Sunday, September 6, 2015

HARIMAU MALAYA IBARAT HARIMAU LUKA

Sebaik selesai perlawanan antara Harimau Malaya dengan UAE, datang perasaan yang bercampur-campur. Timbul rasa sedih, rasa terkilan, rasa marah dan rasa malu. Tetapi yang penting ada juga rasa hendak ketawa puas-puas akibat kekalahan itu.

Kita sedih kerana Harimau Malaya tidak dapat ke mana-mana kerana tewas lagi. Kita terkilan kerana harapan ke Piala Dunia jauh dari gapaian dan semakin gelap. Kita marah kerana melihat pemain-pemain seolah-olah budak-budak sekolah bermain bola. Dan kita malu kerana kekalahan itu amat memalukan. Dah selebihnya kita ketawa kerana tewas begitu mudah dengan jaringan yang amat besar setakat ini, 10-0. Belum pernah lagi skuad negara tewas dengan jaringan sebesar itu.

Bukan kita sahaja yang terkejut dengan jaringana itu. UAE sendiri seolah-olah tidak percaya mereka boleh menumpaskan Harimau Malaya dengan begitu mudah dan banyak gol pula dihasilkan.

Kata orang kita tidak boleh salahkan pemain dan jurulatih. Alasan ada berbagai-bagai telah disediakan oleh FAM, jurulatih dan juga pemain. Alasan yang paling awal dikeluarkan adalah pemain-pemain keletihan akibat jadual liga tempatan yang padat. Betulkah? Tak semena-mena dan tak disangka-sangka jadual perlawanan Liga Malaysia menjadi ‘kambing hitam’.

Ada cadangan supaya pasukan dibubarkan dan diambil pemain yang lain bagi menghadapi sisa perlawanan pusingan kelayakan piala dunia ini. Ada pula ‘pakar bolasepak negara’ yang begitu sinis menempelak pasukan, jurulatih dan FAM, menyatakan dengan angkuh bahawa dia masih lagi belum puas dalam misi menjahanamkan bolasepak tanahair. Baginda akan merasa senang bila pasukan kebangsaan dibolosi 50 gol. Begitu angkuh TMJ seolah-olah baginda tahu semua selok-belok perjalanan bolasepak sedangkan baru beberapa tahun ini baginda mencebur diri dalam sukan ini.

Pasukan boleh dibubarkan. Jurulatih boleh meletak jawatan. Tetapi halatuju bolasepak negara tetap perlu diteruskan oleh FAM, badan yang bertanggungjawab biar apa saja ugutan dan seranah siapa saja yang  sampai ke telinga.

Jadi apakah langkah FAM selepas ini akan menjadi perhatian dan sindiran. Tentang siapa pengganti Dollah Salleh tidak penting tetapi yang utama siapa akan menguruskan pasukan Harimau Malaya untuk perlawanan menentang Arab Saudi pada Selasa depan.

Perlantikan Datuk Ong Kim Swee bukannya penyelesaian masalah tetapi mungkin boleh menjadi pengubat luka Harimau Malaya. Biarlah dalam masa yang singkat ini beliau akan berjqya menaikkan semula semangat pemain-pemain dan setidak-tidaknya kalah dengan jaringan yang lebih kecil.


Harap-harap begitulah.

No comments:

Post a Comment