Tuesday, September 8, 2009

LEBIH BAIK JADI PEMBANTU RUMAH, BUAT APA KERJA KILANG.

(Rumah sewa anak-anak kita)


Langkah kerajaan Malaysia hendak melayan permintaan Indonesia menetapkan gaji Pembantu Rumah dari negara itu menampakkan betapa terdesaknya kita. Indonesia gertak sedikit mengenai penderaan pembantu rumah dari sana, kita dah menggelabnah dan mahu menurut saja apa yang diminta.

Gaji minima RM800 bukanlah sedikit. Selain menjadi beban kepada majikan, terfikirkah kita nasib anak-anak kita. Berapa sangatlah pendapatan kerja operator pengeluaran di kilang-kilang. Masalah gaji minima mereka pun kerajaan tak selesaikan lagi. Rata-rata mereka mendapat antara RM400 hingga RM700 sahaja. Ditambah sedikit dengan elau-elaun lebih masa dan elaun kerajinan, dapatlah tambahan kira-kira RM100. Itu sahaja pendapatan mereka.

Jumlah itu ditolak pula belanja pengangkutan, makan-minum dan sewa rumah, kadang-kadang adalah lebihan setakat RM200. Itulah wang yang hendak diberikan kepada ibu bapa dan adik-adik. Itulah wang untuk membeli keperluan peribadi mereka.

Berbanding dengan Pembantu Rumah dari Indonesia yang hendak diberikann gaji minima RM800 ini, semua kemudahan lain adalah percuma. Gaji sebanyak itu adalah bersih, betul-betul bersih. Mereka tidak perlukan pengangkutan dan tidak perlu keluarkan wang untuk belanja makan dan minum. Makanlah banyak manapun, tiada siapa yang menegah.

Mereka tidak perlu menyewa rumah seperti anak-anak kita. Tempat tinggal disediakan malah lebih selesa lagi berbanding dengan rumah sewa anak-anak kita. Begitulah layanan baik yang kita berikan kepada orang luar yang hendak mencari 'makan' di tempat kita. Rakyat kita sendiri terus diabaikan dan orang luar yang kita letakkan di tempat lebih penting.

Inilah yang dikatakan Satu Malaysia, "Kera di hutan disusui, biar anak mati kelaparan." Itulah kita bernama Malaysia. Memang sering memberi keutamaan kepada orang luar dalam apa perkara pun.

Wednesday, August 19, 2009

MASUK SYURGA: BIARKAN TOK GURU SENDIRIAN.

Setiap kali bila Nik Aziz bersuara, ada-ada saja yang melenting dan melatah. Ada yang menjerit dan memberi komen dan pandangan yang berupa motivasi kepada Tok Guru tersebut mengeluarkan fatwa yang lain pula. Cuba kita perhatikan, lepas satu, satu isu difatwakan dan diperkatakan olehnya. Sampai bila kita hendak melayan kerenah 'ulama' tersohor ini?

Setiap kali 'dihentam' dan dikritik, akan ada lagi fatwa terbaru. Kalau tak percaya, tunggulah. Sampai satu ketika beliau akan hanya memperakukan sesiapa yang menyokong beliau sahaja yang akan diterima masuk syurga. Semua ini boleh terjadi jika kita terlalu melayan beliau.

Mula-mula dulu kata beliau hendak adakan kerjasama dengan Kerajaan Pusat tapi tak mahu campur dengan UMNO. Pergi jahanam dengan UMNO. Semua orang masih ingat. Sedangkan semua orang tahu dan dunia pun tahu kalau hendak adakan kerjasama dengan Kerajaan Pusat tentu tak dapat elak dari kerjasama dengan UMNO. Cakap seperti orang sudah nyanyuk!

Fatwa terbaru adalah tentang masuk syurga. Memang semua orang Islam dalam UMNO marah. Tentu tak munasabah seorang manusia sudah mencongak siapa boleh masuk syurga dan siapa tak boleh. Itu adalah kerja Tuhan tapi Nik Aziz dah jadi seperti Tuhan. senang-senang menghukum orang.

