Tuesday, March 6, 2018
APA DAH JADI, APA DAH JADI.
Tiba-tiba dua hari lepas saya mendapat satu mesej dari seseorang di PAFA (Persatuan Bolasepak Perak) menyatakan bahawa mereka berjaya mendaftarkan seramai 136 orang anak muda bagi menduduki peperiksaan pengadil Kelas Tiga FAM yang akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 31 Mac ini. Jumlah besar itu padanlah dengan besarnya negeri Perak dan berbaloilah dengan usaha mereka yang menurut sumber tersebut mereka telah menjelajah ke setiap daerah mengadakan kursus dan memberi motivasi kepada para belia untuk mencebur diri dalam bidang pengadilan bolasepak ini.
Sumber tersebut bertanya saya berapa orang pula dari negeri Kedah yang telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut. Barangkali beliau tidak tahu bahawa saya telah disingkirkan dari menganggotai Jawatankuasa Pengadil KFA, lantas bertanya saya tentang perekara tersebut. Apa yang dapat saya katakan selain menyatakan tidak tahu dan menerangkan kedudukan sebenar diri saya buat masa ini.
Yang nyata hal tersebut sangat dimaklumi bahawa hanya berjaya didaftarkan oleh Pegawai Pembangunan Pengadil KFA hanyalah dua orang, tidak sepadan dengan keluasan Kedah ini yang mengandungi 11 daerah. Tentulah tidak munasabah jumlah tersebut tetapi itulah hakikatnya. ini adalah sesuatu yang menghairankan kerana jika dicongak setiap daerah ada 10 orang sudah tentu KFA berjayas mendaftar 110 orang peserta yang mungkin separuh daripadanya akan berejaya lulus Kelas Tiga FAM ini.
Jadi apa yang dibuat oleh PPP dan Jawatankuasa Pengadil KFA hingga tiada calon yang mendaftar kecuali 2 orang? Apatah lagi mereka ini apabila lulus nanti akan melalui beberapa proses yang bakal meningkatkan lagi tahap mereka dalam bidang pengadilan di peringkat kebangsaan. Daripada dua orang ini, siapa pula yang akan berjaya melepasi peperiksaan peringkat kebangsaan pula nanti? Nampaknya harapan untuk melihat pengadil bolasepak dari Kedah beraksi diperingkat kebangsaan hanyalah angan-angan dan mimpi.
Nasib baiklah ada kesedaran dan inisiatif dari Persatuan Pengadil Bolasepak /daerah Kota Setar yang lebih peka dalam soal ini. mereka, jawatankuasa persatuan tersebut atas inisiatif sendiri telah mengadakan kursus dan berjaya mencungkil bakat dan mendaftar seramai 18 orang calon. Ini menjadikan 18 + 2 calon dari negeri Kedah tetapi hanyalah dari daerah Kota Setar sahaja.
Apa hal pula dengan daerah-daerah yang lain yang selama ini memang ketandusan pengadil kerana telah bersara dan tidak lulus di tahun-tahun yang lalu? Seyugia disebutkan bahawa daerah-daerah lain seperti Yan, Sik, Baling, Bandar Baru, Padang Terap dan juga Langkawi sangat kurtang dan ada daerah yang tiada seorangpun pengadil bolasepak kecuali di daerah Kubang Pasu, Kulim, Kuala Muda dan tentunya Kota Setar.
sebelum ini sudah berapa kali Pegawai Pembangunan Pengadil bertukar, kursus di daerah-daerah tidak pernah diadakan. Kalau ada pun hanya atas permintaan badan tertentu. Kalau inisiatif dari Jawatankuasa Pengadil dan juga PPP usah diharaplah, memang tidak pernah ada. Usaha memberi pendedahan dan mencungkil bakat tidak pernah berlaku.
Lantaran tersebut bagi tahun 2017 hanya 4 orang layak menduduki peperiksaan pengadil kebangsaan dan dari 4 itu hanya seorang saja yang lulus. Dan jika yang lulus ini gagal pula dalam ujian seterusnya, akibatnya KFA tidak lagi mempunyai pengadil peringkat kebangsaan
Terimalah hakikat bahawa PPP negeri Kedah dan Jawatankuasa Pengadil KFA tidak berfungsi ke arah yang sepatutnya. Mereka banyak membuat kerja-kerja lain yang tidak munasabah yang hanya menaikkan imej mereka sahaja tanpa mempedulikan pembangunan pengadil mereka sendiri. Individu dalam jawatasnkuasa ini serta PPP sendiri hanya mencari peluang untuk peningkatan diri masing-masing serta mendapat imbuhan dengan mengendalikan serta bertugas sebagai RA untuk beberapa pertandingan. Usaha untuk peningkatan pengadil tidak diadakan atas alasan tiada orang yang berminat.
Bila tidak ada peserta bukan kerana orang tidak berminat. Tetapi ianya adalah kerana tidak ada langsung aktiviti mempromosi dan tidak ada sebarang kursus pengenalan untuk tujuan tersebut. Usah salahkan orang lain melainkan muhasabah diri.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KFA pula adalah orang politik yang tidak tahu langsung tentang 'pengadil'. Timbalannya juga demikian iaitu bekas pemain, bukannya bekas pengadil. Lantaran itu pengerusi langsung tiada masa untuk hadir mesyuarat dan semuanya diserahkan kepada timbalannya yang langsung tiada asas sebagai pengadil. Sudahnya, semua mereka seolah-olah dicucuk hidung dan akur semua apa yang diarahkan oleh PPP padahal Jawatankuasa Pengadil adalah badan yang berada di kedudukan atas daripada PPP. Inilah yang pelik dan individu yang menjadi PPP semakin 'naik tocang'.
Kita yang bodoh ilmu statistik pun boleh menjangkakan, jika PPP dan Jawatankuasa Pengadil berusaha mengadakan kursus pengenalan dan membuat promosi di daerah-daerah, sudah pasti ramai yang berminat untuk menduduki peperiksaan Kelas Tiga FAM ini. Jika satu daerah boleh beri 10 orang sudah tentu KFA boleh mendaftarkan 110 orang. Mungkin mereka akan mendapat jumlah yang lebih dari itu. Tetapi kerana PPP terlalu sibuk hendak menggantung jersi dalam bilik mesyuarat pasukan, semua ini tidak menjadi kenyataan kerana jawatankuasa hanya menurut kata PPP.
Jadi Pegawai Pembangunan ini bertindak seolah-olah pemilik KFA. Presiden berada dalam genggamannya, Setiausaha Kehormat berada di bawah telunjuknya. Jawatankuasa Pengadil harus menurut perintahnya. Dialah tuan. Jika begini keadaannya, sampai bila KFA dan Kedah ketandusan pengadil bolasepak apatah lagi pengadil yang berwibawa.
Bila KFA melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), keadaan ini akan berubah. Rupanya sama sahaja. CEO yang dilantik itupun mungkin sudah dicucuk hidung seperti orang lain juga oleh PPP sama seperti Presiden, Setiausaha Kehormat dan seluruh Jawatankuasa Pengadil yang ada sekarang.
Sama-sama kita fikirkan. Adios!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment