Monday, June 15, 2015

KALAULAH AKU BEBAS BERCAKAP..........

1. Sebelum berangkat pagi esok, bergunung harapan biar tiada siapa dilanda musibah atau terkena sumpah. Katalah apapun, ketika di depan Kaabah nanti berkoyan doaku untuk kesejahteraan insan beriman dan bergunung juga doaku untuk curahan hidayah dari Mahakuasa untuk semua insan di negara bertuah ini.

2. Andaianya aku berpeluang berkata-kata dan berbicara, semestinya aku gunakan untuk menyatakan beberapa perkara. Bukan untuk menghina, jauh sekali mengumpat cela tetapi untuk kebaikan semata. Biarlah aku puas berbicara tentang bebarapa perkara yang baru dan lama.

3. Jika berpeluang berkata-kata dengan Perdana Menteri, akan aku anjurkan kepada beliau, pujuklah Rosmah memakai tudung kerana itu adalah wajib walaupun mungkin katamu perkara itu hak individu. kamu sebagai suami wajib mempastikan isterimu menutup aurat sepanjang masa di khalayak. Usah pertikaikan apa-apa lagi. Dan itulah caranya boleh meredakan segala bentuk umpat keji dan fitnah serta nista yang dilemparkan kepadamu suami isteri selama ini.

4. Jika berkesempatan dan tidak menjadi hal kepada Tun Mahathir, aku akan memberi nasihat kepadanya supaya beretika pada waktu meluahkan pendapat dan kritikan. Anda pernah duduk di jawatan itu dan anda pernah merasai pahit getrir dan susah payahnya mengendalikan sebuah kapal di tengah gelora. Dan berfikirlah sebagaimana orang tua berfikir, bertindaklah sepertimana orang bersara bertindak. Kurang bijak jika kita fikir semua orang tidak betul dan kita saja yang betul.

5. Tetapi siapalah aku yang hendak mengajar dua pemimpin besar ini. Lalu aku bawa ke mimpi sahaja untuk hari ini.

Friday, June 12, 2015

GILA ASTRO ATAU ASTRO GILA?


Penggunaan televisyen berbayar sangat populer buat masa ini. Selain dari member banyak pilihan saluran, stesen berbayar ini menghidangkan gambar yang terang dan kemas. Walaupun ada masalah-masalah tertentu, stesen berbayar ini tetap juga menjadi pilihan. Dan stesen yang paling popular buat masa ini tentulah Astro. Malah ia mungkin menduduki tempat teratas dalam senarai stesen berbayar ini.

Oleh sebab menjadi pilihan nombor satu di negara ini, Astro mula menunjukkan belangnya. Filem-filem lama diulang semula berkali-kali sehingga kanak-kanak berusia 6 thaun pun boleh menghafalkan ceritanya. Mutu filem usahlah disebutkan, ada antaranya sangat rendah dan remeh. Kadang-kadang sangat baru muncul filem-filem atau siri-siri baru dipaparkan.

Pelanggan membayar hingga ratusan ringgit untuk menikmati setiap pilihan mereka tetapi Astro sentiasa menyiarkan program realiti yang tentunya mendatangkan pendapatan kepada mereka tanpa memikirkan apakah program realiti itu member impak yang baik atau tidak kepada penonton. Betullah pelanggan boleh membuat pilihan tetapi biarlah berbaloi dengan wang yang dibayar kepada Astro.

Selain itu, pelanggan Astro sering disogokkan dengan berbagai promosi dan iklan. Bermacam-macam promosi siaran dan banyak iklan yang disiarkan di sepanjang sesuatu program atau filem. Kadang-kadang dalam segmen atau siri filem untuk satu jam, hanya 40 minit saja yang berkaitan. Selebihnya adalah iklan dan promosi. Pihak Astro harus ingat bahawa setiap pelanggan membayar ratusan ringgit bukan untuk menonton iklan atau pomosi. Kalau untuk tujuan itu mereka boleh mengikuti siaran RTM dan TV3 sahaja kerana stesen-stesen itu hidup hanya bergantung kepada iklan.

Astro ini adalah stesen berbayar dan biarlah apa yang disajikan itu berbaloi dengan wang yang telah dikeluarkan kepada Astro. Kalau hendak disiarkan iklan-iklan produk, lebih baik turunkan  bayaran bulanannya.

Jadi sekarang adakah Astro yang gila atau kita yang gila Astro?

Wednesday, June 10, 2015

MANUSIA GELANDANGAN: SIAPA YANG PERLU AMBIL TAHU?

