Saturday, May 9, 2009

BAHASA MELAYU DAN BAHASA INGGERIS

Isu berkaitan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu ini agak sensitif buat ketika ini. Dalam menanti ketibaan menyambut Hari Kebangsaan ke 52, isu ini belum juga mencapai keputusan yang boleh dianggap positif apatah lagi mencapai noktahnya. Sudah 52 tahun merdeka pun isu bahasa sendiri tidak bileh selesai. Ditambah pula dengan isu PPSMI yang tidak ada penghujungnya.

PPSMI tidak dapat ditangani dengan sikap drastik sepertimana drastiknya semasa hendak melaksanakannya dahulu. Kalau semasa melaksanakannya dahulu, kerajaan tidak mengambil kira pandangan orang ramai dan pertubuhan-pertubuhan, semasa hendak memansuhkannya kali ini, pandangan orang ramai diminta pula oleh kerajaan.

Hendak memartabatkan bahasa sendiri di tanah air sendiri pun sesuatu yang susah. Akal yang waras pun tahu, apalah susah sangat. Dalam perlembagaan pun sudah termaktub. Telah dinyatakan dengan jelas bahawa Bahasa Melayu merupakan Bahasa Rasmi negara. Semua orang yang waras pun faham apa maksud ‘BAHASA RASMI’.

Semuanya terletak pada sikap dan pelaksanaan. Buat apa hennak kecoh-kecoh tentang PPSMI? Walaupun bertujuan hendak memartabatkan Bahasa Melayu dengan menghapuskannya, itu bukanlah satu jalan yang penting. Banyak lagi isu-isu lain yang boleh diperjuangkan demi memartabatkan Bahasa Melayu. PPSMI hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja sedangkan banyak lagi mata pelajaran lain diajar dalam Bahasa Melayu.

Biarlah anak-cucu kita belajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris dengan aman. Sudah tahun ke-7 mereka begitu. Mereka juga sudah selesa dengan PPSMI ini dan guru-guru juga sedah selesa mengajarnya. Telah jutaan ringgit wang dihabiskan dalam melaksanakan kursus-kursus untuk guru-guru dan juga peralatan-peralatan sampingan. Sudah jutaan ringgit wang dihabiskan menyediakan buku-buku teks untuk kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Berapa juta pula perbelanjaan hendak dihabiskan untuk mengadakan kursus-kursus semula? Berapa juta pula akan digunakan untuk menyediakan buku-buku teks yang baru pula? Dan sia-sia sahaja apa yang telah berjalan selama 7 tahun sebelum ini. Tidak terfikirkah kita?

Kalau pejuang-pejuang ini benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan supaya Bahasa Melayu diletak di persada sepatutnya, tujuh tahun dahulu mereka perjuangkannya, bukan baru sekarang hendak menjadi jaguh Bahasa Melayu.

Ada isu lain yang boleh diperjuangkan, bukan hanya 2 mata pelajaran itu sahaja. Para pemimpin sendiri tidak berminat meletakkan Bahasa Melayu di tempat sepatutnya. Menteri-menteri lebih ghairah menggunakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu.

Cuba lihat Tan Seri Muhyiddin Yassin, sejak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, begitu kurang beliau berucap dan menjawab soalan pemberita dalam Bahasa Melayu. Setiap kali tersiar di kaca TV beliau lebih cenderung bercakap dalam Bahasa Inggeris yang kadang-kadang ‘lucu’ didengar.

Begitu juga dengan para pemimpin yang lain. Usah kita bercakap tentang keikhlasan untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan itu jika kita sendiri lebih ghairah menggunakan bahasa yang lain. Kita malu bertutur dalam bahasa kita semdiri, kita pula meminta orang lain menghormati bahasa kita.

Isu jenama kereta juga perlu diberi perhatian.Akhir-akhir ini syarikat pengeluar kereta terbesar di negara kita begitu ghairah menggunakan nama yang langsung tidak ada kena-mengena dengan perkataan Melayu atau Inggeris. Orang yang mencadangkan nama tersebut pula diberi hadiah. PROTON begitu ghairah mengambil perkataan yang tidak ada langsung dalam kedua-dua bahasa itu untuk menamakan kereta keluaran mereka.

PROTON sendiri adalah satu nama yang mencemarkan bahasa, ditambah pula dengan jenama-jenama JUWARA, ISWARA, SAVY, PERSONA dan yang terbaru EXORA yang langsung tidak memberi makna apa-apa dan tidak ada dalam senarai perkataan Melayu atau Inggeris. Tidak tercatat pun dalam ‘Kamus Dewan’ yang menjadi rujukan bagi Bahasa Melayu.

Tidak terkira lagi tentang isu nama-nama jalan dan papan-papan tanda perniagaan. Lihat sandirilah apa bahasa yang diguinakan. Bahasa Melayukah yang menonjol di papan-papan tanda tersebut? Tidak perasankah para pejuang bahasa sekelian?

Isu-isu seperti inilah yang patut diperjuangkan oleh pecinta Bahasa Melayu dari membuang masa membantah PPSMI yang mana langkah tersebut bakal menimbulkan kekeliruan di kalangan pelajar lagi sekali.

No comments:

Post a Comment