Friday, December 25, 2015

SENANGNYA MENCARI WANG DI MALAYSIA

1. Mencari rezeki halal bukan perkara yang mudah bagi orang Malaysia tidak kira apa bangsa dan etniknya. Rezeki yang halal dan penuh barkah bukanlah senang digenggam. Kita harus mencari pekerjaan dan pekerjaan itu pula tentulah dari saluran yang betul dan halal. Barulah rezeki itu mendapat berkat dalam hidup kita. Dan rezeki itu pula kita kongsikan bersama anak isteri dan kaum keluarga. Kadang-kadang sahabat handai juga boleh tumpang gembira dengan rezeki kita itu.

2. Lain halnya dengan orang luar. Mudahnya mereka mendapat wang dari simpati orang ramai khasnya rakyat Malaysia sendiri. Berpakaian dan menampilkan diri dan wajah yang alim dan warak, tunggulah di simpang-simpang jalan dan di tempat tumpuan orang ramai, dalam sekejap waktu sahaja tabung mereka pasti terisi dengan jumpah yang memberangsangkan.

3. Tengahari tadi Jumaat 251215, saya melihat sendiri betapa warga asing ini bergegas turun masjid sebaik sahaja selesai salam solat Jumaat dan berdiri di pintu pagar masjid dengan memegang sekeping gambar dan sedikit risalah. Di sampingnya juga ada sebuah beg derma yang akan digunakan untuk mengisi wang derma.


4. Apabila orang ramai mula turun dari masjid selepas selesai doa oleh tuan imam, pemungut derma ini menadah begnya kepada orang yang lalu lalang. Dan ada antara orang ramai yang lalu itu amat pemurah menghulur derma dengan senyum di bibir tanda keikhlasan masing-masing.


5. Mudahnya mereka mendapat wang. Entah berapa jumlahnya tidak dapat dipastikan. Dan rakyat Malaysia yang datang bersolat pula begitu pemurah serta banyak wang. Sebelum itu sudah menderma dalam tabung masjid, sekarang menderma pula untuk orang ini. Entah datang dari mana dan kebenaran siapa, tak ada siapapun peduli.

6. Itulah! Mudahnya mencari wang di Malaysia. Dan pemurahnya rakyat Malaysia!

Saturday, December 19, 2015

LIGA BOLASEPAK RAKYAT: UNTUK SIAPA?


Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) adalah sesuatu yang amat terpuji dengan hasrat membantu membangunkan sukan bolasepak negara. Melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan selanjutnya disalurkan kepada persatuan-persatuan bolasepak negeri merupakan prosedur biasa dalam pengendalian sukan tersebut. Liga diwujudkan untuk rakyat dengan hasrat mencungkil bakat dan member sebanyak mungkin peluang bermain di samping mencungkil dan memupuk bakat yang ada di kalangan belia.

Namun begitu, seperti penganjuran sukan-sukan yang lain, di samping perkara-perkara yang baik, ada juga kelemahan-kelemahan di sana-sini yang boleh dijadikan panduan untuk penambah-baikan di penganjuran yang lain dan akan datang. Semoga LBR dapat dimurnikan lagi pada masa yang lain. Saya berpendapat demikian setelah melihat apa yang terjadi dalam penganjuran LBR di negeri Kedah dan diharapkan ia tidak terjadi di negeri-negeri yang lain.

Pihak penganjur LBR diharap dapat mengubah sedikit format pertandingan supaya perlawanan-perlawanan terutama di penghujung liga tidak menjadi hambar dan lesu. Format pertandingnan yang baik akan lebih merancakkan setiap perlawanan dan keadaan akan lebih mencabar kepada setiap pasukan yang mengambil bahagian.

Dengan hanya mengambil satu pasukan dari setiap kumpulan yang bertanding untuk ke peringkat selanjutnya, menyebabkan ada pasukan yang tidak lagi mahu meneruskan perlawanan terutama pasukan yang harus bertandang ke tempat lawan kerana ia merugikan perbelanjaan yang bukan sedikit sedangkan perlawanan sekadar memenuhkan jadual sahaja. Menang atau kalah sudah tidak member kesan apa-apa kerana pasukan teratas di setiap kumpulan sudah diketahui. Kalaupun ada yang meneruskan perlawanan, hanyalah sekadar ‘berpesta’  di tempat lawan atau sekadar makan angin sahaja.