Yang baiknya biarkan beliau melalak dan orang lain termasuk para pemimpin negara usah memberi reaksi apa-apa. Reaksi dan komen itulah yang merangsang beliau berkata-kata lagi. Anggap saja itu perkataan orang tua yang dah nyanyuk dan tidak waras. Usah beri apa-apa komen.

Sebagai sifat manusia, bila cakapnya tidak mendapat sambutan akan diamlah ia. Macam ayam, dia akan terus berkokok jika kokok pertamanya mendapat sambutan dari ayam jantan yang lain. Anjing akan terus menyalak kalau salakannya disambut atau disergah orang.

Sunday, August 16, 2009

NIK AZIZ YANG SAMA MACAM ORANG LAIN

Dalam beberapa tulisan terdahulu telahpun saya katakana bahawa Nik aziz samalah seperti orang lain. Dia pun manusia juga dan bukan Nabi. Selagi bernama manusia biasa, tidak terlepas dalam dirinya sifat-sifat seperti dengki khianat, dendam kesumat, bercita-cita menjatuhkan orang lain dan macam-macam lagi sifat yang lemah. Jadi tak ada bezanya dengan kita semua.

Apabila beliau menghalalkan penghinaan rakan Cinanya dalam Pakatan Rakyat menghina Islam dan bangsa Melayu, bukanlah sesuatu yang pelik yang perlu dihairankan. Sudah pasti Nik Aziz akan merestui apa sahaja yang DAP katakana asalkan semua itu menjurus kepada UMNO dan kerajaan. Apa sahaja penghinaan terhadap Melayu, Islam dan UMNO sudah pasti mendapat reaksi positif dari beliau.

Itulah sifat yang biasa bagi Tok Guru dari Kelantan ini. Apa sahaja penghinaan dan komen negative terhadap UMNO dan BN, orang pertama yang akan buat kenyataan menyokong adalah Nik Aziz.

Apabila TPM melaungkan Anwar sebagai pengkhianat bangsa, Nik Aziz adalah tokoh pertama selain Anwar yang membidas laungan tersebut sedangkan dunia pun tahu semua kekecohan sejak dahulu lagi dicetuskan oleh siapa.

Alasan bahawa DAP adalah parti bukan Islam membolehkan mereka menghina Islam, merupakan satu alasan yang sangat bodoh yang tidak patut dikeluarkan oleh seorang ulama. Kenyataan begitu hanya layak dituturkan oleh ‘ular dalam semak’ sahaja.

Tapi usah terkejut apabila kenyataan Nik Aziz ini akan diperaku pula oleh tokoh-tokoh lain dalam PAS dan juga PKR. Percayalah, apa sahaja yang dikeluarkan oleh Nik Aziz sejak dahulu lagi mendapat ‘nasi tambah’ pula dari tokoh-tokoh parti itu.

Lihat kembali kenyataan-kenyataan yang terdahulu seperti Tuhan mencarut, Nabi amalkan kroni dan macam-macam lagi. Kita hendak dengar pula pandangan Nik Aziz tentang fatwa Ronie Liu tentang beer yang tidak haram di sisi Islam baru-baru ini.

Tuesday, August 4, 2009

MELAYU OH MELAYU

Sesekali membaca blog yang pro demonstrasi 1 Ogos baru-baru ini, terasa macam kumpulan manusia ini sudah tidak ada modal nak belasah pihak polis dan kerajaan. Macam daha kekeringan idea pula orang-orang ini.

Rasanya dah sebulan pihak kerajaan dan polis beritahu bahawa perhimpunan GMI itu tak ada permit, perhimpunan haram. Polis pun dah beritahu berulang kali supaya jangan hadir untuk perhimpunan tersebut jika tidak mahu dikenakan tindakan.

Pihak kerajaan pun dah beritahu beberapa kali bahawa tiada guna berdemonstrasi, gunakan cara lain untuk menyampaikan cadangan penambahbaikan. Kerajaan juga dah berulang kali menyatakan bahawa ISA dikaji semula samada hendak dimansuhkan atau dibaiki.

