Bagaimanakah kehidupan yang paling diinginkan semua orang? Apakah bentuk kehidupan yang diimpikan setiap insan di dunia ini? Apa hidup paling lunak? Inilah soalan yang biasa bermain di fikiran saya selama ini. Soalan yang umum ini amat mudah diberi jawapan.
Memang banyak kehidupan ayang melunakkan. Memang banyak kehidupan yang diinginkan. Bergaduh tidak ada orang melawan yakni tidak ada yang berani dengan kita. Ini satu cara hidup yang lunak kerana kita dapat berbuat apa sahaja kepada orang lain. Kita mengumpat, tidak ada yang membalas. Lunak juga hidup begitu sebab kita akan rasa bebas. Berhutang tidak payah bayar. Lagi senang kehidupan begini, lebih melunakkan.
Semua orang inginkan kesenangan. Semua orang inginkan kekayaan dan memiliki seberapa banyak harta di dunia ini. Tidak ada orang yang mahu kesusahan dan keperitan dalam kehidupan di zaman serba kompetatif ini. Saban hari orang berebut-rebut untuk mendapatkan semua bentuk kesenangan walau apa cara sekalipun.
Cara hidup yang paling digemari manusia ialah berhutang dan tidak payah membayar hutang. Senang sahaja, bila berhutang tidak perlu bayar. Manusia memang suka berhutang sama ada berhutang budi atau harta-benda. Sejarah hutang ini telah bermula sejak zaman dahulu-kala lagi sehingga ada pantun Melayu berbunyi:
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.
Ada juga kata-kata pendekar di zaman silam yang berbunyi:
Hutang darah dibayar darah,
Hutang nyawa dibayar nyawa.
Dari pantun tersebut jelas menceritakan peri pentingnya membayar hutang tak kira sama ada berhutang harta-benda waima berhutang budi sekalipun. Hutang mesti dijelaskan. Wajib dibayar di dunia ini juga kecuali berhutang budi sahaja yang di bawa sehingga kita mati. Malah orang yang membunuh akan menerima balasan setimpal.
Sebab itulah sebelum mayat seseorang hendak dibawa ke kuburan bagi dikebumikan, waris akan meminta pemiutang si mati tampil ke hadapan untuk dilangsaikan hutang arwah sekiranya ada. Orang yang hendak berangkat ke Tanah Suci juga begitu. Seboleh-bolehnya semua hutangnya hendak diselesaikan supaya ia dapat pergi dengan tenang seolah-olah akan mati di sana.
Begitulah pentingnya membayar hutang!
Tetapi bersediakah kita untuk membayar hutang? Banyak hutang kita. Ada orang membeli rumah secara hutang dinamakan Pinjaman Perumahan. Hutang yang ini mudah dibayar sebab dibuat secara potongan gaji. Hutang kenderaan dipanggil Sewa-Beli. Sewa-beli kenderaan juga sejenis hutang. Adakah hutang ini kita selesaikan setiap bulan?
Dan yang penting hutang kita dengan Tuhan. Banyak hutang kita denganNya, tidak terkira. Sembahyang lima waktu sehari, puasa di bulan Ramadan, Zakat dan janji kita dengan Allah tentang keimanan kita adalah hutang kita denganNya. Langsaikah hutang kita itu?
Bila kita ada hutang, lunakkah hidup kita?
No comments:
Post a Comment