Monday, May 30, 2016

APA SAKITNYA ORANG INI?

Pada hari Sabtu 28 Mei 2016 kira-kira jam 8.45 hingga 9.00 malam di Plaza Tol Sungai Petani Selatan, berlaku satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan. Sukar hendak digambarkan dan payah juga hendak diceritakan dalam bahasa yang sopan. Situasi yang dihadapi sangat sukar difikirkan akan berlaku di depan mata kepala sendiri. Namun demi menjaga maruah bangsa dan agama biarlah di ceritakan seringkas yang boleh agar semua pihak dapat memahami apa yang berlaku. Cuma satu soalan ingin saya lemparkan iaitu “Apakah Sakitnya Orang Ini?”

Ketika sedang bersiap untuk ke kenderaan selepas solat, meluru seorang lelaki Cina pertengahan usia, kira-kira 50an tahun terus ke dalam surau di situ lalu membuka seluarnya dan terus duduk di tempat mengambil wuduk dan membuang air besar. Bayangkan situasi ketika itu. Apa yang harus anda lakukan andainya berlaku di depan mata anda?

Selesai dia menunaikan hajatnya saya menegur perbuatannya yang saya anggap mencabar agma Islam dan bangsa Melayu sekaligus. Sudahlah ‘melepas’ di tempat terbuka dia mencemar pula tempat ibadat orang Islam. Dia member jawapan yang langsung tidak masuk akal. Katanya dia tidak nampak papantanda surau dan tidak tahu di mana letaknya tandas. Saya hampir bertindak kasar terhadapnya kerana tentu sekali dia tidak bodoh dan masakan tandas di rumahnya macam tempar wuduk di situ.
Akhirnya sesudah melepaskan geram dengan memarahi beliau, saya mengarahkan dia membersihkan semula tempat tersebut namun kesan baunya sukar hendak hilang dengan mudah.

Apa yang hendak difokuskan di sini ialah sikap bangsa lain terhadap sensitiviti  bangsa dan agama yang lain. Wajarkah seseorang berlainan agama pergi buang air besar di tempat ibadat agama yang lain? Malah jika orang Islam sendiripun berkelakuan begitu di surau berkenaan, dia pasti dicerca dan dimarah malah mungkin menerima pukulan dan sebagainya.

Malah saya percaya jika kejadian ini diviralkan dengan gambar-gambar, tentu akan terarah kepada situasi yang lain pula. Dan andaian tentang sabotaj terhadap sesuatu kaum mungkin ada kebenarannya. Jadi berwaspadalah dengan tindakan kita.


Peliharalah keharmonian dan usahlah bertindak bodoh seperti itu. Pihak Plaza Tol tersebut pula sepatutnya menyediakan perkhidmatan pengawal bagi menjaga situasi seperti ini kerana ketika peristiwa itu berlaku tiada seorangpun pengawal atau pegawai Plus yang berada di sekitar kawasan tersebut.

Saturday, May 21, 2016

KFA: BILA MAHU BELAJAR DARI KESILAPAN?




Separuh musim telah berlalu dan Helang Merah berjaya menempatkan diri dalam kelompok yang boleh dibanggakan walaupun baru semusim kembali ke Liga Super. Tempat ke lima atau enam memang boleh dibanggakan. Rata-rata para peminat melihat perkembangan ini secara positif dan sentiasa memberikan sokongan. Biarpun beberapa tindakan pihak pengurusan persatuan dan pasukan bertindak di luar jangkaan peminat, namun sokongan tidak beralih, malah semakin padu dengan harapan Helang Merah akan terbang lebih tinggi.

