Wednesday, June 30, 2010

POKOK JANDA KAYA

Pokok Janda Kaya biasanya ditanam sebagai tanaman hiasan di halaman dan di taman-taman. Namun begitu, ianya amat memerlukan penjagaan yang berterusan supaya pokoknya tidak tumbuh meliar dan sukar dikawal pertumbuhannya.


Buat masa ini daun dan bunganya sering digunakan untuk mandian bagi menyegarkan badan selain diramas dan airnya disapu di kepala bagi menyejukkan badan kanak-kanak yang mengalami demam.



Belum ada penmuan baru dari segi kegunaannya setakat ini. Namun kecantikan bunganya amat menarik perhatian. Ia berbunga dengan banyak dan lebat. Kerana itulah dinamakan Janda Kaya.





Walau apapun, berjumpa dan mendapat nasihat doktor adalah langkah yang terbaik.

Tuesday, June 22, 2010

ASAM GELUGUR

Pokok asam gelugur biasanya tinggi dan tirus. Ia memakan masa bertahun-tahun untuk mula mengeluarkan buah. Buah asam gelugur inilah yang digunakan untuk dibuat asam keping yang sangat populer dalam penyediaan masakan.

Selalunya digunakan semasa menyediakan masakan asam pedas, laksa, gulai dan sebagainya untuk memberi sedikit rasa masam kepada masakan-masakan itu.



Buah asam gelugur yang segar ini diceraikan gelugurnya dan diracik kepada saiz yang lebih nipis supaya cepat kering. Asam yang telah kering biasa digunakan dalam masakan.



Pandangan lebih dekat untuk melihat gelugur asam yang hendak diceraikan.






Buah segar yang masih bertangkai ini amat sesuai untuk mendapat asam keping yang elok.



Asam keping yang siap diracik-racik sedia untuk dijemur di panas matahari. Tempoh dua atau tiga hari di bawah panas terik sudah cukup untuk mengeringkan asam keping itu.


Friday, June 18, 2010

YANG AKU LIHAT DI THAILAND 2

Lihatlah bagaimana rakyat Thailand memanfaatkan alam untuk sumber ekonomi mereka. Sungai digunakan sebagai tempat mencari rezeki. Sungai dijadikan medan perniagaan yang ternyata memberi pulangan lumayan. Tidak pernah terlintas di fikiran kita untuk memanfaatkan sungai kita yang sering menjadi tempat longgokan sampah sarap.
Ini adalah pemandangan biasa di pintu gerbang memasuki kawasan Pasar Sungai yang terkenal di Hatyai. Di terbing sungai ini para peniaga menjual barangan mereka, khasnya barang makanan, dari dalam perahu masing-masing.

















Sungainya bukan elok sangatpun. Airnya kelihatan hijau berlumut dengan air yang pekat mengalir lesu. Perahu-perahu milik penjual makanan tertambat di tebing sungai ini dan kita boleh membeli makanan tersebut dan memakannya di mana-mana sahaja yang kita suka. Tempat duduk yang disediakan tentulah tidak mencukupi.






Kelihatan para peniaga melayan pelancong yang hendak membeli makanan dan minuman. Tidak ada tawar menawar di sini kerana semuanya dijual dengan harga yang sama iaitu 20 Bath kira-kira RM2.




Apa saja jenis makanan dijual dengan senyuman. Pesan sahaja, semuanya harga sama.








Berbagai jenis makanan dan minuman dijual di sini dan semuanya halal kerana penjualnya terdiri dari rakyat Thai beragama Islam.
















Minuman dan makanan diisi dalam bekas-bekas khas yang unik. Buluh ini misalnya adalah untuk mengisi minuman yang dipesan. Apa saja jenis minuman dimasukkan ke dalam bekas buluh ini dan juga beberapa jenis pasu seramik yang cantik. Harga RM2 itu meliputi sekali dengan bekasnya.















Pasu seramik ini digunakan untuk mengisi makanan dari berbagai jenis. Harga 20 Bath rasanya berbaloi untuk mendapatkan bekas yang cantik ini.








Terfikir aku, bila negara kita mahu mencontohi penggunaan sungai oleh masyarakat Thailand ini. Sungai tidak secantik mana tetapi dimanfaatkan semaksima mungkin. Sungai kita telah melalui bermacam-macam kempen ke arah membersihkannya tetapi tidak ada lagi pihak yang mahu memanfaatkannya.

Wednesday, June 16, 2010

YANG AKU LIHAT DI THAILAND

Melawat negara Thailand bukanlah sesuatu yang rumit. Singgah di pekan Changlun bergambar, pergin ke Bukit Kayu HItam buat pas sempadan. Bayar RM10 dan tunggu 15 minit, siap. Berjalanlah ke pintu masuk Thailand di Danok.

Di sinilah masalah sikit kerana pintu masuk dikawal. Bukan tentera atau polis yang kawal tetapi perempuan berbaju hijau ini. Entah apa jawatannya, setiap cakapnya di patuhi dan bila dia benarkan barulah kita boleh masuk. Berbaris pula di posa imigresen beberapa jam baru boleh meneruskan perjalanan.



Kalau di Malaysia pasti kereta ini sudah ditahan JPJ atau pihak berkuasa. Ia diubahsuai atau dicipta sendiri oleh pemiliknya dan boleh mendapat lesen kenderaan bermotor dari pihak berkuasa di sana. Kalau di sini pasti akan disoal banyak tentang spesifikasi keselamatan dan sebagainya. Akhirnya kenderaan ciptaansendiri itu tersadai di bangsal ayam.



Iklan sebegini adalah perkara biasa di Thailand. Malah yang lebih dari itu pun boleh dilihat dan dicari.