Apa mahu lagi? Tunggu dulu dan lihat apa perkembangan kajian pihak-pihak yang diberi tugas membuat kajian. Ini tidak, belum apa-apa lagi sudah mahu mengambil tindakan. Lepas itu bila pihak polis dan kerajaan ambil tindakan, disalahkan pihak polis pula. Kononnya provokasi melampau pihak polis menyebabkan perhimpunan jadi kecoh.

Yang peliknya yang sibuk-sibuk berdemonstrasi ni orang-orang Melayu belaka. Lain-lain etnik boleh bilang dengan jari. Nampak sangat Melayu ni yang jadi alat puak lain yang menuntut ISA dihapuskan. Mana dia pemimpin-pemimpin DAP dan PKR yang kedengaran lantang sangat mengkritik ISA?

Alih-alih yang Melayu memakai ketayap putih yang berlambak berdemonstrasi. Kit Siang entah di mana, Anwar Ibrahim entah di mana. Mana muka Tian Chua? Tak nampak pun. Yang ada muka-muka Melayu juga. Memang Melayu jaguh dalam demonstarsi agaknya.

Ataupun memang Melayu ni kerja ambil upah buat demonstrasi?

Masa demonstrasi membantah PPSMI dulu pun muka Melayu juga. Masa demonstrasi menentang Sultan Perak di Ipoh dulu pun Melayu juga sedangkan yang marah sangat dengan tindakan Sultan Perak adalah kerajaan ‘DAP’ di Perak tu.

Melayu juga yang jadi alat.

Wednesday, July 22, 2009

GURU BAHASA INGGERIS: MURAH HATINYA KERAJAAN

Apabila Tan Sri Muhyiddin yasin mengumumkan pemberian insentif kepada guru-guru yang mengajar Bahasa Inggeris di luar bandar, terharu rasa hati. Pertamanya sebab saya telah bersara dan tentunya tidak akan dapat merasa kemurahan hati kerajaan itu.

Selain dari itu, kalau belum bersara pun, saya bukan guru Bahasa Inggeris walaupun kena mengajar bahasa tersebut, tidak juga dapat merasa pemberian kerajaan itu. Macam mana kira pun, tidak berpeluang juga merasa kemurahan hati kerajaan itu.

Beginilah nasib guru Sejarah. Beginilah nasib guru Geografi. Nantilah lagi 10 atau 15 tahun apabila rakyat sudah buta sejarah, apabila rakyat sudah tidak faham tentang kejadian alam, waktu itu mata pelajaran Sejarah dan Geografi menjadi amat kritikal dan penting. Waktu itulah baru kerajaan akan memikirkan soal insentif untuk kita.

Bukankah pelik? Guru yang memang opsyen Bahasa Inggeris, yang tugasnya memang untuk mengajar bahasa tersebut diberi ganjaran. Tanpa ganjaran pun memang guru-guru ini kena mengajar bahasa tersebut, bukannya mengajar Bahasa Melayu.

Sepatutnya guru-guru yang bukan opsyen Bahasa Inggeris tetapi ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris yang layak diberi insentif. Guru-guru jenis ini yang patut menerima ganjaran kerana melakukan tugas yang bukan sepatutnya mereka buat.

Nanti di satu ketika masalah Bahasa Melayu pula timbul dan pada waktu tersebut hendak diberi insentif pula kepada guru-guru Bahasa Melayu? Jika timbul masalah Pendidikan Islam, guru-guru ini pula diberi insentif?

Entahlah Labu. Biart Si luncai terjun tanpa labu lagi!

Friday, June 26, 2009

LEMBU, KERBAU, KUCING DAN MANUSIA




Lembu lebih bijak dari manusia, sedia berbaris. Tidak potong memotong dan berebut-rebut untuk mendapatkan sesuatu. Tidak ada demonstrasi jalanan dan tidak ada rusuhan jika tiada makanan sekalipun.

Berbeza jika dibanding dengan manusia, sentiasa sibuk hendak ke depan dan mendahului orang lain. Biar apapun terjadi, mesti berada di kelompok paling utama. Jika gagal mendapat sesuatu, jalan paling mudah adalah huat demonstrasi. Ajak orang lain bersama-sama membuat rusuhan supaya nampak pihak berwajib ada kelemahan.




