Sejak bertahun-tahun yang lalu lagi, apabila timbul cerita sengketa dalam Pakatan Rakyat, tidak terlepas fokus utama kepada Parti Keadilan Rakyat yang diterajui Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Fokus tentunya lebih berpusat kepada Penasihat parti itu, Anwar Ibrahim. Kalau dinilai kembali semua kontroversi yang melibatkan PKR, sudah tentu Anwar menjadi watak utama dalam cerita-cerita tersebut.
Sejak PRK Permatang Pauh lagi, sebaik sahaja kempen Anwar bermula, tokoh-tokoh yang tidak sehaluan dengan Anwar muncul seorang lepas seorang. Bermula dengan saudara Ezam Mohhd. Noor, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, diikuti pula S. Nallakarupan yang merupakan teman baik Anwar satu ketika dahulu.
Kedua-dua tokoh ini begitu lantang menyatakan mereka tahu segala rahsia Anwar tetapi tidak pernah dedahkan rahsia-rahsia tersebut. Sampai hari ini, tiada siapa pernah mendengar rahsia itu terpacul di mana-mana. Rakyat yang tidak tahu menahu ternanti-nanti bila rahsia-rahsia tersebut hendak dibongkar.
Dahulu Dr Chandra Muzaffar pernah bertindak serupa, meninggalkan PKR dan selepas it uterus mengkritik Anwar. Beliau juga mengetahui banyak perkara tentang Anwar tetapi tetap membisu seribu bahasa. Tidak pernah terpacul dari mulutnya cerita-cerita sedemikian.
Ezam pernah menyatakan bahawa beliau mahu membongkar segala rahsia besar Anwar apabila tiba masanya. Masa PRK Permatang Pauh beliau berkata begitu juga. Tapi apakah rahsia Anwar itu? Sampai hari ini sudah lebih satu tahun, tak ada juga rahsia tersebut didedahkan.
Yang kita tahu, Anwar masih mengepalai Pakatan Rakyat dengan didokong PAS dan DAP dan beliau semakain ‘galak’ menghuru-harakan negara dengan mengkritik semua perkara baik dan buruk yang keluar dari hasil tangan Najib.
S. Nallakarupan juga pernah mengeluarkan kenyataan demikian tetapi semacam tidak serius.Kata beliau negara ditimpa mala petaka jika Anwar menjadi Perdana Menteri. Tentu kita mahu tahu apa maksud beliau dengan kata-kata tersebut.Tetapi sampai sekarang beliau tidak menghuraikannya.
Beliau juga pernah berkata bahawa ada rahsia di sebalik mengapa terdapat pemimpin dalam PKR yang dilihat mendapat layanan istimewa Anwar. Beliau akan mendedahkannya apabila tiba masanya.
Tapi bila masa yang dimaksudkan Nallakarupan itu? Tunggu sampai negara ini punah dan kacau-bilau baru hendak dedahkan? Jika betul ada rahsia dan rahsia itu adalah sesuatu yang benar, dedahkan sahaja supaya semua rakyat tahu apa yang sebenarnya. Kenapa harus bermain teka-teki dan membiarkan rakyat tertanya-tanya.
Dedahkan rahsia-rahsia tersebut sebelum terlambat. Sebelum nasi menjadi bubur. Dedahkan demi negara tercinta.
No comments:
Post a Comment