Thursday, December 24, 2009

TIADA LANGSUNG SUMBANGAN GURU MEREKA?

Hari ini keputusan PMR diumumkan dan para pelajar yang berjaya dengan cemerlang bersorak gembira mulai jam 1o pagi di sekolah masing-masing. Sebelum itu bermula jam 9 Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Alimuddin mengumumkan dengan gembiranya kerana peningkatan mata dari 2.83 kepada 2.74 sehingga 2 kali beliau ulangkan bahawa semakin kurang mata diperolehi, semakin bagus keputusan.

Tetapi bukan itu perkara yang hendak dibicarakan.

Rata-rata pelajar yang diwawncara selepas keputusan ternyata begitu riang dan dengan bangga sekali sampai ada yang menitiskan air mata. Ada pula yang berplukan dengan ibu-bapa masing-masing serta saudara-mara.

Yang saya tumpang sedih adalah kepada guru-guru mereka. Sudahlah tidak difokuskan langsung dalam gambar-gambar di kaca TV, malah para pelajar tersebut pun tidak ada yang menyentuh langsung tentang peranan guru-guru ini. Tak ada seorang pun yang menyatakan rasa terimakasih kepada guru dan menyanjung sumbangan guru terhadap kejayaan mereka.

yang disebutkan adalah berkat doa para ibu dan bapa. Ada yang terharu kerana pengorbanan ibu-bapa berjaga sehingga larut malam menemani anak mereka membaca buku. Ada pula yang menyebut tentang kelas tuisyen dan sokongan rakan-rakan.

Guru mereka? Tidak ada peranan langsung?

Agaknya budak-budak berjumlah 28,000 yang mendapat semua A sudah lupa kepada insan yang sentiasa memberi dorongan dan motivasi sepanjang masa.

Begitulah setiap kali selepas peperiksaan baik PMR, SPM ataupun STPM. Guru sentiasa dilupakan apabila telah berjaya sebaliknya guru menjadi sasaran apabila keputusan tidak memuaskan.

Wednesday, December 23, 2009

PERKASAKAH BAHASA MELAYU?

Pada Oktober 2009 lalu mahkamah menolak kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan saman malu terhadap bekas Perdana Menteri Tun Mahathir. Alasan penghakiman berkisar kepada penggunaan bahasa dalam rayuan tersebut di mana pihak Datuk Seri Anwar tidak menggunakan bahasa Melayu dalam proses rayuannya. Betapa perkasanya bahasa Melayu di mahkamah jika dilihat dari keputusan penghakiman tersebut.

Pada hakikatnya, bahasa Melayu semamangnya berkuasa, hebat dan agung pada setiap masa di negara ini sehingga menggunakan bahasa selain bahasa Melayu (Inggeris umpamanya) dianggap satu penghinaan terhadap perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967. Tulisan Prof. Dr. Teo Kok Seong (Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM) malalui Berita Harian pada Selasa 22 Disember 2009 menceritakan segala-galanya.

Malangnya ramai yang tidak sedar dan tidak mahu peduli perkasa atau tidak bahasa kebangsaan ini sehinggakan Tun Mahatihir sendiri tetap masih mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara sehingga pada satu ketika beliau meminta semua pihak tidak menganggap seseorang itu tidak patriotik jika masih menggunakan bahasa Inggeris. Sehingga hari ini beliau masih terkilan dengan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI.

Memang tidak dinafikan bahasa Inggeris digunakan dengan meluas di serata dunia terutama dalam sektor koporat dan antarabangsa. Malah di mahkamah yang utamakan bahasa Melayu sendiri pun masih dibolehkan menggunakan bahasa Inggeris ketika berinteraksi dengan saksi-saksi yang tidak mempunyai asas dan pengertian yang cukup dalam bahasa Melayu.

Namun apabila hendak mengumumkan dividen ASB yang sepatutnya didengar khalayak bumiputera khasnya orang-orang Melayu masih juga menggunakan bahasa Inggeris, sikap patriotik dipertikaikan. Kalau hendak mengumumkan sesuatu produk untuk dagangan di negara ini sendiri pun masih tidak mahu menggunakan bahasa Melayu, tentulah kita tertanya-tanya tentang kedudukan bahasa Melayu dalam hal tersebut.

Petronas sendiri seolah-olah tidak yakin dengan bahasa kebangsaan kita sendiri bila iklannya masih juga mengutamakan bahasa-bahasa yang lain selain bahasa Melayu. Syarikat pengeluar minyak negara memakai empat bahasa sekaligus iaitu Cina, Tamil, Inggeris dan Melayu dalam iklan memperkenalkan jenamanya yang terbaru. Entah apa rasionalnya, hanya Petronas yang dapat menjawabnya.

Ini tidak termasuk lagi dengan penggunaan bahasa rojak dan bahasa SMS yang sangat berleluasa dan mempengaruhi golongan remaja dewasa ini. Begitu juga dengan istilah-istilah yang sesuka hati dicipta para penyampai radio dan TV saban hari. Sekarang sudah wujud perkataan ‘cepu gangsa’ yang asalnya cepu emas. Begitu juga ‘cenderahati’ luas digunakan dalam acara-acara rasmi menggantikan cenderamata. Kita tentu tidak sedar entah dari mana datangnya sebutan ‘mereka-mereka’ dan ‘berbaloi-baloi’ padahal perkataan-perkataan tersebut tidak perlu digandakan.

Kadang-kadang hendak ‘termuntah’ rasanya mendengar dialog-dialog dalam drama-drama melayu menyebut I, You, You all dan yang sepertinya. Seolah-olah pelik menggunakan bahasa Melayu seperti ‘akui’, ‘awak’, ‘engkau’ dan lain-lain.

Para pelajar pula begitu ghairah menggunakan bahasa SMS sehingga terbawa-bawa menggunakannya dalam karangan-karangan semasa belajar dan juga dalam peperiksaan. Begitu kuatnya pengaruh bahasa tersebut di kalangan remaja dewasa ini.

Semua yang dibangkitkan ini merupakan fenomena penggunaan bahasa yang bakal melenyapkan identiti bahasa Melayu jika semua pihak tidak serius menanganinya. Jika kita asyik berdiam dirti dan tidak mahu memperkasakan bahasa kita sebagaimana langkah mahkamah tadi, jangan terkejut pada satu hari nanti bahasa Melayu hilang begitu sahaja dan digantikan dengan bahasa yang direka sesuka hati.

Lama kelamaan bahasa-bahasa SMS dan istilah-istilah yang direka-reka ini menjadi satu kebiasaan dan dianggap sebagai betul. Ketika itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi selain turut sama terlibat dalam kecelaruan bahasa tersebut.

Pejuang-pejuang bahasa pula asyik dengan syarahan dan seminar di kalangan kelompok mereka sahaja dan tidak memasyarakatkan bahasa. Tidak mustahil satu hari nanti tinggal para ilmuan dan cendekiawan itu sahaja yang tahu berbahasa Melayu tapi masyarakat dan golongan muda mempunyai bahasa yang lain pula sepertimana penggunaan ‘Lu’ dan ‘Gua’ dalam pertuturan kebanyakan remaja di Indonesia.

Semua ini memperlihatkan betapa rapuhnya semangat cintakan bahasa sendiri terutama bila ada para pemimpin juga lebih cenderung bertutur bahasa lain di kalangan rakyat Malaysia sendiri. Lainlah kalau bercakap di khalayak luar negara yang tidak mengerti bahasa Melayu.

Jadi Adakah bahasa Melayu bahasa yang perkasa jika rakyat Malaysia sendiri menghina Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan menghina Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967?

Tuesday, December 22, 2009

KENAPA MESTI 'TRIBUTE TO MICHAEL JACKSON?'.

Langkah Malaysia menganjurkan pertandingan pancaragam yang dipnggil ‘KL World Marching Band Competition’ yang diadakan pada 18 Disember 2009 lalu sangat dialu-alukan sebagai salah satu usaha memperkenalkan negara sebagai satu destinasi pelancongan. Lebih manis lagi wakil Malaysia Sekolah Menengah Sultanah Asma dari Kedah menjadi juara berganda pada malam tersebut yang disiarkan secara langsung melalui TV.

Walau bagaimanapun akhirnya acara malam itu dicacatkan oleh persembahan penutup selepas majlis penyampaian hadiah yang menampilkan kumpulan penari yang menyanyi dan menari dalam slot ‘Tribute To Michael Jackson’ yang rasanya tidak sesuai dan lari sama sekali dari konsep pertandingan. Entah di mana silapnya, slot tersebut langsung tidak menggambarkan Malaysia. Seolah-olah kita berada di Amerika mengenang seorang penghibur negara tersebut sedangkan slot ini sepatutnya digunakan untuk mempromosi negara ini.

