Showing posts with label UMNO. Show all posts
Showing posts with label UMNO. Show all posts

Sunday, October 25, 2009

DENDAM TUAN GURU

1. Apabila Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat serius mahukan satu Muktamar Agung Khas PAS segera diadakan, saya tidak melihatnya dari sudut parti itu dilanda krisis kepimpinan yang serius seperti anggapan kebanyakan orang. Walaupun kemungkinan krisis itu benar, saya melihatnya dari sudut yang lain.

2. Gesaan Tuan Guru itu saya pandang sebagai mesej betapa berdendam dan bencinya Tuan Guru kepada UMNO. Beliau benar-benar ‘berkerat rotan berpatah arang’ dengan UMNO yang sama sebangsa dengannya. Kemarahan dan kebencian ini semakin menjadi-jadi sehingga sanggup melabel UMNO sebagai ‘parti sesat’ yang tidak membawa ke syurga.

3. Pintu rundingan dengan parti Melayu terbesar itu (UMNO) ditutup terus dan tidak ada sebarang muzakarah lagi kerana bagi beliau parti UMNO tidak berlandaskan Islam dan tidak berjuang untuk menegakkan agama Allah. Gagasan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan seperti cadangan presiden PAS, Haji Hadi Awang ditendang terus dari perbincangan.

4. Berpegang dari perkara itulah juga gesaan Muktamar Agung Khas ini dilontarkan beliau dan tidak ada ruang untuk bertolak ansur lagi walaupun menurut Haji Hadi beliau akan mendengar sendiri pendirian Nik Aziz itu. Tuan Guru berharap muktamar itu dapat membersihkan PAS dari semua nafas-nafas yang mahu menjalin kerjasama dengan UMNO. Beliau mahu muktamar itu menentukan nasib tiga pemimpin yang beliau dapati bermasalah.

5. Begitulah dendam Tuan Guru sehinggakan apa saja yang berkaitan dengan UMNO harus disingkirkan. Pemimpin yang mencadangkan gagasan Kerajaan Perpaduan harus dibuang. Pmimpin yang cenderung berbaik-baik dengan UMNO harus dibuang juga kerana UMNO tidak memperjuangkan Islam kononnya. Muktamar itupun mahu diadakan semata-mata hendak membersihkan PAS dari pemimpin-pemimpin yang pernah cuba berbaik-baik dengan UMNO.

6. Tetapi Tuan Guru Nik Aziz lupa bahawa Melayu yang berada dalam UMNO itu semuanya Islam. Islam seperti Islam PAS juga., menyembah Tuhan yang sama, Allah Subhanahuwata’ala. Sama-sama bersembahyang sehari lima waktu.

7. Namun begitu pada masa yang sama, Tuan Guru sanggup pula berkerjasama dengan DAP yang terang-terang tidak Islam dan meolak sebarang usaha ke arah negara Islam. Sanggup pula beliau mengikat persahabatan dengan PKR yang terang-terang didominasi kumpulan Hindraf yang telah diharamkan yang nyata hanya berjuang untuk kepentingann individu tertentu dan untuk kaum India semata-mata.

8. Tuan Guru juga sanggup lebih ‘mempercayai’ ayat-ayat Quran yang disampaikan politikus berbangsa Cina dan India ini daripada ayat-ayat Quran yang dibaca orang-orang UMNO. Malah Tuan Guru merestui semua kerjasama dengan DAP dan PKR tanpa menoleh ke belakang lagi, tanpa memandang lagi pelaksanaan hukum hudud yang menjadi teras perjuangan asal PAS satu ketika dulu.

9. Begitulah tebalnya kemarahan Tuan Guru kepada UMNO sehingga tiada maaf lagi sehingga beliau pernah mengungkapkan bahawa UMNO bukan parti yang membawa para penyokongnya ke syurga. Yang akan ke syurga hanya yang menyokong PAS.

10. Jika begitu, nampaknya para pendokong dan penyokong PAS sama ada dari PAS, PKR dan DAP berpeluang baiklah dapat memasuki syurga berbanding dengan pendokong dan penyokong UMNO.

