Langkah Malaysia menganjurkan pertandingan pancaragam yang dipnggil ‘KL World Marching Band Competition’ yang diadakan pada 18 Disember 2009 lalu sangat dialu-alukan sebagai salah satu usaha memperkenalkan negara sebagai satu destinasi pelancongan. Lebih manis lagi wakil Malaysia Sekolah Menengah Sultanah Asma dari Kedah menjadi juara berganda pada malam tersebut yang disiarkan secara langsung melalui TV.
Walau bagaimanapun akhirnya acara malam itu dicacatkan oleh persembahan penutup selepas majlis penyampaian hadiah yang menampilkan kumpulan penari yang menyanyi dan menari dalam slot ‘Tribute To Michael Jackson’ yang rasanya tidak sesuai dan lari sama sekali dari konsep pertandingan. Entah di mana silapnya, slot tersebut langsung tidak menggambarkan Malaysia. Seolah-olah kita berada di Amerika mengenang seorang penghibur negara tersebut sedangkan slot ini sepatutnya digunakan untuk mempromosi negara ini.
Kenapa kita harus menampilkan ‘Tribute To Michael Jackson’ sedangkan negara kita boleh diperkenalkan dengan budaya tersendiri. Kita sendiri mempunyai banyak kesenian dan kebudayaan yang boleh dipertontonkan. Apa salahnya slot ini diselitkan dengan tarian tradisional atau tarian mana-mana etnik negara ini yang boleh menarik minat peserta luar negara dan tentunya ia boleh dijadikan satu daya tarikan pelancongan.
Entah apa yang bermain di fikiran para pegawai Kementerian Pelancongan yang terlibat dengan acara malam tersebut sehingga meminggirkan seni tempatan dan mengagungkan seni dari Barat tersebut yang tidaklah sebagus manapun dipertunjukkan, malah acara sebegini tidak wajar sama sekali diselitkan dalam suatu program bertaraf ‘dunia’.
Kenapa harus ‘tribute to Michael Jackson’, tidak seni tempatan? Dan 'Michael Jackson' yang ditampilkan sangat mengecewakan.
No comments:
Post a Comment