Kenapa kita harus menampilkan ‘Tribute To Michael Jackson’ sedangkan negara kita boleh diperkenalkan dengan budaya tersendiri. Kita sendiri mempunyai banyak kesenian dan kebudayaan yang boleh dipertontonkan. Apa salahnya slot ini diselitkan dengan tarian tradisional atau tarian mana-mana etnik negara ini yang boleh menarik minat peserta luar negara dan tentunya ia boleh dijadikan satu daya tarikan pelancongan.

Entah apa yang bermain di fikiran para pegawai Kementerian Pelancongan yang terlibat dengan acara malam tersebut sehingga meminggirkan seni tempatan dan mengagungkan seni dari Barat tersebut yang tidaklah sebagus manapun dipertunjukkan, malah acara sebegini tidak wajar sama sekali diselitkan dalam suatu program bertaraf ‘dunia’.

Kenapa harus ‘tribute to Michael Jackson’, tidak seni tempatan? Dan 'Michael Jackson' yang ditampilkan sangat mengecewakan.

Friday, December 18, 2009

PUTERIKU: SELAMAT PENGANTIN BARU





Selamat Pengantin Baru, puteriku.
Selamat melayari hidup baru dan selamat berbahagia!

Sepatutnya ayahanda mengucapkan tahniah ini beberapa hari yang lalu, ketika suasana masih baru dan sedang hangat diraikan bersama keluarga. Tetapi hari ini sahaja peluang tiba dan ayahanda mempunyai luang masa yang baik untuk meluahkan kegembiraan ini.

Majlis yang berjalan meriah pada hari Sabtu 12.12.09 lalu memberi makna yang amat besar kerana berjaya juga ayahanda meraikan hari bahagia anakanda yang ditunggu sekian lama dan ayahanda tidak menyangka sama sekali akan menjadi meriah begini setelah kita melalui saat duka dan peristiwa demi peristiwa.

Syukur kepada Ilahi!

Tahniah kepadamu puteriku dan tahaniah juga kepada suamimu!



Wednesday, December 16, 2009

SAMPAH DAN ORANG MELAYU TIDAK DAPAT DIPISAHKAN


(PEMANDANGAN SELEPAS PASAR DITUTUP)


Sebut sahaja orang Melayu terbayang sampah berserakan di halaman. Lihat sahaja sampah, terbayang orang Melayu yang memang gemar membuang sampah. Tidak dapat dinafikan bahawa bukan semua Melayu bersikap demikian dan jauh sekali mahu menghina tetapi sebab nila setitik rosak susu sebelanga. Saya sendiri orang Melayu dan saya amat malu setiap kali melewati kawasan-kawasan yang baru berakhir sesuatu keramaian atau pesta.

Lihat sahaja di kawasan-kawasan pekan sehari atau pasar-pasar malam sebaik sahaja selesai berniaga atau kawasann ditutup. Jelek sekali memandang sampah-sampah yang ditinggalkan. Pedih mata melihat longgokan dan serakan sampah memenuhi kawasan yang telah kosong ditinggalkan para pengunjung dan para peniaga.

Para pengunjung pasar malam dan pekan sehari adalah orang Melayu dan para peniaganya juga adalah majoritinya Melayu. Dan orang-orang inilah yang membuang sampah tanpa segan silu. Orang-orang inilah yang membiarkan sampah bersepah di medan yang menjadi tempat berniaga sebentar tadi.

Saya pernah bertanya beberapa peniaga sebuah Pekan Sehari tentang perkara ini, dan jawapan yang diberikan sangat mengecewakan. Mereka memberi alasan bahawa mereka telah membayar wang tambahan bersama bayaran sewa tapak niaga sebagai ‘upah’ pihak berkuasa tempatan membersihkan kawasan tersebut.

“Kami sudah bayar, mereka buatlah kerja. Merekalah bersihkan. Mengapa pula kami.” Itu jawapan yang sering didengar.

Alangkah moleknya jika peniaga-peniaga ini memberi kerjasama menyediakan bekas sampah di sekitar mereka dan orang ramai boleh sama-sama membuang kertas dan plastik ke dalam bekas yang disediakan. Kalau setiap peniaga mempunyai kesedaran ke arah itu, sudah pasti banyak masa dan tenaga boleh dijimatkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Tetapi Melayu tetap juga Melayu, masih dengan perangai yang sama hingga bila-bila. Melayu tidak akan berubah. Melayu beragama Islam dan Islam sukakan keindahan Tetapi Melayu tetap dengan tabiat membuang sampah merata-rata. Melayu tetap meninggalkan sampah apabila habis sesuatu pesta.

