Thursday, April 29, 2010

POKOK MISAI KUCING



Pokok misai kucing merupakan tumbuhan yang dipanggil juga sebagai ‘rumujung’. Nama saintifiknya adalah ‘Orthosiphon Aristatus’ dan boleh tumbuh melalui keratan batang.

Pokok ini mulanya digemari kerana bunganya yang cantik dan menarik tetapi lama kelamaan kegunaannya dalam merawat berbagai penyakit membuatkan ia sangat digemari.


Tumbuhan ini mempunyai kandungan kalium yang tinggi dan sangat berguna untuk merawat kehilangan kalium selepas kencing. Keseluruhan pokok ini kecuali akarnya boleh dimanfaatkan untuk pengubatan tradisional terutama bagi mencuci darah daripada bahan toksid.


Dari dahulu lagi daunnya dijadikan teh dan boleh diminum tanpa sebarang kesan sampingan sebaliknya dapat membantu dalam pemulihan sendi dan tulang, merawat penyakit-penyakit gout, reumatik dan batu karang. Ia juga dapat mencegah pertumbuhan batu karang dalam pundi kencing serta dapat menurunkan tekanan darah tinggi.

(bunga Misai Kucing yang cantik)

Namun begitu, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah yang terbaik.

Tuesday, April 27, 2010

POKOK SEMARAK API

(Semarak Api ditanam di tepi jalanraya)
Semarak Api atau kadang-kadang disebut sebagai Flame of The Forest sebenarnya adalah sejenis pokok hutan yang berasal dari Madagascar dan tersebar ke serata dunia khasnya di kawasan berhawa panas. Ia disebut sebagai Delonix Regia dalam terma saintifik dan biasanya menjadi mercu tanda sesebuah taman kerana keunikan warna bunganya.


Di Malaysia pokok ini tumbuh meliar di hutan-hutan dan sekarang telah menjadi pilihan untuk ditanam di tepi-tepi jalan sebagai tumbuhan hiasan. Pokok semarak api adalah jenis pokok besar yang boleh mencapai ketinggian berpuluh-puluh kaki dengan batang dari kayu keras dan berdaun kecil.


(Bunga Semarak Api dari dekat)

Keunikan pokok ini adalah bunganya yang merah bercampur oren dan kelihatan sangat terang dan jelas di antara pokok-pokok yang lain. Sesetengah pokok ini bunganya terlalu banyak hingga melindungi daunnya yang kecil. Bunganya yang kemerahan inilah yang mencantikkan pemandangan setempat.



Ia boleh dibiakkan dengan semaian biji benih yang boleh didapati dari buahnya seperti kekacang yang panjang dan lebar. Di dalam kekacang inlah terdapat biji-biji yang boleh disemai dan dibiakkan.

Setakat ini belum ditemui kegunaannya yang lain selain memberi keindahan dan kecantikan bunganya. Apapun, berjumpa dan mendapat nasihat doktor adalah langkah terbaik.

Sunday, April 25, 2010

TERATAI

(Kelopak teratai yang segar berkembang)

Teratai merupakan tumbuhan air yang berasal dari Indonesia dan India merupakan tumbuhan yang hidup dalam air. Ia mampu berdiri teguh dari dasar kolam atau tasik membawa kepada sehingga 1 meter dari paras air ketinggiannya. Bunganya terbit dari pucuk yang berada di atas permukaan air. Dan bunga ini dianggap suci oleh penganut Buddha.

(Bunga teratai yang belum berkembang)

Bunga teratai atau ‘Nelumbo Nucifera’ kembang berwarna merah dan merah muda. Ia akan semakin pudar selepas 1 atau 2 hari dan kelopaknya gugur meninggalkan buah yang kehijauan dan berbiji, Apabila buah ini telah masak, bijinya akan tersebar dan tumbuh sebagai pokok yang baru di kolam atau tasik. Percambahannya adalah melalui biji benih.

