Wednesday, April 27, 2016

YAN DAERAH MEMBANGUN?


Tahniah diucapkan kepada penduduk daerah Yan. Anda akan mendapat layanan istimewa apabila meletak kereta di tempat-tempat tertentu mulai bulan Julai 2016 ini. Tahniah juga kepada Majlis Daerah Yan kerana berani membuat pembaharuan dengan mengenakan caj yang tersebut. Bukan perkara mudah melaksanakan langkah proaktif ini terutama apabila semua sedia maklum bahawa daerah ini bukanlah sebuah daerah yng pekannya sesak dan besar.

Di peringkat awal ini memanglah akan ada suara-suara bantahan dan keluhan rasa tidak puas hati. Lama kelamaan ia akan menjadi sesuatu yang biasa dan bantahan semakin menurun sedikit demi sedikit. Perkara baharu dan remeh begini memang menyusahkan pada peringkat awal tetapi semua itu menjadi biasa di telan masa.

Cuma yang menjadi persoalan, di mana tempat-tempat yang dicadangkan akan dikenakan caj itu? Yan bukanlah kawasan yang besar sangat dan hanya mempunyai beberapa pekan kecil yang sering menjadi tumpuan ramai khasnya pengguna yang meletak kenderaan. Pekan yang besar sikitpun hanyalah Yan Kechil, Guar Chempedak, Sungai Limau dan Singkir. Pekan Yan sendiripun tidaklah sebesar dan sesesak mana untuk dikenakan caj meletak kenderaan.

Sudah pasti pihak berkuasa akan mengenakan caj ini di tempat-tempat strategik seperti di gadadan bank-bank dan pejabat Tabung Haji. Dan mereka harus ingat bahawa di sinilah tumpuan orang-orang kampung berurusan. Berbaloikah mereka dikenakan caj?

Lagi seperkara yang menjadi persoalan adalah nilai yang akan dicaj. Berapa ringgitkah yang akan dikenakan apabila orang ramai meletak kenderaan. Tentulah pihak majlis Daerah akan berbelanja besar menyediakan lot-lot meletak kereta di tempat-tempat tumpuan di pekan-pekan kecil ini. Kemudian pihak majlis juga akan melantik entah berapa ramai pegawai penguatkuasa bagi memantau dan meletakkan caj pada setiap kenderaan. Dan belanja mengupah pegawai-pegawai ini lebih besar dari hasil kutipan caj yang dikenakan. Alangkah ruginya!

Sebenarnya semua ini tidak perlu. Entah siapalah yang bermimpi dan terbuka hati membuat cadangan ini? Apakah peranan ahli-ahli majlis yang dilantik bagi menjaga kebajikan rakyat jika perkara seremeh ini tidak dibincangkan secara rasional? Sebenarnya banyak lagi perkara lain perlu diberi perhatian, bukan caj yang tidak sebanyak mana ini yang mesti difikirkan.

Pihak Majlis Daerah janganlah terlepas pandang beberapa perkara yang sekian lama menjadi rungutan orang ramai yang semuanya masalah setempat yang ditagih untuk keselesaan dan penduduk di daerah ini juga. jika setakat memikirkan caj letak kenderaan sahaja, tentulah peranan ahli-ahli majlis tidak berbaloi.


Masalah gerai buah-buahan di pekan Guar Chempedak sudah masuk lebih 10 tahun gagal ditangani.
Dari semasa DUN Guar Chempedak dimenangi BN, kemudian PAS dan berbalik kepada BN, keadaan tetap sama malah lebih kritikal lagi seolah-olah mereka ini RAJA sehingga tiada siapa dan tiada kuasa boleh memperbetulkan sikap mereka. Peniaga-peniaga ini meletak barang-barang mereka bermula dari tapak Koperasi Pekan Rabu hingga menutup terus laluan pejalan kaki serta lorong pertama jalanraya di hadapan. Kemudian ditambah pula dengan kenderan pembeli yang diletak di lorong kedua jalanraya itu. Hanya selorong sahaja yang boleh digunakan.


Selesaikan masalah ini dahulu, barulah fikirkan caj meletak kereta!

Ada pekedai yang menggantung barang-barang mereka memenuhi ruang pejalan kaki sehingga menyusahkan orang ramai. Para pejalan kaki terpaksa menggunakan jalanraya untuk melalui tempat-tempat tersebut. Lihatlah di pekan Yan Kecil. Mungkin kerana peniaga ini berbanga Cina, lalu tindakan tidak diambil pihak penguatkuasa manakala peniga buah-buahan berbangsa Melayu dipindahkan ke gerai baru atas alasan mengganggu jalan. Dan mereka dipindahkan pula ke tempat yang langsung tidak strategik iaitu tempat yang menjadi pilihan terakhir untuk orang lalu-lalang.

                                     
                                 (Kedai ini membina pagar besi di laluan orang berjalan kaki)

Ada pula peniaga di Guar Chempedak langsung tidak mengambilkira sensitiviti orang ramai, terus menutup kakilima kedai dan ruang pejalan kaki dengan pagar besi. Dan pagar ini terus tidak dibuang kerana peniaga ini meletakkan barang niaga miliknya. Orang ramai yang hendak lalu-lalang di kawasan ini mahu tidak mahu mesti menggunakan jalanraya di hadapan kedai tersebut. Semua orang boleh melihat kedai ini bertentangan dengan simpang masuk ke LUTH Guar Chempedak. Perkara ini lebih penting dari memikirkan masalah caj letak kenderaan.

(Kabarnya di kawasan LUTH dan Bank Islam inilah salah satu kawasan yang akan dikenakan caj letak kereta yang dicadangkan selain dari kawasan CIMB Guar Chempedak).

Jadi pihak Majlis Daerah haruslah membaiki perkhidmatan Penguat Kuasa memantau masalah-masalah ini yang sekian lama menghantui rakyat dari memikirkan untuk menyusahkan dan membebankan rakyat sekali lagi.

No comments:

Post a Comment