Kucing ini pula tidak ada susah apa-apa, ia kesayangan manusia. Tidak payah kerja kuat seperti kerbau dan lembu, sentiasa dapat makanan. Makanan pula yang enak-enak. Kerja kucing tidak ada lain selain beranak, dan beranak.


Kerbau tetap kerbau, biar kulitnya bertukar warna menjadi putih. Orang tetap juga panggil kerbau. Kerja tetap sama, menenggtala dan menyisir tanah sawah yang luas. Apa yang kerbaudapat hanyalah seikat rumput sehari sekali. lain dari itu kenalah ragut sendiri semasa rehat di mana-mana batas sawah.


Bandingkan antara semua ini, lembu, kucing, kerbau dan manusia.

Monday, June 15, 2009

NIK AZIZ PUN SAMA JUGA MACAM ORANG LAIN.

Dalam bulan ini tidak ada perkara lain yang menjadi topik perbincangan selain Kerajaan Perpaduan. Tidak ada perkara sesensasi lain selain Kerajaan Perpaduan yang dicanang PAS oleh Presidennya Haji Hadi baru-baru ini. Dan gendang yang dipalu Haji Hadi itu telah membuatkan banyak pihak ikut menari tetapi rentaknya tidak serupa. Baik dari kalangan PAS sendiri dan juga dari kalangan UMNO, pro dan kontra sentiasa kedengaran.

Biasalah sifat manusia, mana ada yang serupa pemikirannya. Gagasan Hajin Hadi tersebut mendapat kritikan hebat dari rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat terutama DAP. PKR belum menyatakan pendirian mereka tetapi tentulah akan mengikut telunjuk DAP juga akhirnya.

Tapi yang paling keras menentang gagasan tersebut adalah Nik Aziz, Mursyidul Am PAS sendiri sehingga melabelkan orang-orang yang menyokong gagasan itu adalah 'Boneka UMNO' walaupun idea itu keluar dari PAS sendiri. Itulah Nik Aziz, sentiasa ada perkara yang tidak dipersetujuinya.

Semuanya kerana menganggap UMNO menikam PAS satu ketika dahulu selepas kerjasama mereka dalam Kerajaan Campuran. Rupanya perasaan dendam beliau terhadap UMNO tidak pernah padam sejak bertahun-tahun. Orang sealim Nik Aziz pun mempunyai perasaan tersebut yang selama ini kita anggap hanya ada di sanubari orang-orang jahil.

Semua manusia sama sahaja. Nik Aziz pun macam orang lain juga, sentiasa menaruhn perasaan dendam kesumat yang tidak terkira dengan UMNO. Biar berbaik dengan DAP tidak mengapa walaupun beliau tahu DAP tidak akan menerima 'Islam' sebagai asas perjuangan.

Berbaik dengan siapa sahaja asalkan jangan dengan UMNO. Kerjasama dengan siapa sahaja asalkan tidak dengan UMNO. Itulah dendam yang disimpan Nik Aziz dalam hatinya selama bertahun-tahun.

Dia pun samalah seperti manusia lainnya, tidak mempunyai rasa hendak memaafkan sedangkan itulah antara sifat mulia dalam ISLAM.

Saturday, May 16, 2009

SEMUDAH MEMBACA A, B, C,....

Kemelut politik Perak tiada kesudahannya. Lepas satu, satu pula perintah mahkamah dikemukakan untuk membuktikan kesahihan kerajaan yang memerintah Perak. Lama kelamaan kemelut ini menjadi bahan ketawa seluruh dunia menyaksikan ‘kebodohan’ rakyat Malaysia bermain politik seperti kanak-kanak bermain ‘masak-masak’.

Apakah nasib bangsa Melayu khasnya di negeri Perak? Kata orang tua-tua, antan sama antan berlaga, padi tumpah, ayam yang kenyang. Itulah gambaran yang sebenar yang melanda rakyat Melayu Perak sekarang ini.