Monday, October 19, 2009

DEWAN ULAMA UMNO

1. Perhimpunan UMNO sudah pun berlalu pergi. Rumusan-rumusan ke arah perubahan serta usaha memperkasakan UMNO telah dibahaskan dengan ucapan-ucapan yang berdegar-degar. Bingit dan menggamatkan sebagaimana lazimnya dengan pantun dan seloka, dengan nada dan irama bahasa, dengan ketawa dan jenaka. Dan sebagaimana biasa kononnya ahli-ahli semakin matang berbahas tapi orang lihat seperti para badut dalam sarkas.

2. Salah satu rumusan yang menarik adalah cadangan menubuhkan Dewan Ulama. Walaupun kemurnian penubuhannya amat nyata, tetapi ramai yang masih tertanya-tanya tentang fungsinya. Adakah ia sama dengan Dewan Ulama PAS? Adakah fungsinya hanya menghimpunkan pemikiran ulama-ulama yang ada di dalam UMNO kemudian membuat rumusan mengikut acuan UMNO? Beranikah Dewan Ulama ini memperbetulkan atau menegur segala yang tidak ‘islamik’ yang muncul dalam parti?

3. Jangan pula semata-mata hendak mengikut parti lain yang mempunyai Dewan Ulama, maka UMNO juga hendak menubuhkan dewan yang serupa, tetapi fungsinya entah apa-apa. Kalau dewan itu ditubuhkan sekadar hendak meniru orang lain, tanpa ada apa-apa matlamat, lebih baik tidak usah. Buat diketawakan orang.

4. Ada beberapa andaian telah diperkatakan tentang peranan Dewan Ulama UMNO ini. Cuma disangsikan, dapatkah mereka melakukan perkara-perkara berikut sebagai satu langkah perubahan dalam UMNO. Kita bukan mahu UMNO berubah penampilan dengan berketayap putih atau berjubah labuh seperti kalangan ahli PAS. Kalau perkara asas inipun tidak dapat dilakukan, lebih baik lupakan saja hasrat tersebut. Buang masa sahaja.

4.1. Tentang menutup aurat

Perkara ini menjadi tunjang dalam proses perubahan yang patut menjadi peranan Dewan Ulama. Dapatkah dewan ini memastikan tentang perkara ini akan menjadi ia lebih dihormati. Dapatkah dewan ini mengubah wanita dan puteri UMNO memakai tudung sebagai satu cara menutup aurat wanita? Walaupun perkara ini dianggap kecil, tetapi itulah yang menjadi fokus masyarakat umum. Buat masa sekarang, tidak menutup rambut adalah sesuatu yang amat janggal dalam kalangan wanita Islam. Dapatkah Dewan Ulama UMNO menyedarkan ahli dan para isteri mereka tentang perkara ini?

4.2. Tentang rasuah

Dapatkah dewan ini memperkasakan ahlinya terutama para pemimpin supaya merasa jijik dengan amalan rasuah yang menjadi bualan semua orang akhir-akhir ini? Sedikit sebanyak isu rasuah telah mencalarkan reputasi UMNO sejak sekian tahun kebelakangan ini. Walaupun ada individu telah diisytihar sebagai bersih, tetapi kesan rasuah amat dalam parutnya. Lantaran itu bila calon yang menang dalam PRK Bagan Pinang agak kurang dihormati.

4.3. Tentang generasi muda

Berupayakah dewan ini mengubah persepsi generasi muda mendokong budaya Islam dan mengalihkan perhatian mereka daripada mengagungkan budaya Barat yang ternyata melemahkan jatidiri mereka? Dapatkah dewan ini menyahut cabaran bahawa anak muda telah berubah ke arah lebih Islamik sejak menjadi anggota atau menjadi penyokong UMNO seperti yang disebut Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam kolumnya dua minggu lalu?

5. Jika perkara-perkara semudah ini tidak dapat dilakukan, jika selepas ada Dewan Ulama, masih juga dengan kerja-kerja yang sama seperti hari ini, lebih baik jangan ditubuhkan Dewan Ulama seperti yang dicadangkan nanti orang ketawa kepada UMNO. Apa yang akan dianggap adalah tidak lebih sebagai gimik sahaja untuk menyedapkan hati orang mendengar. Cakap berdegar-degar, balik kampung perangai macam itu juga, tidak berubah.