(Buah teratai yang masih muda)

Bunga, daun, akar dan bijinya boleh dimakan. Kelopak bunganya boleh dimasukkan ke dalam sup ketika memasak untuk menambah rasa. Bijinya boleh direbus atau digoreng dan dimakan seperti kacang.

(Buah teratai yang masih belum masak)

Teratai boleh digunakan untuk merawat cirit-birit serta buasir manakala bijinya digunakan untuk merawat demam dan imsonia kerana ia menyejukkan badan. Apapun, berjumpa dan meminta nasihat doKtor adalah langkah yang terbaik.
(Buah teratai yang sudah masak)

Saturday, April 24, 2010

BUNGA MELUR



Bunga Melur merupakan bunga tradisi yang masih populer terutama dalam kalangan masyarakat India. Melur atau nama saintifiknya Jasminum Sambac adalah sejenis bunga yang harum baunya dan terdiri dari tiga jenis semuanya. Dua jenis dareipadanya adlah jenis melur susun yang berlapis-lapis dan satu lagi adalah melur selapis. Didapati melur selapis lebih harum baunya dibanding dengan melur berlapis dan melur susun.




Pokok melur adalah jenis berbatang kayu keras dan boleh mencapai ketinggian hingga beberapa meter. Tetapi selalunya pokok melur dipangkas supaya terhasil tunas-tunas yang baru. Dari tunas-tunas yang baru inilah akan terhasil bunganya.



Melur boleh dibiakkan secara keratan batang. Batang yang tua dan keras dipotong dan direndam ke dalam aiar suam sebelum ditanam ke dalam medium. Dalam masa lebih kurang 6 minggu, tunas yang baru akan tumbuh dan bileh diubah dasrin tempat semaian ke tempat penanaman.




Melur sangat berguna dalam kehidupan masyarakat India. Selain dari kegunaannya di majlis-majlis agama dan perkahwinan, melur juga digunakan untuk perubatan tradisional. Biasanya daunnya digunakan oleh ibu-ibu untuk menambah kandungan susu ibu. Selain dari itu daunnya juga berguna untuk sakit mata, menyejukkan badan, menghilangkan bengkak gigitan serangga, melegakan demam dan juga sesak nafas.


Daunnya ditumbuk halus dan ditampal kepada bahagian badan yang bengkak, akan susut kemudiannya. Daunnya juga boleh diramas dengan air dan air itu disapu ke badan untuk menyejukkan badan ketika demam. Bagi menghilangkan sesak nafas, daunnya direbus dengan air. Ditapis kemudiannya dan diminum bagi menghilangkan sesak nafas.


walau apapun, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah yang terbaik.

Wednesday, April 21, 2010

JARAK BUNTING



Terdapat tiga jenis pokok jarak dan semuanya dijadikan pokok hiasan di samping menggunakannya untuk beberapa kaedah perubatan tradisional. Jarak bunting ini adalah jenis yang paling digemari kerana keadaan pokoknya yang hijau dan batangnya yang kembung seperti perempuan bunting. Keadaan inilah yang memberi nama kepadanya.


Dua jenis pokok jarak yang lain adalah jarak minyak dan jarak pagar. Jarak minyak pokok dan daunnya berwarna coklat kemerah-merahan manakala pokok jarak pagar pula nampak hijau tetapi batangnya adalah biasa sahaja.


Getah pokok jarak tidak berapa baik kepada badan manusia terutama kanak-kanak tetapi akar pokok jarak bunting ini digunakan untuk perubatan bagi mencegah dari mengandung iaitu menjarakkan perempuan bunting. Selain itu daunnya boleh digunakan untuk melegakan cirit-birit. Walau apapun, berjumpa dan mendapat nasihat doktor adalah yang terbaik.


Pokok jarak bunting ini berdaun lebar dan bulat manakala bunganya berwarna merah dan cantik dipandang.

Pokok ini boleh dibiakkan dengan cara semaian biji.

