Beberapa hari kebelakangan ini bolasepak Malaysia diwarnai
dengan kegembiraan tidak terhingga dalam kalangan peminat dan pemimpin
persatuan itu. Kegembiraan dijelmakan itu bukan kerana Malaysia berjaya meningkat
naik ‘ranking’ bolasepak dunia walau selangkahpun. Kegembiraan itu digemburkan
kerana kejayaan Presiden FAM dipilih menduduki salah satu dari tiga tempat
dalam barisan eksekutif FIFA untuk Negara-negara Asia. Berbagai pujian
dihamburkan atas kejayaan tersebut persis tiada kejayaan lain sehebat itu.
Bukan tidak suka dengan kejayaan itu, malah telahpun
dijangkakan apabila sebelum ini dilihat usaha melobi untuk menduduki tempat itu
dijalankan begitu hebat dan konsisten seolah-olah kejayaan itu nanti amat besar
sumbangannya pada mutu permainan bolasepak Malaysia. Alhamdulillah jika begitu
jadinya.
Bagi setengah orang kejayaan tersebut tiada maknanya kerana
tahap permainan bolasaepak kita masih seperti di bangku sekolah malah mungkin
lebih buruk dari itu. Kedudukan negara semakin menjunam turun, malah lebih
rendah dari Negara-negara Asean yang lain. Pasukan Harimau Malaya semakin
menjadi pasukan belasahan dan mungkin hanya layak menjadi ‘sparring partner’
untuk pasukan lain sahaja.
Negara lain tidak bergelut untuk jawatankuasa eksekutif itu
tetapi tahap permainan pasukan mereka lebih tinggi tahapnya tahun demi tahun.
Timor Leste yang masih baru dalam Asean pun sudah naik rankingnya mengatasi
Malaysia. Tidak adapun pegawai Vietnam berebut mahu ke jawatankuasa itu tetapi
bagaimana prestasi pasukan kebangsaan mereka.
Kita jangan terlalu berbangga dengan jawatan yang kita
perolehi, tetapi berusahalah untuk peningkatan mutu permainan agar lebih
bergaya mengatasi pasukan-pasukan lainnya di arena Asean. Jawatan tidak memberi apa-apa momentum bagi melakar kejayaan dalam permainan.
Jadi ramai juga yang ingin bertanya tentang halatuju FAM.
Adakah usahanya untuk meningkatkan permaian atau meningkatkan pencapaian
pegawainya kerana setakat ini dilihat terlalu emosional kea rah kejayaan
menduduki salah satu dari tiga tempat untuk Negara Asia dalam FIFA. Adakah itu
matlamat kita? Barangkali kita lebih kepada ‘menang sorak kampung tergadai’.
No comments:
Post a Comment