6. Nanti kata orang UMNO tak ubah seperti ayam jantan, ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Sunday, October 11, 2009

BELAJARLAH DARI MCA

1. MCA telah membuat satu keputusan yang bijak semalam. Walaupun keputusan itu memang di duga, ternyata itulah keputusan terbaik bagi mengembalikan reputasi mereka yang sudah tercalar sejak PRU12 tahun lalu. Sebagai sebuah parti terbesar bagi kaum Cina dan salah satu komponen paling berpengaruh dalam BN, tindakan yang diambil perwakilan semalam adalah wajar dan amat baik. Sekalung tahniah untuk MCA!

2. Semalam MCA menolak kedua-dua pemimpin mereka yang asyik bertelagah ini. Mereka menolak Ong Tee Kiat dan Dr. Chua Soi Lek yang tidak pernah senyap sejak pemilihan MCA yang lalu yang menobatkan Tee Kiat sebagai Presiden dan Soi Lek sebagai Timbalannya.

3. Oleh kerana bukan dari kem yang sama, mereka tidak pernah sunyi dari bertelagah sesame sendiri dan kemuncaknya, Dr. Chua di pecat dari parti. Bertambah parahlah krisis kedua-dua pemimpin ini sehinggalah semalam, para perwakilan mengambil tindakan yang amat terpuji.

4. Lagipun apa gunanya berketuakan seorang yang penuh dengan kontroversi dan bermasalah. Lebih baik berketuakan seorang yang lain yang lebih baik dari kedua-dua mereka itu. Ong Tee Keat dengan masalah PKFZnya manakala Dr. Chua Soi Lek dengan masalah videonya. Kedua-duanya menghadapi masalah moral, jadi adalah lebih baik mereka ditolak.

5. Inilah yang perlu dipelajari oleh parti komponen yang lain jika handak membuat penghijrahan ke arah yang lebih baik. Mana-mana pemimpin yang ada masalah dan kontroversi, harus ditolak sahaja seperti yang MCA lakukan.

6. Baik dalam UMNO atau pun MIC, kedua-duanya mempunyai individu yang bermasalah yang mencemarkan reputasi parti. Individu-individu ini patutnya telah lama di ‘masukkan dalam peti sejuk’ dan digantikan dengan pemimpin yang lain yang bersih dari sebarang kontroversi.

7. Tanpa perlu menyebut nama-nama tertentu, semua orang sudah maklum siapa yang dilanda kontroversi dan siapa yang mempunyai masalah. Ada pemimpin yang entah bagaimana boleh terpilih memegang jawatan tertinggi sedangkan semasa pencalonan ia hanyalah nyawa-nyawa ikan manakala calon yang pencalonan tertinggi pula tewas. Tentulah ada sesuatu di sebaliknya.

8. Ada individu yang nyata diselubungi kontroversi membawa wang berjuta ke luar negara dan dibicarakan di mahkamah di sana, masih lagi boleh dipilih dan dilantik menganggotai kerajaan pada satu ketika.

9. Ini adalah sekadar beberapa contoh yang boleh dilihat dengan jelas. UMNO dan MIC patut melihat contoh yang dilakukan oleh MCA semalam jika masih mahu dianggap masih relevan dengan senario politik sekarang.

Monday, September 21, 2009

PERIHAL KASUT





1. Kasut bukanlah sehina manapun. Harganya pun mahal juga, sekitar RM1.20 hingga mencecah ratusan ringgit. Ia sangat-sangat berguna kepada manusia. Tetapi oleh sebab tempatnya di kaki, ia dipandang amat rendah kerana tempatnya terletak di bawah dan dipijak-pijak sepanjang masa orang memakainya. Walaupun baru dibeli, orang masih tidak ‘lalu’ hendak meletakkan kasut di tempat yang lebih atas dari kakinya.

2. Hanya sewaktu hujan atau keadaan jalan terlalu becak, orang hanya sanggup memegang kasut mereka dibawa berjalan, itupun secara berhati-hati agar tidak tersentuh pada bahagian telapaknya. Begitu hinanya benda yang bernama ‘kasut’ biar setinggi manapun harganya.