Namun begitu KFA masih juga tidak mahu belajar dari kesilapan-kesilapan mereka untuk lebih bersedia pada masa hadapan. Beberapa tindakan dilihat sebagai ‘syok sendiri’ dan sering melupakan sumbangan yang diberikan pihak-pihak lain. Mungkin pihak pengurusan mengandaikan perkara-perkara tersebut sebagai remeh dan tidak boleh mengggugat pencapaian pengurusan dan pasukan.
Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan dan jika hal-hal begini dibiarkan berlarutan, usah terperanjat nanti pada suatu hari KFA akan berdepan dengan masalah. Masalah-masalah ini mungkin akan menjejaskan kebangkitan pasukan Helang Merah sendiri dan juga beberapa masalah lain yang menggugat pencapaian persatuan sendiri.

Baru-baru ini KFA mengadakan Malam KFA yang bertujuan meraikan pencapaian dan juga kejayaan pasukan Helang Merah dan KFA sendiri mengharungi masalah pengurusan dan juga penajaan. Dan dalam sambutan malam itu ramai pihak yang dijemput termasuklah Ahli-ahli Majlis, beberapa jawatankuasa dan pihak yang terlibat dengan kebangkitan Helang Merah. Namun begitu ada juga pihak-pihak yang tidak menerima jemputan walaupun turut menyumbang ke arah yang sama.

Jawatankuasa Pengadil tidak langsung dijemput. Mungkin pada pandangan pihak penganjur, jawatankuasa ini tidak penting, lalu terus dilupakan. Hanya Pegawai Pembangunan Pengadil sahaja yang dijemput seolah-olah beliau seorang sahaja yang menyumbang ke arah pembangunan pengadil di negeri Kedah ini. Barangkali sumbangan jawatankuasa ini tidak mencapai piawai yang ditetapkan. Dan pihak jawatankuasa pengadil menerima dengan hati terbuka. Walaupun tidak dijemput, program tetap diteruskan.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang pelik dihadapi. Selama saya berada di dalam jawatankuasa ini,  pengerusinya tidak hadir bermesyuarat dan ia hanyalah dikendalikan timbalannya. Apatah lagi Setiausaha Kehormat KFA, lagi susah hendak nampak batang hidungnya, langsung tidak ambil tahu. Mengenali ahli jawatankuasa pun tentulah tidak. Ini membuatkan Jawatankuasa ini susah menjalankan program.

Jawatankuasa Pengadil ini juga tidak mempunyai seorang setiausaha untuk mencatat setiap perancangan dan keputusan yang dibuat. Walaupun kami tyelah merancang dan memutuskan beberapa perkara penting, ia hanyalah tersimpan di ingatan masing-masing. Hal ini amat menyulitkan kerana tidak ada catatan rasmi.

Jawataankuasa yang hadir bermesyuarat pula tidak pernah dibayar sebarang elaun termasuk tambang perjalanan dari rumah ke Stadium Darulaman. Bayangkanlah berapa belanja jika seseorang datang dari Kulim semata-mata untuk bermesyuarat? Dahulu, ketika saya menganggotai jawatankuasa ini pada era 80an hingga 2000, pihak pengurusan membayar elaun perjalanan yang boleh menampung sedikit perbelanjaan.


Jadi KFA haruslah belajar dari perkara-perkara ini agar tidak tersilap langkah.

Friday, May 13, 2016

PECAT JURULATIH: EPISOD MALANG BOLASEPAK NEGARA


Baru dua hari selepas Datuk K. Rajagobal meninggalkan Sarawak, hari ini K. devan pula meletak jawatan jurulatih bolasepak Kelantan. Masuk yang ini sudah lima orang jurulatih bolasepak negara menerima nasib yang sama iaitu meninggalkan jawatan mereka atau direhatkan. Dengan mengambil kata yang lebih tepat mereka dipecat dari tugas jurulatih.

Alasan yang diberikan begitu mudah. Kegagalan mereka membawa pasukan masing-masing memenangi perlawanan liga menyebabkan persatuan bolasepak terlibat hilang keyakinan terhadap kemampuan jurulatih-jurulatih tersebut. Para peminat pasukan juga memberi tekanan yang serupa kepada jurulatih-jurulatih malang ini. Bermula dengan Ahmad Yusof sejak perlawanan pertama lagi, disudahi dengan K. Devan semalam.

Tetapi benarkah jurulatih yang menyebabkan pasukan tidak boleh menang? Bagaimana dengan pemain dan juga pengurusan? Dan wang ringgit juga patut dilihat sebagai faktor naik turunnya sesebuah pasukan, bukan jurulatih semata-mata. Episod duka ini pasti tidak akan berakhir andainya kalah dan menang menjadi kayu pengukur, bukannya pencapaian dan semangat juang yang telah ditunjukkan diambil kira.

Lihat saja liga Perdana Inggeris, jurulatih hebat tidak menjamin menangnya sesebuah pasukan. Pasukan Lecister yang tidak dikenali tiba-tiba muncul juara meninggalkan pasukan yang lain yang lebih terkenal dan mempunyai pula jurulatih yang lebih ternama. Kalau ikut trend di Malaysia, sudah lama mereka dipecat atau direhatkan.

Jadi adalah lebih baik jika mereka diberi peluang. usah ada campurtangan pihak pengurusan. jurulatih harus diberi kebebasan memilih pemain untuk membentuk pasukan. apa yang mereka boleh lakukan jika itu saja pemain yang ada. Beri masa dan peluang sebaiknya untuk jurulatih mencari pemain yang difikirkan boleh dibentuk untuk pasukannya bukannya melatih pemain-pemain yang sudah dipilih oleh orang lain.

Pemain juga haruslah menanam rasa hormat kepada jurulatih. rasa hormat ini boleh menjadi tonik untuk bermain dengan lebih baik dan dapat mengikut arahan-arahan yang diberikan.

Saturday, May 7, 2016

PENAJA BUKANLAH PEMILIK

Memang sudah diagak, penajaan yang hendak dibuat adalah gimik semata-mata. Sedang peminat Helang Merah ternanti-nanti penampilan ‘Terlajak Laris’, Datuk Aliff Shukri secara rasmi, tiba-tiba terlajak terus. Banyak pihak memberi berbagai andaian kenapa penajaan tidak diterima KFA dan kebanyakannya memberi fakta yang belum tentu benar. Masing-masing memantulkan pendapat yang ada logiknya tetapi ramai juga yang mengaitkan ‘penyakit lena’ presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah sendiri.

Apapun, masing-masing mempunyai hak untuk memberi pandangan tetapi adalah lebih patut kita menjaga bahasa kita dari mengaitkan perkara ini dengan peribadi sesiapa sahaja termasuklah peribadi Datuk Ahmad Bashah yang belum pasti kebenarannya.

Yang penting pihak yang menaja hendaklah memahami bahawa mereka bukanlah pemilik. Bila sesebuh pasukan itu ditaja seseorang, orang itu bukanlah memiliki pasukan itu. Lalu jika kita bukan pemilik, mengapa harus kita mahu berbuat sesuka hati. Lihatlah apa yang berlaku di Kelantan. Penaja kelihatan ‘lebih sudu dari kuah’.
Jika betul-betul mahu ‘mewarnakan’ sesebuah pasukan ataupun, jadilah pemilik pasukan itu. Buat macam Datuk Noordin yang terus membeli dan memiliki kelab Bari di Italy. Bila kita jadi pemilik, apa yang kita buat tak akan ada sesiapa boleh mengganggu apa yang kita hendak buat.

Berbalik kepada pasukan Helang Merah yang setakat ini masih tidak menerima tajaan The Herbs, Datuk Aliff Shukri usahlah terkilan atau marah-marah kerana hak KFA adalah jelas untuk menolak tajaan tersebut jika ada perkara-perkara yang tidak dapat ditunaikan daripada 49 syarat yang digariskan olehnya. Tindakan Datuk Aliff untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap KFA adalah langkah yang bagus untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

Biar mahkamah yang tentukan kedudukan siapa benar dan siapa tidak benar dari masing-masing dalam kalangan kita membuat berbagai andaian yang hanya berlandaskan nafsu.