Kasihan!

Itulah satu-satunya perkataan yang hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya melihat situasi begini. Nasib baik ini waktu siang dan tiada orang terlalu ramai yang lalu-lalang. Di pekan yang tidak terkenal inipun ada juga orang yang tidak bernasib baik begini. Kalau di banda-bandar besar tentulah ia perkara biasa. 

Foto lelaki gelandangan ini sedang tidur sengaja diambil dari belakang agar tidak menimbulkan perasangka dan mengaibkan sesiapa. Lelaki itu berbaring dan lena nyenyak, tanpa menyedari apa-apa dirakamkan di lantai sebuah kedai berhampiran pejabat cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri di pekan Yan Kechil, Kedah. 


Lelaki ini sering dilihat berjalan mundar-mandir membawa bungkusan pakaiannya. Dia juga sering dilihat merayau di gerai-gerai makan mengharapkan sedikit makanan dari orang ramai atau dari peniaga-peniaga di pekan kecil ini.

Yang peliknya, tiada siapa melakukan apa-apa walaupun ia dilihat sudah berbulan-bulan ke sana ke mari. Yang istimewanya dia sentiasa nampak tersenyum, seolah-olah tiada apa-apa masalah. Di manakah Pegawai Kebajikan Masyarakat? Tidak terfikirkah tentang masa depan lelaki ini? Apa akan berlaku seandainya sikapnya tiba-tiba berubah menjadi ganas dan memberi kesan tidak baik kepada orang ramai?

Pihak berwajib dari Kebajikan masyarakat, Jawatankuasa Masjid, JKKK dan lain-lain yang berkaitan diharap dapat melakukan sesuatu. bawalah dia ke tempat-tempat perlindungan atau ke rumah-rumah kebajikan. bila orang luar atau pertubuhan yang kita sangsi meminta derma kebajikan, kita layan bukan main mesra tetapi gelandangan di depan mata buat tidak nampak.

Kasihan melihatnya!

Monday, June 8, 2015

PEMUNGUT DERMA: BEBASNYA MEREKA MENGUMPUL WANG


1. Kegiatan mengutip wang derma boleh dikatakan tidak terkawal lagi. Tiada pihak yang rasa bertanggungjawab menangani masalah tersebut. Dan tiada siapa tahu dengan jelas siapa yang patut mengambil perhatian dan tindakan. Pihak berkuasa agama memberi alasan bahawa itu bukanlah bidangkuasa mereka tetapi pemungut derma ini sering dilihat membawa salinan surat kebenaran dari pihak tersebut. Pihak polis tentulah tidak mempunyai kuasa selagi tiada perlakuan jenayah dan tiada pula laporan polis dibuat.

2. Akhirnya pemungut derma ini bebas ke sana kemari membawa fail dan surat dan juga sering meletakkan tong-tong derma di mana sahaja yang difikirkan menjadi laluan orang ramai. Tempat yang selalu menjadi tumpuan adalah di pasar-pasar malam dan pekan-pekan 'nat' yang ada ramai orang lalu-lalang.

3. Dengan penampilan bagai seorang yang warak dan zuhud, mereka meminta simpati agar orang ramai memasukkan sedikit wang ke dalam tong-tong derma. kononnya itu adalah derma untuk anak-anak yatim ataupun untuk pembinaan masjid dan pusat tahfiz dan apa-apa lagi. Lalu orang Melayu yang berlagak budiman, memberi wang begitu sahaja tanpa usul periksa.

4. Pagi tadi saya berkesempatan melihat seorang pemungut derma di pekan sehari di tempat saya. Dia membawa sebuah fail yang ada gambar rumah anak-anak yatim. kononnya itu adalah derma untuk rumah kebajikan tersebut. Tetapi apabila saya mula mengambil beberapa keping gambarnya sedang menjalankan kegiatannya, dia mula mengelak dan melarikan diri. Kalau benar derma itu untuk anak yatim mentgapa perlu ia mengelak dan lari? Tentulah kegiatannya tidak betul dan dia merasa takut didedahkan rahsianya.

5. Satu peristiwa lagi berlaku di kawasan perumahan yang saya diami. Suatu pagi datang seorang lelaki muda yang berjubah memberi salam dan meminta sumbangan yang katanya untuk sebuah pusat tahfiz di Naratrhiwat, Thailand. Dia tunjukkan beberapa keping gambar pusat tahfiz tersebut. Selepas membelek beberapa gambar saya menolak dengan baik dan menyatakan saya tidak berminat untuk menderma. Pemuda itu pergi dengan rungutan yang tidak jelas.

