Thursday, April 16, 2009

STRATEGI ANWAR MENAMPAKKAN HASIL

Beberapa hari lepas saya telah menulis tentang perkara ini. Saya sudah menjangkakan Sdr. Mohammad Fairus Khairuddin akan meletakkan jawatan sebagai ADUN Penanti. Tepat sekali! Hari ini beliau secara rasmi melepaskan kerusi tersebut yang memungkinkan satu lagi Pilihanraya Kecil diadakan dalam sedikit hari lagi.

Inilah strategi Anwar. Beliau mahu menghadapi PRK secara satu lepas satu. Dengan cara ini, selain strategi berkempen, orang akan sentiasa mengingati Anwar. Orang tidak sempat melupakan siapa Anwar. Dan Anwar serta PKR terus populer. Anwar mahu 'gelombang' sokongan kepadanya tidak dilupai rakyat sesudah memenangi PRK satu lepas satu.

Dan dengan PRK demi PRK, kerajaan tidak sempat berbuat apa-apa kemajuan kepada negara ini, asyik melayan pilihanraya sahaja sepanjang tahun. Itulah stratregi Anwar, supaya rakyat melihat tiada pembangunan dibuat oleh kerajaan.

Selepas ini, PERCAYALAH! Selepas ini Bukit Lanjan pula pasti ada Pilihanraya Kecil apabila Elizabeth Wong diarah meletakkan jawatan. Sekarang beliau masih lagi ADUN Bukit Lanjan, tidak jadi meletak jawatan buat masa ini selepas bercuti panjang sebab Anwar mahu menghadapi satu PRK sahaja pada satu-satu masa.

Lama selepas ini sudah pasti Elizabeth Wong terpaksa melepaskan kerusi Bukit Lanjan apabila Anwar mahukannya berbuat demikian. Itulah stratregi Anwar.

Maka, bersedialah!

DALAM KEMERIAHAN MENYAMBUT KETIBAAN 'EXORA', SEDARKAH KITA BAHAWA PROTON MENJADI PEROSAK BAHASA?

(Inilah EXORA)
(Semua tersenyum walaupun bersekongkol menjadi perosak bahasa sendiri)


Hari ini kita menyambut ketibaan keluaran baru Proton iaitu 'EXORA’ sebuah MPV yang dihasilkan oleh teknologi tempatan. Nampak cantik dan bergaya. Nampak menarik bila Perdana Menteri lancarkan semalam.

Tapi di sebalik kemeriahan menyambut ‘Exora’ itu, sedarkah kita bahawa pengeluar kereta nasional ini merosakkan Bahasa Melayu? Sepatutnya kita sama-sama berusaha memartabatkan Bahasa Melayu, tetapi terjadi sebaliknya. Proton lebih cenderung membantu merosakkan lagi Bahasa Kebangsaan kita ini.

Perkataan Exora tidak ada langsung dalam Kamus Dewan dan juga dalam penggunaan bahasa setiap hari. Tidak ada siapa yang tahu maknanya. Yang menjadi persoalan di sini, pihak Proton memberi ganjaran pula kepada individu yang mencadangkan nama Exora itu walaupun terang-terang telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Proton sendiri.

Kalau ditelitikan Borang Penyertaan Peraduan Menamakan Kereta Nasional itu, ada ruang bagi menyatakan makna perkataan yang dipilih. Tapi di sini, apa maksud yang diberikan kepada perkataan yang tidak pernah wujud itu? Inilah yang menjadi tanda tanya peserta yang lain yang berusaha mencari perkataan yang ada makna.

Ini seolah-olah menggalakkan lagi orang lain turut merosakkan bahasa dengan memberi nama-nama dari perkatan rekaan yang tidak ada dalam kamus terbesar tadi. Apa maknanya syarat setiap penyertaan mesti memberi maksud dan menghuraikan perkataan yang dipilih kalau perkataan tersebut memang tidak ada makna?

Apapun bukan sekali ini Proton buat silap tentang bahasa ini. Nama PROTON itu sendiri adalah satu nama yang boleh dipertikaikan. PROTON adalah kombinasi dari PERusahaan OTOmobil Nasional. Adakah dalam Kamus Dewan perkatan OTOMOBIL? Ia didasarkan daripada perkataan Automobile yang kalau di Bahasa-Melayukan akan menjadi AUTOMOBIL.

Jadi penggunaan OTO itu sudah salah, sepatutnya AUTO. Tetapi oleh kerana yang memberi nama syarikat itu dulu ialah Tun Mahathir, tokoh-tokoh bahasa semuanya berdiam diri. Para pemimpin Melayu semua menikus.