Dua-dua pemimpin Melayu bertelagah sesama sendiri kononnya hendak menegakkan kebanaran. Siapa yang rugi dan siapa yang untung? Ternyata Melayu tidak untung. Ternyata ‘puak’ lain yang untung. Macam Pak Kadok, ayamnya menang, kampung tergadai. Akhirnya biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Kata-kata DS Najib memang betul dan tepat. Kemelut itu tidak akan berakhir jika semua pihak tidak mahu mengalah, masing-masing mahu menegakkan benang basah. Tetapi benang siapakah yang basah? Benang siapakah yang kering? Atau kedua-duanya basah?

Seharusnya kembalilah kepada asal. Baik Pakatan Rakyat mahupun BN tidak usah ada rasa ego. Buangkan rasa ego masing-masing dan kembali kepada titik permulaan. Kembalikan kerajaan kepada DS Mohd. Nizar semula. Kalau betul BN mempunyai majoriti, adakan sidang dewan dan usul undi tidak percaya. Apa susahnya. Semudah kanak-kanak membaca ABC.

Mahkamah pun sudah buat keputusan, status Mohd Nizar hanya akan terlucut melalui undi tidak percaya. Itu saja jalannya. Adakan sidang dan buat usul tersebut. Ini tidak, masing-masing tidak mahu mengaku kesilapan. Masing-masing hendak menegakkan benang yang basah.

DS Najib pun kalau sudah tahu BN juga menegakkan benang basah, apa tunggu lagi? Minta Dr Zambery adakan sidang dewan dan buat usul undi tidak percaya. Kalau sudah jelas BN mempunyai majoriti, apa hendak ditakutkan.

Kalau sudah hendak hadapi pilihanraya semula pun BN tidak takut., susah sangat hendak adakan sidang dewan undangan? Buat apa hendak takut dengan bayang-bayang sendiri. Selagi takut, kemelut di Perak akan terus diketawakan dunia. Saban hari berganti MB macam kanak-kanak bermain ‘masak-masak’.

Tuesday, May 12, 2009

KISAH PALING LUCU ABAD INI

Sebelum pergi jauh, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Perak kerana telah berjaya mencipta satu sejarah pada hari ini. Nanti anak cucu kita di kemudian hari akan membaca dan mengenang apa yang berlaku hari ini bahawa datuknenek mereka telah mencatat satu peristiwa pada hari ini, 12 Mei 2009.

Inilah kali pertama terjadi ada dua orang Menteri Besar bagi sebuah negeri dalam satu masa. Mana pernah berlaku? inilah kali pertama, dan diciptakan oleh rakyat negeri terbesar di Malaysia iaitu Perak. Inilah kisah paling lucu abad ini.

Mahkamah memutuskan bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah setelah kedudukan itu 'dirampas' oleh Zambery beberapa bulan. Dan hari ini pula Zambery mendapat perintah mahkamah keputusan semalam ditangguhkan menunggu proses rayuan dari pihak Zambery.

Akan kecoh lagilah negeri Perak. Kemelut tidak akan selesai, sekurang-kurangnya 100 hari lagi. Semuanya diciptakan oleh rakyat Perak sendiri atas nama demokrasi kononnya. Nah! Sekarang berdepanlah dengan ceritera paling melucukan. Nizar tentu mahu menjalankan tugas MB dengan segera sedangkan Zambery masih berpegang bahawa keputusan mahkamah itu ditangguhkan dahulu buat sementara.

Masing-masing mahu menegakkan benang basah, seperti kata Perdana Menteri. Masing-masing mahu menyatakan pihak mereka benar dan pihak yang satu lagi salah. Hingga titah Sultan tidak dipedulikan. Maruah bangsa digadaikan. Gila kuasa diutamakan dan disokong.

Rakyat Perak sendiri yang memutuskan untuk memberi keputusan PRU12 begitu rupa sehingga sekarang masing-masing BN dan Pakatan Rakyat mempunyai 28 kerusi. Harapkan 3 wakil Bebas itu sahaja hendak menyokong siapa. Buat masa sekarang mereka menyokong BN. Mana tahu Pakatan Rakyat 'membeli' pula 3 'katak' ini.

Sama-samalah kita lihat. Apapun, tahniah diucapkan kepada rakyat Perak keseluruhannya.

