Friday, February 25, 2022

PENGADIL HARAM DI NEGERI KEDAH (2)

 


PENGADIL HARAM DI NEGERI KEDAH DARULAMAN

Masalah pengadil haram atau yang tidak berdaftar dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bukanlah satu perkara yang baru. Isu ini berlarutan hampir 30 tahun tanpa ada tangan yang merungkaikannya. Akibat dibiarkan terlalu lama akhirnya sudah tidak terkawal lagi. Bermula hanya sebagai kudis di badan, lama kelamaan ia semakin menjadi barah dalam organisasi pengadil bolasepak di negeri ini. Buat masa ini untuk tahun 2022, hal ini sudah gah di beberapa negeri di utara ini dan secara tidak langsung Jawatankuasa Pengadil KFA seolah-olah sekumpulan ‘badut’ di pentas bolasepak Kedah. Rasa hormat pemain dan pengadil sudah lekang terhadap jawatankuasa ini.

 Kumpulan pengadil haram ini yang tidak mahu berdaftar dengan KFA begitu giat mendominasi berbagai perlawanan dan pertandingan liga bermula secara sulit hinggalah sekarang secara terbuka malah mendapat publisiti meluas dalam kalangan badan-badan yang menganjurkan perlawanan. Pengadil-pengadil haram ini juga mendapat banyak keistimewaan menggunakan padang Stadium Darulaman, Stadium Suka Menanti, padang Peremba dan beberapa mini stadium di seluruh Kedah sedangkan para pengadil halal yang berdaftar dengan KFA menggigit jari kerana tidak dipedulikan. Baru-baru ini Majlis Sukan Negeri Kedah (MSN) menganjurkaan liga merebut piala Setiausaha Kerajaan Negeri, pengadil-pengadil yang tidak berdaftar ini juga yang dilantik bertugas dan salah seorang daripadanya didatangkan dari Kuala Lumpur untuk pertandingan akhir yang diadakan di Stadium Darulaman. Begitu hebat peranan mereka dan dengar kabar kumpulan tidak berdaftar ini menembusi pasaran hingga ke Perlis dan Pulau Pinang.

 Jika hal ini dibiarkan tanpa apa-apa tindakan daripada KFA, tidak mustahil satu hari nanti kumpulan ini melumpuhkan terus pengadil-pengadil halal dalam perlawanan bolasepak di negeri Kedah khasnya dan di kawasan utara juga amnya. Apa tidaknya, sekarang ini ada berita yang diterima kejohanan MILO akan diadakan dan kumpulan ini juga akan diberi kepercayaan mengendalikannya. Pasti kumpulah haram ini akan lebih ‘naik tocang’.

 Semua ini berlaku atas dasar semua pihak yang terlibat dengan bolasepak di Kedah  iaitu Ahli-ahli Majlis, Pegawai-pegawai dan badan-badabn gabungan serta Majlis Sukan Negeri sudah tidak menghormati KFA dan juga Jawatankuasa Pengadilnya yang sentiasa berusaha memberi khidmat meningkatkan lagi ilmu dan latihan. Malah diberi pula latihan dan ujian kecergasan bagi mengekalkan kebolehan dan keupayaan para pengadil yang berdaftar. Ahli-ahli Majlis dan badan-badan gabungan KFA sering mengambil tindakan mudah dengan menghubungi ‘taikun’ iaitu bekas-bekas pengadil FIFA dan Kebangsaan yang bermasalah dengan KFA daripada berhubung dengan Jawatankuasa Pengadil KFA yang merupakan badan badan yang sah menguruskan hal perlantikan pengadil bolasepak di negeri ini,

  Mereka diberi keistimewaan bertugas di Stadium Darulaman di bawah sinar lampu limpah yang mana para pengadil yang berdaftar tidak mendapat keistimewaan tersebut. Itu adalah satu contoh membuktikan bahawa hilangnya rasa hormat badan-badan gabungan KFA serta para pegawai di KFA sendiri kepada sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam bidang pengadilan.

 Banyak lagi contoh-contoh yang lain untuk didedahkan tetapi tentulah tidak sesuai dalam ruangan yang terhad ini. Tapi sebagai kesimpulan, jika perkara ini dibiarkan dan diteruskan, tidak dapat dinafikan bahawa Jawatankuasa Pengadil yang dilantik KFA hanyalah untuk ‘syok sendiri’ sahaja, tidak ada siapa yang menghormati ahli-ahli serta program yang dirancangkan. Lama kelamaan bilangan pengadil yang berdaftar semakin berkurang. Buat masa ini sahaja jumlah yang ada dalam senarai pendaftaran yang akan mengambil ujian kecergasan tahunan hanyalah 115 orang. Sebaliknya nanti jumlah Pengadil Haram yang akan bertambah.

(Bahan daripada fail peribadi)