Menaiki kereta seperti di bawah adalah amalan biasa bagi rakyat Thai. Mereka dalam perjalanan menuju ke pasar sungai. Kalau di Malaysia sudah tentu mesti memakai topi keledar untuk keselamatan.

Di Thailand semua dimanfaatkan. Peniaga begitu sibuk di pasar sungai. Sungai bukan elok sangat. Airnyan hijua berlumut tetapi dimanfaatkan menjadi tempat perniagaan yang begitu laris dan menjadi tumpuan disetiap petang hingga malam. Harga makanan dan minuman hanyalah 200 bath kira-kira RM2 jika di Malaysia.


Di mana sahaja boleh mencari rezeki di Thailand. Peniaga ais krim ini sedang sibuk di hadapan sebuah kedai barang-barang kering buatan Thai.



Biji gajus di hadapan kedai. Kata orang bukan biji gajus asli tetapi hanyalah yang dibuat seperti kuih sahaja. Namun harganya 600 bath sekilo.


Jika dilihat namanya bukan main lagi orang Melayu berniaga di Hatyai. tetapi ternyata pemiliknya adalah keturunan Cina yang menetap di Thailand. Diletakkan nama Melayu untuk menarik pelancong dari Malaysia. Nora Plaza di tengah kota Hatyai yang menjadi salah satu tempat tumpuan pelancong Malaysia.



Dan memang benar ia menjadi tumpuan pelancong Malaysia. Orang ramai berpusu-pusu masuk dan keluar dari plaza tersebut.



Pokok liar hanya boleh tumbuh di tepi-tepi longkang begini. Ia tumbuh di celah-celah simen yang retak kerana tanah digunakan secara maksima untuk hasil pertanian. Rakyat Thai memanfaatkan setiap inci buminya.



Di Malaysia tentu tidak dapat dilihat dawai elektrik begini. Sudah dikabelkan dan dimasukkan ke dalam tanah. Di Thai jika berlaku kerosakan pendawaian ia dibuat pendawaian yang baru. Jika dawai berselirat begitu macam mana hendak dibuat servis pendawaian atau membaiki pendawaian.



Friday, June 11, 2010

KEMOYANG

Kemoyang adalah spesis keladi yang dinamakan ‘Homalomena Sagittifolia'. Ia dipanggil juga sebagai keladi kemoyang. Pokok keladi ini tumbuh liar di hutan dan kawasan-kawasan lembah dan berair. Kebanyakan orang menanamnya sebagai tumbuhan hiasan di dalam pasu.

Pokok ini mempunyai ubi yang berbau wangi dan daunnya berwarna hijau, bekilat dan licin dengan bunga merah yang tirus yang tumbuh di celah-celah daun. Ia membiak melalui rizomnya ataupun secara pecahan ubinya.


Isi batang kemoyang boleh direbus dan air rebusan itu boleh diminum bagi melegakan demam panas.Daun keladi kemoyang boleh digunakan untuk membalut besi tunku wanita yang lepas bersalin. Air rebusan daunnya diminum bagi mengecutkan rahim. Daun yang dilumatkan boleh disapukan bagi melegakna senak perut.




Batang dan daun kemoyang juga boleh dibuat kerabu yang enak. Masak lemak daun kemoyang juga lazat dimakan tetapi untuk kedua-dua masakan ini, daunnya perlu dicelur dengan air panas terlebih dahulu. Di samping lazat dimakan, ia boleh membantu melancarkan perjalanan darah.



Namun begitu, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah terbaik.

Friday, June 4, 2010

PETAI BELALANG

Petai Belalang atau namanya 'Leucaena Leucocephala' adalah sejenis pokok yang tumbuh meliar di kawasan semak samun atau di kawasan yang tidak dijaga rapi. Keitnggiannya jika dibiarkan boleh mencapai hingga 10 atau 12 meter dan ia senang membiak dengan biji benihnya yang bercambah apabila buah yang telah matang memercikkan bijinya ke tanah.



(Pokok Petai Belalang tumbuh di tepi jalanraya)

Buahnya berbentuk pipih seperti petai yang biasa. Ia berwarna hijau ketika muda dan bertukar menjadi cokelat apabila telah masak atau matang. Petai belalang boleh dimakan tetapi mempunyai bau yang agak kurang enak, lebih-lebih lagi apabila kencing. Kadang-kadang ia dijadikan makanan lembu peliharaan.
Selalunya petai dimakan sebagai ulam oleh kebanyakan orang. Daripada pucuk, bunga dan juga buah yang muda, semuanya boleh dijadikan ulam dan sangat berkhasiat.

(Bunga Petai Belalang)

Dipercayai banyak khasiat yang diperolehi dari petai belalang ini selain dijadikan ulam. Daunnya digunakan bagi rawatan batuk-batuk dan juga demam campak. Daun tersebut ditumbuk dan dilumatkan, disapu pada tekak untukmbatuk dan disapu seluruh badan untuk campak.




Selain boleh melegakan beberapa penyakit, amalan memakannya boleh menjadikan awet muda. Penyakit darah tinggi, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang boleh dirawat dengan petai belalang dengan meminum air rebusannya. Air rebusan buah petai yang sudah tua boleh melegakan darah tinggi.


(Buah Petai yang sudah tua)

Bagi sesetengah orang, mengamalkan memakan petai adalah untuk menambahkan susu badan bagi ibu-ibu yang bersalin dan menyusu badan. Ia juga adalah mujarab untuk mematikan cacing di dalam badan.


(Buah Petai yang masih muda)

Walau bagaimanapun, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah terbaik.