1. Memahami Bahasa Melayu bukannya susah. Bertutur dengan
bahasa itu juga bukannya payah. Soalnya mahu atau tidak. Yang penting suka atau
tidak dengan bahasa itu. Yang menjadi payah sebab hati tidak suka dan diri merasa
tidak mencintainya sama sekali. Dan yang tidak disangka-sangka adalah kerana
tidak mahu menghormati bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa
rasmi negara. Itu saja. Semuanya terletak pada hati. Kalau hati tidak cinta dan
tidak suka, semua Nampak payah dan kelihatan buruk sahaja.
2. Jika anda pernah menjejakkan kaki di Tanah Suci samada di
Madinah atau Mekah, malah di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jedah lagi,
bahasa Melayu sentiasa bergema di telinga. Ada sahaja orang-orang asing menggunakan
bahasa itu biarpun untuk menunjuk jalan dan menyambut mesra ketibaan kita. Di
mana mereka belajar bahasa Melayu? Di situ tidak ada sekolah yang mengajar
Bahasa Malaysia atau bahasa Melayu. Tanpa pendidikan khas bahasa itu, mereka
mampu bertutur dengan kita dengan bahasa yang begitu asing bagi mereka.
3. Orang-orang asing di Arab Saudi khasnya di Jedah, Mekah dan
Madinah ini sering teruja bila tahu kita datang dari Malaysia. Bagi mereka
Malaysia sangat unik dengan rakyatnya yang baik dan mesra. Lalu mereka buka
hati mereka untuk lebih mengenali kita dengan belajar bertutur bahasa Melayu
agar lebih mudah berkomunikasi. Yang penting mereka menjadi semakin rapat
dengan kita. Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain di Masjid Nabawi dan Juga
Masjidil Haram, orang-orang asing ini sering cuba berkomunikasi dengan orang
Malaysia dengan bahasa Melayu walaupun baru beberapa hari berada di situ.
4. Semuanya terletak pada hati. Biarpun apa saja niat mereka,
yang penting mereka cepat belajar dan cepat pula menguasai bahasa kita yang
pada pendapat mereka amat mudah dipelajari. Dalam masa yang singkat sahaja
mereka mampu bercerita tentang tempat-tempat ziarah yang sering dikunjungi
ketika berada di Tanah Suci. Dan setengahnya pula pandai berbahasa Melayu
kerana faktor perniagaan. Para peniaga di Mekah dan Madinah boleh dikatakan
semuanya boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu.
5. Hal ini berbeza dengan rakyat kita sendiri di Malaysia. Ada
orang yang langsung tidak tahu dan tidak memahami bahasa Melayu sedangkan sudah
puluhan tahun berada di sini malah ada yang dilahirkan di sini puluhan tahun
lalu. Mereka ini tidak ada rasa cinta terhadap bahasa itu lalu tidak berusaha
untuk belajar menguasainya. Kalau ada usaha ke arah mempelajari dan
mengamalkannya setiap waktu, paasti dapat dikuasai dengan senang. Pendatang
asing yang berada di sini baru beberapa bulan sahaja boleh melakukannya, tentu
tidak mungkin kita yang bertahun-tahun tinggal di bumi tercinta ini tidak
boleh. Semuanya terletak pada hati!
No comments:
Post a Comment