Wednesday, December 2, 2009

SEKOLAH SATU ALIRAN: TIBA-TIBA SEPI BEGITU SAHAJA

1. Sedikit waktu lalu, negara heboh seketika dengan polemik sekolah satu aliran. Setiap hari ada sahaja individu memberi pendapat dan pandangan mengenai kebaikan idea tersebut sebagai satu usaha memupuk perpaduan antara kaum. Tidak kurang pula yang membantah dan tidak mahu perkara ini dibincangkan langsung.

2. Dari pendapat-pendapat yang menyokong dan membantah mengenai sekolah satu aliran ini dapatlah dirumuskan bahawa setiap orang mempunyai kebebasan bersuara dan kebebasan tersebut digunakan dengan maksimum. Semuanya disimpulkan bahawa kita terlalu ego dengan kaum masing-masing.

3. Pendapat yang menyokong adalah datangnya dari para cendekiawan dan para ilmuan yang nampak lebih pragmatik di dalam usaha memupuk perpaduan antara kaum yang sepatutnya dimulakan sejak kanak-kanak lagi. Terntunya perkara ini hanya boleh dilaksanakan sementara kanak-kanak ini berada di sekolah rendah lagi. Sudah agak terlewat jika penerapan perpaduan dilakukan ketika mereka meningkat remaja dan dewasa. Sudah 52 tahun kita gagal melakukannya dengan berkesan.

4. Bermula dengan cadangan daripada Profesor Dr. Khoo Kay Kim, tidak sedikit para ilmuan, cendekiawan dan budayawan melontarkan sokongan terhadap idea tersebut kerana mereka melihat perkara ini secara positif dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan selain mahu melihat gagasan 1 Malaysia menjadi satu realiti. Individu seperti Dr Redhuan Tee, Dr. Firdaus serta beberapa orang lagi mempunyai rasional ke arah matlamat tersebut.

5. Kumpulan yang menetangnya pula adalah orang-orang politik yang hanya melihat dari sudut politik yang memberi pulangan kepada agenda politik mereka. Kumpulan terbesar yang membantah idea tersebut adalah pejuang-pejuang politik kaum seperti MCA, MIC, dan beberapa tokoh dari DAP serta PKR. Selain itu pertubuhan-pertubuhan berasaskan kaum bukan Melayu seperti Pertubuhan Dong Zong dan Persatuan Guru Besar SJK Tamil. Semua individu dan pertubuhan ini mempunyai kepentingan dalam penentangan idea ini. Jika wujud sekolah satu aliran sudah tentu tiada lagi Dong Zong dan Persatuan Guru Besar SJK Tamil tersebut.

6. Pemimpin-pemimpin politik pula tentulah ingin menonjolkan diri sebagai jaguh kaum masing-masing. Matlamat mereka hanyalah untuk mendapat sokongan politik peribadi mereka bukan atas semangat nasional. Mereka menolak bulat-bulat idea tersebut tanpa mahu perbincangan yang lebih terbuka dan ilmiah. Mereka takut kehilangan identiti kaum masing-masing.

7. Bagi pihak kerajaan sendiri pula lebih ‘bersikap tunggu dan lihat’. Menunggu ketika sesuai dan melihat reaksi rakyat dalam perkara ‘sensitif’ ini. Kerajaan hanya mengambil jalan selamat terutama di waktu-waktu genting seperti sekarang yang amat menagih sokongan kaum Cina dan India untuk kestabilan politik dan kuasa dengan mengeluarkan kenyataan yang hambar. Bak kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana menteri bahawa ‘kerajaan lebih selesa dengan sistem sekolah berbagai aliran yang ada sekarang’.

8. Akhirnya, selepas kenyataan Menteri Pelajaran itu, idea tersebut hilang begitu sahaja dean tiada siapa lagi yang membincangkannya sedangkan jika dilihat perkara ini dapat dilakukan di negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

9. Sekarang tidak siapa lagi peduli dan bercakap mengenainya. Ia senyap begitu sahaja setelah kerajaan sendiri tidak berminat dan semua kaum memandang sepi idea yang bagus pada pandangan para ilmuan, cendekiawan dan budayawan kerana orang-orang ini tidak mempunyai apa-apa kepentingan.