Sunday, October 12, 2008

BUANG BANYAK MASA

Hampir 5 bulan lagi Malaysia akan mendapat Perdana Menteri baru. Itupun kalau impian Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tercapai. Kalau tidak, lebih awal dari itu, jawatan nombor satu itu bertukar tangan. Harap-harap pun impian itu berkecai di tengah jalan. Biar kerajaan yang ada sekarang ini terus berusaha membuktikan mereka boleh mengembalikan kepercayaan rakyat yang beralih angin semasa PRU12 lalu.

Tetapi tempoh untuk sampai kepada tarikh keramat itu terlalu lama. Hampir 5 bulan dari sekarang. Dan dalam tempoh itu macam-maccam perkara boleh berlaku. Ingatkah kita kepada kes Datuk Harun Idris semasa menjadi Menteri Besar Selangor dulu. Dalam masa sehari sahaja hati pengikut-pengikut setianya berubah.

Hari ini menyatakan sokongan padu dan setia berdiri teguh di belakangnya, esok orang-orang yang sama juga mencadang dan menyokong undi tidak percaya terhadap beliau. Dan beliau terpaksa turun dari kerusi Menteri Besar Selangor ketika itu. Kita tak maulah perkara itu terjadi sekali lagi.

Tetapi seperti saya katakan tadi, ruang masa terlalu lama menyebabkan suasana tidak menentu. Untuk sampai ke bulan Mac, para pemimpin sudah menambah satu kerja lagi iaitu berkempen. Hampir setiap hari ada saja berita tentang pencalonan berbagai jawatan dalam UMNO sehingga tenggelam berita-berita lain yang lebih penting di semua stesen TV sama ada RTM atau TV saluran Media Prima. Habis separuh masa Berita Perdana memaparkan suasana temuramah-temuramah dengan para Menteri dan pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding.

Ini baru proses menawarkan diri. Nanti bila dah pencalonan diterima sibuk dengan berkempen pula. Ke sana ke mari dengan kempen. Orang ini mengata orang itu, orang itu mengata orang ini. Orang itu menasihati orang ini, orang ini menasihati orang itu. Akhirnya dua-dua serupa, meninggalkan pejabat masing-masing. Kerja-kerja di Kementrerian akhirnya tak dibuat.

Rugi masa 5 bulan ini tanpa apa-apa kerja menjana ekonomi negara. Rugi masa untuk kerja-kerja membangunkan negara kerana terlalu banyak ruang digunakan untuk berkempen selepas masing-masing menawarkan diri. Kadang-kadang nampak seolah-olah macam persembahan si Badut dekat pasaraya sahaja.

Bukankah lebih baik kalau masing-masing meneruskan kerja seperti biasa. Sesudah masing-masing meawarkan diri, biarlah Bahagian-bahagian menentukan dan para pemimpin teruslah dengan tugas seperti biasa. Negara pun tidak nampak kelam-kabut tak tentu pasal.

Masa berkempen dapatlah digunakan untuk kerja-kerja pembangunan negara dan negeri masing-masing ataupun kawasan masing-masing. Nanti semasa perhimpunan pakat-pakat pilih yang mana nampak sesuai dengan rekod masing-masing yang ada. Bila berkempen macam in rasa tak adil pula kepada yang tidak jadi Menteri.

Sebab itulah saya berani katakan bahawa masa untuk sampai kepada matlamat itu terlalu lama. Ruang terlalu jauh dan macam-macam boleh berlaku.

Apapun, saya ucapkan selamat berjuang kepada semua yang terlibat.

No comments:

Post a Comment