Selepas itu Proton mengejutkan kita pula dengan jenama proton ISWARA. Apa makna Iswara? Tidak siapa tahu. Hanya para perosak bahasa dan Proton sahaja yang tahu. Nama JUWARA juga tidak mempunyai makna apa-apa. Bagaimana pula dengan PERSONA, apakah maknanya? Semua kerana sedap didengar sahaja.

Yang teraniaya di sini adalah individu-individu yang betul-betul sayangkan Bahasa Melayu. Puas menyelak Kamus Dewan mencari satu perkataan Melayu yang ada makna, tiba-tiba pihak Proton memilih satu perkataan yang langsung tidak ada dalam Bahasa Melayu bagi menamakan MPV tersebut. Dan nama ini pula layak mendapat anugerah sebuah MPV. Nampaknya Proton lebih cenderung memberi hadiah kepada seorang perosak bahasa daripada pencinta bahasa.

Mana perginya Datuk Hassan Ahmad dan A Samad Said yang sayang sangat dengan Bahasa Melayu hingga sanggup berarak ke Istana Negara menuntut PPSMI di hentikan? Takkan isu PPSMI sahaja yang diperjuangkan?

Kerana isu tersebut menjadi kegemaran pihak pembangkang, anda terus ingin meraih populeriti. Kalau anda betul-betul ikhlas memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu, isu Proton ini juga merupakan isu nasional.

Wednesday, April 15, 2009

SEMUANYA KERANA WANG

Hari ini Ustaz Hashim Jasin, Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang, Perlis mendedahkan bahawa beliau belum dibayar elaun sebagai wakil rakyat yang dimenanginya selepas mahkamah memutuskannya demikian pada 16 September 2008 lalu. Menurutnya tanpa elaun tersebut sulitlah beliau hendak menjalankan tugas untuk menyalurkananya kepada yang memerlukan.

Betul jugalah. Tanpa wang tentulah susah menjalankan tugas.

Yang jelas di sini semuanya adalah kerana wang juga. Yang kita berperang dan fitnah memfitnah ini adalah semata-mata kerana wang. Sama ada dari Pas atau dari BN, semuanya kerana wang. Tidak ada kerja sukarela. Tidak ada kerja percuma.

Selama ini berjuang dalam parti untuk apa? Setiap hari menghasut rakyat untuk apa? Tak lain supaya rakyat membenci satu pihak dan memilih satu pihak. Semuanya kerana untuk mendapat wang. Wang untuk meneruskan hidup. Tidak ada ‘berkerja untuk rakyat’. Itu semua bohong. Konsep yang dipakai adalah ‘kerja untuk wang’.

Manusia sanggup berbuat apa saja kerana wang. Hingga ke peringkat membunuh, semata-mata untuk mendapatkan wang. Tidak hairanlah kalau setakat memfitnah orang tertentu.

Semuanya kerana wang.

Saturday, April 11, 2009

PILIHANRAYA KECIL SATU STRATERGI ANWAR


(Baru-baru ini di Bukit Gantang)
Selepas dua bukit dan satu batang mencapai noktahnya pada 7 April lalu, apa pula langkah pembangkang seterusnya? Apa pula langkah Anwar dan Pakatan Rakyat bagi menggugat kestabilan politik negara? Sudah berapa Pilihanraya Kecil yang keputusannya berpihak kepada Pakatan Rakyat menjelaskan lagi strategi dan taktik Anwar amat menjadi.

Anwar seperti merangkakan setiap pilihanraya Kecil untuk menguji populeritinya. Setiap satunya tidak berjalan serentak. Semua pilihanraya kecil seperti diatur begitu rupa satu lepas satu. Dengan kaedah ini gerakan refomasi yang dilaungkannya akan diingati rakyat sepanjang masa.

Tiga Pilihanraya Kecil baru-baru ini diadakan serentak pun atas sebab Wakil-wakil Rakyat di dua kawasan meninggal dunia. Itupun sudah terdengar cakap-cakap kurang sedap dari kem Anwar tidak setuju dengan keputusan SPR mengadakannya serentak dengan Bukit Selambau.

Selepas Bukit Selambau, lihatlah nanti, ada lagi pilihanraya yang lain. Dewan Undangan Negeri Penanti di Seberang Perai sudah tentu dalam senarai berikutnya ekoran masalah pendakwaan yang dihadapi Wakil Rakyatnya. Sekali lagi negara akan digegarkan dengan kempen-kempen agresif parti-parti yang bertanding. Masalah perundangan yang dihadapi Mohd Fairuz Khairuddin memungkinkan satu pilihanraya pula.

Bila ada pilihanraya sahaja, rakyat akan mengingati refomasi Anwar. Dan terbayang corak refomasi dan demonstrasi yang menjadi ‘trademark’ saudara kita dalam PKR ini. Akan ada kempen agresif fitnah dan tohmah terhadap kerajaan seolah-olah tidak ada satu pun kebaikan yang dilakukan BN.