6. Beberapa minit selepas itu datang lagi seorang pemuda yang lain yang juga memakai jubah memberi salam dan meminta sedikit sumbangan. kali ini pula adalah untuk rumah anak-anak yatim, juga di Narathiwat, Thailand. Dia tunjukkan beberapa keping gambar yang saya lihat betul-betul serupa dengan gambar dalam fail pemuda pertama tadi. Bila saya menyebut tentang persamaan gambar itu, pemuda itu nampak gelisah. Dan ketika saya pura-pura untuk menghubungi seseorang melalui telefon saya, pemuda itu terus tergesa-gesa pergi.

7. Jadi berhati-hatilah tentang pemungut derma ini. Bukan semua tetapi susah untuk kita mengenalpasti yang mana benar. Yang jelas, mudah sekali untuk orang mengumpul wang di negara kita ini. Tiada halangan dan tiada siapa cuba menghalang. hanya terletak pada diri kita sendiri sama ada mahu atau tidak.

8. Pernah pada satu ketika dahulu, kira-kira tahun 1974, saya sempat berbual dengan seorang pengemis di Kuala lumpur. Kebetulan dia tinggal tidak jauh dari rumah yang saya sewa. Malam itu hujan renyai dan dia pulang longlai melalui hadapan rumah lalu saya panggil singgah. Saya terkejut mendengar jawapannya apabila saya bertanya bagaimana keadaan hari tersebut. Kata-katanya saya ingat sehingga hari ini: "Hari ni orang tak ramai, hujan. Dapat 150 sahaja". Bayangkan bagaaimana pada hari yang lain.

9. Andainya anda ada wang untuk didermakan, berilah sumbangan pada tempat yang betul.

Sunday, June 7, 2015

NASIB MALANG BOLASEPAK KITA

Apalah nasib menimpa FAM. Sesudah tewas dua perlawanan dan seri dengan Timor Leste di Sukan SEA Singapura, Harimau Malaya pula bermain hambar dalam persahabatan dengan Hong Kong malam tadi. Menurut Dolah Salleh, pasukannya  khasnya para pemain masih belum serasi dan tidak dapat menurut perancangan beliau dengan jayanya. Itulah yang saya faham sebab jurulatih ini entah datang dari mana, langsung tidak mahu berbahasa Melayu.

Nama macam Melayu tetapi bukan Melayu. Dia hanya seperti Melayu.

Entah hendak tunggu sampai bila baru nak dikatakan serasi kalau sesudah beberapa bulan masih belum serasi. Sejak mengambil alih tugas sebagai jurulatih, belum pernah lagi beliau berpuas hati dengan pasukananya. Sejak dahulu lagi perkataan 'serasi' sentiasa dijadikan alasan.

Dan hari ini juga Menteri Belia dan Sukan YB Khairi Jamaludin meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada FAM. Itulah yang sepatutnya jika dilihat secara sepintas lalu. Tetapi sebenarnya yang bersalah ialah Menteri itu sendiri. Dia menteri sukan, dialah yang bertanggungjawab. kalau sudah tahu FAM tidak betul, panggil saja FAM dan terangkan apa yang mereka mesti buat. Tentu tidak masuk akal seorang menteri yang bertanggungjawab dalam bidang sukan tahu merungut sahaja.

Panggil saja FAM. Panggil saja presiden FAM yang baru dilantik menganggotai Exco FIFA dan beri arahan apa nak buat. Usah sentiasa membebel dan menemp[elak di khalayak media untuk mecari glamour dan meraih populeriti.

Menteri sentiasa merungut, FAM masih juga macam itu tidak berubah, jurulatih masih tercari-cari formula untuk keserasian, penonton semakin hari semakin menggila memberi sokongan. Dan pengadil terus menjadi mangsa cemuhan. Jika begini juga selepas ini, bolasepak negara tetap macam itu juga. 'Pi mai pi mai dok tang tu juga'.

Friday, June 5, 2015

MALAYSIA KALAH? TIDAK MENGHAIRANKAN


Seperti yang dijangkakan, Malaysia tewas lagi. Kali ini tewas kepada pasukan Thailand yang rata-rata peminat merasakan susah Malaysia hendak 'makan' Thailand itu. Apapun alasan Datuk Ong Kim Swee klai ini, pasukan Bawah 23 Malaysia memang tidak akan berupaya berdepan dengan manapun pasukan di rantau ini. Apatah lagi jika menghadapi kelompok pasukan yang lebih istimewa andainya para pemain masih tidak memiliki jatidiri yang tinggi. Lebih teruk lagi jika ada dalam kalangan pemain itu lebih ghairah meraih populeriti dan glamour dari menjaga mutu permainan masing-masing.