3. Orang Melayu pula amat menjaga adab sopan mengenai kaki dan kasut. Semasa duduk sama ada atas kerusi atau duduk bersila di rumah atau dalam majlis-majlis, mereka sentiasa menjaga kaki dan kasut agar tidak ‘mencemarkan’ orang lain apatah lagi menghalakan kasut atau kaki mereka kepada muka orang.

4. Begitulah persepsi orang Melayu tentang kasut. Jadi apabila M. Sukumaran dari Pahang mencadangkan kalungan selipar ke leher gambar Tun Mahathir dalam persidangan MIC baru-baru ini, semua orang Melayu marah. Marah tersebut bukan sebab yang ‘kena’ itu Tun Mahathir tetapi marah kerana ia menggunakan kasut, satu lambang penghinaan kepada orang-orang Melayu.

5. Kita tentu masih ingat pada 14 Disember tahun lalu tentang seorang wartawan Iraq yang ditahan dan dipenjarakan di Baghdad kerana kasut juga? Wartawan Muntazer al-Zaidi membaling kasut kepada GeorgeW. Bush, Presiden Amerika Syarikat ketika presiden tersebut menyampaikan ucapaan di hari-hari terakhir beliau menjawat jawatan tersebut.

6. Walaupun wartawan tersebut dianggap sebagai Wira Dunia Arab kerana begitu berani membaling kasut kepada Ketua Polis Dunia itu, beliau terpaksa juga meninggalkan kota Baghdad selepas dibebaskan demi keselamatannya. Beliau sendiri terpaksa lari dari negaranya sendiri dan kerana rasa tidak selamat lagi walaupun di tanah tumpah darahnya sendiri. Itulah penangan benda yang sama, ‘kasut’ namanya.

7. Jadi M. Sukumaran yang menjawat Naib Ketua MIC Paya Besar, Pahang yang tiba-tiba jadi populer ini haruslah berfikir apa yang patut dibuat dan MIC sendiri khasnya ‘The Godfather’ (Presiden MIC) kenalah berbuat sesuatu yang boleh melegakan orang-orang Melayu khasnya UMNO kerana orang yang dihina itu adalah bekas pemimpin tertinggi parti itu.

Thursday, May 7, 2009

PENANTI: KENAPA HARUS IKUT MENARI?

Beberapa siri Pilihanraya Kecil yang dilangsungkan sebelum ini telah menampakkan fenomena seolah-olah sengaja dirancang untuk memalukan BN atau UMNO khususnya oleh Parti Keadilan Rakyat.

Dalam entri-entri terdahulu telah saya perkatakan betapa inilah satu strategi Anwar untuk membuatkan rakyat sentiasa memuja dan mengingati beliau dan PKR. Lepas satu, satu lagi PRK diadakan dengan tujuan mewujudkan satu gelombang sokongan rakyat kepada PKR dan Anwar sehingga orang sudah lupa kepada kes liwat yang beliau hadapi.

Kebetulan PRK diadakan di kawasan yang memang menjadi kawasan kuat PKR seperti Permatang Pauh, Bukit Selambau dan sekarang pula Penanti. Wakil Rakyat yang sedia ada sengaja meletak jawatan dengan alasan yang tidak masuk akal dan sengaja digembar-gemburkan. Wan Azizah untuk memberi laluan kepada Anwar. Arumugam kerana kononnya ada ancaman terhadap nyawanya dan keluarganya dan terakhir Fairuz pula kerana hendak melanjutkan pelajaran.

Setiap kali BN dan UMNO kecundang, Anwar dan pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat sentiasa menuding jari kononnya rakyat tidak mahukan UMNO atau BN lagi. Rakyat sudah menolak kerajaan sekarang. Siri PRK ini diadakan seolah-olah sengaja hendak memalukan UMNO dan BN.

Dan sekarang Penanti menunggu untuk menjadi medan BN khususnya UMNO mendapat malu sekali lagi. Harapan mereka supaya BN meletakkan calon dan apabila keputusan meyebelahi mereka, modal yang sama juga dibawa: ‘Rakyat sudah menolak BN’.