Monday, April 19, 2010

BUAH SUKUN



Namanya diberi sebagai 'sukun' kerana bentuk bulatnya sama seperti tanda bacaan iaitu 'sukun' dalam tulisan arab. Tanda sukun adalah tanda berhenti pada hurur-huruf arab itu. Oleh kerana bulatnya serupa dengan bulatnya buah ini, lalu ia dikenali dengan nama buah sukun.
Buah ini berwarna hijau semasa putiknya dan bertukar kepada kekuningan apabila hampir masak. Semasa hijau dan hampir kuning inilah ia sedap dimakan. Lebih enak bila digoreng dengan tepung beras. Sukun goreng ini hampir menyerupai ubi goreng dan rasanya sungguh enak. Lebih enak dimakan bersama susu atau gula.
Buah sukun yang masih putik mempunyai getah berwarna putih. Berhati-hati supaya getahnya tidak terkena pada pakaian, ia akan meninggalkan kesan yang sukar dibersihkan.
pokok sukun adalah jenis pokok besar berdaun lebar dan boleh dibiakkan dengan semaian biji benih dan juga keratan batang.

Sunday, April 18, 2010

MAYANG MENGURAI



Pokok Mayang mengurai juga dikenali sebagasi 'Janggut Tok Adam' oleh sesetengah orang kerana keunikannya yang panjang mengurai. Jika dijaga dengan baik ia boleh mencecah 2 meter panjangnya. Tidak siapa tahu dari mana asalnya tumbuhan ini tetapi ada maklumat menyatakan ia banyak terdapat di pergunungan di kawasan panas tergantung di pokok-pokok yang lain.
Walau apapun, ia memberi satu kelainan jika dibanding dengan tumbuhan yang lain. Mayang mengurai tidak memerlukan tanah untuk membiak. Ia juga tidak memerlukan baja tertentu. Kerajinan menyiram membolehkan ianya sentiasa segar dipandang. Jika anda lebih rajin, siram sekali sekala dengan air basuhan beras di rumah.
Membiakkannya tidak susah dan tidak memerlukan pasu dan medium. Hanya sediakan dawai penggantung dan gantungkan sedikit tumbuhan ini. Lala kelamaan tanpa anda sedari, ia bertambah banyak dan panjang. Dan jika dibiakkan dengan banyak, ia boleh menjadi satu tumbuhan hiasan yang menarik

Tumbuhan ini dipercayai berguna untuk menstabilkan perjalanan darah dalam badan serta mengurangkan keletihan.

Friday, April 16, 2010

BONGOR


(Setangkai bunga bongor)

Pokok bongor adalah tergolong dalam kategori pokok besar yang berbanir. Ia tidak sesuai ditanam di halaman rumah atau di dalam pasu walaupun boleh menjadi pokok hiasan yang menarik. Biasanya bongor di tanam sebagai pokok teduhan di taman-taman dan di sepanjang jalan.
(Bongor yang telah masak)

(Bongor yang masih putik)

Namun begitu bunganya amat menarik berwarna ungu dan boleh tahan beberapa minggu sebelum ia gugur meninggalkan buah. Buah-buah inilah disemai dan dibiakkan untuk penanaman.

(Bunga bongor dari dekat)

Bongor tidak boleh dibiakkan secara keratan batang mahupun secara tampang atau tut.

Thursday, April 15, 2010

BUNGA SEDAP MALAM



Bunga Sedap Malam atau dikenali juga sebagai bunga sundal malam berwarna putih dan berbau harum dan namanya diberi demikian kerana keharumannya terserlah hanya pada waktu senja dan malam. Pokok ini tidaklah besar. Dari jauh kelihatan sama seperti pokok jeliti dan ia sesuai di tanam di taman-taman serta di halaman yang luas. Ia akan lebih menarik jika pokok ini dipangkas dengan baik dan kemas.



Pokok ini kadang-kadang disebut sebagai 'pokok kemuning', tumbuh liar dan memerlukan banyak cahaya matahari kecuali kalau terlalu panas, ia perlukan teduhan. Ketika siang, bunganya tidak terlalu harum dan kurang mekar atau berkembang. Kerana wanginya itu, ia sering menjadi tumpuan berbagai jenis serangga.


