Wednesday, January 20, 2016

SYARIKAT IDAMAN: AMBILLAH TINDAKAN

Penswastaan adalah satu tindakan bijak yang diambil kerajaan dalam beberapa perkara. Selain mengelak pembaziran dan pengambilan pegawai yang ramai, langkah ini dilihat dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik. Banyak bidang telah diserahkan kepada pihak swasta mengendalikannya dengan pegawai mereka sendiri dan kerajaan hanya memantau dan memberi dana kontrak kepada syarikat-syarikat tersebut. Ini menjimatkan kos yang ditanggung kerajaan.

Apabila kerja-kerja pelupusan sampah dan pembersihan persekitaran di negeri Kedah diberi kepada Syarikat Idaman, senario positif telah dapat dilihat dari semasa ke semasa. Hari ini semua aspek berjalan lancar walaupun pada peringkat awalnya agak kurang memuaskan dan seperti ada masalah. Kadang-kadang tersentuh hati melihat para pekerjanya melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar perumahan dan di pinggir jalanraya.


Walaupun bayaran yang diterima tidak sebanyak mana, mereka berkhidmat dengan jayanya dan cemerlang. Terasa sebak bila terserempak mereka sedang berusaha membersihkan longkang dan parit serta bahu jalan dengan tekun dan teliti tanpa mengira panas dan segala rupa kekotoran. Mereka masuk ke dalam longkang mencabut rumput dan tumbuhan liar. Mereka melakukan yang terbaik untuk sedikit rezeki halal.

Sampah dan bahan buangan dikutip mengikut jadual. Apapun khidmat terbaik Berjaya mereka berikan  walaupun hanya dengan gaji paling minima. Rumput dipotong pendek sepanjang jalan dan dibersihkann pula dengan tidak meninggalkan sedikitpun kekotoran walaupun daun kering.

Sudah sampailah masanya Syarikat Idaman melakukan beberapa penambah-baikan. Tentulah para pekerja mereka akan lebih berterima kasih. Yang penting keselamatan mereka harus dijaga ataupun sepatutnya dilindungi. Keselamatan mereka harus diberi perhatian walaupun setakat ini belum pernah terjadi kemalangan. Kita tentu tidak mahu nanti disebut sebagai ‘dah terhantuk baru tengadah’. Kadang-kadang peringatan perlu juga diberi perhatian, Sedarlah bahawa ‘malang tidak berbau’ dan ‘mencegah lebih baik dari mengubat’.

Pihak Idaman sebaik-baiknya menyediakan satu skim insurans untuk para pekerja ini. Apa akan terjadi sekirtanya mendapat kemalangan ketika bertugas? Pekerja membersih sampah sarap dan rumput di tepi jalan mungkin akan terkena gigitan binatang berbisa atau terlanggar kenderaan yang terbabas. Kemungkinan-kemungkinan ini perlu diberi perhatian.


Pekerja pelupusan sisa pepejal dan sampah dilihat hanya berdiri di sisi lori pengangkut tanpa apa-apa pengadang. Mereka hanya berpaut di besi pemegang yang terlekat di dinding lori. Bayangkan jika ketika lori sedang berjalan ada yang terkena serangan jantung atau darah tinggi? Apalah salahnya jika lori itu diubahsuai dengan mengadakan pengadang yang boleh menghalang mereka jatuh atau menyediakan tempat duduk khas untuk mereka.


Pihak Majlis Daerah, Kerajaan Tempatan dan juga Syarikat Idaman perlu peka dengan hal-hal begini selain memikirkan keuntungan syarikat sahaja. Langkah-langkah keselamatan yang lebih positif harus diambil. Sesungguhnya ‘MALANG TIDAK BERBAU’.

No comments:

Post a Comment