Cuma ada baiknya difikirkan sejenak kedudukan perkara ini. Biarpun pembangunan yang dicadangkan atas tanah yang menjadi isu dalam masalah ini atas dasar usahasama, kita harus ingat bahawa KFA dan kerajaan negeri adalah dua entiti yang berlainan. Biarpun ditadbir oleh orang yang sama, Presiden KFA tidak boleh bertindak sesuka hati bagi pihak kerajaan negeri.

KFA adalah hanya sebuah persatuan bolasepak yang dikendlikan Presiden dan Ahli Majlis manakala kerajaan negeri pula di bawah pentadbiran Menteri Besar dan anggota Exco. Jadi Datuk Ahmad Bashah bertindak betul menolak penajaan tersebut memandangkan syarat yang diletakkan akan menyebabkan beliau dilihat melangkaui kuasa yang ada padanya.


Fikirkanlah bahawa penaja bukanlah pemilik. Jika ada wang dan kita hendak berbelanja untuk orang lain makan, belanja sajalah tanpa meletakkan syarat untuk mendapat balasan. 


Thursday, May 5, 2016

PERSATUAN SUKAN: BUKAN PENTAS RAJA DAN AHLI POLITIK

Membaca luahan rasa tokoh bolasepak Negara Datuk Peter Velappan dalam ruang Sukan Utusan Malaysia keluaran Sabtu 23 April 2016 yang lalu mengingatkan saya pada tulisan saya melalui blog Madisyak.blogspot.com pada 25 September 2015 mengenai perkara yang sama. Perkara yang saya tuliskan benar-benar serupa dengan apa yang disarankan Datuk Peter Velappan iaitu persatuan-persatuan sukan bukan pentas untuk kerabat diraja dan ahli-ahli politik. Tetapi apa yang saya tuliskan itu tidak diberi perhatian langsung kerana kedudukan saya sebagai orang biasa berbanding dengan Datuk Peter seorang tokoh bolasepak.

Di bawah ini saya turunkan semula apa yang telah saya tuliskan itu.

Selepas Malaysia ataupun Harimau Malaya mengakhiri kempen kelayakan Piala Dunia dan juga Piala Asia dengan keadaan yang amat memalukan, berbagai kritikan dan pandangan diutarakan orang ramai dan juga tidak ketinggalan para pakar bolasepak yang muncul tiba-tiba bagai cendawan.  Kebanyakan pendapat dan kritik itu menjurus kepada kelemahan FAM. Kononnya FAM tidak melakukan apa-apa pembaharuan dan pembangunan sehingga tahap bolasepak di Malaysia semakin menjunam dari  setahun ke setahun.

Jika dahulu Malaysia setaraf dengan Jepun dan Korea, malah gergasi Asia itu sendiri bermain dalam keadaan sukar bila berhadapan dengan Malaysia ketika itu, sekarang tidak lagi. Malah Malaysia bakal menjadi pasukan belasahan jika berjumpa di padang dan negara itu tidak lagi berminat menjadikan Malaysia sebagai pasukan memanaskan badan apatah lagi untuk perlawanan persahabatan. Mereka  telah jauh meninggalkan Malaysia.

Hal ini berlaku bukan kepada bolasepak sahaja malah sukan-sukan yang lain pun menghadapi masalah yang sama. Lee Chong Wei belum ada pengganti. Rabuan Pit belum ada pengganti. Rekod Nashatar Singh belum dapat dipecahkan.  Lihat juga apa yang terjadi kepada sukan hoki. Tetapi tulisan ini tidak mahu menyentuh perkara-perkara itu malah tumpuan hanyalah difokuskan kepada bolasepak kerana inilah sukan nombor satu di Malaysia.

