Thursday, April 21, 2016
PENGADIL BOLASEPAK KFA: KURSUS KHAS UNTUK MEREKA
Akhir-akhir ini situasi yang melanda institusi pengadilan bilasepak di KFA amatlah kritikal dan memungkinkan pada satu ketika nanti negeri Kedah khasnya KFA terus kempunan dengan tiadanya wakil ke peringkat kebangsaan di FAM apatah lagi di FIFA. Malah pada masa sekarangpun masih tidak ada pengadil yang benar-benar bagus mewakili negeri Kedah di peringkat kebangsaan dan pada satu hari nanti langsung tidak ada seorangpun yang layak sebagai pengadil kebangsaan sekiranya tiada satu langkah diambil dari sekarang oleh pihak pengurusan KFA khasnya Jawataankuasa Pengadil badan itu.
Suatu ketika dahulu Kedah boleh berbangga dengan adanya Ismail Junid kerana pernah muncul sebagai pengadil kebangsaan dari Kedah hingga ke peringkat FIFA. Beliau seterusnya dilantik duduk dalam barisan jawatankuasa pengadil di FAM. Kemudian muncul pula Balasundram dari Kulim yang juga berstatus FIFA yang boleh dibanggakan anak negeri kerana sering diberi tugas mengadili perlawanan-perlawanan penting di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.
Sesudah itu muncul pula kumpulan yang lain terdiri dari Khalid Ariffin, Othman Abdullah dan mohamad Md Jano. Dari kumpulan ini hanyalah Khalid Ariffin yang dilihat menyerlah berbanding yang lain. Keadaan ini ditambah pula dengan kemasukan Hamzah Mohamad dari Melaka yang bertukar kerja ke negeri Kedah dan Hamzah berjaya bersama Khalid mepromosikan bidang pengadilan ini sehingga dapat menambahkan bilangan pengadil kebangsaan sekitar tahun 1986 hingga 1990 dengan kemunculan beberapa orang lagi seperti Ismail Bakar, Sivamuni, Mohsin Mansor, Devudu dan beberapa orang lagi yang terlalu panjang untuk disenaraikan.
Kemasukan Ahmad Khalidi Suphian menghangatkan lagi bidang pengadilan bolasepak Kedah. Keupayaan beliau beraksi hingga ke peringkat antarabangsa amat membanggakan biarpun kerap dilanda kontroversi. Beliau beberapa kali mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia dan perlawanan antarabangsa dengan keupayaan yang lestari. Tidak lupa juga nama seorang lagi pengadil kebangsaan di era yang sama termasuk Mohd Salleh Chin Abdullah dari Bedong, Kedah.
Selepas itu para pengadil dari Kedah hilang begitu sahaja akibat masalah prestasi dan juga masalah disiplin dalam kalangan mereka sendiri. Dan jika KFA tidak berbuat sesuatu yang proaktif, keadaan akan menjadi lebih buruk lagi. Kemungkinan Kedah ketandusan pengadil pada suatu hari nanti.
Sebenarnya bukanlah pengadil-pengadil dari Kedah tidak bagus tetapi tiada asuhan dan bimbingan yang berterusan untuk mereka. Sepatutnya pihak bertanggungjawab di KFA merancang sesuatu agar mereka tidak tenggelam tetapi sebaliknya semakin menyerlah. Asuhlah mereka ini agar dapat beraksi dengan lebih baik dan berwibawa dan sentiasa dihormati.
Atas rasa tanggungjawab inilah Jawatanakuasa Pengadil KFA hari ini mengambil langkah untuk mengadakan Kursus Pengadil Berpotensi. Selain dapat mengumpulkan mereka dan memberikan beberapa 'ilmu', dapatlah juga pihak Jawatankuasa mengenali mereka dengan lebih dekat dan menyelami keperibadian dan menghubung silaturahim dalam kalangan pengadil-pengadil ini.
Semoga dengan penghayatan dari kursus ini, satu semangat baru dan azam yang lebih tinggi dapat dibina dalam kalangan mereka yang berpotensi ini.
Insyaallah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Assalamualaikum... Saya anggota tentera yg berminat dlm pengadilan bolasepak... Saya adalah anak jati kedah... Mcm mana saya nk masuk kursus pengadilan khasnya pengadil dari KFA... Sila hubungi saya 0123700502 terima kasih
ReplyDelete