Jadi langkah Datuk Seri Najib tidak mahu meletakkan calon untuk Penanti sangatlah bijak dan tepat. Buat apa hendak membuang masa dan wang ringgit untuk PRK yang tidak membawa makna apa-apa. Perbelanjaan kerajaan atau SPR sebanyak 5 juta ringgit di Penanti boleh diselamatkan untuk pembangunan. Masa berbulan berkempen di Penanti boleh digunakan untuk pembangunan kepada rakyat.

Tidak payah membuang masa dengan sia-sia. Tiada apa yang hendak dibuktikan selain menjayakan agenda PKR untuk memalukan UMNO.

Selepas ini aka nada lagi Wakil Rakyat Pakatan Rakyat akan meletak jawatan. Percayalah! Bukit Lanjan mungkin kawasan seterusnya. Elizabeth Wong sudah merancang begitu dahulu. Bagaimana dengan Kota Alam Shah? Manoharan telah menyatakan hasrat berbuat demikian. Mungkin selepas Penanti ini. Begitu juga dengan Kulim-Bandar Baru yang bermasalah satu ketika dahulu.

Sampai bila BN hendak menari mengikut rentak PKR?

Langkah Datuk Seri Najib adalah satu langkah yang bijak dan pragmatik.
Syabas diucapkan!

Saturday, March 28, 2009

POLITIK GILA ATAU ORANG POLITIK YANG GILA?

Paling tepat kalau dikatakan politik negara memasuki episod paling gila sekarang. Mana tidak gilanya, setiap perwakilan yang mengundi membuat pilihan dalam Perhimpunan UMNO baru-baru ini seolah-olah kurang waras dan semakin gila.

Patutlah UMNO semakin tidak diterima umum sebagai parti Melayu tersohor lagi sekarang. Orang-orang muda langsung tidak mahu lagi melibatkan diri dalam parti itu kerana tidak relevan lagi dengan kehendak mereka. UMNO hanyalah tinggal untuk orang-orang tua dan pertengahan yang telah sebati dengan UMNO.

Perwakilan yang membuat pilihan untuk jawatan-jawatan yang dipertandingkan tidak menggalas agenda Bahagian masing-masing tetapi melaksanakan agenda peribadi masing-masing.

Contoh paling jelas boleh dilihat dalam pemilihan Ketua Pemuda. Patutkah calon yang mendapat pencalonan tertinggi boleh tewas kepada calon yang mendapat pencalonan paling rendah? Mukrij boleh tewas kepada Khairi Jamaluddin?

Tentulah sesuatu yang pelik telah terjadi. Lepas itu pakat meminta semua orang terima keputusan pemilihan. Pak Lah merayu supaya semua pihak menerima pemilihan ini sebagai kehendak ahli akar umbi. Betulkah?

Sepatutnya para Perwakilan menghormati mandat ayang diberikan ahli-ahli Bahagian kepada mereka dan mereka wajar memilih calon yang dinobatkan oleh Bahagian masing-masing. Tetapi berlaku sebaliknya.

Itulah dinamakan politik gila. Ataupun orang politik yang gila?

Wednesday, February 4, 2009

POLITIK DUA KALI LIMA DAN LIMA KALI DUA.

Kemelut yang melanda Kerajaan Negeri Perak sekarang ini tak ubah seperti ungkapan yang sangat populer sehingga hari ini iaitu ‘dua kali lima’. Ada penggubah lagu juga menggunakan tajuk yang sama kepada lagu ciptaannya kerana keunikan ungkapan tersebut. Kadang-kadang ungkapan ‘dua kali lima dan lima kali dua’ digunakan sebagai gurauan atau sendaan kepada orang-orang atau kes-kes tertentu.

Dua kali lima dan lima kali dua bermaksud keadaan dua pihak yang serupa kerana jawapannya tetap sepuluh, tidak ada perbezaan. Begitulah politik yang diamalkan di Malaysia walaupun setengah pemimpin parti-parti politik sentiasa mempertahankan bahawa ahli-ahli politik Malaysia telah memasuki era yang sangat matang. Matang macam mana tak tahulah.

Kemelut terbaru, apabila dua ADUN yang juga EXCO Kerajaan Negeri Perak menghilangkan diri, PKR menggelabah menuding jari kepada UMNO kononnya parti itu bermain kotor dengan menyembunyikan mereka berdua dan seterusnya menuduh BN merasuah Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Md Radzi untuk melompat ke dalam UMNO.