Sekiranya pihak penganjur (KFA) lebih peka, senaraikan empat pasukan dari setiap kumpulan untuk meneruskan pertandingan ‘kalah-keluar’ secara timbal balik. Ini akan merancakkan lagi pertandingan dan pasukan lain selain johan kumpulan masih boleh mengharapkan keajaiban untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bagi LBR di negeri Kedah, dalam setiap kumpulan dimasukkan pasukan-pasukan dari negeri Perlis yang wakilnya  berdasarkan kawasan parlimen masing-masing iaitu 3 pasukan.Dan secara total pasukan-pasukan dari negeri Indera Kayangan ini mendominasi setiap kumpulan dan akan mewakili kawasan utara ini ke peringkat kebangsaan nanti.


Kabarnya ada antara pasukan yang menjadi johan kumpulan tersebut terdiri daripada para pemain Piala Emas Raja-raja yang mewakili Perlis. Dan pasukan dari negeri Kedah terkubur begitu sahaja tanpa ada lagi wakil ke peringkat kebangsaan. Negeri Kedah tidak lagi terlibat dengan LBR kerana sudah tidak ada wakilnya.

Friday, December 18, 2015

UMPAMA ANJING MENYALAK BUKIT

1. Tahun 2015 hampir melabuhkan tirainya tidak berapa hari lagi dan tahun baru 2016 bakal tiba tidak lama lagi. Tahun yang penuh dengan cabaran demi cabaran akan berlalu dan digantikan dengan tahun yangbaru yang keadaannya belum menentu. Harap-harap ia akan lebih baik dari tahun sebelumnya sebagaimana kita berharap semasa akhir tahun 2014 dahulu.

2. Dahulupun kita berharap perkarta yang sama, semoga ia lebih baik dari tahun sebelumnya. Rupaanya harapan tinggal harapan dan keadaan masih juga berlaku benda yang serupa. segala aspek hidup menekan kita dari segenap sisi dan segala rintihan dan keluhan serta harapan kita hanyalah seumpama anjing menyalak bukit. Anjing jadi letih dan bukit tetap tidak peduli, masih tegak berdiri.

3. Kita digembar-gemburkan dengan GST yang kononnya melegakan sewdikit ekonomi kita dengan kadar cukai yang lebih baik tetapi akhirnya disajikan dengan harga barang yang semakin melonjak dengan sistem cukai baru itu. Dan pihak berwajib lepas tangan dengan memberi alasan peniaga sengaja tidak buang kadar cukai lama tetapi sebaliknya menambah pula kadar cukai 6% yang baru. kita yang menjadi rakyat ini juga yang salah dan menjadi mangsa. Segala protes tidak dipedulikan dan akhirnya perkara itu dibuat tidak tahu sahaja. 

4. Sekarang tambang pengangkutan semakin bertamabah tinggi. Alasan amat mudah diberikan iaitu untuk tambahan menampung kos operasi. kita pula yang diberi tanggungjawab menyelesaikan masalah kos operasi syarikat yang buat bisnes. Tambang tinggi dan kadar tol dinaikkan dan terpaksa dibayar pengguna untuk menyelesaikan masalah syarikat konsesi. Pelik bunyinya tetapi umpama anjing menyalak bukit juga. keadaan tidak juga berubah. Sebagai hendak ambil hati, diisytiharkan bahawa setiap pengguna berbagai peringkat diberi diskaun, bermacam-macam bentuk diskaun sehingga mengelirukan kita. Daripada diberi diskaun lebih baik kadar tambang itu tidak dinaikkan. Sama sahaja.

5. Nanti tahun 2016, kadar tol lebuhraya akan dinaikkan lagi. Kadar taarif TNB juga naik. alasan yang diberikan adalah serupa, untuk menampung kos operasi yang semakin meningkat. Entahlah operasi apa tetapi harga petrol semakin turun. Dan sedar-sedar di awal tahun nanti kita mendengar para pegawai dan kakitangan TNB menerima bonus yang bukan sedikit. Rupanya itulah operasinya.

6. Mereka buat perniagaan, kos operasinya kita yang bayar. Mereka rugi, kita juga yang disuruh bayar. Bila untung, mereka terima bonus dan berbagai insentif kononnya kerana komited dengan syarikat dan berbagai alasan lagi. Setiap yang ditegur dan dirintih, hanya umpama ANJING MENYALAK BUKIT.