkuan keluarga.
Apa sudah jadi dengan orang kita?