Sunday, January 11, 2009

SAYA SUDAH KEMBALI

Assalamu’alaikum!

Seperti yang dijangkakan sebelum pergi dahulu, saya akan kembali ke Laman ini selepas lebihkurang 50 hari. Dan sekarang saya telah kembali menulis untuk kepuasan diri saya sendiri. Terasa sepi dan tidak lengkap hidup harian saya jika saya tidak menulis apa-apa, dan akan saya baca berulang kali untuk memenuhi masa saya. Biar orang lain tidak suka, saya akan duduk di hadapan PC ini dan terus menulis dan membaca.

Tanah Suci mengajar saya banyak perkara. Terlalu banyak sehingga saya sukar melupakan setiap satu yang saya lalui dari hari pertama berada di sana hinggalah pada waktu saya menjejakkan kaki di tiub kapalterbang untuk pulang ke tanah air.

Walau apa pun pengalaman yang saya dapat, ucapan tahniah dan terima kasih tidak dilupakan kepada Tabung Haji yang telah berjaya menguruskan para jemaah dengan cukup sistematik dan amat tersusun. Bermula dengan menyambut ketibaan, sehinggalah perjalanan menuju ke hotel penginapan yang memakan masa beberapa jam dari Jeddah ke Mekah, semuanya berjalan lancar tanpa apa-apa masalah.

Ketibaan kami pada malam tersebut disambut pihak hotel dengan buah-tangan dan cenderamata sebagai pengenalan terhadap khidmat mereka yang terpuji sepanjang lebih sebulan berada di situ.

Tabung Haji memiliki segala-galanya. Klinik disediakan untuk para jemaah yang sakit mendapatkan rawatan. Urusan mengeluarkan wang begitu mudah dan tidak timbul sebarang masalah. Perkhidmatan nasihat dan kaunseling juga tidak dilupakan malah ada ketikanya para pegawai mereka melawat dari bilik ke bilik bertanya kabar dan membantu jika ada sebarang kemusykilan. Ceramah dan taklimat sering diadakan untuk mrmpertingatkan ilmu para jemaah tentang berbagai perkara.

Sepanjang 36 hari di Mekah dan 9 hari di Madinah, kami lalui hari-hari dengan penuh cabaran dan kesabaran. Hanya satu atau dua insiden yang menimbulkan kekeliruan dan ketegangan, tetapi berjaya diatasi secara bersama. Pihak hotel penginapan juga memberi krjasama yang terpuji kepada jemaah Malaysia. Bayangkan lebih daripada 3500 jemaah dalam sebuah hotel 18 tingkat yang hanya mempunyai 6 lif yang beroperasi secara berkala.

Perkhidmatan urusan semasa hendak pulang juga berjalan lancar. Bermula dari urusan menaiki bas dari Madinah ke Jeddah, hinggalah melalui pemeriksaan pihak Imegresen dan Kastam, semuanya tidak mendatangkan masalah malah kerjasama jemaah Malaysia tidak pernah tidak mendapat pujian.

Secara keseluruhannya, pihak Tabung Haji patut diberikan pujian dan ucapan tahniah kerana begitu cemerlang mengendalikan semua urusan para jemaah Malaysia. Kita patut rasa bertuah dan bersyukur kerana mempunyai satu agensi yang begitu penting dalam menjaga kepentingan para jemaah Malaysia berbanding dengan para jemaah dari negara lain.

Namun begitu ada juga ketikanya berlaku salah faham dan sedikit rungutan dari sebahagian para jemaah, tetapi ia tidak menjejaskan keseluruhan perkhidmatan yang diberikan. Memanglah susah untuk memberi kepuasan seratus peratus kepada semua orang. Ada ketikanya terdapat sebahagian jemaah yang tidak berpuas hati dalam sesuatu perkara tertentu tetapi kecemerlangan secara keseluruhan berjaya memadam semua cacat-cela yang sedikit itu.

Tahniah, Tabung Haji Malaysia!

No comments:

Post a Comment