Bulan Bahasa Kebangsaan untuk
2013 baru saja dilancarkan di Dewan 2020 Kangar, Perlis oleh Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Seperti setiap tahun, pelancarannya disambut
meriah, tetapi untuk hari itu sahaja. Dan Tan Sri Muhyiddin membaca skrip lama
juga dalam ucapannya tetapi kali ini menyeru dan berharap IPT memainkan peranan
ke arah mendaulatkan Bahasa Kebangsaan atau khususnya Bahasa Melayu.
Sebagaimana setiap tahun juga, ianya habis begitu sahaja seiring dengan
berlalunya hari pelancaran tersebut.
Tidak ada satupun langkah konkrit
seterusnya untuk memenuhi ruang selama sebulan itu sebagai usaha berterusan
untuk memartabatkan bahasa seperti yang diharapkan. Apa programnya? Langsung
tidak ada dan semuanya kembali seperti biasa, meninggalkan Bahasa Melayu dengan
fantasi sebagai bahasa ilmu dan juga sebagai bahasa keenam tersohor di dunia
kononnya dituturkan oleh 250 juta orang. Kasihannya Bahasa Melayu.
Apa boleh buat, Bahasa Melayu
akhirnya terus terpinggir sekadar tempelan di kebanyakan acara di dalam negara
ini dan di khalayak orang Malaysia sendiri. Orang lebih senang dan selesa
menggunakan Bahasa Inggeris. Orang seperti sangat rendah martabatnya jika
menggunakan Bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi samada majlis anjuran
swasta dan juga anjuran pihak kerajaan sendiri. Para pemimpin sendiri kelihatan
lebih lancar berbahasa Inggeris dari Melayu.
Papantanda premis perniagaan
tetap juga diluluskan walau tiada langsung perkataan Melayu di dalamnya. Yang
ada cuma perkataan ‘….Sendirian Berhad’.
Media elektronik terutama TV
langsung tidak memainkan peranan untuk tujuan memartabatkan bahasa itu.
Tidak adapun satu program yang
berterusan, sekurang-kurangnya dalam masa sebulan ini, sesuai dengan namanya
Bulan Bahasa Kebangsaan. Apa salahnya dalam masa sebulan dalam setahun kita
sama-sama memberi sokongan memenuhkan aspirasi memartabatkan bahasa itu.
Bukan tidak boleh berbahasa
Inggeris tetapi jika yang berucap orang Melaysia dan yang mendengar juga orang
Malaysia, kenapa harus berbahasa Inggeris? Rakyat Malaysia tidak faham jika
bertutur dalam Bahasa Melayu?
Fikir-fikirkanlah untuk sebulan
ini. Bulan yang dinamakan Bulan Bahasa Kebangsaan.
pak2 menteri,VVIP..semua mengunakan bahasa rojak...mcm mana rakyat nak ikut..
ReplyDelete