Samalah seperti BN sebelum itu yang menganggap PKR telah menjanjikan jawatan dalam Kerajaan Negeri membolehkan Datuk Nasaruddin melompat dari BN ke PKR. Samalah kedua-duanya.

Anwar menuduh UMNO sebagai perasuah politik apabila menuduh parti itu bertangung-jawab atas kehilangan kedua-dua ADUN tersebut dan seterusnya akan menyertai BN. Tetapi di masa yang sama barangkali Anwar lupa bahawa sejak selesai PRU12 dulu beliau sendiri berkelana ke segenap negeri melobi mencari sokongan untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau juga menawarkan berbagai-bagai janji kepada Ahli Parlimen BN yang ingin melompat parti. Serupa jugalah, itupun rasuah politik juga.

Anwar sampai saat ini masih menanamkan rasa benci di sanubari pengikut-pengikutnya terhadap Najib dengan melemparkan berbagai tuduhan. Dia menyebut Najib sebagai ‘Najib Mongolia’ sebagai menggambarkan Najib terlibat dengan pembunhan Altantuya. Dia masih dengan prinsipnya bahawa semua tuduhan liwat ke atasnya adalah fitnah semuanya, tetapi di masa yang sama beliau menuduh UMNO khasnya Najib dengan berbagai-bagai tuduhan. Bukankah ini juga fitnah namanya?

Apa jenis manusia bila orang lain menuduh kita berbuat salah, kita anggap semuanya fitnah tapi bila kita menuduh orang lain kita anggap ia sah. Tentulah tidak masuk akal sebab kedua-duanya sama sahaja. Tiada bukti. Kedua-dua pihak tidak mahu percaya segala bukti yang ada. Yang herannya PAS turut percaya semua cakap Anwar.

Nak percaya Akuan Bersumpah? Akuan Bersumpah Ketua PKR Ipoh, Fauzi Muda sukar dipercayai kerana beliau mengambil masa terlalu lama iaitu hampir setahun untuk melakukannya dan beliau sendiri mengaku tiada bukti yang konkrit. Lagipun sekarang sedah menjadi satu trend baru membuat Akuan Bersumpah. Hari ini buat, esok buat lagi satu menafikan yang dibuat semalam. Orang tidak takut lagi membuat Akuan Bersumpah.

Mohd. Saiful bukan main lagi bersumpah dengan kalimah ‘Wallahi’ sambil memegang Quran,hilang perasaan malunya semata-mata untuk menegakkan kebenaran. Itupun orang tidak percaya. Inikan pula sumpah sesama manusia, lagilah orang tidak mahu percaya.

Sumpah Najib dengan nama Tuhan ketika menafikan kes dengan Altantuya pun orang tidak percaya. Sumpah Fauzi Muda juga orang boleh pertikaikan seperti PKR mempertikaikan sumpah Saiful dan sumpah Najib. Mungkin orang akan bersuara ada pihak yang menaja Fauzi untuk membuat Akuan Bersumpah demikian. Esok mana tahu, ada pihak yang menaja lebih lagi dan buat Akuan Bersumpah sekali lagi.

Inilah yang dikatakan politik dua kali lima dan lima kali dua. Kita mengata orang berbuat itu dan ini tapi kita pun sama juga, melakukaan hal yang serupa. Tiada bezanya.

Kata PAS dahulu kita tidak boleh menyokong UMNO kerana parti Melayu itu bercampur dengan orang kafir iaitu Cina dan India. Ramai orang Melayu yang terpengaruh dan berpecah-belah kerana fatwa tersebut.

Sekarang PAS sendiri bercampur dan berbaik-baik dengan DAP dan PKR yang terdiri dari kaum yang dibencinya dahulu iaitu Cina dan India. Bukankah serupa jadinya. Habis keliru orang-orang kampung kerana politik dua kali lima PAS ini. UMNO berbaik dan bercampur dengan kaum-kaum tersebut dikatakan kafir, tapi PAS bersekongkol dengan kaum-kaum yang sama tidak salah pula.

Yang betulnya semua sama sahaja. Dua Kali Lima jawabnya sepuluh dan Lima Kali Dua jawabnya sepuluh juga. SAMA.