Pokok sundal malam atasu nama saintifiknya 'murraya paniculata' boleh dibiakkan secara keratan batang atau secara tampang. Ia mudah disemai dan mudah dijaga asalkan selalu dipangkas untuk menikmati keindahannya.
Daun dan akarnya sangat berguna untuk pengubatan seperti sakit gigi, masalah kitaran haid, saluran kencing dan juga untuk melangsingkan badan. Selain itu akarnya yang dikeringkan boleh digunakan untuk pengubatan bisul. Biasanya 9 helai daunnya direbus dengan 3 gelas air dan biarkan tiggal 1 gelas. Apabila sejuk, air itu diminum. Ia mujarab untuk bebrapa jenis penyakit.
Namun begitu, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah terbaik.

Wednesday, April 14, 2010

BUNGA KAPAL TERBANG



Pokok kapal terbang merupakan satu jenis tumbuhan liar yang tidak dipedulikan orang dan apabila terjumpa tumbuh di mana-mana halaman sudah pasti akan dicabut atau ditebas. Orang tidak menyukainya kerana tidak cantik dan memberi pemandangan yang kurang menarik.

Sebenarnya pokok ini memberi manfaat yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan manusia. Ia boleh dikategorikan sebagai salah satu ubatan tradisi terutama daunya selain dari akar yang baik untuk merawat luka. Beberapa kegunaan luaran yang lain didapati berkesan seperti kembung dan cirit birit.


Air perahan dan gumpalan daun yang sudah dilenyek boleh digunakan untuk menahan aliran darah di tempat anggota badan yang luka. Darah yang mengalir keluar dapat dihentikan dengan daun kapal terbang ini. Selain dari itu, akarnya yang ditumbuk hancur boleh disapu kepada tempat luka untuk proses penyembuhan.
Namun begitu, pokok kapal terbang ini mempunyai beberapa keburukan kepada manusia. Selain dari baunya yang sedikit busuk, ia mempunyai bahan racun yang boleh menyebabkan kerosakan pada hati terutama kanak-kanak.
Walau apapun, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah terbaik.

POKOK LETUP-LETUP




Walaupun bunga pokok ini cantik dipandang, tetapi tiada siapa yang pedulikan pokok letup-letup ini. Selain dari ianya dibuang kerana selalu memanjat dan menutup pagar kawasan rumah, tidak ada apa yang hendak diperhatikan orang.


Buahnya boleh dimakan tetapi tidak ada orang yang berminat kerana rasanya yang tawar. Hanya menjadi makanan serangga dan unggas. Warna buah letup akan menjadi kuning apabila telah masak ranum.


Walau apapun pandangan orang terhadap pokok ini, ianya boleh menyumbang kepada khazanah ulam-ulaman kepada manusia. Pucuk dan bunganya boleh dimakan sebagai ulam apabila direbus atau dicelur dalam air panas. Rasanya enak bila dimakan dngan sambal belacan.

Tuesday, April 13, 2010

SENDUDUK PUTIH



Terdapat tiga jenis senduduk berdasarkan warna bunganya, tetapi senduduk putih ini mempunyai kelebihan dan sangat digemari pengamal-pengamalmperubatan tradisional kerana khasiat dan kemujarabannya melawan penyakit kencing manis dan darah tinggi. Bunga dan daunnya serta akarnya adalah bahagian-bahagian yang sering menjadi sasaran penggemar senduduk putih.
Ini bukanlah bermakna senduduk merah dan senduduk ungu tidak digemari. Spesis yang ini juga sering dijadikan tanaman hiasan yang jika dipelihara dengan baik, ia menjadi tumbuhan yang amat menarik kerana keramahannya berbunga.
Berbalik kepada senduduk putih atau ' melastoma malabathricum' tadi, daun dan bunganya dikeringkan dan bahagian yang telah kering ini direndam pula dalam air panas untuk dijadikan minuman seperti minuman teh. Kalau rasa tidak tahan dengan rasanya, masukkan sedikit gula. Namun begitu, berjumpa dan meminta nasihat doktor adalah langkah yang terbaik.
Senduduk boleh dibiakkan secara semaian biji benih atau dipotong anak yang tumbuh melalui akarnya. Anak pokok ini dipelihara di tempat teduh sebelum ditanam di atas tanah untuk mendapatkan hasil yang lebih banyak.

