Wednesday, January 3, 2018

PENGADIL KFA: KEPADA SIAPA HENDAK MENGADU?


Baru-baru ini seorang pemuda berusia 23 tahun menghubungi saya melalui e-mail bertanyakan tentang pengadil dari KFA. Saya terperanjat kerana tidak langsung mengenali beliau tetapi bila dia memberitahu bahawa beliau megetahui tentang perkara itu selepas membaca beberapa penulisan saya melalui blog saya ini, barulah saya faham bahawa ada juga orang yang membaca dan saya faham bahawa tulisan saya itu ada juga kesannya.

Persoalannya, kepada siapakah pemuda ini hendak berhubung selepas ini untuk menyatakan minatnya yang mendalam dalam bidang pengadilan bolasepak? Dalam usia yang muda begini, jika ada tempat atau saluran yang boleh diikutinya, alangkah beruntungnya KFA. Malangnya oleh kerana anak muda ini baru habis belajar di Kelantan dan pulang ke negeri asalnya ini, di mana dia dapat menempatkan diri untuk mendalami ilmu pengadilan ini jika KFA di bawah Jawatankuasa Pengadil ataupun pihak yanglebih 'berkuasa' lagi iaitu Pegawai Pembangunan Pengadil KFA tidak menyediakan prasarana yang berobjektif?

Jawatankuasa Pengadil KFA sepatutnya dapat menyediakan saluran yang memudahkan orang-orang yang berminat seperti ini menempatkan diri. Adakan publisiti dan juga hebahan supaya orang ramai khasnya anak-anak muda dan peminat tahu bahawa bidang pengadilan ini memerlukan orang seperti mereka.

Rancanglah beberapa kursus dan kelas bagi mendedahkan bidang dan ilmu pengadilan kepada generasi muda khasnya pelajar-pelajar sekolah dan pusat pengajian. Mereka khasnya PPP jangan selesa duduk di pejabat menanti, tidak akan ada orang akan datang mencari mereka. Merekalah yang sepatutnya keluar mencari pemuda-pemuda ini.

Di zaman saya masih aktif dulu, kami sentiasa mengadakan kursus dan pendedahan tentang undang-undang permainan bolasepak di daerah-daerah sepanjang masa. Waktu inilah baru kita dapat mencungkil bakat-bakat yang mahu bersinar di kemudian hari. Selepas kursus di daerah-daerah, dipilih pula yang betul-betul berbakat dan berminat menghadiri kursus lanjutan di zon-zon tertentu supaya ilmu dapat dikembangkan lagi. Akhirnya barulah dibuat kursus dan ulangkaji berpusat dan seterusnya didaftarkan untuk menduduki peperiksaan peringkat tinggi.

Tetapi apa yang berlaku sekarang, Jawatankuasa Pengadil KFA serta PPP ini hanya duduk menanti bakat-bakat ini hadir mencari mereka. Itu adalah langkah tidak pragmatik dan sangat tidak baik. Jawarankuasa dan PPP ini dilihat tidak berusaha mencari bakat-bakat baru seperti pemuda tersebut. Perkara sebegini bukanlah seperti hasrat Jabatan Pengadil FAM yang mahu setiap persatuan negeri berusaha menghasilkan pengadil-pengadil berkualiti.

Walau bagaimanapun, supaya pemuda itu tidak merasa kecewa, saya berikan nombor telefon salah seorang AJK Pengadil KFA untuk dihubungi. Terpulanglah kepada individu tersebut untuk bertindak selanjutnya.

Adios!

No comments:

Post a Comment