Semua yang berlaku ini gara-gara persatuan Sukan dikendalikan oleh Raja dan juga ahli-ahli politik. Raja-raja, termasuk putera-putera raja dan juga ahli-ahli politik amat tidak sesuai menggalas tugas tersebut kerana masa mereka terhad dan banyak perkara lain yang perlu ditumpukan.  Raja-raja harus sedar bahawa bukan sukan sahaja ‘rakyat’ mereka. Tumpuan harus diberi kepada perkara-perkara lain juga, bukan sukan sahaja.

Selama 31 tahun Sultan Ahmad Shah menerajui FAM, apa perubahan positif yang ditonjolkan selain dari prestasi pasukan menurun tahun demi tahun. Dahulu baginda dilantik menggantikan Tan Sri Hamzah Abu Samah kerana minat yang ditunjukkan baginda, dalam keadaan Malaysia di ranking yang sama dengan Korea dan Jepun. Sejak itu ianya turun sedikit demi sedikit sehingga terjadi seperti sekarang.

 Kita tidak payah menyesal kerana kita yang membiarkan keadaan ini berlaku. Semua pegawai tidak berani menegur ataupun pegawai-pegawai di FAM juga seperti baginda, hanya berada di situ kerana minat ataupun kepentingan yang lain. Kalaupun ada yang berani menegur, teguran tidaklah selantang mana kerana teringatkan nasib yang menimpa Datuk Ahmad Basri Akil dari Kedah yang kuat mengkritik FAM. Begitu juga dengan nasib Datuk Seri Annuar Musa suatu ketika dahulu.

Ahli-ahli politik juga serupa. Baik jangan melibatkan diri dengan pengurusan persatuan. Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan juga para menteri cubalah jangan mencampuri pimpinan persatuan bolasepak mana-mana negeri. Tanggungjawab anda semua terlalu banyak, bukan bolasepak sahaja. Anda semua kenalah menguruskan seluruh rakyat. Itulah yang lebih utama. Jika terlalu berminat, jadilah seperti Sultan Kedah yang sanggup berjalan kaki ke Stadium Batu Kawan kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Ataupun berilah sumbangan dana untuk persatuan yang diminati. Itu adalah lebih baik dari menjadi bahan cemuhan di padang dan juga stadium.

Saya ambil contoh Persatuan Bolasepak Negeri Kedah. Bermula dari presiden hinggalah kepada beberapa Ahli Majlis, terdiri dari ahli-ahli politik. Presiden adalah Menteri Besar sendiri. Setiausaha Kehormat juga ahli politik iaitu Exco negeri. Pengerus-pengerusi jawatankuasa juga terdiri dari ahli politik. Contohnya Pengerusi Jawatankuasa Pengadil adalah Anggota Parlimen. Mereka ini semua tiada masa untuk  bertugas dalam pengurusan malah untuk menguruskan mesyuarat jawatankuasa mereka sekalipun.

Kalau sentiasa tiada masa, bagaimana tumpuan hendak diberikan kepada bolasepak dan persatuan amnya. Selama lebih seminggu saya berusaha untuk menemui Setiausaha Kehormat KFA. Saya terpaksa meminta bantuan Exco yang lain tetapi gagal juga. Akhirnya saya hubungi wakil beliau dan wakil tersebut berjanji akan menentukan satu tarikh dan masa untuk pertemuan tersebut tetapi malangnya sehingga hari ini sudah lebih seminggu tergantung begitu sahaja. Mesej sms dan whatsapp saya kepada wakil dan kepada YB  sendiri tidak berjawab.


Lalu saya membuat kesimpulan bahawa orang-orang politik dan berkepentingan usahlah memimpin persatuan sukan. Perkara penting yang boleh diselesaikan dalam beberapa jam boleh berpanjangan hingga beberapa hari. Dan apabila nasi sudah menjadi bubur, barulah kita menyesal tak sudah.