Bukan hendak menidakkan pernan Ong Kim Swee tetapi pasukan-pasukan di Malaysia seperti tidak memerlukan jurulatih memajukan permainan mereka. Memadai disediakan penyelars dan penasihat sahaja. Mereka inilah yang membuat pilihan pemain dan biarkan mereka mencorakkan sendiri gaya permainan mereka di dalam padang.

Secara peribadi saya kuat menyatakan bahawa sukan di negara kita tidak memerlukan sebarang tunjukajar jurulatih. Jimat belanja dan jimat masa.

Jadi tidaklah lagi kita mendengar pada setiap kali berlaku kekalahan jurulatih mendedahkan mereka tidak mempunyai masa yang cukup bagi memantapkan pasukan. Dikatkan juga nanti bahawa para pemain tidak fokus dan tidak mengikut arahn jurulatih. Kerana itu lebih baik tiada jurulatih daripada asyik mendengar mereka menyalahkan orang lain pada setiap kali kalah.

Pihak FAM pula seperti sudah meneyediakan skrip jawpn setiap kali masalah menimpa pasukan kebangsaan. Berilah masa yang secukupnya kepada jurulartih memantapkan pasukan adalah jawapan yang biasa didendangkan. Selain itu, alasan bahawa pemain belum serasi, strategi jurulatih tidak menjadi dan faktor keletihan pemain sering juga digunakan sebagai alasan. Lalu tindakan paling klimaks adalah memecat jurulatih atau menggantung tugas mereka.

Nanti sesudah jurulatih baru dilantik, ambil masa lagi untuk memilih para pemain. Ambil masa pula untuk membentuk pasukan dan beri masa pula untuk penyesuaian dan keserasian. Para peminat disogok lagi dengan janji manis untuk meraih simpati.

Lebih menyedihkn dan menyakitkan, ada pula yang menyalahkan pengadil pada setiap kekalahan dan apa-apa musibah yang timbul dalam perlawanan. Kesilapan pemain dan pegawai langsung tidak difokuskan. Setiap kali melakukan kesalahan dan dihukum pengadil, dipertikaikan tentng mutu pengadilan. Sehinggakan pegawai tertinggi dan menteri sendiri menyentuh isu itu. Pengadil yang menjadi 'Kambing Hitam'.

Jangan terlalu gembira bila pegawai kita menjawat jawatan tinggi dalam FIFA. Tiada maknanya jika kita khasnya FAM sendiri tidak berbut sesutu.

Tuesday, June 2, 2015

MAJLIS DAERAH YAN: JADIKAN MPSP INI SEBAGAI CONTOH


1. Langkah Majlis Perbandaran Sungai Petani menyediakan beberapa hadiah untuk para pembayar cukai pintu harus dipuji. Walaupun tidak pelanggan bertuah membawa pulang hadiah yang tidak seberapa, langkah itu boleh dianggap satu penghargaan kepada pembayar cukai yang tidak pernah lupakan tanggungjawab mereka. Malah ini berpotensi menggalakkan orang lain berbuart demikian.

2. Dan sepatutnya berita ini bakal mendapat pengajaran kepada beberapa Majlis Daerah yang lain agar dapat mencontohi MPSP ini. Hargailah pembayar cukai pintu ini yang sedikit sebanyak menyumbang kepada aspek pembangunan di daerah masing-masing. kalau sedikit penduduknya dan sedikit pembayar cukainya, buatlah secara sedikit. yang penting pembayar cukai harus dihargai terutama yang begitu prihatin dan awal menjalankan tanggungjawab mereka.

3. Saya mengambil contoh kawasan yang saya duduki yang terletak di kawasan Majlis Daerah Yan, Kedah. Penduduknya tidaklah seramai di Sungai Petani dan bandar-bandar yang lain. Taman-taman perumahan juga tidaklah terlalu banyak yang memungkinkan amat kurang jumlah pembayar cukainya. Tetapi apalah salahnya mereka dihargai juga kerana begitu aktif membuat bayaran. 

4. Sediakan jugalah sedikit insentif sebagai hadiah kepada yang awal membuat bayaran selain di sebalik mengenakan denda kepada yang lewat membayar. Langkah ini dilihat lebih bersifat rendah diri, sifar egonya dan mungkin akan dikenang sebagai sebuah daerah yang baik.

