Saturday, June 5, 2021

BIARKAN SAJA AKU BERCERITA


 Dalam usia yang sudah senja begini

apa yang orang lain peduli tentang aku
biarkan aku kerap melangir rasa
bercerita apa saja yang aku suka
sentiasa bercerita tentang perasaan
dengarkan saja atau tutup telinga
bukan senang hendak puaskan hati semua
kita bukan serupa.

Aku kerap bercerita tentang hati 
kerana di hati terletak nilai tinggi budi
sering aku lukiskan kata-kata imiginasi
nanti aku boleh tidur lena dan bermimpi
dalam mimpi bertemu sang puteri
betapa nanti hatiku terisi.

Aku bercerita juga tentang indahnya malam
biarpun ia gelap gulita dan kelam sahaja
ia sebenarnya memancarkan kenangan
datang berpusu dalam fikiran
ia waktu sunyi melakarkan impian.

Aku bercerita juga tentang bunga-bunga
yang setiap kelopaknya adalah satu harapan
dan setiap kali ia gugur aku akan tersedar
bahawa diri ini sangat mengharap
pada wangi dan harum rindu ada padanya.

Ada waktu aku bercerita tentang beburung
hati melonjak gembira melihatnya
ketika terbang bebas di awan tinggi
dan bermimpi pada satu masa nanti
aku juga akan bebas bersama
terbang beerdua di angkasa juga.

Pernah aku bercerita tentang ikan-ikan
yang berenang di kolam
mencari makan di air tenang
kekadang dalam rintik hujan
ikan-ikan melompat keriangan
akupun melonjak riang bersama.

Lalu biarkanlah aku bercerita
aku tidakpun mengganggu sesiapa
biar aku kekal menjadi seorang aku
aku terus bercerita tentang semua itu
aku tidak akan menjadi orang lain
biarpun senja ini tidak lama
sementara menanti masa ke dunia lain.

Ilham Syakima
Yan,
Kedah Darulaman.
(040621)