Apabila Hindraf mendahului barisan orang ramai memasuki Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Menteri-menteri Kabinet pada Hari Raya yang lalu, semua lapisan masyarakat meluahkan rasa marah dan meluat. Yang nampak suka insiden ini berlaku setakat ini baru seorang iaitu Dato’ Seri Haji Hadi Awang, Presiden PAS. Tokoh lain belum kedengaran memberi sokongan.
Entah kenapa tiba-tiba tokoh PAS ini begitu cepat memberi komen bahawa perbuatan itu adalah satu cara ‘demokrasi era baru’. Agaknya beliau mahu mendahului pemimpin komponen lain dalam Pakatan Rakyat menunjukkan sokongan kepada Hindraf. Memang patut pun Haji Hadi bersikap begitu kerana kemenangan calon PAS dalam pilihanraya umum yang lalu adalah atas sokongan padu kumpulan Hindraf ini.
Tetapi rasanya tidak kena tempat memberi sokongan begitu. Sambutan Hari Raya adalah majlis mulia orang Islam yang patut dihormati. Pada Hari Raya biasanya kita bermaaf-maafan dan bersalaman. Setidak-tidaknya mengucapkanSelamat Hari Raya sesama kita. Bukan menyerbu masuk ke majlis dan mempamerkan agenda politik masing-masing. Adakah sikap macam ini yang dikehendaki oleh PAS? Adakah PAS suka dengan budaya kurang ajar begitu?
Dalam 200 orang ahli Hindraf yang masuk itu, hanya seorang sahaja yang mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada Perdana Menteri. Yang lainnya hanya menyebut hapuskan ISA dan bebaskan Hindraf. Jadi adakah begitu semangat hari raya yang PAS kehendaki?
Kita boleh mengagak apa sebenarnya yang menjadi focus Hindraf dalam majlis mulia itu. Dengan membawa kanak-kanak yang didakwa sebagai anak pemimpin Hindraf yang ditahan ISA, mereka melabelkan kerajaan sebagai zalim kerana menahan bapa kanak-kanak terssebut yang juga pemimpin mereka. Tapi kekecohan yang ditimbulkan semasa demonstrasi Hindraf yang membawa kepada penahanan tersebut tidak zalim? Dan perbuatan mereka membuat kecoh dalam majlis Rumah Terbuka itu tidak zalim juga?
Pihak kerajaan amat berlembut dalam hal ini. Kalau diikutkan, kerajaan sudah boleh bertindak tetapi Perdana Menteri dalam kenyataannya amat sederhana dan mengambil langkah berhati-hati menyatakan bahawa tiada tindakan terhadap Hindraf. Rasanya kalau kerajaan bertindak sewajarnya mungkin sesuatu yang lebih buruk berlaku.
Apa yang nyata Hindraf adalah satu pertubuhan haram yang tidak pernah didaftarkan tetapi kerajaan tidak pernah mengharamkannya. Mereka patut berterima kasih kerana tidak terjadi seperti pertubuhan Al-arqam beberapa tahun yang lalu. Sejak mula diisytihar sebagai pertubuhan haram dan diharamkan, Arqam terus hilang hingga ke akar umbinya. Pihak berwajib memburu semua saki-baki pengamal dan pengasas pertubuhan tersebut.
Sejak tarikh itu hinggalah sekarang kita tidak lagi dapat melihat lelaki berjubah dan berserban besar dengan mata yang bercelak seperti dulu. Kita tidak lagi bertemu dengan kaum wanita berjubah hitam dengan kain menutup muka seperti yang diamalkan wanita-wanita Arqam dulu. Begitu berkesan sekali usaha menghapuskan pertubuhan haram berlandaskan agama itu.
Hal ini tidak berlaku kepada Hindraf. Itulah istimewanya Hindraf. Walaupun ia dikatakan pertubuhan haram tapi tidak pernah diharamkan. Ahli-ahlinya boleh berpakaian khas berwarna jingga dengan logo dan lencananya sekali bergerak bebas sehingga menakutkan banyak pihak.
Ada antara ahli-ahlinya dahulu tidak dikenali langsung, dalam masa yang singkat sahaja sudah berjaya menjadi Wakil Rakyat dan bergelar Yang Berhormat. Bukankah itu satu keistimewaan? Ramai juga orang-orang yang menyokong anda dalam pilihanraya. Dalam kawasan majoriti Melayu pun ahli Hindraf boleh menang.
Lebih melucukan lagi Hindraf boleh pula membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Utusan Malaysia kerana konnnya membuat kenyataan yang tidak betul mengenai kehadiran mereka di Majlis Rumah Terbuka yang berkenaan. Dengan nada yang amat angkuh melalui TV3 malam tadi, Penyelaras Hindraf, R. Thanethiran memberi amaran kepada menteri berkenaan supaya menarik balik kenyataan beliau, jika tidak menteri tersebut akan disaman di mahkamah.
Pelik, tetapi itulah yang berlaku. Sebuah pertubuhan haram bertindak membuat laporan polis terhadap seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Polis sendiri. Rakyat jadi keliru sebenarnya dengan telatah Hindraf ini. Rakyat lebih keliru dengan sifat lembut kerajaan dalam soal ini.
Tindakan Hindraf membuat laporan Polis terhadap Dato’ Seri Syed Hamid menunjukkan seolah-olah perbuatan mereka ‘menyerbu’ ke dalam majlis yang berkenaan sebagai tidak salah dan perkara biasa. Adakah kita menerima tindakan seperti ‘samseng’ itu satu perkara biasa? Atau perbuatan beginikah ‘Demokrasi Era Baru’ yang dimaksudkan oleh Prersiden PAS?
Sama-samalah kita membuat penilaian.
No comments:
Post a Comment