Selepas sekian lama berdiam diri, barulah kini bekas-bekas pemain Helang Merah ataupun dulunya terkenal dengan panggilan Kenari dan juga Hijau-Kuning bersuara. Entah untuk apa sebenarnya, tiada siapa tahu kerana baru sekarang diungkit semuanya. Cuma KFA sahaja yang mempunyai jawapan untuk merungkai situasi ini agar tidak menjadi bisul yang akan memuntahkan nanah pula.
Walau apapun jawapannya nanti, keluhan dan rungutan ini ada bebarnya. Pengurusan KFA memang melupakan mereka malah beberapa kumpulan yang lain lagi, tidak sepadan dengan cogankata 'Biar Jasa Jadi Kenangan' yang dilaungkan KFA sejak sekian lama walaupun orang yang mencetuskan idea laungan itu sudahpun lama meninggal dunia.
Hanya beberapa orang sahaja bekas pemain yang seangkatan kumpulan yang 'membangunkan' bolasepak negeri Kedah era tersebut yang masih memainkan peranan dan masih aktif sama ada sebagai jurulatih, pegawai dan juga beberapa bidang lain di KFA. Sebagai contoh, Tan Cheng Ho, Khamal Idris Ali, Mohamad Ramli, Radhi Md Din dan seorang dua lagi, masih berperanan di KFA. Bekas pemain yang lain menyepi dan tidak dipedulikan seperti yang didakwa. Entah apakah langkah KFA selepas ini untuk mengenang kembali mereka yang berjasa ini agar sesuai dengan moto yang dilaungkan.
Akirnya memang jasa menjadi kenangan. hanyalah setakat kenangan, tidak lebih dari itu. Kalau pandai bermuka-muka dan ada pengaruh dan wang, kita akan disanjung dan diangkat ke atas. Kalau anda tidak ada apa-apa dan tidak suka menonjolkan diri, usah harapkan apa-apa dari KFA. Bak kata Norazam Ishak, tiket pun disuruh kita beli. Itulah hakikat sebenarnya.
Hal ini samalah dengan nasib yang menimpa bekas-bekas pengadil bolasepak KFA serta beberapa bekas pegawai, terus dilupakan begitu sahaja. Dahulu ketika Anuar Morad masih bertugas sebagai Setiausaha kerja KFA, beliau berusaha mendapatkan pas-pas percuma untuk bekas-bekas pengadil ini terutama yang masih memberi sumbangan kepada Jawatankuasa Pengadil. ada antara mereka ketika aktif dulu sentiasa menyumbang bakti dengan mengadakan kursus dan latihan kepada para pengadil baru serta terlibat secara langsung dengan Lembaga Pengadil pada masa dahulu.
Ambil contoh Ismail Bakar dari Sungai Petani dan Devudu dari Kulim. Apa penghargaan untuk mereka sedangkan mereka adalah kumpulan kedua Pengadil Kebangsaan dari KFA selepas Khalid Ariffin, Hamzah Mohamad dan Osman Abdullah. Saya sendiri yang bersama mereka menjadi Pengadil Kebangsaan di samping menjadi Ahli Majlis serta duduk dalam Jawatankuasa Pengadil pada era tersebut dilupakan begitu sahaja.
Sekarang wajah-wajah ini terus dilupakan. Sebaliknya yang sering mendapat perhatian adalah mereka yang pandai bermuka-muka dan mengambil kesempatan. Yang diberi tempat dan keistrimewaan adalah beberapa orang yang langsung tidak pernah terlibat dengan program-program pembangunan pengadil pada masa lalu dan sekarang.
Ada baiknya jika KFA mengimbas kembali dan mengenang jasa-jasa orang yang dilupakan ini. Janganlaha sekadar menjadi kenangan tetapi haruslah diberi juga sedikit penghargaan buat mengenang jasa mereka. Tidak rugipun kalau bekas pemain dan pengadil serta pegawai ini diberi pas percuma.
Itulah KFA!
No comments:
Post a Comment