Saturday, November 25, 2017

NASI SUDAH MENJADI BUBUR

Akhirnya dengan rasmi Kedah terkeluar dari peluang bermain dalam Liga AFC, satu liga yang menjadi idaman setiap pasukan Liga Malaysia. Apa boleh buat, inilah yang dikatakan nasib dan bukan rezeki. Walaupun sudah layak, tetapi akibat beberapa kecuaian dan sikap tidak apa saja, pasukan Helang Merah menerima nasib malang ini. Pemain sudah bersusah payah dan bergelut di dalam padang mencipta kejayaan, para pegawai yang di luar padang buat kerja sambil lewa sehingga member impak yang sungguh malang. Akhirnya nasi Sudah Menjadi Bubur.

Apapun, kita harus terima kenyataan dan hakikat bahawa kali ini bukan rezeki. Biar macam manapun protes diajukan, semuanya tidak akan mengubah keputusan yang tempat Helang Merah digantikan dengan pasukan Pahang. Kita harus terima dengan hati terbuka di samping mengakui kesilapan dan berharap ia tidak berulang lagi di masa akan datang.

Penulis tidak merasa heran dengan nasib yang menimpa pasukan ini kerana sudah lama tahu dan sudah beberapa kali menyuarakan bahawa apabila pasukan dan persatuan diteraajui oleh orang politik, inilahj jadinya. Orang politik manalah ada masa hendak melihat soal pentadbiran persatuan dan pasukan kerana sibuk memanjang. Hendak berpolitik satu hal, hendak menjaga kawasan yang dimenangi juga satru hal yang lain. Lagi pula banyak masa dihabiskan untuk membina keyakinan pucuk pimpinan agar dipilih lagi sekali menjadi calon dalam PRU akan datang.

Oleh kerana itu, pentadbiran persatuan dan pengurusan pasukan banyak dilepaskan kepada orang lain dan harap-harap orang yang diberi tugas itu tidak leka dan cuai. Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri mana ada masa untuk melihat semua ini yang bagi mereka terlalu remeh. Politik lebih penting kerana ada masa depan yang bagus.

Tanyalah Dato’ Aminuddin berapa kali dalam sebulan beliau melihat pejabat KFA? Tanyalah Datuk Othman Aziz berapa kali dia datang ke KFA dan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengadil yang dikepalainya? Seingat saya selama dua tahun (2015 dan 2016) saya berada di dalam Jawatankuasa itu, sekalipun Datuk Othman tidak hadir dan semuanya dikendalikan oleh timbalannya iaitu Encik Khamal Idris Ali. Malah rupa dan nama AJK pun tidak diketahuinya.

Dan Dato’ Setiausaha Kehormat pula sekalipun tidak hadir dan tidak pernah menghantar wakil untuk memantau setiap mesyuarat Jawatankuasa sehinggakan beliau tidak tahu langsung apa yang berlaku dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut. Yang beliau tahu hanyalah menurunkan tandatangan bagi ‘memecat’ beberapa AJK yang disingkirkan tanpa sebab yang kukuh. Beliau tidak pernah bertanya tentang butir-butir mesyuarat serta mengambil tahu tetang minit-minit mesyuarat yang secara jelas tidak pernah ada.

Datuk Seri Presiden pula lebih lagilah tidak tahu apa-apa. Beliau hanyalah mendapat kabar dari para pembantu yang hanya pandai mengambil kesempatan. Segala laporan yang disampaikan mestilah menampakkan “A’ sahaja dalam semua hal. Tapi yang sebenarnya pembantu-pembantu ini hanyalah membawa rebah.

Jadi ubahlah sikap. Laksanakanlah tanggungjawab atau lakukan seperti MB Selangor lakukan, lepaskan jawatan untuk orang lain yang ada masa dan wibawa. Dengan itu nanti barulah kesedaran timbul untuk diambil iktibar dan pasukan boleh dilayan sebagai sepatutnya.


Hingga itu, adios, Helang Merah!

No comments:

Post a Comment