Saturday, May 9, 2009

BAHASA MELAYU DAN BAHASA INGGERIS

Isu berkaitan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu ini agak sensitif buat ketika ini. Dalam menanti ketibaan menyambut Hari Kebangsaan ke 52, isu ini belum juga mencapai keputusan yang boleh dianggap positif apatah lagi mencapai noktahnya. Sudah 52 tahun merdeka pun isu bahasa sendiri tidak bileh selesai. Ditambah pula dengan isu PPSMI yang tidak ada penghujungnya.

PPSMI tidak dapat ditangani dengan sikap drastik sepertimana drastiknya semasa hendak melaksanakannya dahulu. Kalau semasa melaksanakannya dahulu, kerajaan tidak mengambil kira pandangan orang ramai dan pertubuhan-pertubuhan, semasa hendak memansuhkannya kali ini, pandangan orang ramai diminta pula oleh kerajaan.

Hendak memartabatkan bahasa sendiri di tanah air sendiri pun sesuatu yang susah. Akal yang waras pun tahu, apalah susah sangat. Dalam perlembagaan pun sudah termaktub. Telah dinyatakan dengan jelas bahawa Bahasa Melayu merupakan Bahasa Rasmi negara. Semua orang yang waras pun faham apa maksud ‘BAHASA RASMI’.

Semuanya terletak pada sikap dan pelaksanaan. Buat apa hennak kecoh-kecoh tentang PPSMI? Walaupun bertujuan hendak memartabatkan Bahasa Melayu dengan menghapuskannya, itu bukanlah satu jalan yang penting. Banyak lagi isu-isu lain yang boleh diperjuangkan demi memartabatkan Bahasa Melayu. PPSMI hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja sedangkan banyak lagi mata pelajaran lain diajar dalam Bahasa Melayu.

Biarlah anak-cucu kita belajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris dengan aman. Sudah tahun ke-7 mereka begitu. Mereka juga sudah selesa dengan PPSMI ini dan guru-guru juga sedah selesa mengajarnya. Telah jutaan ringgit wang dihabiskan dalam melaksanakan kursus-kursus untuk guru-guru dan juga peralatan-peralatan sampingan. Sudah jutaan ringgit wang dihabiskan menyediakan buku-buku teks untuk kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Berapa juta pula perbelanjaan hendak dihabiskan untuk mengadakan kursus-kursus semula? Berapa juta pula akan digunakan untuk menyediakan buku-buku teks yang baru pula? Dan sia-sia sahaja apa yang telah berjalan selama 7 tahun sebelum ini. Tidak terfikirkah kita?

Kalau pejuang-pejuang ini benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan supaya Bahasa Melayu diletak di persada sepatutnya, tujuh tahun dahulu mereka perjuangkannya, bukan baru sekarang hendak menjadi jaguh Bahasa Melayu.

Ada isu lain yang boleh diperjuangkan, bukan hanya 2 mata pelajaran itu sahaja. Para pemimpin sendiri tidak berminat meletakkan Bahasa Melayu di tempat sepatutnya. Menteri-menteri lebih ghairah menggunakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu.

Cuba lihat Tan Seri Muhyiddin Yassin, sejak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, begitu kurang beliau berucap dan menjawab soalan pemberita dalam Bahasa Melayu. Setiap kali tersiar di kaca TV beliau lebih cenderung bercakap dalam Bahasa Inggeris yang kadang-kadang ‘lucu’ didengar.

Begitu juga dengan para pemimpin yang lain. Usah kita bercakap tentang keikhlasan untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan itu jika kita sendiri lebih ghairah menggunakan bahasa yang lain. Kita malu bertutur dalam bahasa kita semdiri, kita pula meminta orang lain menghormati bahasa kita.

Isu jenama kereta juga perlu diberi perhatian.Akhir-akhir ini syarikat pengeluar kereta terbesar di negara kita begitu ghairah menggunakan nama yang langsung tidak ada kena-mengena dengan perkataan Melayu atau Inggeris. Orang yang mencadangkan nama tersebut pula diberi hadiah. PROTON begitu ghairah mengambil perkataan yang tidak ada langsung dalam kedua-dua bahasa itu untuk menamakan kereta keluaran mereka.

