Sejak bermulanya sepakmula Liga Malaysia baru-baru ini
hingga ke hari ini ada saja berita tentang kemelut manusia yang dipanggil
JURULATIH. Ada-ada saja beberapa nama jurulatih yang disebut-sebut gagal
menjalankan tugas dengan baik. Ada juga berita tentang seorang dua jurulatih
yang bakal direhatkan dan diganti dengan jurulatih yang lain.
Begitulah bolasepak dan orang yang terlibat dengannya sama
juga seperti bola. Sentiasa berputar turun naik, tidak tentu arah. Dan
jurulatih yang dilihat bagus hari ini belum tentu bagus esoknya. Malah belum
tentu bagus selamanya. Mungkin nasibnya baik musim ini, pada musim hadapan
barangkali kecundang. Seperti juga bola itu sendiri, belum tentu di mana
pusatnya.
Tetapi benarkah jurulatih tertentu memainkan peranan
menaikkan prestasi sesebuah pasukan? Kalau dilihat sejarah bolasepak negara dan
juga dunia, jurulatih hanyalah merencana tetapi pemain yang mewarnakan
kegemilangan dan jurulatih hanya menumpang gahnya sesebuah pasukan.
Satu ketika dulu, Datuk Ahmad Shafie begitu hebat membimbing
pasukan Kenari sehingga beberapa kali ke perlawanan akhir Piala Malaysia
sehingga menjadi juara. Kerana kebolehananya itu dia diangkat menjadi jurulatih
pasukan kebangsaan untuk bebrapa musim sehingga akhirnya kembali ke pangkuan
Kenari. Dan kali kedua bersama kenari, beliau menemui kegagalan.
Begitu juga jurulatih kebangsaan Datuk Rajagobal. Jurulatih
berwibawa seperti beliau boleh gagal membimbing Sarawak. Apa pula terjadi
kepada Azrai khor? Begitu hebat membimbing Kenari sehingga juara berganda
beberapa kali, akhirnya gagal juga di peringkat kebangsaan dan di beberapa
negeri. Ahmad Yusof sudah merasainya apabila direhatkan oleh pasukan Penyu (Terengganu). Dan sekarang dalam senarai penyingkiran sudah ada beberapa nama
jurulatih seperti Ahmad Shaharuddin Rosdi yang meletakkan jawatan di Pahang, K. Devan di Kelantan, Syamsul
Saad di Perak serta Datuk Rajagobal sendiri di Sarawak.
Sebenarnya di Malaysia tercinta ini, faktor pemain sendiri
yang menjadi punca merosotnya prestasi beberapa pasukan. Jika pemain tidak suka
pada mana-mana jurulatih, macam-macam cara boleh dibuat untuk menjatuhkan
jurulatih itu. Ini disokong pula dengan faktor wang yang ditaburkan kepada
pemain. Kenari pernah turun dari Liga Super ke Liga Perdana angkara janji wang
ringgit yang tidak tertunai. Tanyalah JDT berapa banyak wang yang mereka ada?
Tidak hairanlah kejayaan demi kejayaan mereka kecapi.
Baru saja memasuki empat perlawanan kita sudah membuat
andaian-andaian negatif tentang jurulatih. Masih jauh lagi perjalanan liga,
masih banyak perlawanan yang harus ditempuh. Dan kalau kita asyik memikirkan Kelantan harus menang, maka Kedah
yang patut kalah? Bagaimana pula nanti petemuan antara Kedah dengan JDT?
Masakan dua-dua pasukan akan memang. Salah satu pasukan mesti kalah dan yang
kalah tentunya bukan kerana kelemahan jurulatih semata-mata.
Bersikap adillah terhadap para jurulatih. Beri peluang
sewajarnya kerana mungkin pada perlawanan yang lain prestasi pasukan akan
meningkat. Bagaimana jika bertukar jurulatih nasib pasukan masih juga serupa?
Tentu kena tukar jurulatih lagi. Apa kesudahannya?
Di Malaysia, jurulatih yang paling selamat tentulah Datuk
Ong Kim Swee sebab dia ada ONG.
No comments:
Post a Comment