Sunday, September 18, 2016

PELIK TETAPI BENAR

Pasukan Helang Merah kian menyerlah menempa kejayaan demi kejayaan, membuatkan para pegawai berasa kembang membayangkan pujian demi pujian akan diterima apatah lagi nanti dikatakan akan mengulangi kejayaan lalu ke peringkat akhir lagi sekali. Kalau ada rezeki pula nanti bakal menjulang Piala Malaysia seperti yang pernah dikecapi dahulu.

Kejayaan ini membuatkan pegawai-pegawai KFA lupa peranan mereka yang sebenar. Masing-masing ada peranan dan tugas yang perlu dilaksanakan, bukan hanya asyik merayakan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi pasukan. Tugas dan peranan utama masing-masing perlu dilaksanakan selepas terhenti sekian lama akibat krisis politik negeri Jelapang Padi itu demi meningkatkan martabat pasukan di persada negara.

Beberapa bulan yang lalu beberapa pengadil dan seorang pegawai digantung tugas lantaran perlanggaran disiplin. Mereka tergantung tanpa penyelesaian beberapa bulan akibat krisi politik dan kerenah pegawai-pegawai pasukan. Entah bila hendak diputuskan nasib mereka tidak siapa ketahui kerana kononnya suratr tindakan disiplin tersebut masih terawang-awang tidak ditangani dengan sebaik-baiknya mengikut saluran. Pengesahan dari FAM dan FIFA tidak diambil.

Akibatnya terdengar desas-desus bahawa ada antara mereka sudah 'dibebaskan' oleh FAM tanpa merujuk kepada KFA terlebih dahulu khasnya kepada Jawatankuasa Pengadil KFA. Kita tidak dapat menyalahkan FAM kerana tindakan susulan selepas membuat keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Pengadil KFA tidak dipanjangkan kepada FAM walaupun telah diminta berulang kali oleh Jabatan Pengadil FAM.

Kita tidak dapat pastikan di mana silapnya tetapi yang nyata adalah kerana KFA hanya bergantung kepada seorang individu, bukannya Jawatankuasa Pengadil mereka. Inilah kelompongan yang menyebabkan semuanya tergendala. Semua program tersangkut kerana hanya seorang individu yang menentukan. itulah kelemahan dan kesilapan KFA.

Sekarang Liga Bolasepak Rakyat (LBR) bakal bermula. Mesyuarat pelancaran telah dijalankan dan liga ini memerlukan komitmen para pegawai dan pengadil persatuan. Bagaimana pelaksanaannya jika ujian kecergasan yang dirancang sejak awal tahun masih tergantung tidak dapat dijalankan kerana kesibukan PPP. Soalnya siapakah yang sepatutnya memainkan peranan dalam semua ini? Jawatankuasa Pengadil atau PPP?

Bila ditelitikan semula, Jawatankuasa Pengadil KFA tidak pernah ada seorangpun setiausaha. Wakil dari bahagian pentadbiran KFA tidak pernah hadir dalam setiap kali mesyuarat jawatankuasa. Jadi sudah tentu tiada catatan minit mesyuarat untuk dirujuk. setiap keputusan mesyuarat hanya disimpan di kepala masing-masing dan semua menanti bilakah perlaksanaannya.

Semua yang dirancang tidak dapat dijalankan. Semua yang diputuskan tidak boleh dilaksanakan. Perancangan untuk jalankan kursus intensif dan kursus awalan pengadil tidak dapat dibincangkan apatah lagi hendak dijalankan walaupun kertaskerja untuk kedua-duanya siap diolah. semuanya menanti PPP mempunyai kelapangan.

Elaun mesyuarat tidak usah hendak diceritakan. Memang KFA tidak pernah membayar walaupun elaun perjalanan hadir mesyuarat. Semuanya belanja sendiri. Tetapi perkara ini terlalu sensitif, tidak boleh disentuh.

Jadi semuanya tergendala kerana Jawatankuasa Pengadil berada di bawah daripada Pegawai Pembangunan Pengadil. Jika PPP sibuk dan ada urusan, mesyuarat tidak dapat dijalankan malah aktiviti semuanya tergendala.

Hal ini perlu dilihat oleh KFA kerana PPP hanya salah seorang anggota yang dijemput duduk dalam jawatankuasa Pengadil. andainya ada perkara-perkara yang berbangkit, barulah pendapat PPP diminta. Hal ini berlaku sebaliknya dalam KFA. Di mana yang dikatakan bolasepak kita menuju profesional? Karut semuanya.

Entahlah!

No comments:

Post a Comment