Monday, April 12, 2010

BUNGA KESIDANG






Kesidang merupakan sejenis bunga nadir iaitu bunga yang sukar didapati dan telah hampir pupus dan tidak dipedulikan. Jika tidak dambil langkah tertentu ke arah yang lebih komersial, kemungkinan pada sdatu ketika orang tidak mengenalinya mungkinmenjadi kenyataan.

Kesidang dipanggil juga dengan nama ‘kerak nasi’. Berdasarkan bentuk dan susunan bunganya seperti ketulan nasi berwarna putih. Tidak dinafikan baunya yang harum semerbak dan unik menusuk hidung. Keharuman bunga ini dapat bertahan lama walaupun selepas ia gugur.


Pokoknya tumbuh menjalar dan tidak mempunyai akar tunjang. Pembiakannya hanyalah samada secara tampang atau diambil anaknya yang tumbuh melalui akarnya tetapi kaedah kedua lebih berisiko. Benih yang diambil dari kaedah tampang atau ‘tut’ adalah lebih meyakinkan.

Bunganya dapat bertahan selama tidak lebih 4 atau 5 hari di tangkainya.

Sunday, April 11, 2010

KENANGA




Kenanga merupakan tumbuhan hiasan yang sudah dilupakan. Generasi masa kini ada yang sudah tidak mengenali pokok dan bunga ini sedangkan satu ketika dahulu, nama Kenanga sering digunakan kepada anak perempuan yang comel. Bunga kenanga sekarang tergolong sebagai sejenis bunga nadir iaitu spesis yang hampir pupus.
Bunganya berjurai dan berbau harum. Ketika baru mekar warnanya kehijauan tetapi bertukar kekuningan apabila telah cukup matang. Kewangian bunga kenanga lain dari yang lain.
Pokok kenanga amat sensitif dan sukar dipelihara. Pembiakannya hanyalah secara 'tut' atau 'balut' yang lebih mudah menggunakan sabut kelapa. Kadang-kadang digunakan tanah dan dibalut dengan plastik sudah memadai. Apabila akarnya tumbuh dan matang, ia diubah ke medium semaian untuk dipelihara sebelun diubah.
Bunga kenanga hanya dapat bertahan kira-kira lapan hari sahaja sebelum ia kering dan gugur.

Saturday, April 10, 2010

GANDASULI



Kadang-kadang pokok ini dipanggil pokok patawali. Ia tumbuh liar di hutan dan menghasilkan bunga putih yang harum. Pokok ini adalah dari jenis tumbuhan herba yang berubi atau berakar seperti pokok halia dan boleh dibiakkan dengan menanam akarnya itu.

Satu keistimewaan patawali atau gandasuli ini adalah bunganya yang boleh dikeringkan. Bunga yang kering ini dimasak bersama sayur yang lain. Ia dimakan untuk menyejukkan badan. Orang-orang Cina suka sayur ini.

Bunga gandasuli hanya boleh bertahan selama tidak lebih 3 hari. selepas itu ia akan layu dan gugur sebagai bunga kering yang tidak berguna lagi. Dan batangnya juga akan turut kering selepas lebih kurang 2 minggu. Pokok yang telah berbunga tidak akan berbunga untuk kali kedua.

Sunday, April 4, 2010

KISAH CINTA DARI PULAU

Drama anak dara lari dari rumah telah pun memasuki episod akhir dengan ‘Happy Ending’ di pihak gadis dan teruna tetapi menjadi ‘Sad Story’ atau kisah duka di pihak ibu dan bapa gadis tersebut. Apa tidaknya apabila si ibu terpaksa menggadai maruah merayu anak gadis yang didakwa pintar itu pulang tetapi dibalas dingin dan degil anaknya. Ditambah lagi dengan sikap pihak lelaki seolah-olah tiada apa yang berlaku dan ini adalah sekadar cerita ‘perigi yang mencari timba’ sahaja.

