Monday, October 12, 2009

BULAN BAHASA BUKAN SEKADAR PESTA SEMATA-MATA

1. Masa belajar dahulu, sekolah saya mengadakan program Bulan Bahasa Inggeris. Masa itu kami para pelajar (dan ada juga kalangan guru) amat tidak senang dengan aktiviti tersebut kerana ia mewajibkan kami menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya selama sebulan. Sama ada semasa pertuturan, pengumuman atau pun semasa perhimpunan sekolah, bahasa Inggeris sahaja yang boleh digunakan dan sesiapa yang didapati menggunakan bahasa lain akan dikenakan denda mengikut jumlah perkataan yang ‘tidak Inggeris’.

2. Begitulah tegasnya pihak pentadbiran sekolah bertujuan meningkatkan penguasaan kami dalam bahasa terebut. Walaupun hanya sebulan sahaja, kesannya amat ketara dan semua warga sekolah patuh kepada program tersebut demi memartabatkan bahasa tersebut pada ketika itu.

3. Apabila tiba bulan yang lain, bahasa lain pula menjadi keutamaan. Begitulah bergilir-gilir antara bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Akhirnya kami dapat memahirkan diri dengan bahasa-bahasa tersebut. Betapa seriusnya pihak pentadbir sekolah melaksanakan program tersebut dan betapa serius pula kami memanfaatkannya.

4. Begitulah diharapkan apabila Tan Sri Muhyiddin Yasin, TPM melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Sarawak baru-baru ini. Kalau setakat melancarkan dan selepas itu tiada apa-apa aktiviti ke arah memartabatkannya, ia menjadi sebagai satu pesta semata-mata. Tidak ada maknanya bila mengadakan BBK tetapi kita tetap juga seperti asal.

5. Saya petik kata-kata seorang penulis Ku Seman Ku Hussein dalam kolumnya di Mingguan Malaysia Ahad lalu:

“…..usaha memartabatkan bahasa Kebangsaan adalah tanggungjawab kolektif pelbagai pihak terutama sekali kalangan ahli politik…..Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Yasin di Kuching minggu lalu memperlihatkan keseriusan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan.”

6. Malah TPM sendiri menyebut:

“….jika bahasa kebangsaan kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama kelamaan bahasa kita akan hilang kepentingananya. Dan tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan akhirnya akan pupus”.

7. Begitulah kebimbangan Tan Sri Muhyiddin terhadap nasib bahasa Melayu, bahasa keempat terpenting dunia yang termaktub sebagai bahasa kebangsaan dalam perlembagaan Malaysia.

8. Soalnya bagaimana kita hendak hendak mersalisasikan usaha memartabatkan bahasa itu seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Dari apa yang kita nampak sekarang, tidak ada satu pun usaha ke arah itu selain acara pelancaran BBK tersebut. Kehidupan harian kita tetap serupa juga. Aktiviti kita berinteraksi tetap sama seperti sebelum BBK.

9. Kata-kata Dr. Firdaus Abdullah boleh diambil sebagai peringatan:

“…….Jika kita ingin bahasa Melayu menjadi bahasa dunia, bahasa itu terlebih dahulu mesti diperkasa, dihormati dan dihargai di negara Malaysia sendiri”.

10. Tetapi apa yang kita buat untuk memperkasakan bahasa Melayu? Apa yang telah kita buat untuk bahasa itu dihormati dan dihargai? Tidak memadai kalau hanya melancarkan dan sepi begitu sahaja tanpa satu langkah atau tindakan susulan ke arah itu.

11. Buatlah seperti kami buat di sekolah dahulu. Biarlah bulan Oktober ini dipenuhi dengan segala elemen bahasa Melayu. Siaran radio dan TV semuanya dalam bahasa Melayu kecuali program import. Iklan-iklan selain bahasa Melayu jangan disiarkan. Begitu juga dengan siaran berita dan temubual-temubual. Mana-mana individu yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu jangan disiarkan atau ditayangkan. Semua rakyat Malaysia hidup dengan bahasa Melayu sepenuhnya.

12. Para pemimpin dan ahli politik sendiri mestilah tidak ghairah mahu bertutur dengan bahasa Inggeris. Begitu juga tokoh-tokoh koporat semasa menyampaikan apa-apa maklumat. Gunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam bulan Oktober ini.

13. Jika boleh adakan pertandingan-pertandingan bagi kaum-kaum selain kaum Melayu dalam menghayati bahasa Melayu. Adakan Pesta Pantun seperti era 60an dahulu ketika menyambut BBK masa itu.

14. Dengan itu barulah kita nampak betapa seriusnya kita mahu memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia. Selepas itu barulah kita memikirkan ia menjadi bahasa dunia sesudah di negara sendiri ia dihormati dan dihargai.

15. Kalau setakat membuat pelancaran kemudian tidak berbuat apa-apa maka Bulan Bahasa Kebangsaan ini tidak lebih sebagai pesta semata-mata. Samalah seperti kita menyambut hari-hari perayaan yang lain seperti Hari Guru, Hari Jururawat, Hari Tentera dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment