Setiap hari kedengaran keluhan demi keluhan tentang harga
makanan di kantin sekolah yang semakin naik. Bila harga makanan semakin tinggi,
perbelanjaan sekolah untuk anak-anak secara tak langsung meningkat. Bayangkan
jika seorang murid terpaksa membawa RM4.00 sehari, apa akan ditanggung ibu-bapa
yang ada 4 anak yang bersekolah. Sudah tentu kos sara hidup meningkat semakin
tinggi.
Hal ini berlarutan dari tahun ke tahun, harga makanan di
kantin tidak pernah turun. Ia semakin meningkat mengikut rentak kedai-kedai
makanan di luar. Tambahan pula diusahakan oleh pengusaha yang sama dengan
pengusaha kedai makanan di Bandar-bandar. Alasan yang diberi adalah kerana kos
bahan mentah yang semakin naik. Pihak pengusaha kantin tidak boleh disalahkan seratus peratus. Pihak sekolah sendiri dilihat seperti penyebab kenaikan harga makanan di kantin kerana sistem tender yang mementingkan wang.
Apapun sistem tender yang diamalkan pihak sekolah patut
dikaji semula dan dilaksanakan seperti tahun-tahun dahulu. Sistem yang ada
sekarang seolah-olah menggalakkan pengusaha kantin meletakkan harga yang tinggi
terhadap sajian mereka.
Amalan sekarang,
pengusaha yang boleh memberi sewa bulanan yang tinggi kepada pihak
pengurusan sekolah akan dipilih. Sistem sewa ini menyebabkan pengusaha kantin
tiada pilihan selain meletakkan harga tinggi untuk menampung kadar sewa yang
hendak diberi kepada pihak pengurusan sekolah. Jadi ubahlah sistem pemilihan
dan tender ini. Jangan lagi memikirkan banyak mana wang yang masuk ke akaun
sekolah tetapi fikirkan harga patut yang boleh diberi yang tidak membebankan
ibu-bapa.
Sistem tender perlu diubah kepada pengusaha yang boleh
meletakkan harga terendah akan dipilih. Dengan cara ini sudah tentulah
pengusaha yang berminat akan memikirkan harga paling minima untuk murid-murid
di sekolah. Dahulu sistem ini diamalkan dan ianya berjaya, cuma pihak
pengurusan sekolah harus berkorban melupakan sewa bulanan seperti yang
diperolehi sekarang.
No comments:
Post a Comment