Kalau sebelum ini kita hanaya mendengar kisah cinta dari Pulau Lombok, tapi kali ini hanyalah dari Langkawi, juga sebuah pulau. Adik Halimaton, 15 tahun dengan cinta sucinya, meninggalkan pelajaran dan keluarga mendambakan hati ke Pulau Langkawi mengikut teman lelakinya, Mohamad Nor bin Abdullah yang baru berusia 19 tahun. Walaupun kisah ini berakhir di ambang perkahwinan, tetapi banyak pengajaran yang dapat ditimba dari kisah tersebut.

Kita sedar bahawa cinta tidak mengenal usia dan tempat. Cinta tidak mengenal batas hukum dan adat. Kisah ini juga memaparkan bahawa gadis berusia 15 tahun ini pintar minda, bukan pintar ilmu kerana orang yang pintar ilmu tidak akan bertindak demikian. Bayangkan Halimaton yang didakwa seorang gadis pintar boleh terjebak dalam kancah cinta ini, bayangkan apa akan terjadi kepada gadis-gadis lainnya yang tidak sepintar Halimaton? Sebab itu ada orang mengatakan ‘Cinta Itu Buta’.

Tetapi perbuatan membelakangkan ibu bapa dan keluarga bukan lagi adat. Perbuatan tidak menghormati ibu dan bapa sudah melanggar hukum. Malah perbuatan keluarga lelaki menyimpan anak dara orang tanpa menyerahkannya kembali kepada keluarganya adalah melanggar tata-susila bangsa dan agama.

Sesungguhnya amat memalukan bila kita cuba mempertahankan bahawa kedatangan anak gadis itu atas kerelaannya sendiri sedangkan kita tidak berbuat apa-apa untuk memulangkan kepada yang empunya hak . Apatah lagi gadis itu masih di bawah umur. Mereka juga harus sedar bahawa jika tidak kerana godaan Adam, tentu Halimaton tidak ‘cinta gila’ seperti itu.

Halimaton harus juga percaya dengan nasihat Dato’ Nooh Gadut, bekas mufti Johor bahawa perkahwinan tanpa restu ibu dan bapa membawa malapetaka. Persetujuan ibu dan bapa Halimaton untuk menikahkan pasangan tersebut hanyalah untuk mengelak kemungkinan berlaku kemungkaran, bukan merestuinya. Dan yang penting ambillah iktibar dari kata-kata terakhir ibunya, ‘dia lupa bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu’. Apatah lagi bila dengan bangganya Halimaton mendedahkan laporan polis terhadap ibunya sendiri telah dibuat.

Jalan terbaik yang boleh diambil kini adalah dengan memulangkan Halimaton ke pangkuan keluarganya dan uruskan proses peminangan seperti biasa dan berpegang kepada kepercayaan bahawa ‘kalau sudah jodoh, tidak akan ke mana’.

Ibarat kata Dato’ Nooh bahawa perkahwinan adalah untuk selamanya dan bukan suami sahaja yang perlu difikirkan tetapi keseluruhan anak-anak yang bakal lahir. Rasanya kaum keluarga juga tidak patut dibuang begitu sahaja tambahan lagi Halimaton adalah harapan keluarga kerana kebijaksanaannya dalam pelajaran.

Ibu mana yang tidak bersedih jika anak yang selalu didokongnya dahulu, dibawa ke hulu ke hilir termasuk membawanya ketika menoreh, tiba-tiba termakan godaan dan lari mengikut kata hati ke rumah seorang lelaki. Dan lebih menyedihkan keluarga lelaki itu terus menyimpan tanpa memikirkan untuk memberi nasihat apatah lagi menghantarnya pulang ke pangkuan keluarga.

Apa sudah jadi dengan orang kita?