Selepas Penanti, Bukit Lanjan pula tentu dalam senarai akan ada Pilihanraya Kecil. Elizabeth Wong diarah bercuti dan menyambung lagi cutinya. Agak lama sedikit nanti, bila rakyat hampir hendak melupakan ketegangan politik tanahair, pasti ‘nyonya’ itu akan kembali membuat kejutan dengan meletak jawatan EXCO dan ADUN.

Pilihanraya Kecil akan diadakan lagi selepas Elizabeth Wong meletak jawatan. Dan nama Brother Anwar akan menjadi sebutan lagi. Secara tidak langsung beliau akan menjadi lebih populer. Gerakan refomasinya akan diingati sepanjang masa. Tidak hairanlah Pakatan Rakyat sentiasa memenangi setiap kali Pilihanraya Kecil.

Thursday, April 9, 2009

HIKAYAT WANG

Wang penentu segalanya
Wang mencorakkan hidup kita
Wang berkuasa sekarang melebihi yang lain.

Orang akan sayangi kita bila mempunyai banyak wang
Orang akan hormati kita bila saku kita dipenuhi wang
Hodoh pun orang nampak cantik
Buruk pun orang nampak segak
Semuanya kerana wang.

Kalau tiada wang
Orang yang selalu baik pun akan meninggalkan kita
Orang yang paling rapat pun akan membenci kita
Orang yang patut membantu pun akan menjauhkan diri
Orang yang selalu ketawa dengan kita pun mula menghilangkan diri.

Wang penentu segalanya
Wang pengikat kasih dan sayang
Wang pengikat persahabatan.

Tuesday, April 7, 2009

HIKAYAT SATU BATANG DUA BUKIT


Hari ini adalah Hari Penentuan bagi dua Bukit dan satu Batang. Bukit Selambau di Kedah dan Bukit Gantang di Perak serta Batang Air di Sarawak akan mendapat Wakil Rakyat baru menjelang tengah malam ini. Rakyat akan menetukan dengan hati dan tangan mereka.

Bermacam-macam helah dan janji diberikan untuk mengambil hati pengundi. BN dengan segala kemudahan melalui akhbar dan juga TV. Menggunakan premis kerajaan bukan lagi satu yang pelik di pihak BN dengan alasan menyampaikan sesuatu dari kerajaan kepada rakyat atas nama pembangunan. Padahal semuanya kerana berkempen semata-mata.


Pihak pembangkang pula khasnya Pakatan Rakyat juga menggunakan berbagai cara menarik hati mengundi menyokong mereka. Sampailah ke satu tahap membenarkan orang bukan Islam menggunakan ayat Quran semasa berkempen padahal semua menyedari bahawa itu adalah sesuatu yang tidak betul.

Para Mufti menentangnya tetapi Ulama dalam Pakatan Rakyat merestuinya pula. Semuanya untuk politik, kuasa dan wang semata-mata. Kerana duniawi ulama dalam PAS dan PKR membenarkan dan merestui ‘ulama DAP’ Nga Kor Ming membaca ayat-ayat al-Quran dalam kempen mereka.

Pakatan Rakyat juga lega sedikit sebab pengharaman terhadap Penerbitan Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik oleh Perdana Menteri Malaysia yang baru, Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun dinafikan tetapi pengumuman Perdana Menteri mengenai pembebasan 13 tahanan ISA dan jug aura-ura mengkaji ISA secara serius adalah satu usaha memancing undi. Hinggakan ucapannDatuk Seri Anwar Ibrahim yang memuji Tun Mahathir dan BN pada tahun 1995 disiarkan semula untuk tujuan memancing undi.

Yang kasihannya nasib 13 orang calon BEBAS, satu di Bukit Gantang dan 12 di Bukit Selambau. Tapi kempen tetap kempen. Hingga ada yang menggunakan bas dan payUng pergi berkempen.

Jadi isu dua bukit satu batang ini akan menjadi topik menarik untuk hari ini dan hari-hari yang terdekat ini. Sama-samalah kita tunggu hingga jam 9.00 malam ini seperti yang disebutkan oleh Pengerusi SPR dalam akhbar hari ini.

Apapun, esok penduduk di dua Bukit dan satu Batang itu akan menerima Wakil Rakyat mereka yang baru.

Tahniah kepada mereka yang berjaya dan yang tidak berjaya nanti usaha lagi. Nak memecah-belahkan orang-orang Melayu bukannya payah. Nak menghuru-harakan negara bukannya susah. DS Anwar telah membuktikannya. Tun Mahathir juga telah membuktikannya.
Taburkan segala fitnah, hamburkan semua tohmah, orang-orang Melayu memang mudah percaya.