5. Dua bulan yang lalu saya pergi ke pejabat Majlis Daerah Yan untuk membayuar cukai pintu bagi 6 bulan pertama tahun 2015 sebanyak RM50.40, tidaklah terlalu banyak jumlahnya. Dan saya tidak sedar bahawa pada hari tersebut saya telah terlewat 2 hari dari tarikh akhir pembayaran. Kerana itu saya didenda sebanyak RM2.00, tidak banyak juga. 

6. Tetapi untuk memudahkan diri saya dan pihak MDY, saya terus membuat bayaran untuk 6 bulan seterusnya yang notisnya belumpun dikeluarkan berjumlah RM50.40 juga. Kali ini saya bertanya pegawai yang bertugas adakah saya boleh mendapat apa-apa hadiah kerana membayar awal sebelum notis. Pegawai itu hanya mampu tersenyum. Untuk memaniskan perbualan, beliau berjanji akan berbincang dengan pegawai atasan yang saya kira tidak akan berlaku sebarang perbincangan pun.

7. Jadi saya ingin bertanya kepada MDY apakah tindakan yang mereka akan ambil untuk situasi seperti yang dinyatakan itu? Kalau tiada apa-apa tindakan, lebih baik bayaran cukai tersebut dibuat setiap 6 bulan sahaja, bukan untuk setahun.

Monday, June 1, 2015

KAMBING-HITAM DALAM BOLASEPAK ADALAH PENGADIL

1. Sehari dua ini beberapa blog dan Laman fb meriah dengan rentetan hasil perlawanan Malaysia dengan Timor Lesete yang berkesudahan dengan Malaysia menang satu gol tanpa balas. Tetapi bukan keputusan perlawanan itu yang menjadi fokus perbincangan tetapi pengadil menjadi sasaran kritikan. Ramai yang tidak berpuas hati tentang nasib yang menimpa pemain Malaysia, Nazmi Faiz hasil dari kad merah atau keputusan buang padang oleh pengadil yang diterimanaya.

2. Ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan pewngadil tersebut kerana menurut mereka perbuatan tersebut bukan disengajakan dan bukan ditujukan kepada pemain pihak lawan. Ada yang berkata pengadil tersilap membuat keputusan. Ada yang lebih pedas lagi mendakwa pengadil tersebut terlebih belajar sehingga begitu yakin bahawa Nazmi Faiz meludah pemain lawan.

3. Dan yang paling pelik para pengulas sukan di radio dan TV memainkan isu ini seolah-olah mereka terlalu mahir dengan pengadilan bolasepak. Perbuatan meludah itu dianggap tidak sengaja dan disebut berulangkali seolah-olah memainkan perang saraf dan provokasi untuk memberikan satu persepsi negatif terhadap pengadil.

4. Yang jelas manusia berbaju hitam itu menjadi mangsa. Hendak menjawab kritikan tentu tidak mungkin kerana kebiasaan para pengadil berpegang pada satu etika iaitu tidak akan memberi komen atau menjawab persoalan-persoalan, tidak seperti hakim di mahkamah. Dan mereka, para pengadil ini, akan terus menjadi kambing hitam setiap kali ada insiden di padang. Kita sudah lihat sebelum ini dalam pertandingan akhir Piala FA, pengadil dikutuk habis-habisan. Ramai yang bercakap tentang mutu pengadilan sedangkan pengadil itu tidak berbuat salah pun. Keputusannya tepat dan baik.

5. Kita harus ingat bahawa pengadil bolasepak adalah orang yang paling hampir dengan sebarang insiden. Tiada orang lain yang sehampir beliau dan mereka telah dilatih untuk mengenali setiap kesalahan yang dilakukan dan mereka juga dapat membaca setiap gerak dan niat pemain-pemain di setiap kesalahan yang dikesan. Jadi janganlah orang lain yang duduk di 'grand-stand' atau di bilik khas boleh melihat dengan jelas apa yang berlaku.

6. Yang pentingnya, kita harus memahami peraturan dan undang-undang permainan. Kita juga haruslah memahami dan dapat mentafsirkan undang-undang itu dengan baik kerana tafsirannya lebih memberi makna. Dah pengadil sahaja yang tahu sengaja atau tidak setiap kesalahan pemain. Pengadil juga ada kuasa 'budi bicara' dalam melaksanakan sesuatu keputusan. Mereka juga dibantu oleh beberapa pembantu pengadil yang tentunya memberim kerjasama sepenuhnya kepada beliau.

7. Sekian. Selamat bertugas para pengadil sekelian.