Friday, August 14, 2015

REKOD PRESTASI PENGADIL BOLASEPAK

1. Merenung kembali tentang tugasan sebagai pengadil dan pembantu pengadil dalam perlawanan bolasepak, teringat laporan-laporan yang dibuat Pemeriksa Perlawanan atau sekarang dikenali sebagai RA atau Referee Assessor. Laporan-laporan inilah yang sering membuatkan kami para pengadil tidak tidur nyenyak. Laoran itu menjadi asas dan panduan terhadap baik buruknya prestasi seseorang pengadil bolasepak.

2. Tingginya permarkahan yang diberi bakal menempatkan seseorang pengadil itu di ranking yang baik. Dan kalau dalam beberapa perlawanan, markah semakin meningkat, harapan untuk pergi lebih jauh adalah boleh diharap. Berbanding pula dengan orang yang rendah pemarkahannya dan semakin menjunam prestasinya. Tidak kiralah pemarkahan itu dibuat RA secara jujur atau tidak.

3. Ringkasnya, segala aspek peningkatan mutu pengadilan dan kedudukan dalam ranking banyak bergantung kepada laporan dari RA yang bertugasa.Jadi tidak heranlah pada waktu saya masih aktif, kami sentiasa bermuka manis kepada semua RA yang kami temui, sekurang-kurangnya dengan bemuka manis itu kami berupaya menambat hati mereka dan boleh sedikit mempengaruhi pemarkahan nanti. Markah itu akan diambilkira untuk perlantikan seterusnya.

4. Malangnya hakikat ini tidak disedari KFA khasnya Jawatankuasa Pengadil sendiri. Mereka sibuk dengan segala macam pendekatan termasuk ujian kecergasan dan kursus serta taklimat. Jika AJK dan Ahli Majlis KFA tidak menyedari, apatah lagi para pengadil yang tidak tahu apa-apa. Bila saya masuk semula dalam pengurusan pengadil di KFA, baru saya tahu sebenarnya tidak ada borang laporan yang dibuat oleh RA. Tiada satu catatan yang boleh direkodkan untuk rujukan.

5. Penilaian pengadil tidak dibuat secara rasmi. Tidak ada catatan yang sah untuk dirujuk tentang prestasi mana-mana pengadil. Borang Nilai Prestasi tidak disediakan untuk dilapor oleh RA yang dihantar bertugas. Yang ada hanyalah apa yang tersimpan di dalam kepala RA itu sahaja tanpa dapat dilihat orang lain. ini catatan tidak rasmi dan tidak disimpan di KFA.

6. Esok saya akan ke Langkawi untuk tugasan RA satu pertandingan bolasepak di Stadium LADA. Makan anginlah nampaknya sebab saya tidak perlu mengisi apa-apa borang. Penilaian untuk pengadil yang akan bertugas itu akan tersimpan kemas dalam ingatan saya sahaja. Jika takdirnya saya mati, laporan itu saya bawa bersama tanpa diketahui orang lain.

7. Selepas ini adalah menjadi harapan saya dan semua orang lain supaya pihak terlibat dapat menyediakan borang khas untuk menilai para pengadil KFA. Borang penilaian FAM boleh dijadikan rujukan yang baik. Dengan adanya borang sebegitu, laporan dapat disediakan dan direkodkan untuk dirujuk pada bila-bila masa. Selain untuk semakan dan rekod, laporan yang lengkap ditulis ini boleh dijadikan asas untuk peningkatan prestasi para pengadil. Untuk kebaikan KFA juga.

8. Sekioan. wasalam!

No comments:

Post a Comment