PROTON sendiri adalah satu nama yang mencemarkan bahasa, ditambah pula dengan jenama-jenama JUWARA, ISWARA, SAVY, PERSONA dan yang terbaru EXORA yang langsung tidak memberi makna apa-apa dan tidak ada dalam senarai perkataan Melayu atau Inggeris. Tidak tercatat pun dalam ‘Kamus Dewan’ yang menjadi rujukan bagi Bahasa Melayu.

Tidak terkira lagi tentang isu nama-nama jalan dan papan-papan tanda perniagaan. Lihat sandirilah apa bahasa yang diguinakan. Bahasa Melayukah yang menonjol di papan-papan tanda tersebut? Tidak perasankah para pejuang bahasa sekelian?

Isu-isu seperti inilah yang patut diperjuangkan oleh pecinta Bahasa Melayu dari membuang masa membantah PPSMI yang mana langkah tersebut bakal menimbulkan kekeliruan di kalangan pelajar lagi sekali.

Thursday, May 7, 2009

PENANTI: KENAPA HARUS IKUT MENARI?

Beberapa siri Pilihanraya Kecil yang dilangsungkan sebelum ini telah menampakkan fenomena seolah-olah sengaja dirancang untuk memalukan BN atau UMNO khususnya oleh Parti Keadilan Rakyat.

Dalam entri-entri terdahulu telah saya perkatakan betapa inilah satu strategi Anwar untuk membuatkan rakyat sentiasa memuja dan mengingati beliau dan PKR. Lepas satu, satu lagi PRK diadakan dengan tujuan mewujudkan satu gelombang sokongan rakyat kepada PKR dan Anwar sehingga orang sudah lupa kepada kes liwat yang beliau hadapi.

Kebetulan PRK diadakan di kawasan yang memang menjadi kawasan kuat PKR seperti Permatang Pauh, Bukit Selambau dan sekarang pula Penanti. Wakil Rakyat yang sedia ada sengaja meletak jawatan dengan alasan yang tidak masuk akal dan sengaja digembar-gemburkan. Wan Azizah untuk memberi laluan kepada Anwar. Arumugam kerana kononnya ada ancaman terhadap nyawanya dan keluarganya dan terakhir Fairuz pula kerana hendak melanjutkan pelajaran.

Setiap kali BN dan UMNO kecundang, Anwar dan pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat sentiasa menuding jari kononnya rakyat tidak mahukan UMNO atau BN lagi. Rakyat sudah menolak kerajaan sekarang. Siri PRK ini diadakan seolah-olah sengaja hendak memalukan UMNO dan BN.

Dan sekarang Penanti menunggu untuk menjadi medan BN khususnya UMNO mendapat malu sekali lagi. Harapan mereka supaya BN meletakkan calon dan apabila keputusan meyebelahi mereka, modal yang sama juga dibawa: ‘Rakyat sudah menolak BN’.

Jadi langkah Datuk Seri Najib tidak mahu meletakkan calon untuk Penanti sangatlah bijak dan tepat. Buat apa hendak membuang masa dan wang ringgit untuk PRK yang tidak membawa makna apa-apa. Perbelanjaan kerajaan atau SPR sebanyak 5 juta ringgit di Penanti boleh diselamatkan untuk pembangunan. Masa berbulan berkempen di Penanti boleh digunakan untuk pembangunan kepada rakyat.

Tidak payah membuang masa dengan sia-sia. Tiada apa yang hendak dibuktikan selain menjayakan agenda PKR untuk memalukan UMNO.

Selepas ini aka nada lagi Wakil Rakyat Pakatan Rakyat akan meletak jawatan. Percayalah! Bukit Lanjan mungkin kawasan seterusnya. Elizabeth Wong sudah merancang begitu dahulu. Bagaimana dengan Kota Alam Shah? Manoharan telah menyatakan hasrat berbuat demikian. Mungkin selepas Penanti ini. Begitu juga dengan Kulim-Bandar Baru yang bermasalah satu ketika dahulu.

Sampai bila BN hendak menari mengikut rentak PKR?

Langkah Datuk Seri Najib adalah satu langkah yang bijak dan pragmatik.
Syabas diucapkan!