Saturday, October 18, 2008

KEDAHLANIE: SURATKU UNTUKMU

Mulanya saya tidak berminat untuk turut mencampuri urusan Laman Blog KedahLanie kerana tidak ada apa-apa kebaikan kepada saya selain dari membaca beberapa nama gelaran yang diberikan kepada pemimpin-pemimpin negara. Tetapi saya terpanggil juga untuk menyatakan pendirian saya kerana saya lihat Laman ini sudah jauh menyimpang dari menjadi Laman yang memberi ilmu.

Laman Blog anda adalah satu-satunya yang saya nampak mewakili negeri kelahiran saya, Kedah dan juga seolah-olah menjadi lidah rasmi Kerajaan Negeri Kedah sekarang ini. Sudah tentu ianya dilawati oleh ramai orang terutama rakyat negeri Kedah lebih-lebih lagi para penyokong Kerajaan Negeri sekarang. Dan saya tetap berpendapat ia sedang populer sekarang.

Kalau saya yang terlibat dengan Laman ini, saya akan menjaganya dengan baik agar populeritinya tidak terjejas sama sekali. Sayang andainya Laman ini satu hari nanti tidak mahu dilawati lagi kerana orang sudah jengkel dengan maki hamun dan sumpah seranah dengan bahasa yang memang tidak layak diucapkan oleh orang yang waras. Jadi anda harus menjalankan tanggung-jawab untuk terus menjadikan Kedahlanie terus kekal nilainya.

Kita harus bertanggung-jawab dengan apa yang disiarkan dan dengan apa sahaja komen yang diberikan. Kita tidak boleh lepas tangan dengan hanya meletak label, “…..tidak terlibat dengan komen yang diberikan, tanggung-jawab pihak yang memberi komen…”. Jika anda mahu Laman anda ini terus popular dan menjadi kunjungan ramai pelawat, anda kenalah mengambil langkah-langkah tertentu agar komen yang disiarkan adalah di dalam pengetahuan anda.

Kalau setakat maki hamun dan sumpah seranah, boleh jadi orang masih boleh menerimanya sebab ia boleh memberi penilaian tentang nilai moral dan rendahnya mentaliti pemberi komen itu. Begitu juga dengan gelaran-gelaran yang ditujukan kepada mana-mana individu terutama yang duduk di kerusi Kerajaan Persekutuan sekarang.

Macam saya katakan tadi, ia hanya menggambarkan mentaliti dan nilai moral yang rendah golongan pemberi komen yang begitu.

Tetapi bila ia menyentuh tentang institusi Raja-raja dan Sultan, kita perlu memberi perhatian. Isu ini amat sensitif dan ada kaitan dengan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Malah baru 2 hari yang lepas Majlis Raja-raja yang bersidang di Istana Maziah Kuala Terengganu mengeluarkan kenyataan rasmi yang berupa peringatan kepada rakyat mengenai perkara tersebut. Antara lain peringatan tersebut menyebut dan meminta semua orang Melayu bersatu mempertahankan Institusi Raja Melayu tentang kemuliaannya, kuasanya, kebesarannya dan keistimewaannya.

Sesiapa yang tidak mematuhi peringatan ini boleh dianggap melanggar titah Sultan dan seterusnya menghina Raja-raja Melayu.

Ternyata individu yang memberi komen tersebut tidak mematuhi peringatan tersebut dan menghina kedudukan Raja-raja Melayu dan amat memalukan kerana ia tersiar dalam Laman anda yang berteraskan Islam sebagai wadah perjuangan.

Antara hujah beliau yang boleh dikira menghina Raja ialah seperti berikut:

Raja takut dengan UMNO.
PDRM terletak di bawah kuasa Raja.
Raja tidak menjaga kepentingan rakyat.
Raja jangan lagi duduk bersemayam .
Hapuskan institusi Raja Melayu.
Lebih baik sama-sama hancur.

Dan anda harus bertanggungjawab terhadap komen-komen ini kerana anda telah membuka gelanggang. Apabila gelanggang anda digunakan untuk tujuan yang tidak munasabah, masakan anda hendak lepas tangan begitu sahaja.

Saya tidak hairan jika selepas ini, pelawat KedahLanie semakin merosot. Sayang sekali kerana ia menjadi pujaan ramai dewasa ini.

1 comment:

  1. Salam buat saudara.

    Sebenarnya ramai manusia yang menganggap dirinya dewa. Bijak dan tidak ada cacat celanya.

    Bukankah dari percakapan/penulisan dan tingkah laku memperlihatkan siapa kita?

    saya setuju dengan komen di posting saudara di atas.

    Tentang Raja. Semua orang yang tahu perlembagaan malaysia dia akan tahu apa itu "raja berperlembagaan" dan peranannya mengikut perlembagaan.

    ReplyDelete